SETELAH hampir sebulan mencari kerja dan menghadiri temu duga di merata tempat, akhirnya Aiza berjaya mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya.
Tak terkira rasa syukur yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana takdir memberikan dia peluang untuk menempatkan diri di sebuah syarikat swasta yang tidak kurang hebatnya. Dia yakin perancangan Tuhan itu adalah yang terbaik untuk dirinya.
Sudah masuk minggu kedua Aiza bekerja di F&F Holdings. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu semuanya berjalan dengan lancar. Pagi ini semua staf syarikat diarahkan berkumpul bagi meraikan satu lagi projek besar yang berjaya diperoleh pada minggu lepas.
Datuk Fahmi, selaku pemilik syarikat memberikan ucapan tahniah kepada semua staf yang telah bertungkus-lumus menaikkan nama syarikat. Lelaki tua yang masih bergaya itu mengumumkan pemberian bonus kepada kakitangan syarikat. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, dia percaya setiap pekerja merupakan tulang belakang kepada kejayaan yang telah berjaya dikecapi oleh syarikatnya sekarang.
“Dan saya berharap semua staf akan terus memberikan komitmen penuh dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Mungkin tahun ni saya akan slow down sikit. Saya kan dah tua.”
Kata-kata itu mengundang tawa di bibir semua staf syarikat. Pandai pula Datuk Fahmi berlawak. Wajahnya langsung tak dimamah usia. Masih tampan dan segak lagi orangnya. Kemudian, dia menyambung lagi.
“Bukan bermakna saya tak ambil tahu tentang perkembangan syarikat. Saya akan datang jugak, mungkin dalam seminggu tu dua atau tiga hari saja. Jadi sepanjang ketiadaan saya, diharap semua dapat berikan kerjasama sepenuhnya kepada anak saya, Fayzal.”
Tangan kanan Datuk Fahmi mengarah ke satu sudut tepi dewan. Seperti semua staf yang lain, Aiza turut memalingkan wajah ke arah tersebut untuk melihat wajah pewaris si pemilik syarikat.
Membulat mata Aiza apabila pandangannya disapa oleh wajah seseorang yang tidak asing lagi. Setelah berjaya mengenal pasti lelaki yang dimaksudkan oleh Datuk Fahmi tadi, dia jadi tertanya-tanya sendiri. Fayzal? Datuk Fahmi?
Wajah kedua-dua lelaki itu dipandang secara bergilir. Biar betul? Hatinya berdebar kencang. Masih tidak dapat mempercayai fakta yang terpampang di hadapan mata.
6 tahun, Fayzal! 6 tahun Aiza berjaya melenyapkan lelaki itu daripada hidupnya. Tiada siapa menduga mereka akan dipertemukan semula pada hari ini. Jadi, anak Datuk Fahmi yang baru pulang dari outstation ialah Fayzal Akram, sahabat baiknya sewaktu di universiti dulu. Fayzal Akram bin Ahmad Fahmi. Ya, bagaimana dia boleh lupa dengan sebaris nama itu?
Seperti sedar dirinya sedang diperhatikan, Fayzal menoleh ke arah Aiza. Dia juga kelihatan kaget melihat wajah yang dirindui setelah sekian lama itu. Panahan mata bertaut selama beberapa minit. Masing-masing gagal mengalihkan pandangan ke tempat lain.
Suara Datuk Fahmi yang kembali bergema berjaya membuatkan kedua-dua sahabat baik itu mengalihkan tumpuan ke depan semula.
“Okeylah, saya tak nak ambil masa yang lama. Semua orang pun dah lapar. So, kita boleh mula makanlah. Once again, thank you so much to all of you.” Bicara itu mengakhiri ucapannya.
Seketika kemudian, bergema tepukan di ruang dewan itu. Maka bergeraklah semua staf ke arah meja bufet untuk mengambil makanan kecuali pihak tertinggi pengurusan di mana makanan mereka telah dihidangkan di atas meja.
