DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 30 December 2021

Bidadari Langit Untuk Si Hitam Manis - Bab 2

 

WAK, cepat kejar dia Wak! Tu ha dia. Cepat Wak. Kejar dia cepat! Cepat!!” arah Sophiea sambil memukul-mukul kepala kerusi di bahagian Wak Surijo. Kelihatan lelaki itu tidak senang duduk memandu kereta tersebut. Kejap-kejap ke hadapan, kejap-kejap ke belakang. Pokoknya, rasa terseksa memandu dalam keadaan terdesak seperti ini.

“Wak, cepatlah! Kejar dia tu cepat!” desak Sophiea.

“Waduh non. Janganlah dipukul-pukul kerusi Wak. Pusing kepala Wak drive macam ni.”

“Wak, cepatlah kejar mamat senget tu! Saya peduli apa kalau kepala Wak pusing ke terbalik ke. Yang penting saya dapat tangkap makhluk hodoh tu. Cepat Wak! Kenapa lambat sangat bawa ni? Berapa kilometer per jam Wak bawa?” Sophiea tidak puas hati. Mukanya sudah cemberut seperti singa tidak makan setahun.

“Waduh non. Gimana Wak nak bawa laju non? Jammed keras ni non. Kalau mobil ini bisa terbang, Wak dah terbangkan mobil ni. Tenang ya non,” pujuk Wak Surijo. Sesekali dia mengelap mukanya bagi menghilangkan peluh yang menitik di dahinya itu.

“Tenang, tenang! Saya tak boleh tenang.  Pokoknya, saya kena juga tangkap mamat senget tu. Kalau tak, hidup saya tak tenang! Cepatlah Wak!” desak Sophiea.

Tiba-tiba kereta miliknya terhenti di tengah jalan. Kiri kanannya sesak dengan kereta yang tidak bergerak. Dahi Sophiea berkerut. Matanya yang bulat itu melihat meter kereta.

“Eh, eh... kenapa Wak berhentikan kereta ni? Saya suruh kejar mamat senget tu. Bukan suruh berhentikan kereta.”

“Waduh non, jammed keras ni non. Nggak bisa gerak lagi non.”

“Apa?” Sophiea mengetap bibir. Matanya cuba menangkap pergerakan Saiedon.  Jika berterusan seperti ini, nampaknya dia tidak dapat menangkap mamat senget itu.

Tanpa berfikir panjang, dia membuka pintu lalu keluar dari kereta tersebut. Dia mengangkat sedikit skirt labuhnya lalu berlari mengejar Saiedon dari belakang.

Giginya diketap kuat. Matanya mengunci tepat figura lelaki itu yang berlari tidak jauh darinya. Dia tidak kira! Walau apa pun berlaku, lelaki itu harus jatuh ke dalam tangannya.

“Eh, eh non! Non mau ke mana tu? Non!” Jerit Wak Surijo apabila menyedari tindakan gadis itu.

“Waduh non. Gimana ni?” Wak Surijo menggaru kepala yang tidak gatal. Dia mati akal untuk mengawal tindakan cik mudanya itu lagi. Jika tuan dan puan besarnya tahu, masak jadinya.

Aduh, dia kejar aku lagi ke? Apa masalah perempuan ni sebenarnya? Kejar-kejar orang tak tentu pasal. Gila ke?” Saiedon mengomel sambil melarikan diri dari gadis itu. Sesekali kelihatan dia menoleh memandang ke belakang.

Fulamak! Dia kejar pakai kaki pula. Tadi guna kereta, ni guna kaki pula. Gawat ni!” Saiedon makin gelabah. Dia menyeberangi jalan yang penuh sesak dengan kenderaan. Dia sudah tiada pilihan. Mahu tak mahu, dia harus menyeberangi juga ke lorong sebelah.

Sophiea semakin laju mengejar Saiedon. Matanya masih tidak lepas memandang lelaki itu. “Kau nak lari mana hah? Kau ingat aku tak boleh kejar kau ke? Siap kau!” Kakinya terhenti di bahu jalan. Dia mendengus kasar. Matanya membuntang melihat lelaki itu sudah selamat menyeberangi jalan sesak itu. Dia cuba untuk mengikuti jejak Saiedon. Tetapi malangnya tiada tanda-tanda kereta yang laludi situ akan berhenti.

“Hesy!” dengusnya kasar. Tanpa ragu-ragu, dia membuka kasut tumit tingginya itu. Tangannya diangkat tinggi bersedia untuk membaling kasut tersebut tepat ke arah lelaki itu. Matanya dikecilkan dan mengunci pergerakan Saiedon. Locked! Giginya diketap kuat. Kakinya sudah dipasang kuda-kuda. Gayanya ketika ini seperti pelempar bola softball yang profesional.

