DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 6

HATI Nurul mula libang-libu. Dia sudah tidak
tahu bagaimana harus digambarkan perasaannya. Rasa resah,
gelisah dan takut datang berlumba-lumba sehinggakan dia
tidak mampu nak tumpukan perhatian pada kerja.
“Apa kena dengan kau ni, Nurul? Asyik-asyik tengok
jam. Kau ada janji dengan sesiapa ke ni?” Sherry menegur
bila melihat keresahan di wajah Nurul sejak tadi. Lain macam
pula tindakan dan wajah Nurul hari ini. Nampak serba tak
kena.
“Tak ada apalah,” Nurul cuba berdalih dan buat-buat
sibuk mengambil gelas kosong di meja yang ditinggalkan
pelanggan.
“Betul ni? Tapi aku nampak macam ada apa-apa.”
Sherry berdiri di hadapan Nurul, menghalang langkah Nurul.
Nurul meletak gelas kotor di sink dan terus dibasuh
bersih.
“Aku tak tahu nak cakap macam mana. Rasa serba
salah, rasa takut dan macam-macam rasa.” Akhirnya Nurul
meluahkan rasa yang ditahan.
“Okey. Apa masalahnya? Apa yang buat kau rasa
macam tu? Kau ada masalah di kampung, pak long kau desak
orang tua kau lagi ya?” Sherry pula yang resah.
Nurul garu keningnya.
“Bukan pasal tu tapi ni pasal lain.” Nurul ketap bibir.
“Pasal lain? Pasal apa pula. Kau ni... banyak sangatlah
masalah. Kalau kau simpan tahun depan, tak boleh ke?”
Sempat lagi Sherry melepaskan gelak kecil.
“Simpan apa?” Nurul blur.
“Simpan apa lagi, simpan masalahlah. Takkanlah
masalah kau datang bertubi-tubi secara serentak. Kan elok
kalau ia datang tahun depan atau dua tahun lagi ke, tak
adalah kau monyok tak kira masa dan tempat.” Sherry tayang
sengih.
“Aduh!” Sherry mengaduh sambil menggosok kepala
yang diluku Nurul.
“Sorry. Aku gurau ajelah. Takkan tak boleh. Kau ni,
asyik nak serius memanjang. Nanti muka tu cepat berkedut,
cepat nampak tua sebelum usia.” Tak habis-habis Sherry
mengusik. Namun dia tetap mengikut langkah Nurul ke satu
sudut yang menjadi ruang rehat untuk para pekerja.
Nurul mendengus kuat. Kalau tak mengenangkan
yang Sherry ni kawan baik dia, mahu dia luku sekali lagi
kepala si Sherry biar benjol sebesar telur ayam. Baru padan
muka!
“Cuba kau cerita apa masalah kau. Kalau aku boleh
tolong, aku tolong.” Sherry terus membuat permintaan
dan sekali gus kembali serius. Kasihan pula melihat wajah
bengang dan resah Nurul yang masih tak hilang. Entah
masalah apa yang muncul kali ini.
“Kau ingat tak dengan Encik Idham?” Nurul pandang
muka Sherry.
“Mestilah ingat. Aku ni, kalau pasal lelaki kacak, aku
tak pernah lupa.” Sempat lagi Sherry buat lawak.
“Jangan nak beranganlah! Dia tu bakal suami
orang tau. Jangan nak mengedik terlebih.” Nurul memberi
peringatan.
“Mana ada mengedik. Aku cuma admirer kat dia aje.
Tak terfikir pun nak buat suami. Aku sedar siapa diri aku.
Dia enggang, aku pula pipit. Tak boleh nak terbang bersama.
Lainlah kalau aku ni jadi artis dan selebriti macam Cik Tyka
tu.” Sherry mula buat muka sedih.
“Tak payah nak drama sangatlah. Buruk betul aku
tengok muka kau.” Cemuh Nurul sambil menggeleng kepala.
Sherry terus melepas gelak. Tak terasa pun dengan
cemuhan itu.