Selera Aiza mati serta-merta. Namun digagahi juga dirinya untuk menelan juadah yang tersedia bagi meraikan hari bahagia tersebut. Rakan-rakan yang berbual langsung tidak dihiraukan. Dia cuma berfikir apa reaksi yang akan diterima daripada suaminya nanti apabila mengetahui tentang hal ini.
Atas permintaan Hazriq juga dahulu, dia terpaksa menjauhkan diri daripada sahabat baiknya itu. Semuanya gara-gara Fayzal pernah melamar dirinya. Walaupun berat hati, dituruti juga permintaan si suami.
Habis saja makan, Aiza meminta diri untuk naik ke jabatannya, meninggalkan rakan-rakan yang masih enak menjamu selera. Dia mahu segera pergi meninggalkan dewan itu. Oksigen yang berada di situ dirasakan tidak cukup untuk menampung nafasnya. Dada berasa sempit yang amat. Entah sampai bila dia mampu mengelak daripada bersua dengan Fayzal.
Butang lif ditekan pantas. Sebaik saja pintu lif terbuka, kakinya melangkah masuk tanpa lengah lagi. Belum sempat pintu lif tertutup kembali, muncul satu tangan menahan pintu dari luar. Bebola mata Aiza bergerak mencari pemilik tangan yang menahan pintu lif tersebut.
Sebaik terlihat wajah Fayzal, hatinya jadi gundah-gulana. Namun senyuman tetap dihulurkan. Dia sedar diri. Fayzal adalah anak kepada pemilik syarikat tempat dia bekerja atau lebih tepat lagi, lelaki itu kini memangku jawatan sebagai CEO syarikat. Kepala ditundukkan tanda hormat. Senyumannya berbalas sebelum lelaki itu berdiri di sebelahnya.
“Tak sangka jumpa you kat sini. Satu tempat kerja pulak tu,” ujar Fayzal memulakan bicara dengan nada ceria.
Tak pernah terlintas dalam fikiran bahawa dia akan berjumpa semula dengan gadis yang pernah menjadi pujaan hatinya satu ketika dahulu. Walaupun dia pernah dikecewakan dengan penolakan daripada Aiza, perasaan cintanya kepada wanita itu masih menebal dalam hati.
Aiza tersenyum lebar. Sejujurnya dia agak kekok berdepan dengan Fayzal selepas lelaki itu meluahkan rasa cinta kepadanya 6 tahun lepas. Sejak itu mereka tidak pernah bertemu lagi. Dia cuba berfikiran positif, mungkin jarak waktu 6 tahun sudah cukup untuk membuatkan Fayzal lupa tentang hal yang satu itu.
“Ya, I pun tak sangka jumpa dengan you dekat sini. Betul-betul tak sangka. So, please treat me nicely, Mr. Boss.” Aiza berlawak, mahu menceriakan keadaan.
“Mr. Boss? I’m still the same Fayzal, your friend.” Fayzal membalas dengan tawa yang masih bersisa.
“But here you’re my boss. So, you dah kahwin?” tanya Aiza selamba.
Fayzal langsung tidak berubah. Masih sama seperti dahulu. Kacak dan bergaya. Tetapi hatinya lebih memilih Hazriq berbanding Fayzal yang punya segala-galanya. Sedikit pun tidak menyedari yang syarikat ini kepunyaan bapa Fayzal. Jika dia tahu, pasti tak akan sesekali dia menjejakkan kaki di syarikat ini.
‘Macam mana I nak kahwin kalau nama you masih mekar dalam hati I, Aiza?’ Fayzal berbisik dalam hati.
“I? Still single and available. Hati belum terbuka nak terima orang lain. You pulak? Berapa orang anak dah? 5 tahun dah you kahwin, kan?” Fayzal sedikit pun tidak menyedari perkara yang dibangkitkan bakal menggores hati wanita yang berdiri di sebelahnya ketika itu.
