DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 30 December 2021

Bidadari Langit Untuk Si Hitam Manis - Bab 1

 

NAMA diberi Sophiea Adelline. Satu-satunya puteri tunggal Dato’ Mursyidd. Pewaris segala harta yang akan ditinggalkan oleh daddy nanti. Sophiea ada segalanya! Banglo besar siap swimming pool di dalam dan di luar rumah. Kereta, wang, segala-galanya!

Hidup dimanja dengan wang. Kasih sayangnya berupa limpahan harta yang melimpah-ruah. Hari-harinya bahagia dengan kemewahan yang dimiliki. Bangun pagi, sarapan sudah tersedia di hadapan mata. Baju sudah digosok rapi. Kasut sudah digilap kilat. Senang cerita, dia tak perlu buat apa-apa dalam hidup ini. Segalanya telah tersedia di hadapan mata. Jari-jarinya hanya disimpan untuk dijaga. Tak perlu susah-susah lakukan

segalanya seperti orang kelas bawahan.

Sophiea mengambil bantal busuknya lalu berpusing-pusing seperti seorang puteri raja. Bantal yang terpampang gambar tunangnya dipeluk erat. Bibirnya yang berwarna merah jambu terukir dengan senyuman bahagia.

“Wah... bahagianya hidup!” Kedua-dua tangannya didepang. Kepalanya mendongak ke atas. Ketawa kecilnya mula memenuhi ruang kamar.

Meow!

Opocott!”

Tiba-tiba seekor kucing jenis Parsi melayang jatuh ke atas mukanya lalu berlari bersembunyi di bawah katil.

Huargh! Apa ni? Mak Jenab! Oh, Mak Jenab!” Sophiea menjerit seakan hilang akal.

“Mak Jenab! Hesy, mana orang tua ni?”

Tidak sampai beberapa minit, kelihatan figura wanita separuh abad terpacul di muka pintu. Kelihatan wajahnya agak pucat menahan lelah akibat menaiki tingkat 3 banglo tersebut. Wajahnya yang agak berkedut berkerut sedikit.

“Ya cik muda.”

Sophiea berpaling dengan perasaan marah yang meluap-luap. Giginya diketap kuat. Urat di mukanya sudah kelihatan. “Mak Jenab! Ni kucing kurap mana yang masuk bilik saya tiba-tiba? Mak Jenab kan tahu saya tak suka kucing. Benci tahu tak!” Bentak Sophiea seraya kakinya menguis-nguis menghalau kucing yang setia berada di bawah katilnya.

Err... tu kucing...”

“Melah! Dekat sini rupanya awak.” Ujar seseorang seraya meluru mendapatkan kucing Parsi berwarna kelabu.

Mata Sophiea membuntang. Bibirnya diketap. Kakinya serta-merta terkaku. Alamak!

 

“NENEK, HARI ni nenek nak makan apa? Idon masakkan khas untuk nenek.” Saiedon bersuara seraya mengurut kaki tua neneknya itu.

Nek Miah tersenyum. “Suka hati kaulah Idon.  Nenek tak kisah.  Apa yang kau masak, itulah yang nenek makan.”

“Alah, nek. Nenek cakaplah nenek nak makan apa hari ni. Idon masakkan. Chicken chop? Lamb chop? Beef chop? Rabbit chop? Semua chop Idon boleh masakkan untuk nenek.” Saiedon membilang menu tersebut dengan jari.

Dahi Nek Miah berkerut tatkala mendengar nama-nama masakan yang disebut cucunya. Sungguh asing pada pendengarannya mendengar nama-nama tersebut.

“Alah, kau ni! Tak payahlah kau nak masak chop-chop tu untuk nenek.  Nenek ni tekak orang kampung.  Mana makan benda aneh-aneh tu. Kau masaklah macam biasa. Ikan goreng dengan kangkung goreng pun boleh Don. Tak payahlah kau masak benda aneh-aneh macam tu. Bukannya nenek makan pun.”

“Nenek ni, baru Idon nak masakkan menu spesial untuk nenek hari ni,” ucap Saiedon kecewa.

“Dah, tak payah buat muka sememeh depan nenek. Ni, tak pergi kebun ke?” soal Nek Miah.

Hmm... hari ni Idon tak pergi nek. Idon nak pergi bandar kejap lagi. Ada urusan sikit dekat bank. Tapi Idon pergi lepas masakkan untuk neneklah. Boleh tak nek?” Saiedon menyoal seraya menjongket keningnya itu.

“Hesy, pergilah! Kau tu dah besar. Tak payah minta izin nenek pun takpe.”