“Eh, kita dah lari tajuk ni. Apa sebenarnya masalah
kau ni?” Sherry kembali ke topik asal.
“Macam ni, tadi Encik Idham telefon aku. Dia nak
jumpa aku jam 5 petang nanti sebab ada perkara penting
yang dia nak cakapkan. Aku risaulah, jangan-jangan dia nak
berhentikan aku kerja kat penthouse dia atau dia nak tuduh
aku ambil barang berharga milik dia.” Nurul kembali resah.
“Ya ke? Kenapa tak cakap kat telefon aje, kan senang.
Ini dah buat kau risau.” Sherry mula simpati. Dia juga turut
risau kalau firasat Nurul itu betul. Kasihan Nurul.
“Kau rasa apa yang patut aku buat?” Nurul makin
menggelabah.
“Kau jumpa ajelah. Kau bukan buat salah pun. Jadi
kau tak payah takut. Kalau dia nak berhentikan kau kerja kat
penthouse dia, biarlah. Mungkin rezeki kau di tempat lain.
kau tak payah risaulah.” Pujuk Sherry sambil mengusap
lembut bahu Nurul.
Nurul mengangguk perlahan. Nafas ditarik panjang
sambil memejam mata. Dia cuba bersikap tenang buat
seketika.

“NURUL, ADA orang nak jumpa kau.” Sherry segera
menyampaikan pesanan.
Nurul memandang wajah Sherry. Berkerut dahinya
cuba memikirkan kemungkinan.
“Encik Idham?” Wajah Nurul dah pucat.
“Bukan, orang lain tapi lelaki juga.” Beritahu Sherry
lagi.
“Ya?” Nurul makin menggelabah. Kasihan pula
Sherry melihat tindak balas Nurul.
“Kau pergilah jumpa dia. Dia tunggu kau kat depan
cafe. Kau jangan risau, muka dia nampak baik. Bukan
macam muka penyangak.” Jelas Sherry agar Nurul tak terus
menggelabah.
“Okey. Aku jumpa lelaki tu. Kau stand by kat depan
kaunter, manalah tahu apa-apa jadi kat aku nanti. Kau boleh
terus bantu aku.” Nurul menarik tangan Sherry.
Sherry memerhati di depan kaunter melihat Nurul
menuju ke muka pintu kafe dan mengharapkan tiada yang
buruk menimpa Nurul.
Nurul mengamati belakang lelaki yang sedang
menunggunya di muka pintu kafe. Berpakaian kemas, jaket
kulit warna hitam dan seluar jean.
“Ehem,” Nurul cuba menarik perhatian lelaki
berbadan sasa itu.
“Nurul,” Lelaki itu segera bersuara sebaik sahaja
menoleh ke arah Nurul. Senyuman manis diberikan buat
Nurul.
“Abang Jamal?” Nurul tergelak kecil dengan
kemunculan Jamal.
Jamal hanya mengukir senyum sambil menatap
wajah Nurul.
“Abang Jamal buat apa kat sini? Serius ni Abang
Jamal nak jumpa Nurul?” Nurul masih tak percaya kewujudan
Jamal dan dia tak sangka juga yang perbualan mereka agak
mesra walaupun pertama kali jumpa di penthouse Idham dua
hari lepas.
“Abang Jamal nak jumpa Nurullah.” Jamal
memberikan senyuman manis.
“Jumpa Nurul? Kenapa?” Dahi Nurul mula berkerut.
“Sebenarnya Abang Jamal ditugaskan untuk
menjemput Nurul. Bos yang nak jumpa.” Beritahu Jamal lagi
“Oh, Encik Idham yang suruh.” Nurul mengangguk
kepala dan sekali gus mengingatkan panggilan telefon dari
lelaki itu tadi.
“Kenapa dia tak datang? Dia masih tak sihat?”
“Nurul tanyalah dia sendiri. Abang Jamal ni cuma
ikut arahan Encik Idham. Dia kan bos.”
Nurul tarik nafas.
