DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 14 December 2021

Darlingku Miss Youtuber - Prolog

 

5 tahun yang lalu...

SEORANG gadis berkaca mata besar hanya memandang semua orang yang berada di dalam bilik mesyuarat. Semua mata-mata terfokus ke arah dirinya. Suraya hanya menundukkan pandangannya. Kenapa hal seperti ini berlaku terhadap dirinya? Kenapa malang sangat nasibnya hari ini?

Suraya melihat seorang lelaki yang memakai kemeja putih. Wajah lelaki itu sangatlah tegang. Dialah Wan Zariq Hanafi, bos besar di syarikat dia bekerja dan merangkap ‘crush’nya. Suraya tahu, dia dan Zariq bukanlah pasangan serasi, tetapi dia pun tidak tahu kenapa perasaan seperti ini muncul. Lagipun, Zariq hanya melayannya acuh tidak acuh sahaja. Sebab itulah, dia tidak memasang harapan yang tinggi.

“Bukti dah ada! Antara korang berdua yang ada kat gudang semalam. Takkan korang tak tahu siapa yang curi?”

Suraya tersentak dengan tengkingan Zariq. Sekarang ini, dia tidak tahu bagaimana mahu membela dirinya lagi. Walhal dia tidak pernah mencuri ataupun melakukan hal terkutuk seperti itu. Sudah beberapa kali dia cuba membela diri. Tetapi pihak atasan yang lain termasuk Zariq  sendiri seakan-akan waswas sahaja.

“Ta... tapi bos... saya tak curi barang tu. Sumpah lilahitaala. Saya tak buat benda-benda terkutuk macam tu. Tolong... percayalah saya. Saya tak buat kerja-kerja curi ni,” rayu Suraya. Air matanya terasa ingin mengalir. Sedih dan sakit apabila tiada seorang pun yang mahu membelanya. Sekarang ini, dia harus kuat. Air matanya itu hanya ditahan sahaja.

Suraya mengerling lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki itu memberikan reaksi yang sama. Masih keliru dan berusaha membela dirinya yang tidak bersalah. Entahlah kenapa nasibnya malang. Semalam memang dia ada masuk ke dalam gudang tersebut. Itu pun atas arahan Zariq sendiri kerana mahukan stok terkini minyak wangi tersebut.

Keesokan harinya, pekerja daripada bahagian pengurusan stok, terus sahaja kecoh dan memberitahu Zariq bahawa ada beberapa kotak stok minyak wangi hilang. Jadi, suspek utama sudah tentu dirinya sendiri kerana dialah orang terakhir yang masuk ke dalam gudang tersebut.

Suraya mengerling seorang perempuan yang berambut sedikit perang memandang ke arahnya dengan senyuman sinis. Perempuan tersebut betul-betul duduk di sebelah Zariq. Dia ialah setiausaha kepada Zariq iaitu Farah. Suraya memang tidak suka dengan perempuan itu kerana Farah seorang yang berlagak dan asyik mengatakan bahawa Zariq itu teman lelakinya.

“Su... saya tak tahu nak cakap macam mana kat awak. Tapi bos dah tengok CCTV, memang betul tu muka awak. Tak baik tau menipu,” celah Farah.

Tanpa sedar, Suraya mengetap bibir. Tangannya dikepal kuat. Pandai sungguh perempuan itu berpura-pura. Lagi-lagi, apabila Zariq masih berada di situ.

Suraya cuba menghembuskan nafas dan menenangkan hatinya yang sedang bergelora. Entah kenapa, dia dapat merasakan bahawa Farah ada kena-mengena dengan kes curi ini.

“Aku bagi kata dua kat kau, Suraya. Semua bukti CCTV dah ada. Kau tak nampak ke sekarang ni semuanya terbukti kau yang buat, sebab kau aje orang terakhir yang ada dalam gudang tu. Kau ada dua pilihan. Kau nak bayar semua barang yang dicuri tu atau kau nak berhenti kerja? Aku tak rugi apa-apa pun kalau kau tak bekerja kat sini,” ujar Zariq serius. Matanya menatap tajam ke arah Suraya. Tangannya disilangkan.

Suraya bungkam. Zariq tidak melakukan sebarang siasatan tetapi lelaki itu terus menuduhnya membuta tuli sahaja. Dia benar-benar kecewa. Rasa seperti beban kesedihan menghempap dirinya. Dia tidak melakukan hal seteruk itu.

