PASANGAN suami isteri itu menghabiskan masa bersama-sama dengan gembira. Terasa seperti baru berkahwin pula. Berjalan berpegangan tangan sambil bergelak tawa. Kadangkala pinggang Aiza dipaut mesra. Segala masalah yang membelenggu rumah tangga mereka diletakkan ke tepi. Baik Aiza mahupun Hazriq, mereka mahu menikmati hari ini tanpa gangguan sesiapa pun.
Selesai menonton wayang tadi, Hazriq membawa Aiza ke kedai menjual pakaian, beg tangan dan kasut. Semuanya dibelikan untuk Aiza. Walaupun isterinya berkali-kali menolak, dia tetap berkeras mahu membelikan semuanya untuk wanita yang dicintai itu.
“Abang, Aiza rasa dah cukup. Banyak sangat dah abang belikan ni.” Aiza membantah apabila Hazriq seperti mahu membawanya masuk ke dalam sebuah lagi kedai pakaian. Siapa nak pakai banyak-banyak ni? Dia bukannya model ataupun artis.
“Jomlah. Abang janji ni kedai last.” Hazriq mengenyitkan sebelah matanya.
“Last? Yalah tu. Aiza percaya sangat!” perli Aiza. Namun kaki tetap melangkah mengikut jejak Hazriq. Matanya mengecil memandang ke wajah lelaki itu apabila kaki mula memijak ke dalam kedai pakaian yang dimaksudkan tadi. Kedai pakaian dalam!
“So, nak abang pilih ke Aiza yang pilih sendiri?” Hazriq bertanya dengan raut miang yang jelas kelihatan di wajah. Akal nakalnya mula membayangkan si isteri dalam persalinan set pakaian dalam yang tergantung.
“Abang tak payah sibuk! Biar Aiza pilih sendiri.”
“Pilih yang paling seksi tau,” bisik Hazriq perlahan ke telinga isterinya.
Aiza menolak tubuh Hazriq yang menghalang laluannya. Dia jadi segan melihat jurujual kedai tersebut tersenyum-senyum ke arah mereka berdua. Apalah yang difikirkan oleh jurujual itu agaknya.
Selesai sesi menghabiskan duit, Aiza dan Hazriq berjalan menuju ke tempat letak kereta. Tiba-tiba saja terdengar nama mereka dilaung dengan agak kuat.
“Aiza! Hazriq! Hai, tak sangka pulak terserempak dekat sini,” Fayzal menegur. Pasangan suami isteri itu dihampiri.
Hazriq yang masih tergamam cuba mengukir senyum paksa. Kepala ditunduk sedikit tanda hormat. Berlainan pula dengan Aiza yang mengoyak senyuman manis. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Hazriq. Pasti lelaki itu tidak senang dengan keadaan ketika ini.
“Apa khabar, Hazriq?” Fayzal dan Hazriq berjabat tangan.
“Baik, alhamdulillah. Kau seorang je? Dah kahwin?” soal Hazriq tanpa lengah. Persoalan itu yang bermain dalam fikirannya sejak Aiza memberitahu tentang Fayzal. Kebetulan terjumpa dengan Fayzal di sini, apa salahnya dia gunakan peluang yang ada ini untuk menoktahkan teka-teki yang bermain di mindanya.
Terlalu indah percaturan takdir. Begitu besar dunia ini, boleh pula mereka semua dipertemukan di sini. Hazriq menilik penampilan Fayzal dari atas ke bawah. Makin bergaya pula dilihat penampilan lelaki itu. Harap-harap sudah berkahwin. Tak senang hati dia kalau mamat ini belum berkahwin lagi.
“Aku still single and available. Hati belum terbuka nak terima mana-mana perempuan lagi.” Dikerling Aiza yang berdiri di sebelah Hazriq. Riak serba salah nyata terlukis pada wajah cantik itu.
Hampir tercekik Hazriq mendengar jawapan yang baru keluar daripada mulut Fayzal. Spontan tangan naik memeluk erat bahu Aiza. Kelakuan dan reaksi yang ditunjukkannya agak berlebihan seolah-olah Fayzal ingin membawa lari isterinya. Sebetulnya dia ingin menghantar amaran melalui perbuatan. Mahu Fayzal tahu yang Aiza itu miliknya. Jangan sesekali mengganggu hak orang lain!
“Oh... insya-Allah, nanti jumpalah jodoh yang sesuai tu. Kami gerak dululah, ada hal sikit. Nanti jemput datang rumah. Boleh berborak panjang,” pelawa Hazriq sekadar berbasa-basi. Tidak langsung memaksudkan apa yang dikata. Kemudian mereka bersalaman sekali lagi.
Aiza sekadar menghulur senyuman kepada Fayzal untuk berpamitan. Dia tidak berminat untuk masuk campur perbualan di antara suaminya dan anak kepada majikan tempat dia bekerja itu. Kemudian kaki mengorak langkah bersama Hazriq yang masih memeluk kemas bahunya.
Sebaik saja melabuhkan punggung di dalam kereta, Hazriq memulakan soal siasat. Lebih kepada untuk melepaskan rasa tidak puas hati sebenarnya.
“Kenapa tak cakap Fayzal tak kahwin lagi?”
“Perlu ke Aiza cerita semua benda tu? Tak penting pun. Tak ada kena-mengena dengan kita,” jawab Aiza senada. Malas mahu melayan soalan Hazriq yang pastinya akan menjadi berjela-jela nanti.