“Jomlah, kita pergi sekarang. Nanti dia marah kalau
lambat sampai. Encik Idham tu pantang tau kalau kita tak
tepati masa.” Tutur Jamal sambil melirik jam tangannya.
“Kejap, Nurul beritahu kawan dulu. Risau pula
kalau dia tercari-cari, apa lagi kalau bos yang cari. Mahunya
dipotong gaji Nurul.” Nurul terus beredar meninggalkan
Jamal yang tergelak kecil.

JAMAL MEMBERHENTIKAN Range Rover milik Idham
di tepi tasik. Nurul menoleh ke sisi sambil mengangkat
keningnya ke arah Jamal.
“Kenapa kita datang sini?” Nurul tak sabar nak tahu.
“Itu, bos sedang menunggu. Pergilah jumpa dia.”
Jamal memberi isyarat dengan menuding jarinya membuat
mulut Nurul sedikit ternganga.
“Erk.”
Jamal tergelak kecil.
“Dia nak ajak Nurul dating kat sini agaknya. Itu yang
beria-ia minta Abang Jamal jemput Nurul kat cafe tadi.” Usik
Jamal sambil tergelak kecil bila melihat mulut Nurul yang
melopong.
“Dating apa ke bendanya. Bos Abang Jamal tu kan dah
ada tunang. Tunang bos Abang Jamal tu model terkenal tau.
Nanti tak pasal-pasal Nurul kena hentam dengan wartawan.
Mana Nurul nak letak muka nanti.” Nurul tergelak kecil.
Jamal hanya mengukir senyum. Hal putus tunang
Idham tu, biarlah Idham jelaskan sendiri. Dia tak ada hak
untuk masuk campur hal peribadi Idham. Memang dia
pembantu peribadi merangkap bodyguard Idham tapi tidak
semua perkara berkaitan dengan Idham dia perlu tahu.
“Pergilah cepat.” Gesa Jamal bila Nurul masih belum
keluar dari Range Rover itu.
“Yalah. Nurul nak keluarlah ni. Dah kena halau,
kan.” Nurul tayang muka merajuk.
Jamal melepas tawa dengan ayat yang keluar dari
mulut Nurul itu. Dia hanya memerhati Nurul yang sedang
melangkah mendekati Idham.
“Assalamualaikum,” Nurul segera memberi salam
sebaik sahaja dia mendekati Idham yang sedang duduk di
kerusi. Nampak begitu jauh lelaki itu mengelamun sambil
merenung ke tasik tanpa menyedari kemunculannya. Tasik
yang sama pernah dia lihat pertengkaran antara Idham dan
tunangnya, Atikah.
“Waalaikumussalam.” Idham menoleh ke sisi
sebelah kanan. Wajah Nurul menjadi tatapannya. Lama
matanya bertamu di wajah gadis yang sedang berdiri di
hadapannya itu sehinggalah gadis itu mula rasa tidak selesa.
“Encik Idham dah sihat ke?” Nurul cuba mengalih
perhatian Idham agar tidak terus-terusan memandangnya.
“Oh, ya. Saya dah sihat.” Idham sedikit gelabah.
“Baguslah.” Nurul menarik nafas lega.
Idham mengukir senyum segaris. Sebolehnya dia
mahu menghilangkan rasa tidak selesanya dalam situasi
begini. Entah kenapa rasa itu muncul saat dia teringatkan
gadis itu.
“Apa hal encik nak jumpa saya?” Nurul menahan
debar. Risau kalau andaiannya betul di mana lelaki itu mahu
memberhentikannya. Di mana dia nak cari kerja sambilan
dalam masa terdekat ini.
“Duduklah. Memang ada perkara penting yang saya
nak bincangkan dengan awak.” Idham memberi ruang untuk
Nurul duduk di sebelahnya.
Nurul teragak-agak. Sempat lagi dia memandang
ke arah Jamal yang masih berada di dalam SUV milik Idham
tidak jauh dari situ.
