DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 4

ADIF berhenti di hadapan pagar rumah teres 2
tingkat itu. Aiman di sebelah dikerling tajam. Membuta saja
kerjanya. Suruh duduk di rumah, tak nak. Bosan konon! Ikut
dia pun bukan boleh buat teman. Buat tahi mata bolehlah.
“Aiman! Bangunlah, dah sampai ni.” Adif menepuk
bahu Aiman.
“Hmm... cepatnya sampai.” Aiman menggeliat.
“Kau ingat ni London ke? Shah Alam aje pun. Huh!
dahlah, jom...” ajak Adif. Peralatan untuk kerjanya sudah
diambil dari bonet kereta.
“Assalamualaikum.”
“Takde orang kut,” ujar Aiman.
“Tak mungkinlah. Sebab dah janji nak datang.”
“Cuba bagi salam sekali lagi,” suruh Aiman.
“Assalamu...”
“Waalaikumussalam. Maaf, cari siapa?” ujar Dhira.
“Saya datang nak tengok air-cond. Pagi tadi saudari
ada buat aduan yang air-cond cik tak sejuk, kan?” jelas Adif.
“Ooo... ya... ya, jemput masuk.” Dhira buka pintu
pagar. Senyuman manis dilontarkan buat 2 orang jejaka itu.
Tapi dia perasan muka tanpa perasaan jejaka seorang lagi.
“Hai, saya Aiman. Itu kawan saya, Adif Arman.”
Ramah Aiman memperkenalkan dirinya dan Adif.
Adif sudah menyumpah dalam hati. Nak kenalkan
diri, cukuplah diri sendiri. Nak babitkan dia juga tu kenapa?
Huh!
“Bilik mana cik?” soal Adif tanpa mempedulikan
perbualan Aiman dengan si tuan rumah.
“Bilik belakang. Itu sebenarnya pejabat kita orang.
Maaf menyusahkan awak berdua. Dengan cuaca sekarang...
kami memang perlukan air-cond tu. Dahlah 24 jam kami
memang bertapa di dalam bilik itu aje,” ujar Dhira beramah.
Langkah kaki Adif terhenti ketika matanya
menangkap figura seorang gadis di tangga. Matanya tidak
berkelip memandang si gadis. Ya, gadis yang amat dia kenal;
hanya baru beberapa jam tapi seksanya bertahun lamanya.
Sekarang yang menjadi perhatiannya bukanlah si
gadis itu, tapi apa yang membaluti tubuh si gadis. Mini dress
paras paha! Inilah yang Islam gelar berpakaian tapi telanjang.
Di manakah sifat malu gadis ini? Dia geleng kepala sekilas
sebelum masuk ke bilik yang dijadikan pejabat itu.
Aiman sudah menghilang. Ke mana pun Adif tidak
tahu. Apa yang dia tahu, dia mahu siapkan kerjanya dan pergi
dari rumah ini. Kalaulah dia tahu rumah ini rumah Adhia,
sumpah dia tidak akan setuju untuk menggantikan Afiq.
“Ehem.”
Adif pusing ke belakang apabila halwa telinga
menangkap bunyi dehaman. Kelihatan Adhia sedang berpeluk
tubuh dengan badan tersandar di pintu. Kaki disilangkan.
Adif beristighfar. Ya Allah, kuatkanlah imannya...
“Ehem.” Adhia keraskan dehaman apabila Adif
seakan tidak mempedulikannya.
Tangan Adif terhenti melakukan kerja. Dia turun
satu mata anak tangga. Berpaling menghadap Adhia.
“Kau nak apa?” soal Adif. Garang.
Adhia mencebik. Hairan dia dengan mamat ini,
asyik tunjuk muka kelat saja dengannya. Suara tidak pernah
nak lunak. Baru kenal dah macam ni. Kalau lama lagi kenal,
apalah jadi agaknya. Tapi itulah, dia suka apabila Adif susah
untuk didekati. Baru ada cabaran!
“Ikutkan hati aku ni... nak cakap aku nak kau, tapi
takut kau terus cabut lari. Hahaha...” Adhia melabuhkan
punggung di sofa. Kaki kanan diletakkan atas kaki kiri.
