DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 31 December 2021

Boss Tolong Jaga Saya - Bab 1

 

KATA orang, lelaki akan menjadi lemah jika jatuh sakit. Tetapi tidak bagi Aiman. Dia lelaki kuat. Bukannya lemah seperti itu. Malangnya, hari ini dia terbaring di katil bercadar putih ini.

Satu keluhan terbit daripada bibir Aiman.

“Bos dah okey ke? Saya dah beritahu keluarga bos yang bos jatuh sakit.”

Suara pembantu peribadinya menyentak lamunan. Aiman mengalih pandangan ke sisi. Wanita itu sedang menuang air putih ke dalam gelas.

Aiman bangkit duduk bersandar ke kepala katil.

“Saya sakit sikit aje, Misha. Kenapa sampai beritahu dia orang?” Gelas berisi air yang sudah bertukar tangan, Aiman teguk perlahan.

“Saya cuma jalankan tugas aje, bos. Lagipun, waktu-waktu begini keluarga yang perlu ada di sisi kita.” Misha mengukir senyum.

Sudah 2 tahun dia bekerja dengan lelaki itu. Jarang Aiman jatuh sakit. Agaknya kerana tak tahan sangat, lelaki itu menghubunginya malam tadi untuk meminta bantuan.

Hujung bibir Aiman terjongket nipis.

“Awak ni cakap macam saya sakit teruk pula. Ni, awak boleh tolong saya?” Aiman menyerahkan semula gelas kepada Misha dan menatap wajah pembantunya itu.

“Boleh, bos. Takkanlah tak boleh.” Misha menanti arahan. Seboleh mungkin dia berdedikasi pada kerjanya. Kerana inilah lubuk rezekinya. Syukur, dia mempunyai ketua yang baik dan selalu memahami.

“Tolong ambilkan fail projek Delta-X di pejabat, boleh? Saya kena semak sebelum miting dengan Mr. Robert nanti. Jangan lupa singgah rumah saya ambilkan iPad juga,” Aiman meminta pertolongan. Baru teringat akan kerjanya yang masih tertangguh di pejabat.

“Baik, bos.” Misha bangkit daripada duduk sebelum menggeleng kecil.

“Bos, banyakkan berehat. Perut bos baru saja baik,” sambung Misha menegur ketuanya itu.

“Saya tengah rehatlah ni kan. Sampai bosan dah ni.” Aiman mengangkat kening kepada Misha. Tak cukup rehat lagi ke begini? Dia sudah hampir mati kebosanan saat ini.

“Ya... ya... bos tengoklah media sosial bos dulu. Tengok Facebook ke, Instagram ke, TikTok... barulah hilang bosan bos tu,” balas Misha sambil menyangkut tas tangannya ke bahu.

“Ehem! Saya mana ada semua tu,” Aiman menjawab dengan berdeham kecil.

Jatuh rahang Misha. Biar betul! Ada lagi ya rupanya manusia seperti Aiman?

“Kenapa? Salah ke saya tak berminat dengan semua tu?” Aiman mencerun memandang Misha. Tahu yang Misha pastinya hairan dia tak punya walau satu akaun pun yang berkaitan dengan dunia interaksi maya itu.

Misha ketawa kecil.

“Taklah... lagi bagus sebenarnya kalau tak ada, bos. Saya pergi dulu.” Misha pamit sebelum berlalu.

Aiman mengambil telefon pintarnya setelah bayang Misha ditelan pintu. Ada sebabnya dia menghindari media sosial yang menjadi kegilaan orang zaman sekarang. Pahit untuk dikenang kata orang. Baik dia tidur saja daripada kebosanan begini. Cepat-cepat Aiman pejamkan mata.

 

DAHI AIMAN berkerunyut apabila mendengar derapan kaki yang menghampiri. Telinganya memang mudah menangkap sebarang bunyi. Mudah terjaga daripada lena.

Buka mata, figura kakaknya hadir di depan mata. Sedang melabuhkan duduk di kerusi yang terletak di sebelah katil.

“Hah, bangun dah? Man okey ke? Sakit lagi?” Seperti yang dijangka, pastilah satu-satunya kakak yang dia ada itu akan cemas begini.

“Man okey, kak...” Aiman membalas lemah sebelum bangkit meluruskan duduk dan bersandar di kepala katil. Awaanis, kakak kesayangannya itu sibuk membantunya membetulkan bantal di belakangnya.

“Kak, Man okey... okey?” Aiman membetulkan bantalnya sendiri dan mengangkat kening kepada Awaanis, kakaknya itu.

Awaanis melepaskan keluh dan melabuhkan duduk semula. Kalau pembantu Aiman tidak menghubungi suaminya, sampai sudah dia tidak tahu adik kesayangannya itu jatuh sakit. Sejak masing-masing meningkat umur ini, Awaanis rasa hubungan mereka semakin jauh. Apatah lagi, Aiman ini sama saja seperti suaminya. Gilakan kerja!

“Berapa kali dah kakak cakap, cari isteri! Barulah Man pandai jaga diri sendiri.” Awaanis kecilkan mata dan mencerun pandang ke arah adiknya itu. Lagi satu yang dia geramkan, Aiman selalu mengelak apabila berbicara soal jodoh.

“Man gastrik aje, kak. Bukan sakit teruk pun.” Selamba Aiman membalas.

“Tak teruk apa kalau sampai masuk wad?”

Aiman menghela nafas. Ini satu hal. Pantang berjumpa, Awaanis akan sibuk bertanya tentang hal jodohnya yang belum sampai lagi itu. Tak habis-habis soal kahwin. Masalahnya, dia terlalu sibuk. Tidak ada masa mahu memikirkan semua itu.

“Assalamualaikum...”

Waalaikumussalam...” Serentak Aiman dan Awaanis membalas salam yang diberi oleh figura yang baru masuk ke dalam ruangan wad kelas pertama itu.

“Bos... ini saya bawa fail yang bos minta tu.” Misha menjengah. Bimbang juga dia mengganggu bosnya itu.

“Terima kasih, Misha.” Aiman mengangguk sambil mengerdipkan mata meminta Misha mendekati mereka.

Misha mengukir senyum kepada wanita yang berada di sisi bosnya itu sebelum melangkah rapat dan menyerahkan fail yang berada di tangannya kepada Aiman. Entah apa yang diborakkan Aiman dengan wanita itu sehingga kedengaran kecoh sampai ke luar pintu.

Menjeling kakaknya, Aiman perasan Awaanis sedang menilik Misha atas bawah.

No, kak... no.” Menderam suara Aiman keluar daripada celahan gigi. Faham benar Aiman apa yang ada dalam fikiran kakaknya itu.

Syhhh...” Awaanis menepuk paha Aiman sebelum tersenyum kepada gadis bertudung dengan gaya elegan itu.

“PA Aiman?” Manis Awaanis bertanya.

“Ya, puan.” Misha mengangguk. Dia  kenal wanita itu. Kakak Aiman, merangkap isteri kepada Tuan Adriy.

“Lama dah kerja dengan Aiman?”

Terangkat kening Aiman. Ah, sudah! Kakaknya itu sudah mulakan sesi temu duga.

“2 tahun dah, puan.” Misha menjawab dengan jujur.

“Lama dah rupanya, kenapa kakak tak tahu Man ada PA cantik macam ni?” Awaanis mengalih pandang kepada Aiman.

Pap! Aiman menutup fail yang baru dibeleknya. Hilang fokusnya gara-gara si kakak.

Thanks, Misha.” Aiman menyerahkan semula fail kepada Misha.

Err... baik bos, saya balik ofis dulu kalau tak ada apa-apa.”

“Ya, ya... silakan.”

“Eh, nantilah dulu! Saya ada banyak benda nak tanya ni.” Awaanis menahan Misha daripada

melangkah. Tak jadi wanita itu berpusing ke arah pintu.

“Awak boleh balik, Misha. Dari malam tadi awak temankan saya. Awak tak payah masuk pejabat lepas ni. Balik rumah dan rehat,” arah Aiman memintas sebelum Awaanis buka mulut.

“Ba... baik bos.” Misha terus melangkah. Berkerut keningnya hairan dengan dua beradik itu. Tapi, apa-apa sajalah. Dia pun sudah letih dan perlukan rehat. Rehat? Satu keluhan nipis keluar daripada bibir Misha.

“Dia jaga Man dari malam tadi?” Kening Awaanis terangkat apabila bayang Misha sudah tidak kelihatan.

“Bukan macam kakak fikir. Dia PA Man!” Aiman menyangkal tidak senang. Dia tahu sangat  apa yang sedang berlegar dalam fikiran kakaknya itu.

“Baguslah. Maknanya dia dah tahu tentang fiil Man.”

Aiman hela nafas.

“She’s married.” Full stop. Dia diamkan terus si kakak.

No comments:

Post a Comment