DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 10

ANAK mata meliar mencari kelibat Harlina di dalam restoran yang baru dijejaki itu. Akhirnya pandangan mata Syasya melekat pada seorang perempuan yang cantik bergaya sedang duduk di sudut paling tepi. Tanpa berlengah, kaki diatur laju menuju ke situ.

“Hai, kak long!” tegur Syasya.

“Isy, Syasya ni... terkejut kak long tau! Cubalah bagi salam. Ni tak, main sergah je!” Geram pula rasa hatinya dengan si Syasya ini. Nasib baiklah dia perlukan gadis itu. Kalau tidak, tak kuasa nak layan perangai gedik Syasya itu. Harlina merengus perlahan. Sabar, sabar...

Syasya tersengih lebar. Sedar kesalahannya. Alahai... Kalau tak kerana dia mahukan si Hazriq itu, tak kuasa dia mahu berkawan dengan Harlina.

So, macam mana? Syasya dah try ajak Hazriq pergi annual dinner tu?” soal Harlina.

“Dah, tapi dia macam tak nak pergi je.” Bibirnya sudah panjang memuncung ke depan.

Pulak dah. Susah betullah Hazriq ni. Tak apa, nanti tahulah kak long uruskan. Syasya standby je.” Telefon bimbit dicapai dan nombor telefon Hazriq dihubungi. Tak lama selepas itu talian bersambung.

10 minit berbalas kata dengan Hazriq, akhirnya adiknya itu bersetuju untuk menjadi peneman Syasya pada acara makan malam tahunan syarikat ayah Syasya 2 hari lagi. Sukar benar mahu membuatkan adiknya itu mendengar kata. Setelah diugut dan diungkit kisah silam, barulah Hazriq kematian idea untuk membalas. Sudahnya kemenangan berada di pihaknya.

“Macam mana, kak long?” tanya Syasya dengan perasaan tak sabar. Melihatkan wajah Harlina yang tersenyum, dia yakin sebentar lagi telinganya pasti akan mendengar jawapan yang positif.

Settle,” balas Harlina sambil mengangkat ibu jari kanan.

Thank you! Syasya sayang kak long. Lepas ni kita pergi shopping ya? Syasya belanja. Kak long nak apa, ambil je. It’s all on me.” Sebelah matanya dikenyitkan.

Harlina apa lagi, senyum sehingga ke telingalah. Otak pantas merangka senarai panjang barangan yang akan dibeli nanti. Orang nak belanja, rezeki jangan ditolak. Lama sudah ditahan nafsu membeli-belah.

Sejak syarikat suaminya menghadapi masalah kewangan, kehidupan mereka tidak semewah dahulu. Belum dikategorikan susah lagi, tetapi dia terpaksa menyekat perbelanjaan mewah bulanannya.

Lagipun bukan salah dirinya. Harlina sudah biasa dimanjai dengan kemewahan oleh suaminya bermula dari awal perkahwinan mereka lagi. Walaupun sudah masuk tahun ketiga perkahwinannya dengan Malik, mereka masih juga belum dikurniakan zuriat sama seperti Hazriq yang terlebih dahulu mendirikan rumah tangga.

Sengaja tekanan diberikan kepada si adik soal berkaitan dengan pewaris kerana adiknya itu satu-satunya anak lelaki dalam keluarga mereka.

Namun Harlina sedikit pun tidak kisah akan hal itu kerana dia merasakan belum bersedia untuk menjadi seorang ibu. Tiada seorang pun yang berani mempertikaikan perkara ini di hadapannya kerana pada pengetahuan semua orang, peluang untuk dia hamil agak tipis dek peristiwa yang menimpa dirinya suatu ketika dahulu.

Malik, selaku suami juga tidak pernah membicarakan hal ini. Lagi pula dia risau memikirkan bentuk badannya yang akan berubah selepas melahirkan anak nanti. Dia tidak sanggup kecantikannya dirampas sebegitu saja.

 

“PUAN AIZA, Encik Fayzal nak jumpa dalam bilik dia sekarang.” Itu pesanan yang diterima daripada setiausaha majikannya.

“Baik, saya datang sekarang.” Aiza segera meletakkan gagang telefon dan kaki dibawa melangkah ke tingkat atas yang menempatkan bilik anak majikannya itu. Dia ada buat salahkah? Habislah! Memikirkan sebarang kemungkinan, Aiza jadi seram.

Tidak pernah lagi dia dipanggil terus oleh Fayzal. Inilah kali pertama. Dalam debaran yang tidak berpenghujung, hatinya berdoa semoga apa yang difikirkan tidak benar sama sekali.

Sampai saja di tingkat yang dituju, setiausaha Fayzal membawa Aiza masuk ke bilik bosnya.

“Tina, tolong tutup pintu ya,” pesan Fayzal.

“Baik, Encik Fayzal.” Sejurus itu pintu ditutup rapat. Kenapa pula sampai tutup pintu bagai ni? Selalunya pintu bilik itu hanya tertutup jika Fayzal tiada di pejabat.

“Duduklah.” Fayzal mempersilakan Aiza untuk duduk.

Thanks. Ada apa Encik Fayzal nak jumpa I?”