Ambik ni mamat senget!!” Lantas kasut setinggi 7 inci itu dibaling tepat ke kepala Saiedon. Dush! Sophiea tersenyum senget.  Yess!

“Aduh!” Saiedon tersungkur jatuh di atas jalan. Tangannya menggosok-gosok kepalanya yang agak perit itu. Mukanya berkerut. Dia mengambil kasut tumit yang berwarna merah itu lalu membeleknya.

“Ni kasut ke batu? Sakitnya!”

“Woi, mamat senget! Kau nak lari ke mana hah? Makhluk hodoh! Jangan harap kau dapat lari daripada aku!” jerit Sophiea antara dengar dan tidak. Suaranya tenggelam bersama bunyi deruman enjin kereta yang lalu-lalang di situ.

Saiedon menoleh ke arah figura si gadis.  Mukanya berkerut. Dia cuba untuk mendengar patah demi patah perkataan yang dikeluarkan oleh Sophiea. Tetapi bunyi deruman enjin telah menenggelamkan suara perempuan sewel yang membaling kasut ke kepalanya itu.

“Hah? Apa perempuan sewel ni nak hah? Dahlah baling aku pakai kasut batu dia ni. Lepas tu melalak sorang-sorang. Sah sewel. Baik aku lari.” Tanpa membuang masa Saiedon mengambil kasut tumit tinggi itu lalu membawa lari kasut tersebut.

Membuntang mata Sophiea melihat tindakan drastik lelaki itu. Marahnya semakin meluap-luap.  Asap di telinganya sudah berkepul-kepul keluar.

“Woi, jangan lari!” Sophiea cuba melintas jalan yang penuh sesak itu. Tetapi gagal. Tiba-tiba kereta yang dipandu Wak Surijo berhenti tepat di hadapannya.

“Non, waduh non! Udah-udahlah tu non. Malu dilihat orang ni.  Ayuh kita pulang non.  Muka non pun udah jadi jeruk basi. Bau nggak enak. Ayuh kita pulang ya non,” pujuk Wak Surijo.

“Wak! Saya tak akan balik selagi saya tak tangkap mamat senget tu!”

“Tapi non... non lihat diri non tu. Non udah rupa orang gila non. Udahlah tu non.  Malu orang lihat non. Udah ya. Kita pulang ya,” pujuk Wak Surijo lagi.

Sophiea melihat dirinya. Benar kata lelaki itu. Dirinya sudah serupa orang gila. Sisa makanan kucing masih melekat di kepala dan badannya. Baunya... masya-Allah! Boleh termuntah orang yang lalu di sebelahnya itu.

Sophiea tiada pilihan. Dia terpaksa juga mendengar kata-kata pemandunya itu. Dia sendiri tidak tahan dengan bau dan rupanya itu. Dengan perlahan, dia melangkah masuk ke dalam kereta.

Wak Surijo yang melihat tindakan Sophiea tersenyum nipis. Alhamdulillah, akhirnya cik mudanya itu makan saman juga orangnya. Tanpa membuang masa, dia juga membolos masuk ke dalam kereta lalu membawa cik mudanya itu pulang ke rumah.

Sophiea membuang pandang ke luar tingkap. Bibirnya diketap. Amarahnya masih lagi belum reda. Tak mengapa! Esok lusa masih ada lagi. Kalau aku jumpa kau, siap kau mamat senget!

 

KELIHATAN DARI jauh tubuh Saiedon terhuyung-hayang melangkah masuk ke dalam pekarangan rumahnya.  Dengan perlahan, Saiedon meniti satu per satu anak tangga rumah neneknya. Tidak semena-mena, tubuhnya jatuh tersembam mencium lantai papan rumah itu. Badannya bergetar.

“Ya Allah Saiedon! Apa kena dengan kau ni? Kena sawan ke?” Nek Miah mendekati tubuh cucunya itu. Dia cuba memusingkan badan Saiedon. Kelihatan mata lelaki itu sudah naik ke atas. Badannya masih lagi bergetar dan kejang.

“Ya Allah, cucu aku! Sejak bila kau ada sawan ni Idon!” Nek Miah menjerit sambil menepuk kuat pipi cucunya itu.

“Aduh nek! Sakitlah Idon. Nenek pukul kuat sangat ni. Mana nenek dapat tenaga kuat macam ni? Nenek minum tongkat ali ek?” Saiedon berseloroh lantas duduk bersila berhadapan dengan neneknya.

“Hesy, budak ni! Main-main pulak. Kita risau dia kena sawan betul-betul. Nasib baik tak gugur jantung nenek ni.” Marah Nek Miah sambil memukul bahu lelaki itu. Secara tak sengaja, tangannya terkena kepala Saiedon yang benjol.

“Aduh, nek! Sakit-sakit. Sorry nek, Idon main-main aje tadi. Sakit nek!” Saiedon memegang kepalanya yang benjol itu.