“Eh, mana boleh. Idon ada nenek sorang aje tau. Idon dah tak ada siapa-siapa selain nenek,” ucap Saiedon sayu.

“Alah, kau ni. Pura-pura sedih pula. Dah, bila nak pergi ni? Asyik mengurut kaki nenek aje kerjanya. Bila kau nak gerak?”

“Isy, nenek ni. Kan Idon cakap lepas masak untuk nenek, Idon pergilah. Nenek lupa ek?” Saiedon tersengih.

Err... mana ada. Nenek saja nak uji ingatan kau tu. Dah, pergilah masak. Nanti lambat pula kau nak pergi ke bandar tu. Dahlah tu urut kaki nenek,” usir Nek Miah.

“Alah, nek. Nantilah, nenek nak suruh Idon urut mana lagi. Sini? Sini?” Saiedon bersungguh-sungguh mengurut betis neneknya itu.

“Hesy, kau ni.  Dahlah.  Nenek cepuk karang kau ni,” geram Nek Miah.

“Hehehe, relakslah nek. Chill! Jangan marah. Nanti tak cantik,” seloroh Saiedon. Nek Miah hanya menggeleng. Saiedon, Saiedon!

 

“ERR... ABANG Ryan!” sebut Sophiea gagap.

Ryan Shauqie, tunang kepada Sophiea. Sejak kecil  mereka berdua telah ditunangkan. Hal ini kerana orang tua Sophiea dan Ryan berkawan baik. Klise kan. Tapi, itulah takdirnya. Sophiea pun tidak menolak. Malah menyukai Ryan menjadi tunangnya.

“Melah! Sini. Kenapa lari-lari masuk bilik orang ni Melah? Tak elok tau.” Ryan mengambil kucing Parsi berwarna kelabu itu lantas menciumnya. Sophiea mencebik melihat perlakuan Ryan itu. Sungguh sanggup tunangnya mencium haiwan berbulu itu. Sophiea sungguh geli dengan haiwan berbulu apatah lagi menciumnya.

Mata Ryan merenung wajah putih gadis itu.  Bibirnya turut terukir senyuman. “Sophie, maafkan Melah ya.  Dia tak sengaja masuk bilik Sophie,” ucap Ryan memohon maaf.

“Eh, takpe. Sophie tak kisah Me... Melah nak masuk bilik Sophie. Dia nak guling-guling pun takpe. Melah tak kisah. Eh, Sophie tak kisah.” Bohong Sophiea seraya tersengih menampakkan sebaris giginya yang putih itu. 

Mak Jenab yang berdiri tidak jauh dari mereka hanya mencebik. Sungguh berpura-pura cik mudanya itu.

“Kalau macam tu...” Ryan memberi Melah kepada si tunang.

Sophiea yang agak bingung itu lantas mengambil Melah dengan teragak-agak.

“Sophie tolong abang jaga Melah untuk hari ni ya. Satu hari ni je. Abang ada miting dengan client abang. Pembantu abang yang jaga Melah kebetulan cuti pula hari ni. Jadi tak ada sesiapa yang jaga Melah. Sophie tolong ya,” pinta Ryan dengan senyuman manis.

Sophiea cuba tersenyum. Tangannya menggigil memegang kucing itu. Ingin sahaja dia mencampak Melah ke atas lantai. Tetapi di hadapan Abang Ryan, dia sanggup berpura-pura memegang kucing kesayangan Ryan itu.

Err... boleh. Sure! Abang Ryan pergilah jumpa client abang tu dengan hati yang gembira,” bohong Sophiea.

Mak Jenab sudah menepuk dahi. Aduh, pasti tidak lama lagi dirinya akan menjadi mangsa menjaga kucing gebu itu nanti.

“Betul ni? Thanks Sophie! Abang tahu Sophie sayang dekat Melah. Kan Melah? Melah jangan nakal-nakal dekat sini tau. Saya pergi tak lama. Sayang Melah!” Ryan mengusap-usap kepala kucingnya itu.

Sophiea hanya tersenyum plastik. Nampak benar senyumannya itu pura-pura. Siapa tahu, dalam hatinya sedang menyumpah-nyumpah kucing yang dipegangnya itu.

“Okey, Sophie. Abang pergi dulu. Thanks ya.”

No matter. Take care Abang Ryan!”

“Okey sweetie.  Bye!”

Bye!” Sophiea tersenyum lebar.

Kelihatan figura Ryan semakin jauh. Senyuman di bibirnya pula semakin mengecil. Mukanya kembali mencuka. Dia memandang wajah Mak Jenab.

“Mak Jenab, nah! Jaga kucing ni.  Jangan bagi dia lari sana sini.  Nanti dia berak sepah-sepah siapa yang susah? Saya juga nak menahan bau busuk tu.” Melah diberi kepada Mak Jenab. 

Mak Jenab mengambilnya dengan terpaksa.  Kan, dah agak dah. Pasti dirinya akan menjadi mangsa.

“Tapi cik muda. Encik Ryan kan suruh cik muda yang jaga Melah ni, bukan...”

Syhh... jangan banyak bunyi. Saya nak keluar. Suruh Wak Surijo sediakan kereta. Lagi 10 minit saya turun. Bawa kucing ni turun sekali. Alergi saya tau.” Sophiea mengarah lalu duduk di hadapan meja soleknya.

Mata Mak Jenab naik ke atas. Keluhan kecil dilepaskan. “Baik cik muda,” balas Mak Jenab. Dia membawa sekali kucing milik Ryan keluar dari bilik.

Aku suka jaipong, kau suka disko.

Oh, oh, oh!

Aku suka singkong, kau suka keju.

Oh, oh, oh!

 

MAK JENAB menggeleng kepala melihat Wak Surijo yang syok sendiri berkaraoke sambil mengelap kereta. Sungguh sumbang nyanyiannya itu. Sudahlah sumbang, kuat pula itu. Mahu pecah gegendang telinga mendengarnya.

“Surijo! Surijo!” panggil Mak Jenab.

“Eh, Jenab. Sejak kapan kau berdiri di situ? Eh, ini kucing siapa? Setahu aku, kau enggak bela kucing kok.” Wak Surijo menggaru-garu kepala melihat kucing Parsi yang berada di tangan Mak Jenab.

“Ni kucing Encik Ryan. Dia suruh cik muda kita jagakan sekejap.  Dia ada urusan dekat luar. Tup-tup, aku pula yang kena jaga kucing ni. Aduh!” omel Mak Jenab.

“Dah gitu, kau jaga sajalah. Kau bukan tak tahu non muda kita gaya gimana. Sungguh cemberut, garang, dingin gitu. Eii!” cebik Wak Surijo.

“Tahu pun kau,” sokong Mak Jenab.

“Eh, yang kau datang sini panggil-panggil aku kenapa? Ada benda pentingkah kau nak bicara?”

“Eh, astaghfirullahalazim. Ini cik muda suruh siapkan kereta. Dia nak keluar kejap lagi.”

“Waduh! Dia mau pergi ke mana pagi gini?” Wak Surijo bertanya dengan hidungnya yang kembang itu.

“Mana aku tahu! Kau siapkan jelah kereta tu. Hesy, banyak songeh pula orang tua ni,” marah Mak Jenab.  Melah yang berada dalam dakapannya terayun sedikit dek impak dari kemarahan Mak Jenab itu.

“Hah, yalah. Aku siapkan segera mobil ini.” Lantas dia berlari menuju ke tempat pemandu untuk menghidupkan enjin.

“Wak Surijo!” jerit Sophiea yang baru keluar dari rumah.

Astaghfirullahalazim. Ya non!” jawab Wak Surijo kaget. Mak Jenab yang terkejut mendengar jeritan gadis itu lantas berlari masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.  Lebih baik dia melarikan diri dahulu sebelum dibuli Sophiea.

“Wak dah siapkan kereta belum? Saya nak pergi ambil Angelo ni.” Sophiea menyoal sambil mencekak pinggang.

“U... udah non!”

“Hah, kalau macam tu jom kita pergi sekarang.”

“Ba... baik non!” Wak Surijo segera membuka pintu di bahagian belakang. Sophiea menaiki kereta Mercedez Benznya dengan angkuh. Setelah gadis itu selamat masuk ke dalam kereta tersebut, Wak Surijo menutup pintu lalu berlari menuju ke bahagian pemandu. Dengan tergopoh-gapah dia membolos masuk ke dalam kereta lalu menekan minyak dan memandu keluar dari kawasan banglo 3 tingkat tersebut.

 

KELIHATAN KERETA Mercedez Benz milik Sophiea terparkir di tepi sebuah klinik haiwan.  Sementara Wak Surijo mengambil Angelo, seekor iguana miliknya, dia menunggu lelaki itu di dalam kereta sambil melayan media sosial.

Sedang dia khusyuk melayan media sosial di telefon pintar, tiba-tiba ekor matanya tertancap ke arah cermin kereta di bahagian tempat duduknya. Sophiea menelan liur.  Dahinya berkerut.

