DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 6

HARI ini Aiza terpaksa menggantikan rakan sekerjanya yang tidak dapat menghadiri mesyuarat di luar bersama pelanggan syarikat. Padahnya, kini dia di sini sedang berhadapan dengan si pelanggan yang sangat cerewet. Itu tak kena, ini tak kena. Semuanya salah pada pandangan mata lelaki itu. Naik pening Aiza dibuatnya.

Sudahlah ini bukan bidang kerjanya. Dia hanya menjadi bidan terjun sahaja. Akhirnya pelanggan tersebut mendesak untuk berjumpa dengan pengurus besar syarikat. Terpaksa ditebalkan mukanya demi meminta Fayzal mengendalikan perbincangan tersebut. Terkejar-kejar lelaki itu datang untuk menyelesaikan perbincangan dengan pelanggan itu.

Setengah jam kemudian, perjanjian dimeterai dengan mudah. Haih, kan senang kalau Fayzal yang datang dari awal tadi. Tak perlu dia peningkan kepala melayan ragam si pelanggan syarikat. Usai berpamitan, dia dan Fayzal masing-masing mengemas barangan peribadi.

“Kenapa tak ada orang lain yang back up? Maksud I, ni bukan kerja you. Kenapa you yang diarahkan datang?” soal Fayzal dengan wajah yang serius. Mujur dia berkelapangan dan sempat datang. Jika tidak, pasti syarikat milik ayahnya kerugian besar.

Person in charge ada emergency. Yang back up dia pulak memang cuti hari ni. So, nama I yang kena petik. I kan orang baharu, bos nak bagi I pendedahan kepada semua skop kerja,” jelas Aiza tenang. Takut jika tersilap kata. Dia sedang berdepan dengan anak majikan syarikatnya.

“Baguslah macam tu. I setuju tapi at least you kena ada peneman. Mana boleh dia benarkan you pergi sendiri macam ni. Tak apa, I akan highlight benda ni dalam meeting nanti,” putus Fayzal. Dia sendiri tidak mengerti bagaimana penyelia Aiza boleh membenarkan anak buahnya pergi berjumpa dengan pelanggan penting sendirian.

Aiza telan liur yang terasa kelat. Alamak, dia ada tersalah cakap ke? Masaklah macam ni.

Errr... Encik Fayzal, I rasa...”

“Tak payah takut. I takkan petik nama you pun. I akan cakap in general nanti. You nak pergi mana lepas ni? Dah habis office hour ni.” Bagai memahami apa yang bermain dalam fikiran Aiza, Fayzal segera mencelah.

“I still kena balik ofis. Nak thumb print. You tak apalah, anak bos.” Ibu jarinya diangkat. Senyuman terukir di bibirnya.

“Eh, no need. Hari ni you dapat pelepasan daripada I. So, shall we?” Fayzal menundukkan sedikit tubuhnya, mempersilakan Aiza jalan terlebih dahulu. Perasaannya cuba dikawal sebaik mungkin. Dia masih sedar yang Aiza itu isteri orang.

Kaki diatur oleh Aiza mendahului Fayzal keluar dari restoran itu. Mereka berbual kosong dalam perjalanan ke tempat letak kereta.

“Eh, kejap Aiza. Tu bukan Hazriq ke? Tapi siapa pulak perempuan tu?” soal Fayzal sambil menunjuk ke satu arah.

Sejurus itu, Aiza yang berada di sebelah ditatap lama. Mendung yang terlukis di wajah wanita ini cukup untuk menggambarkan rasa hati yang sedang bersarang. Dia pelik kerana Aiza langsung tidak terkejut. Adakah Aiza sudah lama tahu tentang kecurangan suaminya? Jadi inilah masalah yang sedang dihadapi Aiza?

“Aiza... are you okay?” Fayzal jadi serba salah untuk bertanya. Tetapi dia harus pastikan yang wanita itu berada dalam keadaan yang stabil. Apatah lagi Aiza akan memandu kenderaan untuk pulang sebentar lagi.

I’m fine,” jawab Aiza ringkas. Lemah suaranya kedengaran. Dia rasa malu yang teramat. Fayzal sudah tahu masalah yang menimpa rumah tangganya. Di manakah harus disembunyikan wajahnya ketika ini?

Dirinya dirasakan tidak berguna. Dia tak rela Fayzal melihat wajahnya yang keruh. Segera kaki melangkah pantas meninggalkan lelaki itu di belakang.