Berkerut dahi Nek Miah melihat kelakuan cucunya itu. “Kenapa dengan kepala kau tu Idon?” Nek Miah bertanya sambil melihat kepala Saiedon itu.

“Ni ha, nek. Idon kena baling dengan binatang ni. Aduh, sakit tak terkata kepala Idon ni!” Saiedon menunjukkan kasut tumit tinggi milik Sophiea.

Nek Miah agak pelik tatkala melihat kasut perempuan yang dipegang cucunya itu. Matanya beralih memandang Saiedon.

“Siapa yang baling kau dengan kasut ni? Kau buat masalah ya Idon?”

“Nek, tak baik tuduh-tuduh Idon macam tu tau. Idon ni baik budaknya. Tak pernah buat masalah dekat orang lain tau.”

“Dah tu, kenapa kasut ni boleh tercacak dekat kepala kau?” soal Nek Miah geram.

Saiedon mula mencebik. Matanya menjeling. “Mana Idon tahu. Tiba-tiba ada minah sewel mana entah kejar Idon, siap pakej baling kasut ni dekat kepala Idon lagi. Minah tu psikolah nek. Dahlah kasut dia ni macam batu. Dia baling tepat pulak tu dekat kepala Idon. Idon geram, Idon bawa balik kasut ni. Padan muka dia balik berkaki ayam sebelah!” cerita Saiedon bersungguh-sungguh.

“Isy... isy, sungguh sadis cerita kau ni Idon. Lepas tu, apa jadi?”

Saiedon memandang wajah tua itu. ‘Eh, macam main-main pulak nenek aku ni,’ bisiknya dalam hati.

“Lepas tu, Saiedon balik rumah. Tup-tup nenek pukul-pukul Idon. Tamat. Habis cerita.”

Nek Miah menggeleng kepala. “Hmm, boleh buat novel cerita kau ni Saiedon. Ni, nenek nak tanya. Kau dah solat zuhur ke belum?”

Saiedon mencebik. Dia menunduk lalu menggeleng kepalanya. “Belum nek,” jawabnya perlahan.

“Dah tu, yang duduk lagi dekat sini kenapa? Pergi solat cepat. Zuhur dah nak habis dah ni.”

“Tapi nek...”

“Cepat!” gesa Nek Miah.

“Baik nek.” Dengan segera, Saiedon bangun dan berlari masuk  ke dalam bilik. Nek Miah hanya menggeleng melihat gelagat cucunya itu. Haih, Saiedon, Saiedon.

 

SOPHIEA MELANGKAH masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan marah. Mukanya mencuka persis badak sumbu Sumatera. Kakinya dihentak seperti anak gajah yang baru masuk ke dalam rumah. Dengan keadaan marah, Sophiea bergegas naik ke biliknya.

Mak Jenab yang sedang sibuk mengemas rumah terhenti seketika melihat wajah cik mudanya itu. Dengan  segera, dia mendekati Wak Surijo seraya memandang figura gadis itu yang sedang memanjat anak tangga.

“Surijo! Surijo! Kenapa dengan cik muda tu? Dia terjatuh dalam loji najis ke?” tanya Mak Jenab kalut.

“Isy, kau ni. Non muda kita tu kena simbah dengan makanan kucing.”

“Hah? Macam mana boleh kena simbah dengan makanan kucing? Macam mana boleh jadi macam tu?” soal Mak Jenab ingin tahu.

“Itu nanti sajalah aku cerita. Aku banyak kerja mau disiapkan ni. Aku pamit dulu.” Wak Surijo lantas meminta diri.

“Eh, nantilah dulu Surijo. Ceritalah dulu.” Mak Jenab mengikuti langkah lelaki itu.

“Ah, nanti sajalah.”

“Alah, ceritalah!”

 

SETELAH BERENDAM di dalam bilik mandi selama sejam, Sophiea menyarung jubah mandinya. Rambut panjangnya yang basah dibalut menggunakan tuala. Dia meregangkan badan serta lehernya. Terasa sungguh lega dan selesa setelah membersihkan dirinya itu. Sudahlah wangi, bersih pula itu. Tidak seperti tadi. Busuk dan selekeh. Hesy!

Sophiea mendekati katilnya. Tiba-tiba hidungnya menangkap bau tidak enak. Kembang kuncup hidungnya mencari punca bau itu. Matanya menjejak arah bau yang dihidunya. Secara tidak langsung matanya menangkap pepejal berwarna keemasan yang bertepek di atas katil queennya.

Anak matanya semakin membulat. Darahnya serta-merta mendidih naik ke kepala. Jari-jemarinya digenggam erat. Dadanya sudah berombak kencang. Ini benar-benar menjadikan dia sewel tahap kronik!

Arghhhhh!!!”

 

No comments:

Post a Comment