DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 4

IDHAM masih lagi berselimut. Selepas solat
subuh, dia baring sekejap untuk ambil tenaga. Entah
kenapa tiba-tiba badannya rasa lemah dan lemau. Hajatnya
selepas berehat setengah jam, dia akan bangun semula. Pagi
ini dia ada mesyuarat penting. Sudah dua kali Raihanna
mengingatkannya semalam agar dia tidak lupa.
Tangan Idham menggagau mencari telefon yang
diletak di sebelah bantal tidurnya. Telefon itu segera ditekap
di telinganya.
“Helo.”
“Encik Idham. Encik Idham kat mana ni?”
Kedengaran suara Raihanna di hujung talian.
“Saya masih kat rumah.” Balas Idham dengan suara
lemah. Dia masih lagi berselimut.
“Hah? Masih dekat rumah? Encik Idham belum
bangun tidur lagi ke?” Nampaknya Raihanna betul-betul
terkejut.
“Ya, saya masih kat rumah. Saya tak larat nak
bangun. Badan rasa lemah, macam nak demam.”
“Oh, ya ke?” Raihanna mula rasa serba salah.
“Encik Idham tahu kan hari ni Encik Idham ada
appointment dengan Tan Sri Khalid?” Sekali lagi Raihanna
cuba mengingatkan Idham temu janji dengan lelaki
berpangkat Tan Sri itu.
“Ya, tapi saya betul-betul tak larat. Nanti awak minta
Ryzal gantikan tempat saya. Dan tolong sampaikan salam
maaf saya pada Tan Sri.” Idham sempat melirik jam dinding
di biliknya, sudah hampir jam 10 pagi, patutlah Raihanna
menghubunginya.
“Okey. Maaf kalau saya dah ganggu tidur Encik
Idham.”
“Tak apa. Saya yang patut minta maaf sebab dah
susahkan awak.”
“Hanna,” panggil Idham sebelum Raihanna
mematikan talian.
“Ya, bos.”
“Awak tolong hubungi Jamal. Minta dia belikan ubat
demam untuk saya. Lepas tu bawa ke sini.” Idham menitip
pesanan.
“Baik, bos. Nanti saya sampaikan. Bos nak cuti
berapa hari?”
“Saya tak pasti, kalau saya larat, esok saya pergi kerja.
Kalau tak larat, saya berehat dekat rumah sehari dua lagi.”
“Yalah. Kalau ada apa-apa hal penting, saya akan
hubungi bos atau saya maklumkan dengan Jamal.” Ujar
Raihanna sebelum perbualan mereka terhenti.
“Kalau ada dokumen penting yang perlu
ditandatangani, awak berikan pada Jamal. Minta dia bawakan
ke sini.” Idham memberi pesanan lagi.
“Baiklah.”
Idham kembali menarik selimut dan menyambung
tidur setelah mematikan talian telefon. Hanya itu yang dia
perlukan saat ini.

NURUL MENEKAN loceng seperti hari pertama dia datang
ke sini. Hampir 10 minit dia berdiri di muka sebelum pintu
dikuak. Dia pun sudah berura-ura untuk balik. Bukan main
terkejut lagi Nurul bila melihat wajah pucat Idham.
“Assalamualaikum,” Nurul segera memberi salam.
“Waalaikumussalam. Masuklah,” pelawa Idham
sambil memberi ruang untuk Nurul masuk.
“Encik tak sihat ke?” Nurul kembali merenung
wajah lelaki di hadapannya. Masih lengkap dengan pakaian
tidur. Rambutnya serabai.
“Ya, saya demam. Jadi, saya tak pergi kerja. Itu
sebabnya saya tak tinggalkan kunci di pondok pengawal tadi.”
Idham bersuara sambil melabuh punggungnya ke sofa.
Nurul masih berdiri kaku berdekatan sofa. Dia mula
rasa serba salah mengenangkan hanya mereka berdua sahaja
di dalam penthouse Idham.
“Encik,” Nurul bersuara.
Idham membuka mata yang baru sahaja dipejam
beberapa saat tadi. Terus matanya terpaku menatap wajah
resah gadis itu.
“Kenapa? Awak nampak resah aje.” Dahi Idham
berkerut. Kepalanya makin rasa berdenyut-denyut. Perutnya
juga terasa pedih. Mungkin sejak semalam dia tak makan.
“Saya... apa kata saya... saya balik dulu. Saya datang
minggu depan.” Teragak-agak Nurul berbicara.
“Kenapa? Awak ada hal lain ke?”
“Bukan, cuma... saya rasa tak selesa berdua dengan
encik tanpa sebarang ikatan. Kalau apa-apa jadi nanti, macam
mana?” Nurul melahirkan rasa gusarnya.
“Oh, saya faham. Saya pun tak nak benda yang buruk
berlaku tapi awak jangan bimbang, sekejap lagi pembantu
saya akan datang bawakan ubat untuk saya.”
Nurul mengangguk perlahan. Rasa lega mula terbit
kerana bukan hanya dia berdua di sini. Risau dia jika muncul
pegawai pencegah maksiat. Lebih baik dia berwaspada
sebelum terkena. Nanti kedua-dua belah akan mendapat
malu.