Tangan disilangkan ke dada. Matanya masih melirik Adif yang
nampak bengang.
“Setiap apa yang keluar dari mulut kita ni,
melambangkan maruah diri kita, Cik Adhia.” Sinis suara Adif.
Dia kembali meneruskan kerja.
“Wah! Kau ingat nama aku. Surprise!” Adhia tepuk
tangan. Konon teruja.
Hati Adif sebal. Bengkak. Buta ke mata Adhia ni, tak
nampak betapa dingin layanannya? Dia tidak suka berdua
begini. Apabila anak Adam duduk berdua-duaan, yang
pastinya ada yang ketiga. Dan yang ketiga itu ialah syaitan.
“Kau kerja ni jugak ek?” soal Adhia.
Adif masih membisu. Usahkan menjawab, angguk
pun tidak. Dia fokus pada kerjanya.
“Kau dahaga tak? Aku bawakan air,” ujar Adhia lagi.
Adif masih sama. Adhia memberontak dalam diam.
Sabar yang makin menipis dipujuk agar tidak terlepas.
Sombong nak mampus!
“Berlagak! Sombong! Kerek!” omel Adhia perlahan.
“Aku dengarlah,” bentak Adif keras. Dingin. Suka
hati Adhia saja nak mengutuknya.
‘Opps, dia dengarlah. Ada aku kisah? Tak pun! Biarlah
dia dengar. Aku cakap elok-elok, dia tak layan.’
“Tak baik mengutuk orang di belakang. Nak rasa
makan daging manusia ke?” Adif turun dari tangga. Peralatan
yang dibawa dikemas.
“Mana ada aku kutuk belakang? Kau dengar, kan?
Jadi takde istilah kutuk belakang,” balas Adhia. Mata tajam
menikam anak mata Adif.
Mengeluh Adif mendengar jawapan balas Adhia.
Bercakap dengan gadis itu boleh buat darahnya naik. Urghh,
apalah takdirnya, dalam satu hari ini asyik jumpa Adhia saja.
Kalau beginilah berterusan, mahu esok dia check-in hospital.
Tangga lipat sudah siap dilipat. Adif melangkah ke
muka pintu. Wajah Adhia yang tidak puas hati langsung tidak
dipandang. Jeling pun tidak. Apalah masalah Adif ni?
Adhia berlari ke muka pintu. Menyekat langkah Adif.
Kejung tubuh Adif apabila dia hampir saja berlanggar dengan
Adhia. Matanya mencerlung memandang gadis itu. Namun si
gadis hanya beriak bersahaja. Itu luaran, dalam hatinya hanya
Allah yang tahu.
“Kau ni dah kenapa?” Keras suara Adif.
“Kau tu yang kenapa? Asyik nak naik angin aje. Poyo
tak habis!” komen Adhia.
“Ada kaitan dengan kau?” soal Adif. Kening dijongket
ke atas.
Adhia kelu.
“Takde, kan? Jadi, tepi! Aku nak lalu,” ujar Adif.
“Tak nak!”
“Adhia Adamia!” Naik seoktaf suara Adif. Tahap
kesabaran sudah berada di tahap paling bawah. Nafasnya
sudah turun naik.
“Errr, kenapa ni?” Muncul Aiman dan Dhira.
“Takde apa-apa. Jom balik,” ujar Adif meninggalkan
Adhia yang masih kaku.
“Macam mana dengan...”
“Dah settle. Nanti saya suruh Afiq follow-up dengan
cik.”
Dhira kembali mendapatkan Adhia yang masih kaku
di muka pintu. Pelik dengan dua orang makhluk ini.
“Woi, yang kau jadi patung cendana ni kenapa? Apa
yang mamat tu cakap sampai kau jadi macam ni?” soal Dhira.
“Babe...” meleret suara Adhia.
“What?”
“Dia tahu nama penuh aku,” teruja suara Adhia.
Senyum sampai ke telinga.
“Err...” Dhira garu kepala. Matanya menghantar
langkah Adhia yang menuju ke tingkat atas. Apa kena dengan
sahabatnya ini? Tahu nama penuh pun teruja sampai macam
tu sekali? Dah tak betul gamaknya. Hesy!

ADHIA TERSENYUM manis. Dress berwarna biru labuh
dengan belahan hingga ke paha dibelek-belek di hadapan
cermin. Lipstik berwarna merah gading dioles ke bibir. Wow!
Tersangat menyerlah dia malam ini. Lagi pula hatinya tengah
bahagia dengan apa yang terjadi siang tadi. Alahai Adhia...
“Suka hati kau ek boleh keluar dengan Luqman,”
sakat Dhira.
“Takde maknanya.”
“Habis tu, aku tengok kau asyik tersengih aje dari
tadi kenapa? Takkanlah...”
Adhia hanya tersenyum. Fikirlah apa pun, dia tidak
kisah. Nak kata dia sewel pun dia tidak kisah. Kali pertama
matanya jatuh ke wajah itu, jiwa hawanya sudah bergetar.
Jangan tanya kenapa, dia sendiri tidak tahu. Mungkin inilah
orang kata cinta pandang pertama. Walaupun Adif sombong,
tapi hatinya tetap inginkan jejaka itu. Dia sudah nekad ingin
memiliki Adif. By hook or by crook.
“Kau serius ke?”
“Aku serius!” tegas Adhia menjawab. Faham maksud
soalan Dhira.
“Rancangan kau?”
“Sambil menyelam, sambil minum air.”
“Jangan pula yang dikejar tak dapat yang dikendong
berciciran,” nasihat Dhira.
Adhia jongket kening. Tidak puas hati dengan
jawapan Dhira. Dia tahu apa yang dia lakukan. Setiap langkah
yang diambil, dia akan pastikan berjaya.
Tidak semena-mena tangannya menyentuh dagu di
bahagian kiri. Saat tangan menyentuh, terasa garisan halus.
Walaupun ditutupi dengan mekap, kesannya masih terasa.
Dan kesakitan akibat daripadanya juga masih terasa.
“Aku tak nak kau menyesal nanti,” ujar Dhira lagi.
Adhia merengus.
“Kau rosakkan mood aku!” keras suara Adhia.
Jelingan tajam menikam wajah Dhira.
“Adhia,” lembut suara Dhira menyeru.
“Kau tak faham apa yang aku rasa, Dhira. Kau
boleh cakap apa saja yang kau nak, tapi yang merasa, yang
menanggung aku. Kepahitan dihina dan dicaci hanya aku
yang rasa...” lirih suara Adhia dalam tegasnya.
“Aku faham. Jangan kau lupa, saat itu aku ada
bersama kau. Aku lihat semua kesakitan kau.”
“Dah tu, kau masih nak aku lupakan rancangan
aku?” potong Adhia.
“Bukan. Aku cuma tak nak kau menyesal nanti. Kau
rasa Adif akan terima kau kalau dia tahu rancangan kau ni?
Sekarang pun susah dia nak terima kau. Apatah lagi...”
“Anggap saja dia ‘mainan’ aku,” putus Adhia. Dia
akan berusaha mendapatkan Adif. Dia hanya merancang, jika
Adif memang untuknya, maka akan jadi miliknya.
Dhira geleng kepala. Sukar sungguh untuk
melenturkan kedegilan sahabatnya ini. Ingatkan apabila mata
bercahaya cinta, maka hati akan selembut sutera. Rupanya
masih sama. Dia perlu lakukan sesuatu. Namun untuk
membawa Adif kepada Adhia amat sukar. Daripada sikap Adif
siang tadi, dia sudah tahu bahawa Adhia buka taste lelaki itu.
Tapi... rasanya ini bukan sebab taste, tapi prinsip.
Dhira simpan senyum. Apa yang dikatakan Aiman
mengenai Adif disimpan kemas dalam kotak memorinya.
“Aku nak pergi dah ni. Kunci pintu tu,” pesan Adhia.
“Hah!” Terpinga-pinga Dhira.
Adhia tepuk dahi.
“Mengelamun saja kerja kau ek.”
Dhira sengih. Dia memerhati Adhia yang sudah
keluar dari bilik. Semoga apa yang dicari akan ditemui
sahabatnya itu. Dan semoga Adhia tidak tersalah arah.

No comments:

Post a Comment