DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 5

MALAM itu mereka mahu ke rumah keluarga Hazriq. Puan Humairah, ibu kepada Hazriq dan ibu mentua Aiza menjemput mereka berdua datang makan malam bersama-sama. Sudah lama mereka sekeluarga tidak berkumpul dalam acara keluarga seperti ini.

Sementara menunggu isterinya bersiap, dia sudah bersedia terlebih dahulu duduk di sofa sambil membelek telefon bimbit.

“Aiza dah siap.” Aiza yang baru tiba di anak tangga paling bawah bersuara.

Sebaik mendengar suara itu, Hazriq panggung kepala bagi mencari figura si isteri. Terpegun dirinya tatkala melihat penampilan Aiza yang anggun dengan Kebaya Nyonya merah berserta selendang yang diletakkan ala kadar di kepala seperti gaya mak-mak datin.

Wangian yang digunakan oleh Aiza menusuk lembut ke rongga hidungnya. Tidak berkelip kelopak mata dia melihat keindahan ciptaan Tuhan ini. Walaupun sudah menginjak ke usia 29 tahun, wajah isterinya masih kelihatan seperti remaja yang baru tamat belajar.

Beg kepit Chanel yang dibelikan Hazriq beberapa hari lalu diperkemas kedudukannya. Aiza sedikit pun tidak sedar ada mata yang sedang menilik tubuhnya dari atas ke bawah. Apabila menyedari bicaranya tidak bersambut, dia jadi pelik. Tak menunggu lama, mata Hazriq dicari.

“Helo, abang! Jomlah. Nanti kita lambat. Aiza bercakap kat sini, abang boleh mengelamun pulak.” Tangan dilambaikan di hadapan wajah Hazriq yang masih terpinga-pinga. Kemudian dia pegang muka sendiri. Ada apa-apa yang tak kenakah dengan wajahnya?

“Pelik ke muka Aiza?” tanyanya dengan perasaan ingin tahu yang tinggi.

“Eh, taklah. Okey. Cantik sangat. Superb! Tak pernah nampak pun baju ni?” Siap dengan gaya ibu jari Hazriq tayang. Setelah itu tangan Aiza digenggam erat. Mereka berjalan beriringan ke kereta. Tidak rela membiarkan isterinya berjalan jauh daripadanya.

‘Nak masuk dalam kereta je pun Hazriq. Kau dah kenapa? Angau dengan isteri sendiri?’ Satu suara seakan mengejek dari dalam dirinya.

“Baru beli,” jawab Aiza ringkas.

“Oh...”

Sepanjang perjalanan ke rumah orang tua Hazriq, masing-masing mendiamkan diri. Hanya kedengaran bunyi suara dari corong radio.

Aiza diam tetapi otaknya bekerja keras. Dia sedang mempersiapkan diri dengan mental yang kuat. Setiap kali dia dan Hazriq pulang ke rumah keluarga mentuanya, pasti dirinya tak akan terlepas daripada menerima sindiran pedas Harlina, kakak iparnya. Entah apa masalah kak long Hazriq dengan dirinya, dia sendiri pun tak tahu. Sejak awal perkahwinan mereka, kak long memang tak pernah sebulu dengannya. Ada saja yang tidak kena di mata wanita itu.

 

TIBA SAJA di pekarangan rumah, Aiza keluar dahulu dari kereta tanpa menunggu Hazriq. Salam dihulur. Sesudah bersalaman dengan Harlina, dia terkejut melihat perempuan yang sedang berdiri di sebelah kakak iparnya. Berkerut keningnya cuba memastikan apa yang sedang dilihat.

Perempuan ni? Bukankah ini perempuan sama yang sudah dua kali dilihat keluar bersama dengan suaminya? Tangan tetap dihulur untuk bersalam. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan di situ. Namun huluran tangannya hanya disambut ala kadar saja oleh perempuan itu.

“Kenalkan... ni Syasya, adik angkat aku. Ini calon yang aku kenalkan kepada Hazriq dulu, tapi dia tolak dan pilih kau.” Harlina memulakan sesi perkenalan. Senyum sinis ditayang tanda mengejek perasaan si adik ipar.

Serentak itu Hazriq tiba bersama wajah yang pucat lesi. Jika ditoreh sekalipun wajahnya saat ini, pasti tiada darah yang mengalir keluar. Ah, sudah! Masak!