“Tak payah nak berencik. Tak ada orang dekat sini dan apa yang I nak cakap ni bukan pasal kerja,” terang Fayzal.

But still you are my boss and we are still in the office hours.” Aiza membalas. Dia tak mahu timbul gosip yang tidak benar berkaitan dia dan Fayzal jika perbualan ini didengari oleh orang lain.

Okay, it’s up to you.”

So, pasal apa yang nak dibincangkan?” Aiza bertanya sekali lagi.

“Malam lusa I nak you jadi partner I.”

“Hah?” Aiza menayang wajah blur.

“Macam ni, I dapat jemputan untuk ke annual dinner company Datuk Syafiq.” Fayzal mulakan mukadimah. Kad jemputan di tangannya dihulurkan kepada Aiza.

“Tapi kenapa kena ajak I? Siapa Datuk Syafiq tu? I tak kenal.” Kad yang dihulur disambut dan dibaca. Aiza jadi pelik sendiri. Atas alasan apa dia harus menerima pelawaan Fayzal?

“Datuk Syafiq, papa Syasya. I rasa Hazriq pun akan ada di sana. You tak rasa macam tu?” Kening dijongket sedikit. Meminta Aiza untuk berfikir kemungkinan yang sama.

“Kalau macam tu, I kena tanya Hazriq dulu. Kalau betul dia ada malam tu, I setuju ikut you.” Kata putus diberi oleh Aiza. Jika benar apa yang difikir Fayzal, dia mahu lihat apa pula helah yang akan digunakan oleh si suami untuk menutup tembelangnya.

“Okey, I tunggu jawapan you,” balas Fayzal.

“Kalau tak ada apa-apa, I keluar dulu.” Aiza meminta izin.

Nampak saja kepala Fayzal mengangguk, dia terus bangun dan keluar dari bilik lelaki itu. Tidak mahu menjadi buah mulut bualan staf di situ. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Fayzal tidak menyampaikan berita itu melalui telefon saja. Bukankah itu lebih mudah?

Fayzal hanya memandang Aiza berlalu meninggalkan dirinya. Hembusan nafas dilepas berat. Mata terpejam menelan kepahitan yang terasa. Hatinya turut berasa sakit melihat wanita yang dicintai disakiti.

‘Andai saja hatimu milikku Aiza, akan kujaga dirimu sehingga ke syurga.’

 

PULANG DARI tempat kerja, Aiza yang keletihan duduk bersandar di sofa. Entah bila matanya terlelap, dia sendiri tidak sedar. Tahu-tahu saja bahunya digoncang lembut. Kepala dipanggung ke atas. Hazriq dilihat sudah siap membersihkan diri.

“Sayang, bangun naik atas. Dah nak masuk maghrib ni.” Rambut Aiza yang berselerak sedikit dibetulkan dengan tangan kanannya. Penat sangat isteri dia agaknya.

Tadi Hazriq sengaja tidak mahu mengejutkan lena Aiza. Rasa kasihan pula mahu mengganggu. Namun melihatkan Aiza yang masih belum bangun, terpaksa juga diganggu tidur isterinya itu.

Erm...” Terpisat-pisat mata Aiza memandang ke arah Hazriq.

“Bangun, solat.” Hazriq berkata lagi.

“Abang, malam lusa abang ada kat rumah tak?”

“Malam lusa?” Hazriq cuba berfikir. Bukankah malam yang dimaksudkan adalah malam di mana dia sudah berjanji untuk menemani Syasya ke majlis makan malam syarikat Datuk Syafiq? Ya, betul. Tidak salah lagi.

“Haah, malam lusa.” Aiza membetulkan duduk. Hatinya terlalu berharap agar Hazriq menidakkan apa yang difikirkan oleh Fayzal dan dirinya.

Please say you’re not going anywhere that night, abang. Please...’ Aiza merayu dalam hati.

Errr... abang maybe balik lambat sikit. Ada hal malam tu. Kenapa?” soal Hazriq dengan riak kegelisahan yang gagal disembunyikan daripada kelihatan di wajah.

“Tak ada apa. Aiza pun balik lambat jugak malam tu. Ada jemputan dinner.” Jelas kedengaran nada kecewa di sebalik ayat yang dituturkan selepas mendengar jawapan Hazriq sebentar tadi.

“Okey, pergilah. Abang izinkan.” Pantas saja keizinan diberi untuk mengelakkan Aiza daripada memanjangkan isu tersebut. Sedikit pun tidak terdetik dalam hatinya untuk bertanya terlebih dahulu ke mana arah tujuan si isteri. Hazriq tidak sedar satu kejutan yang besar bakal menanti dirinya.

Thanks. Aiza naik solat dulu.” Kaki melangkah menjauhi Hazriq. Hatinya berkecai teruk. Walaupun masih belum pasti yang Hazriq akan bersama dengan Syasya nanti, dia terlalu yakin yang tekaannya dan Fayzal tidak salah.

Betapa hati terlalu ingin menafikan tetapi kenyataannya sukar untuk ditelan. Pahit bak hempedu, bukannya manis seperti madu.

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN SEPTEMBER 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment