DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 7

SEMASA bertembung dengan Aiza sebelum masing-masing bergerak ke tempat kerja, Hazriq memegang bahu isterinya sebentar. Wajah yang kelihatan lesu itu direnung dalam-dalam. Namun begitu, Aiza membuang pandang ke arah lain seperti tidak sudi untuk menatap sepasang mata miliknya. Pasti Aiza masih marah dan terasa hati disebabkan pertelingkahan mereka semalam.

“Aiza okey? Kalau ada masalah boleh cerita dengan abang.” Hazriq memulakan bicara.

Sebuah keluhan berat dilepaskan oleh Aiza. Kemudian kepala digeleng perlahan. Kenapa nampak mudah bagi Hazriq berpura-pura demi menyembunyikan perkara sebenar?

“Cuba cerita dengan abang. Mana tahu abang boleh tolong?” pujuk Hazriq yang masih tak berputus asa. Dia tidak berpuas hati selagi belum mendengar pengakuan daripada mulut isterinya.

“Aiza okey,” balas Aiza ringkas. Tidak rela pagi hari moodnya dirosakkan.

“Jangan tipu. Abang tahu Aiza tak okey sejak semalam lagi, kan?” Hazriq terus-terusan mendesak. Nada suaranya biasa saja.

“Tolong jangan push Aiza macam ni, boleh tak? Kalau Aiza cakap okey tu maknanya Aiza okey. Tak payah nak tanya banyak kali. Aiza penatlah abang! Aiza penat dengan kerja. Penat nak melayan kerenah abang lagi.”

Usai menghamburkan rasa, Aiza terus meraih tangan suaminya. Dia tunduk menyalami tangan Hazriq sebelum mencapai kasut tumit tinggi miliknya dan sarungkan ke kaki. Sekali lagi Hazriq ditinggalkan termangu sendirian.

Kali kedua dia meninggikan suara kepada syurga hidupnya. Masih adakah sinar untuk dirinya menikmati keindahan syurga jika berkali-kali dia berbuat dosa kepada suaminya?

Tidak berkelip Hazriq memandang ke arah figura Aiza yang semakin menjauh. Isterinya itu seperti dekat dengannya tetapi mengapa dia rasakan jauh? Apakah yang tidak kena dengan Aiza?

Lenggok si isteri yang dilihat menawan apabila mengenakan kemeja lengan panjang berwarna biru laut bersama skirt hitam paras bawah lutut dipandang sepi. Baginya, Aiza seperti sudah berubah seratus peratus.

Hazriq menarik nafas panjang. Ada sesuatu yang dia tidak tahukah?

 

KERUSI DITARIK sebelum punggung dilabuhkan di hadapan Fayzal yang sedang merenungnya semacam. Serba tak kena pula dirasakannya ketika ini. Aiza bukan tak sedar, Fayzal masih lagi menaruh perasaan kepadanya. Sekuat mana pun lelaki itu cuba menafikan, namun kenyataan itu tak akan mampu diubah. Dia tidak berdaya untuk memadamkan perasaan yang dipendam oleh lelaki itu.

“Tak payah tenung I, Encik Fayzal. I okey je walaupun muka I nampak macam tak okey.” Aiza berlawak. Dia cuba menutup rasa hati yang agak gugup ketika ini.

Fayzal tertawa kecil mendengar bicara yang meniti di bibir wanita yang masih lagi bertakhta di hatinya sehingga kini. Dia tahu berdosa mencintai isteri orang, tapi bukan itu yang dipinta. Perasaan itu tidak dapat dibuang walaupun dia telah berusaha sedaya upaya.

And one more thing, jangan pandang I macam tu...”

“Pandang macam mana maksud you?” soal Fayzal dengan perasaan ingin tahu yang tinggi. Rasanya dia tidak memandang Aiza dengan cara yang lain hari ini.

“Macam I ni perempuan yang sangat kesian.” Aiza tersenyum nipis, cuba mengawal perasaan.

“Okey, okey. You tak pernah berubah. Cepat sangat gelabah. Pleaselah, jangan panggil I encik. Kita dah habis waktu kerja,” pinta Fayzal.

“Baik, saya yang menurut perintah. Tak panggil encik lagi dah luar waktu kerja. So, what’s up? Ada apa you nak jumpa dengan I ni?” tanya Aiza tanpa membuang masa.