“Betul, 5 tahun dah. I belum ada anak. Tak ada rezeki lagi.” Senyuman kelat terlukis di wajah. Sukar untuk Aiza mengawal riak muka yang sudah ketara berubah.
“Oh... I’m so sorry. Insya-Allah sampai masa nanti ada rezeki you dengan Hazriq. Apa khabar your husband? Lama tak jumpa.” Fayzal segera menukar topik perbualan. Bimbang bakal membuatkan Aiza dilanda kesedihan yang berpanjangan.
Nama Hazriq yang meniti di bibir Fayzal menjadikan Aiza bertambah terluka. Cepat saja dikawal perubahan pada riak wajahnya agak tidak kelihatan terlalu ketara di mata Fayzal.
Ting!
Lif yang berbunyi menandakan tingkat yang dituju telah tiba. Aiza menghembuskan nafas lega.
“Hazriq sihat. Alhamdulillah. Nanti ada masa you boleh jumpa dia. I gerak dulu.” Aiza terus melangkah tanpa menoleh.
“Bye Aiza,” balas Fayzal pendek. Tangan terus menekan butang G. Dia perlu turun semula ke tingkat bawah dan menyambung sesi makan yang tergendala sebentar tadi hanya untuk mengejar Aiza Reena.
Dirinya bukan bodoh untuk menilai apa yang dirasai oleh wanita itu. Fayzal tahu Aiza sedang memendam rasa. Dia pasti Aiza sedang menyembunyikan sesuatu. 5 tahun persahabatan mereka dari zaman diploma sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda, menjadikan dirinya mudah untuk menilai apa yang tersemat dalam hati Aiza.
Entah kenapa hatinya kuat mengatakan yang wanita itu sedang berdepan dengan masalah yang besar.
MATA AIZA terpaku lama pada bayangan kereta yang tersadai di garaj. Hazriq dah balik? Cepat pula suaminya pulang hari ini. Selalunya jika belum menginjak malam, jangan harap nak nampak batang hidung di rumah.
Sudahlah pagi tadi lelaki itu pergi kerja bukan main awal, ada presentation katanya. Entah betul atau tidak, dia tidak tahu. Belum sempat dia bersiap pagi tadi, Hazriq sudah pun keluar ke tempat kerja terlebih dahulu.
Malas mahu memeningkan kepala, Aiza menapak ke pintu rumah. Setelah pintu dibuka, kepalanya menjengah sedikit ke dalam. Senyap dan sunyi suasana di dalam rumah. Tanpa berlengah, kaki diatur masuk. Dia perlu memasak untuk makan malam mereka berdua.
Namun langkah kaki terhenti semasa melewati ruang tamu. Matanya menangkap figura Hazriq yang masih berkemeja sedang terlena di atas sofa. Sebelah tangan lelaki itu terletak elok di dahinya. Dengkuran halus yang kedengaran menandakan Hazriq benar-benar keletihan. Mungkin memang benar suaminya itu sibuk dengan presentation hari ini. Terasa berdosa kerana meragui suami sendiri.
Perlahan-lahan Aiza duduk bertimpuh di atas lantai sambil menatap wajah kacak milik sang suami. Tangan naik mengelus pipi Hazriq yang sedang lena.
‘Abang, Aiza rindu abang. Aiza nak abang yang dulu. Kenapa kita makin jauh? Kenapa abang buat Aiza macam ni? Kalau Aiza ada buat salah, kenapa abang tak tegur? Kenapa abang menduakan Aiza? Kenapa? Kenapa?’ Semua soalan itu bergema dalam hatinya. Air mata yang menitis diusir segera.
‘Ya Tuhan, berikanlah aku kekuatan. Sesungguhnya, aku insan yang lemah.’
Aiza kembali berdiri. Dia ingin berlalu dari situ. Semakin lama melayan perasaan, tak mustahil suara tangisannya bakal mengejutkan Hazriq. Belum sempat langkah dibuka, lengannya tiba-tiba ditarik kuat.
“Arghh!” Terjerit kecil Aiza dek tindakan Hazriq yang tak dijangka itu. Kakinya gagal mengawal keseimbangan dan menyebabkan dirinya jatuh terduduk di atas perut Hazriq.
“Aduh! Senak perut abang.” Berkerut wajah Hazriq menahan sakit. Tak sangka kuat pula tarikannya tadi sehingga membuatkan si isteri jatuh menghempap perutnya.
“Padan muka! Tarik Aiza buat apa?” Beberapa pukulan manja dihadiahkan di dada milik suaminya. Hilang sebentar masalah yang membelenggu jiwa.
“Lambat balik?” tanya Hazriq sambil menyelit rambut yang terjuntai di tepi telinga Aiza. Cantik sungguh isterinya hari ini. Solekan nipis yang dikenakan sudah cukup untuk menambahkan seri di wajah yang sudah sedia cantik.
“Banyak kerja tadi. Oh ya, tadi Aiza ada terjumpa Fayzal. Dia kirim salam dekat abang. Aiza nak naik mandi ni. Tangan tu, lepaslah.” Muncung diarahkan ke lengannya yang masih erat digenggam Hazriq.
“Stay sekejap. Abang rindu,” pinta Hazriq.
Ah, sudah! Dia buat lagi. Ulat bulu dah naik daun. Baru make over sikit, dah cair ke? Aiza diam. Malas mahu membalas. Dia hanya membiarkan Hazriq melepaskan kerinduannya.
“Kenapa seksi sangat pergi kerja ni? Hmm?” soal Hazriq dengan nada yang sudah bertukar lain macam.
Aiza pandang diri sendiri. Seksi apanya? Seluar slack hitam dengan kemeja warna baby pink kut. Seksi? Senget ke apa suami dia ini? Okey, kalau ni dikatakan seksi... kita tengok esok bagaimana pula reaksi Hazriq jika dia memakai skirt.
“Mana ada seksi. Baju lama ni. Just dah lama tak pakai. Dahlah abang, Aiza nak naik mandi. Nanti nak masak lagi.” Dia membetulkan duduk. Kalau melayan Hazriq sampai bila pun tak sudah.
Hazriq turut bangun dari perbaringan. Aiza di sebelahnya dipandang lama. Ada sesuatu yang bermain dalam fikiran. Tak mungkinlah.
“Eh, kejap. Tadi Aiza sebut nama Fayzal, kan? Don’t tell me Fayzal, your BFF dulu tu?” Serta-merta wajah Hazriq tegang. Mengingatkan kisah dahulu saja sudah cukup membuatkan dia terasa panas hati. Apatah lagi kalau betul lelaki itu muncul kembali dalam hidup mereka.
Aiza hanya berlalu bersama senyuman sinis. Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulutnya. Sengaja membiarkan Hazriq tertanya-tanya sendiri.
Fayzal, sahabat baik Aiza dulu. Lelaki yang punya segala-galanya. Anak orang berada, ada rupa dan harta. Malah juga merupakan seorang pelajar cemerlang. Hazriq mengetap kuat giginya. Bergerak-gerak rahangnya menahan rasa.
Tiba langkah kaki Aiza di anak tangga yang terakhir, telinganya sempat menangkap bunyi telefon dari tingkat bawah. Dia mematikan langkah, cuba mendengar butir bicara yang akan keluar daripada mulut Hazriq.
“Helo, sayang.”
Perlahan suara Hazriq kedengaran menjawab panggilan tersebut sebelum lelaki itu berlalu ke halaman rumah.
Tubuh Aiza yang bersandar di dinding melorot jatuh perlahan-lahan. Tangan naik menekan dada yang terasa sempit. Kuatkah dia untuk melalui ujian sebegini?
Tidak, jangan menangis lagi. Dia mampu! Dia boleh! Dia mampu harungi dugaan ini. Tak akan dibiarkan dirinya kalah dengan mana-mana perempuan sekalipun! Aiza bertekad kuat dalam hati.
No comments:
Post a Comment