“Salam perkenalan. Aiza masuk dulu,” ucap Aiza sambil berlalu masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan ibu dan bapa mentuanya.

Ikutkan hati yang sakit mahu saja dia ganyang perempuan tak tahu malu itu. Namun sedaya upaya benteng kesabarannya cuba dibina dengan struktur yang paling kukuh. Dia masih berpegang teguh pada pendirian diri. Takkan sesekali diletakkan maruahnya ke tahap yang lebih rendah daripada perempuan yang cuba merampas suaminya itu.

“Kenapa you ada dekat sini?” soal Hazriq dengan nada yang tertahan. Tidak mahu suaranya menarik perhatian Aiza dan kedua orang tuanya di dalam rumah.

“Kak long ajak. Tak salah kan I datang? Lagipun I nak berkenalan dengan bakal madu I,” bisiknya perlahan di tepi telinga Hazriq. Tubuh sengaja dilentikkan. Berharap agar Hazriq tergoda dengan aksi nakal itu. Malangnya lelaki itu sedikit pun tidak tergoda dengan kelakuannya.

“Lain kali jangan memandai buat kepala sendiri,” pesan Hazriq bersama rengusan yang kuat sebelum melangkah meninggalkan Syasya terpinga-pinga di situ.

“Kak long, tengoklah tu!” Lengan Harlina ditarik-tarik menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

“Bini dia ada. Tu yang dia tak layan Sya. Dahlah, jom kita masuk,” ajak Harlina.

Makan malam yang dirancang berjalan lancar. Mujur tiada kejadian yang tak diingini berlaku. Semput nafas Hazriq kerana terpaksa berdepan dengan isterinya dan juga Syasya dalam masa yang sama. Kalaulah diberi pilihan, dia lebih rela makan malam di luar berdua dengan Aiza daripada berada dalam situasi janggal seperti ini.

Sewaktu menghantar pinggan dan gelas yang telah digunakan ke dapur, telinga Aiza sempat menangkap suara pertelingkahan di antara dua manusia. Kaki bagai digam dan tidak mahu bergerak dari singki itu.

Telinganya terlalu ingin mendengar butir-butir bicara yang diluah oleh dua manusia di luar sana. Apatah lagi apabila suara lelaki itu memang tidak asing lagi pada pendengarannya.

“Terus terang jelah kan senang. Sampai bila I nak kena tunggu ni?” Syasya mula merengek. Tak puas hati dengan sikap Hazriq yang seolah-olah sengaja mahu melengahkan masa untuk memberitahu isterinya tentang perkara sebenar.

“Sabarlah. Belum masanya lagi. You ni pun... tak payah nak desak I macam ni.” Itu saja yang Syasya tahu. Desak dan terus mendesak. Rimas!

Aiza pegang dada yang terasa sakit. Kali pertama mendengar bicara kedua-dua manusia itu membuatkan dirinya diselubungi pelbagai perasaan. Selama ini dia hanya melihat, tetapi hari ini takdir tersusun cantik menyebabkan dia berjaya mendengar semuanya dengan telinga sendiri.

“Itu je yang you tahu. Suruh I sabar, sabar, sabar! Susah-susah sangat biar I je yang beritahu.”

Kesabaran Syasya kini berada di hujung tanduk. Dia sudah jelak dengan perkataan itu. Dia tak mahu bersabar lagi. Keinginan untuk bergelar isteri kepada lelaki itu semakin membuak-buak. Setelah berjaya menjadi isteri Hazriq, Aiza akan disingkirkan terus daripada hidup lelaki itu.

Kesakitan dalam hati tidak Aiza pedulikan. Kaki diatur menuju ke belakang rumah, tempat pertelingkahan Hazriq dan Syasya. Wajah kedua-dua manusia itu dipandang silih berganti.

“Ada apa-apa yang Aiza perlu tahu ke?” Mata Hazriq ditentang dalam-dalam. Mahu melihat sejauh mana keberanian suaminya itu.

Syasya tayang senyuman sinis. Senang kerjanya dengan kemunculan Aiza di situ.

Actually, I...”

Nothing. Ni hah, Syasya cari kak long. Abang dah beritahu dia kak long ada dekat depan. Jomlah kita balik. Dah lewat ni.” Hazriq pantas memotong kata-kata Syasya. Segera tangan Aiza ditarik supaya mengikuti langkahnya ke depan.