Dia tidak boleh berlama-lama bersama Fayzal. Tahu yang dirinya masih bergelar isteri kepada Hazriq. Maruah suaminya dibawa bersama. Tak manis jika ada yang melihat nanti. Dia tak mahu menambah lagi masalah ke dalam rumah tangga mereka yang sudah sedia terumbang-ambing.

Orderlah dulu. You tak nak makan atau minum?” pelawa Fayzal.

“I tak boleh lama ni. Hazriq tak tahu I keluar dengan you. You faham, kan?” Jari-jemarinya diramas sesama sendiri. Kejap-kejap matanya memandang ke sekeliling. Takut jika ada yang memerhati dan menyampaikan kepada Hazriq.

Aiza tidak biasa melakukan perkara sebegini di belakang Hazriq. Walaupun hanya berjumpa dengan Fayzal di tempat terbuka, dia terasa bersalah kerana tidak meminta keizinan daripada suaminya.

Dia pelik, bagaimana suaminya sanggup bermain cinta di belakangnya? Tidakkah lelaki itu terasa bersalah sama seperti apa yang dia rasakan sekarang ini?

Sorry, I terlupa pasal tu. Thanks sebab ingatkan I. Straight to the point jelah. Pasal I cakap nak tolong you tu.” Fayzal memulakan bicara tanpa lengah.

“You nak tolong I macam mana?” soal Aiza dengan wajah berkerut seribu. Mampukah Fayzal membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu rumah tangganya?

“Buat Hazriq jealous,” jawab Fayzal.

“Hah?” Ternganga mulut Aiza mendengar jawapan itu. Dia tak sangka idea itu yang bermain dalam fikiran Fayzal.

“Tu je cara yang boleh buat Hazriq sedar kembali cinta dia pada you. I tahu dia sayangkan you. Dia nampak insecure masa kita terserempak dekat mall dulu. Believe me, Aiza. Cara ni akan berjaya.” Bersungguh-sungguh Fayzal meyakinkan Aiza. Mahu wanita itu bersetuju dengan rancangannya.

“You yakin seratus peratus? I takut tak berjaya. Nanti lain pulak yang jadi.” Aiza seperti tidak berani mahu menerima buah fikiran Fayzal. Bimbang dia pula yang dituduh curang nanti.

I’m very sure. You ikut je plan I ni.” Sekali lagi Fayzal cuba meyakinkan Aiza.

Wajah Fayzal ditilik lama. Bukankah rancangan ini hanya akan melukakan hati Fayzal di akhirnya nanti? Ya Tuhan, dia tidak mahu mementingkan diri sendiri.

No, Fayzal. I boleh handle benda ni sendiri. I tak nak you sakit nanti.” Aiza menolak baik.

“You kawan baik I, Aiza. I tak nak tengok you sedih. Kalau I tak berpeluang nak bahagiakan you, biarkan I lihat you bahagia walaupun bukan bersama dengan I,” ucap Fayzal.

Thanks, Fayzal. Thanks a lot.” Sebak. Itu yang dirasakan Aiza kini. Ya, dia sangat terharu dengan pertolongan yang dihulur Fayzal. Lelaki itu langsung tidak memikirkan perasaan diri sendiri.

“Esok you ada nak pergi mana-mana?” Fayzal bertanya.

“Tak ada pulak. Kenapa?”

“Kalau macam tu, esok mula plan kita. Kalau you free, I nak datang rumah you, boleh? Hari tu Hazriq ada ajak I datang, kan?”

“Boleh. Nanti I confirmkan balik dengan you. I kena make sure Hazriq tak ada plan lain.” Aiza memberikan kata putus.

“Okey, boleh. Anything nanti you inform I balik.”

“Okey. I gerak balik dulu. Bye, Fayzal.” Aiza segera berdiri.

Drive carefully. Take care,” pesan Fayzal.

You too.”

Mereka berpisah dengan kata sepakat yang telah dipersetujui bersama. Semoga ada sinar yang menerangi hidupnya.

 

“AIZA!”

Laungan seseorang membuatkan langkah Aiza terhenti. Tubuh dipalingkan ke belakang mencari si pemanggil.

“Mama?” Wajah ibu mentuanya yang terlayar di ruangan mata memeranjatkan Aiza. Namun tangan wanita itu disalami juga. Bibir cuba mengoyak senyuman.

Tubuh Aiza ditarik ke dalam pelukan mentuanya secara tiba-tiba menjadikan pergerakannya kaku serta-merta. Kemudian esakan kecil mula kedengaran di tepi telinganya. Puan Humairah menangis? Ada apa sebenarnya?

