DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 8

SESUDAH mengemas meja kerjanya, Hazriq tidak terus bangun dari kerusi untuk pulang ke rumah. Sebaliknya dia masih duduk termenung sambil menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangan. Dia sudah letih berlakon!

“Hoi, berangan! Aku masuk pun tak sedar,” jerkah Badrul yang baru tiba dari luar. Dia menepuk kuat meja sahabatnya untuk menyedarkan Hazriq daripada khayalan yang panjang.

“Eh, kau ni! Ada yang makan penumbuk ni karang. Tak boleh nampak orang senang sikitlah.” Terkejut Hazriq dek sergahan itu. Mujur dia tidak terlompat dan jatuh ke lantai.

Badrul tertawa kecil sebelum mengambil tempat di kerusi yang tersedia. Sebenarnya dia mahu pulang tadi, namun sebaik terpandangkan bilik yang dihuni oleh Hazriq masih terang-benderang, kakinya pantas melencong ke sini.

“Macam mana nak sedar kalau dah berangan sampai ke mana entah. Kau kenapa? Ada masalah?” tanya dia prihatin. Bukan dia tak perasan perubahan sikap Hazriq beberapa bulan kebelakangan ini.

“Aku okey jelah. Kau kenapa tak balik lagi?” Tubuh disandarkan ke belakang. Mencari posisi yang lebih selesa.

“Aku nak baliklah ni. Nampak bilik kau terang tu yang aku singgah,” jelas Badrul.

“Aku nak minta pendapat kau sikit,” ujar Hazriq perlahan. Minda masih berfikir wajarkah dia meluah perkara yang memberatkan fikirannya. Dia sudah tidak mampu menanggung beban perasaan ini seorang diri.

“Apa dia? Cakaplah. Kalau aku boleh bagi pendapat, aku bagi. Macam berat je masalah kau ni.” Badrul memandang terus ke wajah temannya yang kelihatan kusut itu.

“Bukan akulah. Pasal orang lain,” dalih Hazriq.

Opss, sorry... ingatkan kau. Sebab aku tengok kau yang macam dalam masalah sekarang ni. You may proceed.”

“Ada seorang kawan aku ni, dia pernah terhutang nyawa dengan kakak dia. Lepas tu sekarang kakak dia ada masalah. Masalah tu boleh selesai tapi kena korbankan hidup kawan aku tu. Apa pendapat kau?” Hazriq menceritakan secara rawak kepada Badrul. Berharap agar si sahabat boleh membantunya.

“Korbankan hidup macam mana maksud kau? Tak sampai kena bagi nyawa, kan?” Badrul bertanya lagi. Nak jawab kena tahu pucuk pangkal cerita. Tak boleh main aci redah saja bagi jawapan.

“Macam ni, company kakak dia punya husband ada financial problem. Maksud aku company abang ipar kawan aku tu. Ada orang boleh tolong settlekan masalah tu, tapi ada pertukaran. Kawan aku tu kena kahwin dengan anak orang tu.” Sebuah keluhan nafas yang sangat berat dilepaskan. Kenapalah masalah ini membelenggu hidupnya? Terbayang wajah isteri yang terlalu dicintainya.

“Cantik tak anak orang tu?” Badrul tersenyum sumbing. Kalau cantik, beri pada dia sajalah.

“Kau ni, tu jelah yang kau sibukkan. Cantiklah!” jawab Hazriq geram. Mahu saja dilepuk bahu sahabatnya itu. Badrul si mata keranjang!

“Kalau dah cantik, apa susah? Kahwin jelah. Anak orang kaya lagi tu.” Badrul menggeleng sambil tersenyum senget. Bodoh betul siapa yang menolak rezeki yang datang bergolek seperti itu.

“Masalahnya, kawan aku tu dah kahwin!” Sedikit kuat suara Hazriq yang terlontar. Agak tidak puas hati dengan reaksi yang diterima daripada Badrul.

Woo... woo... Sabar, bro. Yang tu memang masalah. Tak pun kau suruh jelah kawan kau tu kahwin dua.” Badrul tersengih. Tayang gigi seperti model iklan ubat gigi.

“Kau ni memang meminta betullah. Bukannya nak menolong.” Hazriq bangun dan menyorong masuk kerusinya ke bawah meja. Cadangan Badrul memang tak masuk akal! Pasti Aiza tidak rela dimadukan. Manakala Syasya juga mesti tak mahu menjadi isteri kedua.

“Weh, kau nak pergi mana?” soal Badrul.

“Baliklah, mana lagi. Duduk dengan kau bukan ada faedah pun.”

“Cis, kurang asam betul! Tunggulah aku.” Laju kaki Badrul mengejar Hazriq. Ada ke patut dia ditinggalkan? Tak patut langsung!

 

TIBA DI rumah, Hazriq melihat isterinya juga sudah pulang. Segaris senyuman lebar Aiza ukirkan kepadanya. Dia berasa pelik dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh si isteri.

“Abang nak makan? Aiza dah masak.” Tangan lelaki itu disalam dan dikucup. Sebagai balasan sebuah ciuman berlabuh di dahinya. Sebak hati Aiza menerima hangatnya sentuhan bibir sang suami. Terpejam seketika matanya menikmati detik indah itu.

“Boleh jugak. Tunggu sekejap. Abang pergi mandi dan solat dulu.” Tanpa membuang masa, Hazriq terus naik ke bilik.