“Encik dah sarapan?” Simpati mula muncul melihat
keadaan Idham yang lemah dan tidak bermaya itu.
“Belum,” jawab Idham sepatah.
“Kalau macam tu, saya masakkan bubur nasi untuk
encik. Nanti encik makan. Lepas tu baru makan ubat dan
berehat.” Nurul memberi saranan.
Idham mengukir senyum. Gembira atas kebaikan
yang diberikan oleh gadis itu walaupun ini kali kedua dia
berkhidmat.
“Maaf sebab saya dah menyusahkan awak.”
“Tak menyusahkan pun. Benda mudah. Sesiapa pun
boleh buat.” Nurul menghadiahkan senyuman manis.
Idham menatap seketika wajah gadis yang masih
berdiri tegak di hadapannya. Penampilannya tetap sopan
seperti minggu lepas. Tetap berbaju kurung. Kalaulah Atikah
juga berpenampilan seperti ini, pasti menarik. Dan tak
mustahil juga kasihnya pada gadis itu akan berputik.
“Tyka.”
Nama itu terpacul perlahan di bibir Idham dan
sempat menerpa telinga Nurul tapi Nurul buat-buat tak
endah. Bagi Nurul, pasti Idham merindui tunangnya.
Biasalah, kalau badan tak sihat, pasti terkenangkan orang
yang tersayang ataupun mak kerana saat inilah kita rasa
benar-benar memerlukan mereka di sisi. Dia pun macam tu
juga. Pasti nama maknya disebut dan dirindui ketika dia tak
sihat.
“Encik berehatlah kat dalam bilik. Rasanya berehat
di bilik lebih selesa daripada berehat kat sini.” Nurul mula
rasa tak selesa bila wajahnya menjadi tenungan lelaki itu.
“Kenapa? Awak tak suka saya ada kat sini?” Idham
tetap memandang wajah Nurul.
“Bukan tak suka tapi tak selesa. Saya rasa macam
setiap perbuatan saya jadi perhatian encik. Kalau encik tak
tengok pun, encik tak perlu risau sebab saya janji saya akan
lakukan tugasan saya dengan sebaik mungkin. Saya juga tak
akan usik barang-barang berharga encik. Percayalah.” Tutur
Nurul sambil menelan liur.
Idham menahan gelak. Entah kenapa badannya yang
lemau terasa segar sedikit mendengar celoteh dan bicara
gadis itu. Ada satu rasa yang sukar nak dijelaskan setiap kali
dia memandang wajah itu, bukan hanya hari ini tapi buat
pertama kalinya semasa dia memandang wajah gadis itu di
kafe. Dan kerana itu juga, dia sanggup menawarkan kerja ini
untuk gadis itu walaupun dia tak kenal rapat.
“Kalau saya nak terus ada kat sini, awak nak buat
apa? Awak nak heret saya masuk bilik?” Terdetik rasa di hati
Idham untuk mengusik gadis itu.
“Tak adalah sampai nak heret encik cuma kalau
encik terus berdegil nak duduk kat sini, saya cuma buat
bodoh. Anggap saja yang encik ni tak wujud atau bayangkan
yang encik ni macam patung.” Balas Nurul menahan geram.
Tiba-tiba Idham melepas tawa kecil. “Sekarang,
awak teruskan kerja awak dan saya akan tetap ada di sini
memerhatikan awak. Manalah tahu awak mengelat ke apa.”
Sakat Idham lagi.
“Terpulang pada encik. Inikan rumah encik.
Lagipun, kat sini kan ada CCTV. Apa yang saya buat, encik
boleh nampak dalam rakaman.” Tempelak Nurul.
Idham senyum segaris. Memang minggu lepas dia
ada melihat rakaman CCTV dan dia sebenarnya berpuas hati
dengan hasil kerja gadis itu.
Nurul terus menuju ke ruang dapur untuk
menyediakan bubur nasi. Nasib baiklah semua bahanbahan
basah dan kering ada. Nampaknya lelaki itu memang
menyediakan bahan-bahan untuk memudahkan dia
menggunakannya. Nampak sangat yang dia kena masak lagi
hari ini. Malah, kali ini lelaki itu memang ada bersamanya
sepanjang dia berada di sini. Sadis pula rasanya.
Semua pakaian kotor dimasukkan ke dalam mesin
basuh. Kali ini Nurul tak menggunakan vakum kerana tidak
mahu mengganggu Idham yang masih santai di ruang rehat
sambil membaca majalah, sesekali dia menatap gadgetnya.
Ada ketikanya dia bercakap di talian. Sibuk betul lelaki itu.
Telefon asyik berbunyi saja.
Kemudian Nurul bergegas membuka pintu bila
disuruh Idham. Seorang lelaki yang berbadan sasa nampak
terkejut dengan kemunculan Nurul.
“Jamal, masuklah.” Pelawa Idham yang berada di
sofa.
Nurul mengundur ke belakang untuk memberi
ruang kepada lelaki yang bernama Jamal tadi. Segak juga
orangnya, bertubuh sasa dengan memakai kemeja kosong
warna kuning cair dan seluar jean biru.