“Duduklah. Saya bukan nak buat benda tak senonoh
dekat awak. Saya cuma nak berbincang. Awak jangan takut,
saya memang dah minta Jamal menunggu di sana.” Idham
cuba menghilangkan keresahan hati Nurul.
Nurul akur. Punggungnya dilabuh perlahan di sisi
Idham. Nafas ditarik perlahan dan ketika itu juga dia dapat
menghidu aroma lelaki itu. Memang menyegarkan. Tiba-tiba
hatinya jadi berdebar-debar. Tak pernah dia duduk serapat
ini dengan mana-mana lelaki. Sebelum ini, dia memang ada
kawan lelaki tapi mereka duduk beramai-ramai, jadi tak rasa
kekok. Tapi kali ini dia duduk hanya berdua dengan lelaki. Dan
Idham merupakan lelaki pertama berdua-duaan dengannya.
“Encik nak cakap pasal apa? Encik nak cakap
yang saya nak diberhentikan kerja?” Nurul memberanikan
diri menatap wajah Idham yang agak terkejut dengan
pertanyaannya itu.
“Tak. Bukan itu maksud dan tujuan saya nak jumpa
awak hari ini.” Idham tarik nafas perlahan. Dia sendiri pun
rasa gementar untuk menyatakan tujuannya. Manalah tahu
kalau gadis ini menolak. Di mana dia nak letak muka atau
lebih tepat, siapa yang akan jadi mangsa seterusnya.
“Habis tu?” Nurul makin tidak sabar.
“Sebenarnya saya nak bagi tawaran dekat awak.”
Wajah Idham mula terasa hangat.
“Tawaran? Tawaran apa?” Nurul makin tak keruan.
Jantungnya berdegup makin laju. Tapi bagus juga kalau lelaki
itu bagi tawaran kerja untuknya sebab dia pun memang
mencari kerja tetap. Dah banyak resume yang dia hantar tapi
tiada satu pun yang tersangkut. Sampai bila agaknya dia kena
kerja kat kafe itu.
Idham diam. Masih merangka ayat yang sesuai untuk
diluahkan walaupun sudah semalaman dia memikirkannya
tapi bila berhadapan begini, dia jadi kaku. Air liur ditelan
perlahan. Masih lagi mencipta ayat agar apa yang ingin
disampaikan akan terlaksana tanpa sebarang masalah.
“Encik, encik ada masalah ya?” Nurul membuka
mulut. Takkanlah dia nak terus menunggu di sini tanpa
sebarang bicara.
“Ya. Saya memang ada masalah dan saya rasa
hanya awak yang boleh selesaikan masalah saya ni.” Idham
memberanikan diri memandang dan menatap wajah Nurul.
Nurul turut memandang wajah Idham. Masingmasing
menelan liur.
“Saya? Apa yang boleh saya tolong? Kalau encik
nak duit, memang saya tak mampu nak tolong sebab saya
sekarang ni pun sedang terdesak.” Nurul bersuara. Tapi
takkanlah lelaki bergaya dan berkerjaya macam Idham ni
terdesak nak pakai duit. Agaknya apa masalah dia sampaikan
hanya aku yang mampu tolong dia. Kenapa tak minta tolong
daripada Cik Atikah?
Idham tergelak kecil. “Bukan. Ini bukan soal duit
tapi ini soal masa depan.” Idham menarik nafas panjang
dan menghembusnya perlahan. Pandangannya dilempar ke
hadapan. Segan pula nak cakap perkara ini. Kalau tak cakap,
macam mana dia nak selesaikan masalah? Tak dapat tidak
kena cakap juga.
“Oh, pasal masa depan encik dengan Cik Tyka ya.
Kalau soal tu, kenapa tak bincang dengan dia? Kenapa kena
bincang dengan saya sedangkan saya tak ada kaitan pun
dalam hal ni?” Tiba-tiba Nurul jadi bingung.
‘Mimpi apa agaknya lelaki ini nak ajak aku berbincang
pasal masa depan dia?’ Desis Nurul sambil tersenyum. Lucu
pula mendengarnya.