Aiza hanya mengangguk dan memerhati gerak-geri si suami dalam diam. Wajah Hazriq kelihatan seperti dilanda masalah. Adakah masalah itu berkaitan dengan dirinya? Aiza tertanya sendiri.

20 minit berselang, Hazriq kembali ke bawah semula. Si isteri dilihat sudah siap menunggunya di meja makan.

Mereka makan dalam keadaan yang tenang. Sudah lama jiwa tidak berasa damai sebegini sehinggalah Aiza membuka mulut dan mengkhabarkan sesuatu yang membuatkan perasaan lelaki itu kacau-bilau.

“Esok abang ada pergi mana-mana tak?”

“Tak ada pulak. Kenapa?” soal Hazriq semula.

“Fayzal nak datang rumah.” Aiza membalas pendek. Sengaja berbuat begitu untuk melihat reaksi suaminya.

“Aiza yang ajak ke?”

Aiza menggeleng laju, menidakkan telahan yang dibuat sang suami.

“Habis tu, kenapa tiba-tiba je?” tanya Hazriq lagi. Lagaknya tak ubah seperti seorang polis yang sedang menyoal siasat suspek dalam tahanan.59

“Entah. Katanya nak berbual panjang dengan abang. Hari tu abang yang jemput dia datang rumah, kan?” Aiza cuba mengingatkan. Tidak mahu Hazriq berfikir dia yang memandai-mandai.

“Oh... errr... boleh. Ajaklah.” Wajah Hazriq terasa panas menahan bahang yang mula muncul dalam hati. Telinga seperti alergi mendengar nama Fayzal meniti di bibir Aiza. Sakit hatinya seperti dicucuk-cucuk.

“Okey, nanti Aiza inform dia.” Pinggan kotor dikumpul sebelum dibawa ke singki.

Jadi Aiza berlembut dengannya semata-mata untuk meminta persetujuan dia? Hazriq hanya memandang ke arah Aiza. Jiwanya tak tenteram. ‘Ya Tuhan, bantulah aku mengharungi dugaan-Mu ini.’

Fikiran Aiza jauh terbang melayang membayangkan keadaan pada hari esok. Entah kenapa dia berasa gentar untuk meneruskan rancangannya bersama Fayzal. Ada rasa ragu-ragu yang bermain dalam benaknya. Betulkah tindakan yang bakal diambil? Wajarkah dia meneruskan rancangan itu?

Tidak pernah terlintas dalam mindanya untuk menyakiti hati suaminya. Apatah lagi untuk menghadiahkan sebuah kelukaan di hati Hazriq. Namun keadaan yang mendesak untuk dia meneruskan semua ini demi menyelamatkan rumah tangga yang dibina.

Dalam pada sibuk berfikir, tidak sedar pinggan yang dipegang terlepas jatuh mengenai kakinya sebelum mencium permukaan lantai dan pecah berderai.

Prang!!!

Auch!” Terjerit Aiza menahan kesakitan. Boleh tahan tebal pinggan yang pecah itu. Kakinya mula terasa berdenyut.

“Ya Tuhan! Aiza, kenapa ni?” Sebaik terdengar bunyi kaca pecah dan jeritan si isteri, Hazriq yang sedang menonton televisyen terus berlari ke dapur bagi mendapatkan isterinya.

“Aiza tengah lap pinggan tu. Entah macam mana boleh terlepas,” jawab Aiza. Sedaya upaya cuba dikawal riak muka agar tidak nampak terlalu ketara kesakitan yang sedang ditanggung ketika ini.

“Aiza duduk situ. Abang bersihkan kaca ni sekejap,” arah Hazriq yang masih tidak menyedari kecederaan di kaki isterinya. Tanpa berlengah, dia terus mencapai penyapu dan penyodok sampah di sudut ruangan dapur.

Aiza cuba melangkah. Namun sebaik saja kaki memijak lantai, kesakitan yang dirasai tadi menjadi bertambah kuat. Dipandang ke bawah, ada darah yang mengalir di celahan jari kakinya.

“Aiza? Kenapa?” Hazriq berpaling melihat isterinya yang masih tidak berganjak.

Aiza diam tidak menjawab. Hanya mata yang ralit merenung kakinya yang berdarah.

Mata Hazriq turut menghala ke tempat yang sedang ditenung oleh Aiza. Baru dia perasan kaki isterinya terluka. Pantas tangan dicuci dan dia segera mendapatkan si isteri.

“Eh, kaki Aiza luka ni. Ya Tuhan, tengok tu dah membengkak. Duduk sini dulu. Nanti abang cuci luka dan tuam bengkak tu.” Lengan Aiza dipaut bagi menyokong pergerakan isterinya itu. Terhincut-hincut Aiza berjalan. Kaki isterinya yang sudah kebiruan diperhati sebelum dengan pantas dia merawat kecederaan itu.

Setiap gerak-geri Hazriq diperhatikan tanpa lepas. Hati tersentuh dengan keprihatinan suaminya. Andai tiada perempuan lain yang wujud antara mereka, mahu saja Aiza mengakui bahawa dialah isteri yang paling bertuah di dunia ini. Namun, dia sedar semua itu hanyalah angan seorang wanita bernama Aiza Reena.

No comments:

Post a Comment