“Siapa cakap tak ada kena-mengena? Aiza sukalah kan kalau dia masih ada perasaan kat Aiza? Dengar apa dia cakap tadi? Dia belum move on lagi!”
Sakit pula hati Hazriq melihatkan sikap bersahaja yang ditunjuk isterinya. Bukannya mahu tenangkan diri dia, malah seperti sengaja ingin menambah lagi rasa sakit di hatinya.
“Abang jangan nak merepek, boleh tak? Dia tu kawan lama dan anak kepada bos Aiza. Tu je. Tak payah pening kepala nak fikir benda yang bukan-bukan. Hati Aiza takkan senang berubah. Aiza bukan macam sesetengah orang yang bila dah selesa dengan kehidupan sendiri mulalah nak pasang sana sini.”
Puas hati Aiza selepas berjaya meluahkan apa yang dirasa. Nafas ditarik dan dihembus untuk mengurangkan bara yang mula menyala dalam diri. Bimbang dia akan terlepas cakap nanti. Belum sampai masanya lagi untuk dia bongkarkan semuanya.
Terdiam Hazriq menerima tembakan pedas itu. Tepat mengena batang hidungnya. Wajah tegang Aiza dikerling dengan ekor mata. Mustahil isterinya itu dapat mengesan sesuatu. Jika ya, takkan isterinya masih berdiam diri? Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menutup mulut.
‘Balaslah. Kenapa diam? Takut? Buat berani tapi tak nak mengaku. Kita lihat sejauh mana abang boleh sembunyikan hal ni. Let’s play the game.’ Aiza tersenyum sinis.
SAMPAI SAJA di rumah, Aiza terus berlalu ke dalam terlebih dahulu meninggalkan Hazriq sendirian bersama barangan yang mereka beli tadi. Biar lelaki itu yang bawa masuk semuanya ke dalam rumah. Dia malas ambil peduli. Sesekali dia perlu menunjuk juga belangnya.
Sewaktu kaki baru jejak di anak tangga yang pertama untuk naik ke bilik, lengannya ditarik perlahan.
“Fayzal tu satu department dengan Aiza ke?”
Soalan pertama yang muncul daripada mulut Hazriq membuatkan Aiza rasa mahu lari jauh-jauh. Tolonglah, hatinya tak kuat untuk melalui sesi soal siasat ini sekali lagi.
“Abang, Aiza ni kuli je. Fayzal tu anak bos. Mestilah duduk tingkat paling atas. Lainlah kalau Aiza ni PA dia, bolehlah duduk dekat-dekat dengan dia. Ikut je ke mana dia pergi,” balas Aiza senada. Dah alang-alang Hazriq bertanya, inilah masa yang sesuai untuk panaskan hati lelaki itu pula.
“Aiza sengaja nak sakitkan hati abang ke?” Tinggi suara Hazriq melantun.
Aiza mencebik. Bahu diangkat sedikit. Tak terasa hati pun. Mungkin sudah jadi tabiat baharu Hazriq suka meninggikan suara kepadanya. Jika pada awalnya memang dia berkecil hati tetapi kini tidak lagi. Sudah terbiasa dengan nada suara tinggi seperti itu.
“I’m sorry. Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Aiza. Abang tak berniat nak tinggikan suara tadi. I just can’t control myself. Abang takut kehilangan Aiza...” lirih suara Hazriq kedengaran. Entah kenapa dia terasa seperti bakal kehilangan isterinya itu.
“It’s okay. Aiza faham.” Pegangan tangan Hazriq pada lengannya dileraikan sebelum kaki kembali meneruskan langkah yang terhenti tadi.
Terkebil-kebil Hazriq melihat isterinya berlalu pergi begitu saja. Sejauh mungkin dicampak egonya untuk menuturkan kata maaf. Punya panjang ayat yang dikarang, itu saja balasan yang diberikan oleh Aiza?
Usai mengunci pintu kamar mandi, Aiza terduduk di tepi singki. Tangisan dilepaskan semahunya. Tangan naik menutup mulut supaya suaranya tidak kedengaran sehingga ke luar. Tidak kira betapa dia cuba untuk berlagak kuat, dia tetap tidak mampu.
Jika Hazriq takut kehilangan dirinya, dia lebih takut kehilangan lelaki itu. Dia tak punya sesiapa lagi dalam hidup ini selain Hazriq. Dia tak pernah kenal siapa kedua ibu dan bapanya. Juga tiada ahli keluarga yang lain.
Dia sendirian.
Keseorangan.
Bukan dia tidak tersentuh mendengar kata maaf yang ditutur Hazriq tadi. Mahu saja dia memeluk erat tubuh suaminya itu dan menghamburkan tangisan di situ.
Sakit! Hatinya sakit apabila terbayang gelak tawa Hazriq bersama dengan perempuan lain. Dia tidak tahu harus mengadu dengan siapa semua kesakitan ini. Hazriq suaminya, Hazriq jugalah sahabatnya. Dia tak punya sahabat lain selain Hazriq.
Sampai bilakah dirinya harus berlakon di hadapan Hazriq seolah-olah dia tidak tahu apa-apa? Tidak penatkah lelaki itu bermain sandiwara ini? Berapa lama lagi semua perkara yang menyakitkan ini akan berterusan? Dia tak punya jawapan untuk semua persoalan itu. Ya Tuhan, Kau bantulah aku, rintihnya dalam hati.
No comments:
Post a Comment