“Apa tu?” bisiknya dengan mata yang membulat. Lantas dia menoleh ke arah tingkap yang berada di bahagian tempat duduknya. Matanya yang sedia bulat semakin membulat. Bibirnya diketap kuat.

Kelihatan Saiedon sedang mencungkil giginya di hadapan cermin kereta milik Sophiea. Memandangkan cermin kereta itu gelap, Saiedon tidak sedar bahawa ada orang yang  sedang memerhatikannya dari dalam kereta. Dia fikir kereta tersebut tiada orang yang sedang duduk di dalamnya. Jadi, dengan selamba dia menganga mulutnya lalu mencungkil sisa makanan yang terlekat di celah-celah giginya itu.

Mulut Saiedon semakin ternganga luas sehingga menampakkan anak tekaknya itu. Tangan kanannya pula masih gigih mencungkil sisa daging yang terlekat di celah gusi. Sungguh degil sisa tersebut hendak keluar. Disebabkan mulutnya ternganga dengan luas, hidungnya yang agak mancung turut terkena impaknya. Mukanya sudah kelihatan berkerut. Hidung mancungnya menjadi pesek. Matanya pula dikecilkan. Fuhh! Sungguh seksa hendak keluarkan sisa daging ini.

“Makhluk hodoh mana yang terlekat dekat cermin kereta aku ni? Isy, pengotor! Siap kau, aku kerjakan kau!” Mata Sophiea meliar mencari sesuatu untuk dijadikan senjata. Tiba-tiba matanya tertancap ke arah sekotak piza yang berada di sebelahnya itu. Semerta itu, bibirnya terukir senyuman jahat.

“Siap kau makhluk hodoh!” Sophiea membuka kotak tersebut lalu mengambil sepotong piza. Bibirnya masih lagi mengukir senyuman jahat. Matanya tajam merenung piza tersebut.

“Eh, tepi-tepi!” Saiedon yang tiba-tiba mendengar amaran tersebut lantas mengalihkan tubuhnya dari kereta Sophiea. Kelihatan seorang pak cik tua yang sedang membawa sebakul makanan basah bagi kucing hampir jatuh tersembam tepat ke arah kereta Sophiea.

Sophiea menekan butang bagi menurunkan cermin gelap keretanya itu. Piza sudah tersedia di tangannya untuk dilempar ke muka Saiedon.

“Matilah kau!”

Burshhh! Pepejal makanan kucing tersebut tersimbah tepat ke muka Sophiea.  Sophiea terkedu.  Mukanya berkerut. Badannya menggigil menahan marah. Piza yang berada di tangannya digenggam kasar.

“Alamak!” Saiedon segera melarikan diri dari tempat kejadian. Dia tidak sangka ada orang di dalam kereta tersebut.  Sungguh nikmat dia mencungkil giginya sehingga tidak sedar kewujudan seorang gadis di dalam kereta itu. Lebih baik dia cabut dulu sebelum makin teruk keadaannya nanti.

Arghhh!” Sophiea menjerit dengan sekuat hati. Dadanya berombak kencang. Hidungnya yang kecil kembang kempis menahan marah. Mukanya yang disalut makanan kucing berubah merah. Ini benar-benar gila! Ya, Sophiea sudah naik gila.

“Waduh-waduh non. Kok non boleh mandi dekat dalam mobil ni? Di luar terik saja non. Gimana non boleh basah kuyup gaya gini? Bumbung bocor ya non?” Soal Wak Surijo yang baru meletakkan Angelo ke dalam kereta.

“Wak, masuk dalam kereta sekarang! Kejar mamat senget tu! Cepattt!” jerit Sophiea marah.

“Ba... ba... baik non!” Dalam keadaan kaget, Wak Surijo masuk ke dalam kereta lalu duduk di sebelah Sophiea.

Sophiea mengetap bibirnya seraya merenung tajam wajah pemandunya itu.

“Yang Wak duduk sebelah saya ni kenapa? Siapa yang nak bawak kereta??” jerkah Sophiea.

“Oh, ya. Ma... maap non. Wak kaget.” Dengan segera, Wak Surijo membuka pintu lalu berlari masuk ke tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Minyak ditekan. Stereng digenggam erat.

“Non, siap ya non.”

“Cepatlah Wak! Kejar mamat senget tu cepat!!” Sophiea menuding jari dengan matanya yang tajam mengunci figura Saiedon yang sedang melarikan diri.

No comments:

Post a Comment