Fayzal pantas mengejar. Pergelangan tangan Aiza ditarik lembut. Perbuatannya itu berjaya menghentikan pergerakan kaki Aiza. Dia tak berniat langsung untuk mengambil kesempatan. Dia cuma risau akan keselamatan wanita pujaannya.

You’re not okay, Aiza. I takkan benarkan you drive dalam keadaan macam ni.”

Aiza diam membisu. Fikirannya kabur. Otaknya gagal memproses sebarang tindakan yang wajar diambil. Sudahnya dia hanya memandang kosong ke wajah Fayzal.

Melihatkan keadaan itu, hati Fayzal dihimpit kerisauan. Dia sedar ada yang tidak kena dengan Aiza. Lalu ditarik tangan Aiza masuk ke dalam keretanya.

Setelah melabuhkan duduk di dalam kereta, Aiza masih kelu seribu bahasa tanpa sebarang reaksi di wajahnya. Dia hanya diam dan mengikut. Sedikit pun tak membantah.

Sepanjang perjalanan, Fayzal berkali-kali mencuri pandang wajah yang beriak kosong itu. Sampai saja di taman rekreasi yang dituju, dia segera keluar dan membukakan pintu di tempat duduk penumpang.

“Jom, keluar sekejap.” Fayzal bersuara.

“Eh? Kita dekat mana ni?” Seolah-olah baru tersedar daripada khayalan yang panjang, Aiza memandang sekeliling. Pelik bagaimana dia boleh berada di dalam kereta Fayzal. Walaupun begitu, kaki tetap memijak tanah dan berjalan ke depan. Mereka duduk di satu kerusi kayu yang tersedia di situ. Kedua-duanya mendiamkan diri.

“Ada apa-apa you nak cerita dengan I?” Setelah beberapa minit sunyi tanpa sebarang kata, akhirnya Fayzal memulakan bicaranya.

Aiza menggeleng perlahan sebagai jawapan kepada pertanyaan yang diutarakan oleh Fayzal tadi. Masakan mahu bercerita tentang masalah yang sedang dihadapi sekarang? Dia tak mahu Fayzal tahu secara mendalam. Cukuplah apa yang lelaki itu nampak hari ini. Terpulang. Apa pun kesimpulan yang ingin dibuat Fayzal, dia tiada kuasa untuk menghalang.

“Aiza, kita bukan baru kenal. I know you very well. I tahu you dalam masalah sekarang ni. Jangan simpan sendiri, Aiza. Nanti diri you yang akan sakit. Kalau you tak nak bercerita, sekurang-kurangnya lepaskan apa yang you rasa. Insya-Allah, you akan rasa lega sikit,” tambah Fayzal.

Aiza menoleh ke tepi. Wajah tampan Fayzal dipandang. Hatinya seperti terpujuk dengan kata-kata itu.

Ya, kekecewaan yang membelenggu diri diluahkan. Perasaan sedih yang cuba ditahan sejak tadi terhambur juga akhirnya. Perlahan-lahan air mata turun membasahi pipi.

“I sudi jadi telinga untuk dengar masalah you. Ingat dulu kan kita pernah berjanji yang kesedihan perlu dikongsi bersama? Believe me, Aiza. I akan simpan rahsia you.”

Bersungguh-sungguh Fayzal cuba meyakinkan Aiza. Dia mahu wanita itu berkongsi rasa sedihnya. Hatinya sakit melihat wajah Aiza yang dirundung kesedihan.

Tangisan yang pada mulanya perlahan menjadi semakin kuat sehingga Aiza tersedu-sedan. Selepas tangisan itu berjaya dikawal, buat pertama kalinya dia menzahirkan rasa sakit hatinya kepada orang lain. Dia tahu Fayzal boleh dipercayai. Entah kenapa, dia berasa selamat menceritakan rahsia rumah tangganya kepada lelaki itu. Dia tidak punya kenalan yang rapat dengan dirinya selain Hazriq dan Fayzal. Lalu, pilihan apakah yang dia ada?

“I janji akan tolong you.”

Janji Fayzal itu memberi sedikit sinar harapan kepada Aiza.

“Tapi macam mana? I minta maaf, Fayzal. I tak berniat nak susahkan you. I tak nak heret you masuk dalam masalah ni.”

“Jangan risau pasal I. I ikhlas nak tolong you. I ada idea. Nanti kita bincang. Rasanya elok I hantar you balik. Dah lambat ni,” ucap Fayzal.

Thanks, Fayzal.” Aiza hanya mengangguk lemah. Ya, waktu sudah menginjak senja. Dia tak sedar masa berlalu dengan begitu pantas.

 

HAZRIQ MENJENGAH ke luar rumah apabila terpandangkan silau cahaya lampu kenderaan yang berhenti di hadapan rumahnya. Keadaan cuaca yang agak gelap menyukarkan pandangan matanya bagi mengenal pasti gerangan insan yang menghantar isterinya pulang.

“Lambat balik?” tegur Hazriq sebaik saja si isteri menjejakkan kaki ke dalam rumah. Matanya tidak lepas daripada memerhatikan setiap gerak-geri Aiza. Wajah isterinya yang agak sembap menimbulkan tanda tanya dalam benaknya.

“Ada meeting dengan klien,” jawab Aiza senada. Dia berlalu melintasi Hazriq tanpa memandang ke arah lelaki itu. Perasaannya begitu tertekan untuk berhadapan dengan Hazriq pada ketika ini.

“Pergi meeting ke dating?” sinis Hazriq bertanya.

Tubuh dipusingkan dan mata Aiza menentang tajam pandangan mata Hazriq. Dia sedang cuba menyabarkan diri tetapi mengapa suaminya itu seolah-olah sengaja mencabar keegoannya? Hazriq seperti sedang mencurahkan minyak ke atas bara api di hatinya. Adakah Hazriq benar-benar bersedia untuk melihat api kemarahan dalam dirinya?

“Kalau Aiza pergi dating pun kenapa? Abang marah?” Senyuman sinis secara spontan terukir di bibirnya. Dia langsung tidak gentar melihat wajah tegang yang ditayang Hazriq.

So, betullah Aiza pergi dating dengan Fayzal? Jangan nak melampau ya, Aiza. Ingat yang Aiza tu isteri abang! Dah pandai nak salah gunakan keizinan keluar bekerja yang abang bagi?” Tinggi lantunan suara Hazriq kedengaran pada waktu senja itu.

“Ya, Aiza keluar dating dengan Fayzal! Itu yang abang nak dengar, kan? Abang ada masalah ke?” jawab Aiza juga dengan suara yang kuat. Sama kuat dengan nada suara suaminya tadi.

“Abang cakap jangan melampau!” Menggigil tubuh Hazriq menahan amarah yang memuncak dalam diri. Egonya tercalar.

“Kenapa? Abang nak pukul Aiza? Pukullah!” cabar Aiza berani. Sedikit pun tidak takut dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Dia sudah tidak peduli lagi jika tubuhnya bakal dikasari kerana berani mencabar si suami.

Turun naik dada Hazriq berombak laju. Dia sedang cuba mengawal kemarahan yang membuak-buak. Walaupun perasaan marah terlalu menebal, dia tak akan sesekali naik tangan ke tubuh Aiza. Dia bukan lelaki dayus.

Dia yakin yang Aiza cuma tertekan dengan soalannya tadi. Disebabkan itu isterinya sengaja memberikan jawapan untuk menyakiti hatinya. Manakan tidak, wanita itu baru saja pulang sudah disoal dengan soalan sebegitu. Kalau dia berada di tempat Aiza pun dia boleh naik hantu.

“Aiza ada masalah ke?” Suara Hazriq kembali normal.

“Ada. Masalahnya Aiza dah terlalu letih dengan hidup ni. Aiza penat. Aiza dah tak larat lagi. Sampai rasa kalau ditakdirkan untuk ‘pergi’ pun, Aiza rela...” Suara Aiza berubah lirih. Cepat betul emosinya berubah.

“Kenapa Aiza cakap macam tu?” Sentap! Hazriq terkejut dengan jawapan yang baru dia dengar. Tak sangka jawapan sebegitu pula yang diberikan oleh isterinya.

“Kalau abang tak ada benda penting nak cakap, Aiza naik dulu.” Melihatkan Hazriq yang menyepi, Aiza terus berlalu meninggalkan suaminya di situ. Anak tangga dipijak dengan hati yang remuk berkecai.

‘Maafkan Aiza, abang. Aiza tak berniat nak kurang ajar dengan abang. Apatah lagi nak sakitkan hati abang tapi Aiza dah tak boleh nak berpura-pura lagi. Aiza tak mampu nak sembunyikan rasa marah dalam hati ni.’

Di sebalik rasa bersalah itu, terselit kelegaan buat diri Aiza. Beban yang ditanggung selama berbulan-bulan seakan berkurangan setelah melepaskan rasa marahnya kepada Hazriq.

No comments:

Post a Comment