“Mama, kenapa ni?” Pelukan direnggangkan. Aiza mencari wajah ibu mentuanya setelah jarak dicipta antara tubuh mereka.

Puan Humairah mengusir air mata yang berlinangan di pipinya. Senyuman dihadiahkan buat satu-satunya menantu perempuannya.

“Mama minta maaf, sayang.” Suaranya serak sedikit akibat gagal mengawal tangisan sebentar tadi.

“Maaf? Untuk apa? Aiza tak faham, ma.” Aiza membalas pendek. Pelbagai persoalan muncul dalam benaknya.

“Pasal Syasya.”

Sebaik terdengar sepatah nama itu meniti di bibir Puan Humairah, Aiza melepaskan sebuah keluhan.

“Mama tak tahu. Mama dan papa tak tahu apa-apa. Tiba-tiba je kak long bawa balik Syasya dan perkenalkan sebagai bakal isteri Hazriq. Mama tak faham apa-apa pun. Teruk papa kamu marah kak long dan Hazriq. Tapi kami tak dapat buat apa-apa, sayang.”

Jeda.

“Yang mama tak boleh terima, Hazriq langsung tak menafikan. Ya Tuhan, hancur hati mama ni. Mama tak faham langsung sebab mama tak rasa Aiza dan Hazriq ada masalah selama ni. Bila tiba-tiba jadi macam ni, mama tak dapat terima. Walaupun keputusan di tangan Hazriq, tapi jangan risau, mama akan sentiasa bersama Aiza.”

Tangan menantunya digenggam erat. Berharap agar kekuatan dapat disalurkan ke dalam diri menantunya itu.

Aiza memandang ibu mentuanya tanpa berkelip. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Dia rasa berdosa berprasangka buruk terhadap kedua ibu dan bapa mentuanya. ‘Ampuniku, ya Tuhan...’

“Mama... Aiza rasa elok kita pergi minum dulu. Aiza rasa pening pulak. Macam tak cukup nafas,” pinta Aiza dengan perasaan bersalah.

“Eh, Aiza okey tak ni? Okey, jom kita ke sana.”

“Aiza okey. Jom, ma.”

Selepas sejam berbual dan berkongsi rasa dengan ibu mentuanya, masing-masing berpamitan. Perjalanan pulang ke rumah dirasakan mengambil masa yang terlalu lama dek fikiran yang jauh melayang teringatkan perbincangannya bersama dengan Puan Humairah tadi. Hatinya yang sudah sedia cedera menjadi bertambah parah.

Hazriq langsung tidak menafikan? Aiza ketawa seorang diri. Mentertawakan kebodohan dirinya sendiri. Entah kenapa selama ini dia berharap semoga Hazriq akan menjelaskan bahawa semua yang dilihat dan didengari selama ini hanyalah salah faham saja.

Bodohkah dia? Bodoh kerana berharap pada sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Lagu di corong radio pula seolah-olah sedang mengejek dirinya yang terlalu dungu.

P: Di malam ini

Ku mendengar suara rintihan hatiku

Di malam ini

Ku meluahkan rasa cintaku padamu

Namun tetapi di sudut hati

Aku tidak pasti

Kerna engkau selalu mempermainkanku

Aku tak percaya

Kan dirimu pendusta cinta

Kau menduakan cintaku

Ku terluka... kerna egomu

Suatu hari

Kau pastikan pulang mencari diriku

Suatu hari

Kuberharap kita tetap bersama

Namun tetapi di sudut hati

Aku tidak pasti

Kerna engkau selalu mempermainkanku

L: Aku bukan pendusta

Cuma aku cuba jaga hati

Supaya kau tidak terluka

Takut tuk bersemuka kerna hati berubah

Bilaku berjumpa kamu rasa ingin semula

Jadiku bertukar arah

Ah, terlalu marah

Tak dapatku berfikir mana betul mana salah

Teruskanlah berbalah aku mengaku kalah

Dah tiba masa aplikasi ini aku pangkah

Tak dapat aku fikirkan aku yang mempermainkan

Aku punya pilihan lain lebih menjanjikan

Mercu kebahagiaan kau jerat percintaan

Maafkan undur diri

Putus sudahnya ikatan

Marah dengan diri sendiri, tangan pantas menutup siaran radio. Biarlah sunyi yang menemani dirinya sehingga tiba di rumah. Itu lebih baik daripada mendengar lagu-lagu yang cuma menambahkan sakit dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment