DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 3

HUJUNG minggu itu Aiza bersiap untuk keluar ke pusat membeli-belah. Ada sesuatu yang perlu dia lakukan hari ini. Sesuatu yang bakal mengubah penampilan dirinya.

“Aiza nak keluar sekejap,” pintanya kepada Hazriq yang sedang santai duduk di sofa.

“Nak pergi mana?” Hazriq memandang Aiza yang sudah bersiap dengan jean dan kemeja lengan pendek. Nampak muda seperti pelajar pula isterinya bergaya kasual sebegitu.

“Nak pergi shopping sekejap. Beli barang sikit. Aiza tak drive tau. Dah call GrabCar.” Tangan Hazriq diraih dan dicium sekilas. Matanya memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Nampak gayanya suaminya juga seperti mahu keluar. Tetapi Aiza tiada hati ingin bertanya. Biarlah. Hari ini dia mahu meluangkan masa untuk diri sendiri. Me time!

“Nak abang hantar tak?” pelawa Hazriq.

“Eh, tak apalah. Dah sampai pun GrabCar tu.”

Pelawaan itu ditolak lembut dan Aiza terus berlalu meninggalkan Hazriq yang hanya memerhatikan dirinya tanpa cuba menghalang. Ikhlaskah Hazriq dengan pelawaan itu? Atau sekadar cuma untuk berbahasa?

“Alamak, terlupa pulak nak tanya Aiza pergi mana. Masak aku kalau terserempak dengan Aiza nanti.” Hazriq menepuk dahi menyedari kecuaian diri sendiri. Aduh, masalah betul! Harap mereka tidak berjumpa antara satu sama lain.

 

JEJAK SAJA kakinya di pusat membeli-belah, Aiza terus menuju ke salon untuk memotong rambutnya yang panjang. Gaya rambut turut diubah sedikit. Rambut yang dipotong separas bahu itu dikeriting hujungnya.

Puas hati dengan gaya itu, dia melangkah dengan lebih yakin menuju ke restoran. Berjalan dengan imej Aiza Reena yang baharu membuatkan dirinya menjadi perhatian beberapa mata asing yang berada di situ.

Semasa melewati deretan beberapa buah kedai, mata Aiza menangkap kelibat sepasang kekasih yang kelihatan sungguh bahagia. Cepat sungguh bebola matanya mengesan figura dua orang manusia itu.

Senyuman sinis terukir di bibir. Sepatutnya dia yang berada di sisi Hazriq dan bergelak tawa bersama. Bukannya perempuan tidak sedar diri itu!

‘Abang, kenapa buat Aiza macam ni? Sampainya hati abang...’

Sakit!

Perit!

Pedih!

Semua perasaan itu bercampur menjadi satu. Ikutkan hati, mahu saja dia berlari ke arah pasangan itu dan menarik Hazriq ke dalam dakapannya. Jiwa dia terlalu meronta-ronta untuk memberitahu satu dunia bahawa Hazriq adalah miliknya. Ingin saja dia menampar perempuan yang tidak tahu malu itu!

Namun, Aiza tahu semua itu hanya akan menjatuhkan imejnya sendiri. Tidak! Dia tak mungkin meletakkan harga dirinya serendah itu. Tekad dengan azam dalam diri, Aiza terus berjalan tanpa mempedulikan pasangan sejoli itu. Dia tak rela mood baiknya rosak gara-gara pemandangan yang menyakitkan mata itu.

Sedang Hazriq membuang pandang ke tepi, matanya ternampak kelibat seorang wanita mirip isterinya. Wanita itu sedang berjalan sendirian. Beberapa kali dipejam celik semula kelopak matanya untuk memastikan apa yang sedang dilihat. Ternyata wanita itu ialah Aiza, bukan wanita lain yang serupa dengan isterinya seperti yang difikir pada awal tadi.

Masih segar di ingatan Hazriq pakaian yang dikenakan oleh Aiza sewaktu keluar dari rumah tadi. Hatinya tidak senang tatkala terperasankan beberapa pasang mata lelaki miang tidak lepas daripada memandang isterinya. Bunyi siulan juga kedengaran.

Hazriq jadi bimbang untuk membiarkan perkara itu berterusan walaupun Aiza tidak melayan. Apatah lagi dengan penampilan baharu yang ditonjolkan oleh isterinya itu begitu memukau pandangan mata.

“Sya, you balik sendiri boleh?” Beg-beg hasil pembelian tadi dihulurkan kepada Syasya.

“Alah... kenapa pulak? Tiba-tiba je,” tanya Syasya separuh merengek dan tidak mahu mengalah. Dia bukan buta untuk melihat perubahan pada diri Hazriq selepas melihat bayangan si isteri sebentar tadi.

“I ada emergency ni. Take care.” Dua keping not RM100 diletakkan di atas tapak tangan Syasya tanpa menjawab persoalan itu. Kemudian dengan pantas Hazriq berlari mengejar Aiza.

“Isy, tak guna punya perempuan! Pasal kau, aku kena balik sendiri!” Kaki dihentak sedikit menunjukkan rasa bengang yang mencengkam diri. Dengan perasaan marah dan hati yang mendongkol geram, Syasya berlalu pergi dari situ.

“Aiza! Sayang! Sayang!”

Aiza masih meneruskan langkah seperti biasa. Langsung tidak menghiraukan panggilan Hazriq. Lagaknya seperti tidak mendengar panggilan yang ditujukan untuk dirinya.

“Aiza, tunggu abang! Sayang!” Hazriq menjerit sedikit kuat. Apabila sudah berjaya mengejar, lengan Aiza yang masih berjalan menonong disambar untuk menghentikan langkah kaki itu.

Akibat tindakan Hazriq, Aiza tertoleh ke belakang. Hanya seketika sebelum dia membuang pandang ke arah lain. Rasa meluat apabila teringat kemesraan yang disaksikan sebentar tadi.

‘Sayang konon. Sana sayang! Sini sayang!’ Suara hati Aiza menjerit. Dia menayang wajah tiada perasaan. Beberapa saat selepas itu, kakinya dilencongkan ke arah sebuah restoran nasi ayam. Lengannya yang masih berada dalam pegangan Hazriq dibiarkan saja.

Sampai saja di restoran, Aiza terus membuat pesanan selepas melabuhkan duduk di atas kerusi tanpa mempedulikan Hazriq yang tidak lepas memandang dirinya. Dia bereaksi seolah lelaki itu tidak wujud di hadapannya.

Hazriq hanya mengangkat tangan dan menggeleng kepala apabila pelayan tersebut meminta pesanan daripadanya. Matanya galak memerhati Aiza yang kelihatan sangat cantik dengan gaya rambut yang baharu. Masing-masing mendiamkan diri.

10 minit berlalu, hidangan makanan yang dipesan oleh Aiza tadi tiba di meja. Tanpa menunggu, dia terus bersedia untuk menjamu selera. Jus epal disedut sedikit bagi membasahkan tekak yang kering sekali gus menyejukkan hati yang berbahang. Tangan kanan dan kirinya sudah sedia memegang sudu dan garpu.

“Tak cakap pun Aiza nak ubah style rambut?”

Pertanyaan yang keluar daripada mulut Hazriq membantutkan pergerakan tangan Aiza yang baru hendak menyuap nasi ayam ke dalam mulut. Sudu dan garpu diletakkan kembali ke dalam pinggan. Renungan lelaki itu dibalas dengan pandangan tajam. Cukup tajam sehingga mampu tembus ke belakang.

“Sejak bila Aiza kena beritahu abang semua benda? Selalunya kalau Aiza cerita apa-apa pun, abang buat derk je. Kalau Aiza minta pendapat, abang asyik cakap up to you, terpulang. So, kenapa sekarang benda yang dah biasa nak diubah pulak? Aiza just buat apa yang Aiza rasa betul. Aiza tak rasa pun kalau tanya abang akan bagi jawapan yang Aiza nak. Aiza beritahu ke tak, sama je. At the end, abang still tahu jugak!” Ada rengusan di hujung ayat yang baru ditutur itu.

Pandangan dilempar ke tepi. Seleranya hampir saja hilang saat diajukan soalan sebegitu oleh Hazriq. Ya, itu soalan yang mudah dan ringkas. Tak salah pun dengan soalan tersebut. Masalahnya hanya satu. Soalan itu diajukan pada waktu yang salah. Pada waktu dia sedang berperang dengan emosi sendiri.

“Abang tanya je, sebab tadi Aiza cakap just nak beli barang. Tak ada pulak cakap nak potong rambut.” Hazriq tayang wajah tak puas hati. Aik, tanya pun kena marah?

“Boleh tak kalau kita tak payah bertengkar sekarang?” Aiza pula menyoal. Dia yang sedang kelaparan menjadi bertambah baran. Jangan sampai dia makan orang sudah. Tak pasal-pasal keluar tajuk berita, ‘Suami Menjadi Mangsa Makanan Isteri Yang Kelaparan.’

“Kenapa nak melenting pulak ni?” soal Hazriq kembali.

“Bukan melenting, tapi Aiza lapar, nak makan. Abang tak nak makan?” Suara yang agak tinggi tadi direndahkan intonasinya sedikit. Rasa bersalah pula bergaduh di hadapan rezeki. Susahnya mahu membendung amarah dalam diri.

“Aiza makanlah. Abang dah makan tadi.” Hazriq turut mengalah. Kasihan pula melihat niat isterinya mahu makan terbantut gara-gara persoalan yang diutarakan olehnya.

Mestilah suaminya itu sudah makan. Makan dengan cinta hati! Malas mahu sesakkan fikiran, Aiza kembali menyambung suapan yang terhenti tadi.

Hazriq merenung Aiza tanpa lepas. Apa yang tidak kena dengan isterinya? Dia perasan isterinya itu sudah berubah. Bukan saja dari segi penampilan, tetapi dari segi perangai juga. Saat ini dia seolah-olah berdepan dengan Aiza yang tidak dikenali. Lebih tepat lagi Aiza dingin dengannya. Tapi kenapa?

Dulu Aiza tak pernah melawan. Isterinya itu taat kepadanya suatu ketika dahulu. Tapi betulkah apa yang dikatakan oleh Aiza tadi? Selama ini dia sering ambil mudah apa yang disampaikan kepadanya? Sungguh, dia tak perasan semua itu. Jika benar, terbukti bahawa kehadiran Syasya menjadikan dirinya dan Aiza semakin jauh.

No comments:

Post a Comment