“Along tak nak siasat dulu ke? Aku tak rasa Suraya yang buat kerja-kerja macam tu. Please... consider balik, long. Takut kau menyesal nanti di kemudian hari,” ujar Zafran iaitu adik kepada  Zariq.

“Kau diam ajelah, Zaf. Kau tak tahu apa-apa. Dah ada bukti yang perempuan ni buat. Nak cakap apa lagi? Berhenti or bayar balik!” ujar Zariq yang kedengaran sedikit angkuh.

Zafran hanya mengangkat bahu. Abangnya memang seorang yang degil. Jadi, dia tidak tahu mahu membalas apa. Kasihan juga melihat Suraya yang keliru dan sedih itu.

Suraya mengeluh berat. Dia tidak ada cara lain lagi. Kedua-dua pilihan yang diberikan oleh Zariq sangatlah susah untuk dipertimbangkan. Ia melibatkan maruah diri dan juga duit. Semua orang tidak mahu mempercayainya. Lebih-lebih lagi Zariq.

“Tak apalah. Kalau bos pun percaya saya mencuri, saya tak boleh nak buat apa. Tapi... saya tak akan sesekali mengaku apa yang saya tak buat. Saya lebih rela berhenti kerja daripada tanggung

kesalahan orang lain,” ujar Suraya pasrah.

Kesemua yang berada di bilik mesyuarat tersebut sudah berbisik. Ada juga yang menjeling. Ada juga yang berasa simpati.

Dilihatnya Zariq yang masih lagi memandang tajam ke arahnya. Farah pula sudah tersenyum panjang. Suraya tidak ada pilihan lagi. Maruahnya sungguh tercalar. Tidak mengapalah. Mungkin lambat-laun Allah akan tunjukkan kebenarannya.

 

 

SURAYA MELETAKKAN satu per satu barangnya ke dalam kotak. Dia hanya diberi masa 24 jam untuk mengosongkan meja kerjanya. Semalam, secara rasminya dia sudah menghantar surat berhenti kerja. Dia tidak tahu hendak bekerja di mana lagi. Sudahlah sekarang susah untuk mencari pekerjaan.

Sebentar tadi pun ada juga pekerja yang menjeling tajam kepadanya. Ada juga yang memanggilnya ‘pencuri’. Namun, dia hanya diam sahaja. Kalau ikutkan rasa hati, sudah lama dilempang mulut jahat yang mengata itu. Dia masih lagi ada kesabaran.

“Yaya!” panggil seseorang sambil menepuk bahu Suraya dengan perlahan.

Suraya terus sahaja berpaling. Kelihatan Syeera dan Hasanah sedang tersenyum ke arahnya. Senyuman pahit dilemparkan. Kalau dia tidak bekerja di sini, semakin jaranglah dia dapat berjumpa dengan dua orang kawan karibnya itu.

“Kau tak nak buat rayuan ke kat bos? Aku sedihlah. Aku tahu kau tak buat benda-benda tu. Aku rasa, ada orang nak kenakan kau. Kau tak kesian ke kat kita orang ni?” ujar Syeera berbaur rayuan.

Suraya hanya mengeluh.

“Aku dah tak ada pilihan lain lagi. Ramai yang tak percaya kat aku. Kalaulah pujuk bos tu senang macam yang kau cakap tu, tak adalah aku susah-susah resign. Aku tak tahu nak bela diri aku macam mana lagi. Nasib baik bos tak report polis. Kalau tak, kes ni akan jadi panjang.”

Syeera dan Hasanah hanya mampu bersimpati sahaja. Mereka tidak ada sebarang kuasa untuk menyelamatkan Suraya. Akhirnya, mereka bertiga berpelukan. Tanpa sedar, air mata Suraya bergenang.

“Yaya... orang yang teraniaya, doanya makbul. Kita orang minta maaf kalau kita orang tak boleh nak buat apa-apa. Kita orang doakan kebenaran akan terbongkar. Biar bos tu menyesal nanti. Kau jaga diri tau. Kalau ada apa-apa, kau call aje,” ujar Hasanah sambil menepuk bahu Suraya perlahan.

Suraya pula hanya mengangguk sahaja. Biarlah. Hari ini hari mereka. Dengan izin Allah, kebenaran pasti terbongkar.

Sakit... apabila orang yang dicintai dalam diam tidak mempercayai dirinya. Dia hanya pasrah. Mungkin ini merupakan petanda bahawa Zariq bukanlah takdir untuknya.


No comments:

Post a Comment