DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 1



BERSAMA semangat yang membara di dada, Aiza menyelesaikan tugasan memasak sedikit awal daripada biasa. Siap membungkus semua juadah yang akan dibawa ke tempat kerja suaminya, dia naik ke bilik untuk mempersiapkan diri. Sepasang baju kurung kain kapas merah jambu berbunga kecil menjadi pilihan hati. Rambut yang lurus dan panjang dibiarkan bebas tanpa ikatan.

Tangan naik melekap dada. Ada rasa tidak enak yang menjengah sudut hati kecilnya. Kenapa dia harus berperasaan sebegini?

‘Ya Tuhan, Kau jauhkanlah segala perkara yang buruk daripada menimpa suamiku. Peliharalah keselamatan dirinya.’ Sempat dia berdoa dalam hati.

Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam tiba juga di penghujungnya. Sesudah memarkirkan kereta di seberang jalan, Aiza kalut menarik tas tangan dan beg makanan yang dimasak khas buat Hazriq. Semua itu adalah makanan kegemaran suaminya.

Belum sempat menjejakkan kaki ke atas jalan raya, pandangan mata menyaksikan sesuatu yang sama sekali tak terduga olehnya. Mata dipejam celik berulang kali. Tangan kanan yang memegang pintu kereta beralih menggosok kelopak mata. Benarkah apa yang terpampang di hadapan matanya kini?

Hazriq sedang berjalan berdua-duaan dengan seorang perempuan. Kelihatan lengan suaminya dipaut mesra oleh perempuan itu. Persoalannya, siapakah gerangan yang begitu berani menyentuh haknya? Jika rakan sepejabat, masakan mereka berdua kelihatan terlalu mesra?

“Abang, sampainya hati abang buat Aiza macam ni...” Air mata yang bertakung kini mengalir lesu membasahi pipi saat diri mula mengerti apa yang sedang disaksikannya adalah realiti.

Entah mengapa Aiza masih berharap bahawa semua itu adalah dusta semata-mata. Katakanlah kepada dirinya bahawa itu bukan Hazriq tetapi lelaki lain yang seiras dengan suaminya.

Dan harapan dia hancur lebur saat perempuan itu masuk ke dalam kereta milik Hazriq dan duduk di tempat kepunyaannya setelah beberapa tahun. Tangisan semakin menggila apabila bayangan kereta Honda Accord berwarna hitam itu hilang dari pandangan mata.

“Apa salah diri aku sehingga tega diperlakukan sebegini rupa?” Tangan yang menggigil, menggenggam erat stereng kereta untuk melepaskan segala rasa yang terbuku di hati. Walaupun sudah 10 minit berlalu, Aiza masih begitu, tetap kaku di dalam kereta. Hanya linangan air mata yang setia menemani dirinya.

Niat untuk memberi kejutan buat suami tercinta punah sekelip mata. Malah dia pula yang menerima kejutan besar. Belum sempat rasa penat memasak dan berkejar ke pejabat Hazriq hilang, dirinya dihidangkan pula dengan pemandangan yang menjelikkan mata.

Masih jelas di penglihatannya, Hazriq memeluk erat pinggang wanita cantik dan bergaya moden sambil bergelak tawa. Sedangkan bersamanya, kemesraan di antara mereka semakin luntur.

Mata jatuh pada baju kurung yang tersarung di tubuh. Adakah dia sudah tidak menarik lagi pada pandangan mata suaminya? Kini tahulah Aiza mengapa Hazriq berubah laku. Dan di manakah letak tempatnya sebagai seorang isteri?

Saat ini Aiza seperti berputus asa mahu meneruskan kehidupan. Mungkinkah kerana cinta untuk lelaki itu terlalu banyak sehingga dia lupa untuk mencintai dirinya sendiri? Sanggupkah dia berkorban perasaan dan berkongsi kasih dengan wanita lain jika itu yang dimahukan Hazriq? Atau adakah dia harus mengundur diri dan mencari bahagianya sendiri?

Wajah sembap dibelek di cermin pandang belakang. Tidak! Dia tak boleh mengalah. Hazriq adalah suaminya! Hazriq milik dia dan bukan milik perempuan tadi. Jika Hazriq terlupa, dia akan sedarkan suaminya daripada khilaf itu.

Ketika mereka baru mula membina hidup, dialah orang yang sanggup bersusah-payah bersama Hazriq dulu. Dari sebiji motor kapcai dan menyewa rumah, kini mereka sudah boleh menarik nafas lega setelah Hazriq menjawat jawatan tinggi di sebuah syarikat swasta.

5 tahun bukan jangka masa yang singkat untuk seorang perempuan seperti dia setia bersama seorang suami semasa jatuh dan bangun meniti arus kehidupan. Hazriq juga yang meminta dia berhenti kerja 2 tahun yang lepas. Dia ikutkan saja permintaan itu kerana perasaan sayang dan cinta kepada lelaki itu. Tetapi apa yang dia peroleh sebagai balasan?

Kecurangan Hazriq!

 

“ABANG DAH makan? Lambat balik?” soal Aiza sewaktu Hazriq tiba di rumah jam 10 malam.

“Dah makan tadi dengan klien. Ada projek baharu. Tu yang sekarang ni selalu balik lambat,” jawab Hazriq sambil melabuhkan duduk di sebelah Aiza.

Klien? Aiza ketawa mengejek dalam hati. Takkan selamanya dia boleh diperbodohkan. Klien konon!

“Oh... Aiza tunggu abang nak makan sama. Tak apalah kalau abang dah makan. Aiza pun dah tak ada selera.” Belum sempat dia melangkah ke dapur, pergelangan tangannya disambar Hazriq.

“Aiza tak makan lagi? Jom, abang teman.”

It’s okay. Abang berehatlah. Mesti penat seharian bekerja dari pagi sampai ke malam abang keluar cari rezeki untuk kita. Aiza nak kemas meja sekejap,” jawab Aiza bersama rajuk di hati. Sedikit pun dia tidak mengharapkan pujukan Hazriq. Entah kenapa hatinya cepat saja tersentuh. Pun begitu, sempat juga diselitkan perlian khas buat lelaki itu.

Hazriq telan liur. Ada sesuatu yang lain pada bicara isterinya. Dia juga dapat mengesan nada berbaur rajuk di situ. Kini hati lelakinya bertambah keliru dengan keputusan yang telah diambil. Mampukah isterinya menerima perkara itu dengan hati yang terbuka?

No. Biar abang teman. Boleh abang jamah lauk sekali,” balasnya. Tidak sampai hati membiarkan Aiza tidur dengan perut kosong.

Dia sedar, sejak kebelakangan ini masa yang diperuntukkan untuk isterinya semakin berkurangan. Semuanya sejak hadir pelbagai perkara yang tak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini.

Aiza mengalah. Melihatkan kesungguhan Hazriq, hatinya terubat sedikit. Kepala diangguk tanda setuju.

Hazriq menarik nafas lega. Bukan dia tak perasan kelainan pada wajah dan nada suara isterinya itu. Dalam hati sudah berdebar semacam. Tak mungkin Aiza dapat menghidu rahsia yang disimpan rapi itu. Jika mahu ke mana-mana, isterinya itu selalu minta keizinan dia terlebih dahulu. Jadi, mustahil Aiza terserempak dengan dia tengah hari tadi.

Sepanjang menjamu selera, Aiza cuba untuk berlagak kuat namun hatinya sakit melihat wajah kepura-puraan si suami. Sudahnya sehingga ke butiran nasi yang terakhir dia mendiamkan diri. Selesai mengemas meja, Hazriq mengajak dia duduk semula.

“Aiza okey?”

“Okey. Kenapa pulak tak okey?” Mata Hazriq ditenung dalam-dalam.

“Bukan apa... Abang rasa Aiza lain sikit hari ni. Tak sihat ke?” Tangan dibawa ke dahi Aiza. Okey saja, tak panas pun. Hazriq semakin tak senang duduk. Kenapa dengan isterinya ini?

Tangan Hazriq ditepis perlahan. Bukan Aiza hendak bersikap kurang ajar, tetapi masih tergambar di ruangan matanya, tangan yang sama itu juga telah memeluk pinggang perempuan lain siang tadi. Perempuan bukan mahram!

Hatinya terasa bagai disiat-siat. ‘Ya Tuhan, Kau berikanlah kekuatan kepadaku untuk berdepan dengan ujian-Mu demi menyelamatkan rumah tanggaku ini.’

“Aiza okey je, sihat walafiat. Abang jangan risau. Aiza nak minta satu benda boleh?” Wajah Hazriq ditenung tanpa lepas. Lelaki itu dilihat seperti sedang kegelisahan.

“Apa tu, sayang?”

Aiza menahan diri daripada mempamerkan senyuman sinis.

‘Sayang? Kalau sayang, abang tak akan sanggup duakan cinta Aiza!’ suara hatinya menjerit.

“Aiza dah fikir masak-masak pasal benda ni. Aiza rasa nilah masa yang sesuai untuk tanya abang.” Tenang Aiza menuturkan ayat itu sehingga ke penghujungnya. Dia tahu Hazriq sedang berdebar menunggu apa yang bakal diperkatakan olehnya. Sengaja dia buat suaminya itu jadi tak keruan. Ini baru sikit. Akan ada lagi selepas ini.

“Aiza ni buat abang cuak je. Cakaplah. Aiza nak cakap apa sebenarnya?” Hazriq cuba berlawak untuk menutup resah di hati yang mula merajai diri. Lawak yang dia sendiri terasa kehambarannya. Apakah perkara yang mahu diminta oleh isterinya? Perpisahan? Tak mungkin Aiza tahu! Dia menyedapkan hati sendiri.

“Abang... sebenarnya...” Sengaja Aiza biarkan ayatnya tergantung.

“Sebenarnya apa, Aiza?” Hazriq gagal menahan sabar. Dia takut untuk memikirkan sebarang kemungkinan.

“Relakslah. Yang abang gelabah sangat ni kenapa? Aiza cuma nak tanya boleh tak kalau Aiza nak kerja balik?” tanya Aiza setelah puas bermain tarik tali. Wajah kelegaan Hazriq mengundang senyuman di bibirnya. Yakin pasti suaminya sudah mampu menarik nafas lega setelah mendengar permintaannya itu.

Hazriq ketawa besar. Ternyata telahan dia salah. Itu saja rupanya perkara yang ingin disampaikan oleh Aiza kepada dirinya. Jauh sangat otaknya berfikir.

“Kenapa abang ketawa? Aiza tak buat kelakar pun.”

“Bukan sebab kelakar, tapi Aiza buat abang saspens je. Ingatkan apalah tadi,” balas Hazriq dengan tawa yang masih bersisa.

“Abang fikir Aiza nak cakap apa?” soal Aiza dengan wajah serius. Langkah pertama yang perlu dia lakukan ialah bekerja semula. Puas dia fikirkan keputusan itu siang tadi. Setakat ini, itu yang terbaik baginya. Dia perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Errr... nothing. Back to the topic. Kenapa Aiza nak kerja balik?” tanya Hazriq kembali. Pantas saja otaknya bekerja keras untuk mengalih isu yang mula dibangkitkan si isteri.

“Saja. Aiza duduk rumah pun tak tahu nak buat apa,” jawab Aiza senada. Pandangan dilempar ke arah tepi. Cuba membuang bayangan peristiwa yang berlaku di depan matanya siang tadi.

“Hah? Kenapa pulak? Selama ni okey je,” balas Hazriq. Dia masih belum berpuas hati dengan jawapan Aiza. Masakan tiba-tiba saja isterinya membuat permintaan sebegitu? Selama 2 tahun bergelar suri rumah, tiada apa yang dirungutkan Aiza.

Aiza diam tanpa suara. Dia tahu pasti sukar untuk membuatkan Hazriq bersetuju dengan permintaannya. Minda ligat mencari alasan yang logik untuk diutarakan.

Look here. Tell me why?” Dagu Aiza ditolak sedikit ke atas. Memaksa si isteri kembali bertentangan mata dengannya. Namun Aiza masih begitu. Kelu seribu bahasa. Hanya mata mereka yang saling berbicara.

“Duit abang bagi tak cukup ke? Aiza nak berapa? Cakap je. Abang boleh bagi.”

Masak! Masak! Susahlah jika isterinya kembali bekerja. Kemungkinan rahsianya akan terbongkar itu tinggi. Hazriq tak mahu mengambil sebarang risiko.

“Bukan pasal duit.” Akhirnya Aiza bersuara lemah.

 “Habis tu, sebab apa?”

“Duit yang abang bagi lebih daripada cukup. Bukan Aiza guna sangat pun. Kadang-kadang tu tak berusik langsung. Aiza just boring. Lagipun Aiza sorang diri kat rumah. Bukannya ada anak yang nak dijaga. Entah-entah abang pun dah tak sayangkan Aiza sebab sampai sekarang Aiza masih tak dapat bagi abang zuriat.”

Air mata yang cuba ditahan sejak tadi bergenang dengan sendiri. Apabila soal anak dibangkitkan, hati dia mudah saja menjadi sensitif. Telinganya sudah lali mendengar pelbagai soalan dan kesimpulan yang dibuat oleh orang sekeliling.

“Hei, kenapa cakap macam tu? Kan abang dah pesan banyak kali, kita jangan sebut pasal hal ni lagi. Kalau ada rezeki, adalah. Itu semua kerja Tuhan, sayang. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Selebihnya kita serahkan kepada-Nya.”

Air mata yang mengalir di pipi Aiza diusir menggunakan hujung jari. Hazriq tidak pernah sekalipun mempersoalkan takdir yang tertulis untuk mereka kerana dia tahu isterinya berasa tertekan dengan isu ini.

Aiza tunduk menahan kepiluan di hati. Dia tak mahu menangis lagi. Cukuplah tengah hari tadi dia sudah berendam air mata sehingga matanya sembap. Mujur saja kesan itu dapat disembunyikan dengan solekan. Wajar jika suaminya itu tidak dapat mengesan perubahan yang pelik di wajahnya.

Melihatkan keadaan itu, hati Hazriq turut dirundung sebak. Jika dengan mengizinkan Aiza bekerja semula bakal membuatkan wanita itu gembira, dia tak akan teragak-agak untuk menunaikan permintaan kecil itu.

“Abang akan izinkan Aiza bekerja tapi dengan satu syarat,” tutur dia dengan nada yang cukup perlahan.

Terus saja Aiza mendongak sedikit. Mencari sepasang mata milik suaminya. Sinar kegembiraan terpancar di wajahnya.

Promise to stop crying. Will you? I can’t see your tears. It hurts me so much.” Tubuh isterinya dipeluk erat. Dia sayangkan Aiza. Tidak betah melihat air mata yang mengalir di pipi si isteri.

Mungkin kasih sayangnya sudah terbahagi bersama hati yang masih berbelah bagi tetapi dia tak akan sesekali melepaskan Aiza. Walaupun jiwa lelakinya begitu mendambakan kehadiran cahaya mata, Hazriq tak akan sesekali membangkitkan hal itu.

Thank you, abang.” Aiza menjarakkan diri. Wajah Hazriq dipandang lama. Ada sesuatu yang ingin diluahkan tetapi hanya terpendam dalam hati.

‘Abang pun sama dah sakitkan hati Aiza. Abang punca Aiza menangis. Semuanya sebab abang!’

Thank you je?” soal Hazriq dengan senyuman gatal.

“Yalah. Habis tu nak apa lagi?” Aiza jongket kening tanda tidak mengerti.

“Abang nak Aiza.” Hazriq berbisik lembut di tepi telinga si isteri. Hujung telinga wanita itu digigit manja.

“Sakitlah! Eee... gatal!” Serentak itu tangannya ditarik oleh Hazriq menuju ke kamar. Walaupun hatinya sakit dengan perbuatan lelaki itu siang tadi, dia tak akan menafikan hak Hazriq ke atas dirinya.

‘Abang akan lihat Aiza Reena versi 2.0 tak lama lagi. Aiza akan buat abang jatuh cinta dengan Aiza berkali-kali. Watch out, girl! If you want to steal my husband, over my dead body!’

Aiza nekad dan berazam untuk mempertahankan rumah tangganya tidak kira walau apa pun halangannya.

No comments:

Post a Comment