“Kak long!” Syasya menjerit kecil ke arah Harlina yang baru saja tiba di situ. Entah dari mana wanita itu datang, tidak pula dia tahu.

“Macam mana? Hazriq cakap apa?” Tak sabar Harlina nak tahu. Dia sudah lama bersabar untuk menghapuskan Aiza daripada hidup Hazriq. Langsung tak berkenan dengan pilihan adiknya itu.

Harlina tidak menyangkal yang Aiza memang cantik dan berpendidikan tetapi hatinya sudah ada pilihan yang lebih baik untuk Hazriq. Lagi pula adik iparnya itu tiada asal usul keturunan yang jelas kerana membesar di rumah anak-anak yatim.

Hazriq ini pun masalah juga, kahwin sajalah lagi satu. Apa yang nak ditakutkan? Adiknya itu lebih daripada mampu. Lagi pula keluarga mereka perlukan pewaris anak lelaki.

“Hazriq tak nak beritahu. Dia nak balik dah.” Muncung panjang ditayang dengan perasaan mendongkol geram.

“Isy, degil betullah dia tu! Tak apa, kak long tahu nak buat apa. Syasya ikut je plan kak long.” Harlina mula merangka rancangan untuk dijayakan bersama dengan adik angkatnya itu.

Plan apa?”

“Macam ni...” Segala perancangan disampaikan kepada adik angkatnya.

Syasya tekun mendengar. Sesekali kepalanya terangguk-angguk tanda memahami apa yang cuba disampaikan oleh Harlina kepadanya.

 

SELIMUT DITARIK hingga ke paras dada. Mata dipejam rapat, memaksa lena menjemput diri. Aiza berbaring mengiring ke kiri. Dia sedar berdosa membelakangkan suaminya, namun hari ini jiwanya terluka teruk dek sandiwara si suami.

Dia yakin Harlina terlibat sama dan kakak iparnya itu menjadi mastermind di sebalik semua ini. Lagi parah, ibu dan bapa mentuanya seperti merestui tindakan suaminya itu.

Aiza tahu bahawa keluarga mentuanya sudah lama mendambakan zuriat daripada mereka suami isteri. Berdosakah dirinya jika gagal memberikan cahaya mata buat suaminya tercinta? Ya Tuhan, bantulah aku.

Sedar yang Hazriq sudah berbaring di sebelah apabila terasa tilam dihenyak perlahan, automatik Aiza diam dan tidak berkutik. Tangan si suami mula memeluk pinggang dia erat. Dengusan nafas sang suami di telinganya menerbitkan gelora di jiwa. Bibir diketap kuat bagi meredakan perasaan sendiri.

Setelah itu, suaminya kemudian melabuhkan ciuman di bahu dan tengkuknya. Aiza tahu apa yang diinginkan oleh Hazriq. 5 tahun usia perkahwinan mereka membolehkan dia membaca isi hati lelaki itu melalui sentuhan.

Tetapi hari ini dia tidak sanggup menipu diri sendiri. Hati yang terlalu sakit membuatkan dirinya tidak mampu menunaikan tanggungjawab itu pada masa ini. Pada saat jiwanya sedang kacau-bilau.

Dia rasa dikhianati!

Dia rasa perbodohkan!

Rasa kecewa itu terlalu menebal dalam diri sehingga sukar untuk digambarkan apabila diperlakukan seperti orang luar oleh keluarga Hazriq. Adakah ibu dan bapa mentuanya terlibat sama dengan semua ini? Aiza bingung. Tidak tahu di mana harus dia meluah rasa sakit yang membebani jiwanya.

Hazriq berputus asa selepas beberapa minit berlalu kerana Aiza masih tidak memberi sebarang tindak balas di atas setiap sentuhannya. Mungkin isterinya sudah lena di alam mimpi.

Tidak sampai hati mahu mengejutkan Aiza, keinginannya terpaksa diletak ke tepi. Esok masih ada. Tak akan lari gunung dikejar. Sudahnya dia menelentang, melihat putaran kipas di siling sambil berfikir masalah yang sedang menghimpit dirinya ketika ini.

Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Serba-salah untuk mengambil sebarang keputusan. Dia tertidur bersama permasalahan yang masih menemui jalan buntu.

No comments:

Post a Comment