“Ini bukan soal masa depan saya dengan perempuan
tu.” Ujar Idham lambat-lambat membuat dahi Nurul berkerut.
“Habis tu, encik ada perempuan lain ke selain
dari Cik Tyka? Encik tak tahu nak pilih yang mana?” Nurul
membuat andaian. Matanya tepat memandang wajah Idham
dari sudut sisi.
Orang kacak macam Idham ni, tak mustahillah kalau
dia punyai ramai perempuan. Dan nampaknya Cik Atikah
adalah satu-satunya perempuan yang beruntung kerana
berjaya menawan hati lelaki ini.
Sekali lagi Idham tergelak kecil. “Tak ada. Sekarang
ni tak ada seorang perempuan pun dalam hidup saya.” Idham
pejam mata seketika. Cuba mengusir bayangan Atikah yang
wujud dalam benak fikirannya seketika tadi.
“Bukankah encik dah bertunang dengan Cik Tyka?
Encik kan dah nak kahwin dengan Cik Tyka tak lama lagi.
Saya ada terbaca berita pasal pertunangan encik dengan Cik
Tyka di akhbar.” Nurul tersentak. Satu ketika dulu pernah
heboh satu Malaysia tentang pertunangan Idham dengan
Atikah, takkanlah Idham nak menafikan pula. Pelik betul
lelaki ni!
“Saya dah putuskan pertunangan kami dua minggu
lepas.” Beritahu Idham dengan wajah tenang membuatkan
mulut Nurul melopong bulat.
“Hah, dah putus? Betul ke?” Memang berita ini
benar-benar mengejutkan.
“Memang betul. Saya yang putuskan pertunangan
kami, bukan Atikah. Tapi saya tak nak hal kami putus
tunang ni dihebohkan sebab tu berita ini tidak tersebar.”
Idham menyatakan kebenaran itu. Tanpa dipinta, Idham
menceritakan bagaimana perkara itu berlaku.
Nurul hanya diam mendengar. Patutlah dia nampak
mereka macam bergaduh saja petang itu. Sesi putus tunang
rupanya. Timbul pula rasa simpati Nurul pada Idham. Bodoh
pula Atikah tu menolak lelaki yang hebat macam Idham.
Nampaknya Atikah lebih pentingkan kerjayanya. Pasti lepas
ni mesti ramai wanita dan gadis berebut nak menawan hati
lelaki ini.
“Jadi, apa yang encik nak buat sekarang?” Nurul
memandang wajah Idham. Nampak gayanya, dia dah jadi
pakar kaunseling. Tempat lelaki itu meluahkan perasaan.
“Saya akan tetap teruskan majlis perkahwinan dua
minggu lagi. Itu menjadi cabaran untuk saya sebab saya
nak buktikan pada Atikah yang saya mampu meneruskan
perkahwinan biar pun bukan dia calon isteri saya.” Idham
berkalih. Kali ini wajah Nurul menjadi tatapan mata Idham.
Terkelip-kelip mata Nurul membalas tatapan itu sebelum
kembali mengalih pandangannya. Tak sanggup nak terus
berbalas pandang. Segan dan berdebar-debar rasanya setiap
kali mereka berbalas pandang.
“Kalau encik bertekad nak teruskan majlis
perkahwinan tu, encik kena ada calon. Encik dah jumpa calon
pengantin encik?” Hanya itu yang mampu Nurul suarakan.
Mestilah. Nak kahwin mesti ada calon. Kalau tak ada calon,
macam mana nak teruskan perkahwinan. Takkanlah nak
bersanding seorang diri di atas pelamin. Tak pernah dibuat
orang. Kalau diteruskan pun, mungkin majlis kahwin akan
ditukar ke majlis tahlil.
“Ada. Saya dah jumpa calonnya.” Idham menjawab
dengan tenang sambil menatap wajah Nurul. Lama matanya
bertamu di wajah Nurul membuatkan Nurul mula rasa
hangat.

No comments:

Post a Comment