Jamal melangkah ke arah Idham. Sementara Nurul
menutup pintu dan terus beredar dari situ untuk meneruskan
kerjanya.
“Bos, ini ubatnya dan ini beberapa dokumen yang
dikirim oleh Raihanna.” Jamal meletakkan fail-fail dan juga
plastik kecil berisi ubat yang dibeli dari klinik sebentar tadi.
“Terima kasih,” ucap Idham.
“Siapa tu?” Jamal mengangkat kening memberi
isyarat ke arah Nurul yang berada di dapur sedang menyiapkan
bubur nasi dan juga minuman panas untuk Idham.
“Pembantu rumah. Dia gantikan Mak Cik Mimah.
Awak kan tahu yang saya sekarang ni tak ada pembantu
rumah.” Beritahu Idham. Matanya masih ralit memandang
telefon di tangan.
“Pembantu rumah? Bos baru ambil ke?” Jamal
benar-benar terkejut. Setahunya tukang cuci hanya datang
hari minggu. Takkanlah Idham dah ada pembantu rumah?
“Hmm... baru minggu lepas. Kenapa? Berkenan?”
Idham turut melirik ke arah Nurul seperti yang dilakukan
Jamal.
“Hesy, tak adalah. Saya kan dah ada isteri, tak
perlulah nak ramai isteri, seorang pun dah cukup. Tak nak
saya cari masalah dan beban.” Jamal tersengih.
“Habis, yang awak sibuk bertanya tu, kenapa?”
Idham bersikap acuh tak acuh.
“Tak adalah. Pembantu rumah bos kali ini nampak
muda, cantik pula tu.” Jamal masih menyengih.
“Dia cuma datang sekali seminggu sahaja buat kerja
kat penthouse ni. Dia datang setiap hari Selasa sebab hari
minggu dia kerja tempat lain.” Jelas Idham.
“Ooo... macam tu ya tapi kenapa saya tengok dia
macam tak sesuai jadi pembantu rumah atau tukang cuci?”
Jamal menarik nafas.
“Kalau tak sesuai jadi pembantu rumah atau
tukang cuci, dia sesuai jadi apa?” tempelak Idham, sekali gus
memandang wajah pembantunya itu. Hesy, Jamal ni sukasuka
hati saja.
“Er... dia macam sesuai jadi...” Teragak-agak Jamal
nak meneruskan kata.
“Jadi apa?” sergah Idham. Geram pula melihat
gelagat Jamal yang dari tadi asyik tersengih-sengih.
“Jadi isteri bos.” Jamal tersasul keluar ayat. Cepatcepat
dia menampar mulutnya. Apalagi bila melihat renungan
tajam Idham ke arahnya. Macam nak telan saja gayanya. “Maaf,
saya cuma bergurau saja, bos. Bos jangan marah ya.” Jamal
mula kecut perut. Bimbang dimarahi Idham nanti. Silap hari
bulan kena halau, bikin malu empunya badan nanti.
Tiba-tiba Idham melepas tawa.
Jamal terpegun. “Kalau macam tu, saya balik ofis
dulu ya.” Jamal mula angkat punggung.
“Jamal, awak tak payah balik ofis sekarang.
Awak duduk sini hari ini.” Idham memberi arahan tegas
membuatkan mata Jamal bulat memandang wajah Idham.
“Duduk sini? Nak buat apa?” Jamal terpinga-pinga.
“Tak buat apa-apa. Cuma duduk sahaja.” Mata Idham
mencerlung ke arah Jamal.
Jamal menggaru kepala yang tidak gatal. “Tapi...”
Jamal tetap teragak-agak dengan arahan itu.
“Tak payah banyak cakap, ikut saja arahan saya. Kerja
awak hari ni hanya duduk kat sini sampai pembantu rumah
tu siapkan kerjanya. Faham?” ujar Idham lagi.
Jamal diam.
“Saya bukan nak tengok muka awak pun tapi saya
nak mengelak dari timbul sebarang fitnah. Sekarang ni bukan
saya seorang kat sini, ada orang lain. Perempuan pula tu.
Awak nak kalau apa-apa jadi pada saya?” Idham memandang
wajah Jamal.
Laju saja Jamal menggeleng kepala.
Idham mengangkat kening sebelum memejamkan
matanya. Fail yang mengandungi dokumen yang dibawa
Jamal tadi tidak berhajat disentuhnya. Nantilah dia tengok
kemudian. Buat masa sekarang, dia cuma nak berehat.
Melihat Idham memejam mata, Jamal menyandar
badannya di kerusi. Terkelip-kelip matanya melihat sekitar
ruang tamu itu. Bosan mula terasa bila dia hanya perlu duduk
tanpa buat apa-apa.
Idham kembali membuka mata bila mendengar
bicara.
‘Isy, peramah pula si Jamal ni pergi interview
perempuan tu.’ Rungut Idham bila melihat macam mesra
sahaja perbualan Jamal dengan Nurul di ruang dapur. Tanpa
sengaja, terdetik satu rasa di dada.

No comments:

Post a Comment