DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 1 December 2021

Tinta Cinta - Bab 1

 

“Brew coffee?”

Rauf menoleh ke belakang. Dia senyum nipis ke arah si teman sambil mengunjukkan muk kopi kepada lelaki itu.

Kaki melangkah ke arah kerusi lalu dilabuhkan duduk di situ. Mata yang serupa panda meminta dia mengisi tubuh dengan kafein. Walhal dia sendiri sudah tahu yang tubuh dia sudah imun dengan kafein. Tidak kira betapa banyak kafein masuk ke dalam tubuhnya, mata dia tetap juga mengantuk. Malah dia juga tahu kafein tidak elok untuk diri jika berlebihan tapi ketika ini dia rasakan sangat memerlukan kafein.

Apa tidaknya sudah beberapa hari dia on call. Tapi itulah, tubuh dia dah bagi signal Cuma dia yang malas nak dengar. Kata orang tua, jangan manjakan sangat tubuh.

Hmm, rasanya tubuh dia dah terlalu penat. Dia yang menyeksa tubuh sendiri. Nakkata tak rehat langsung, tipulah. Ada juga sejam dua jam dia tidur kat hostel staf lelaki. Tak pun menumpang rumah bujang mana-mana staf yang menyewa berdekatan dengan hospital tetapi tidak serupa tidur di rumah sendiri.

Dia hela nafas perlahan. Jika diluahkan apa yang dia rasakan ini pasti akan dimarah atau disuruh saja cari pekerjaan lain tetapi penat yang dia rasakan ini satu kepenatan yang berbaloi. Apabila kita melakukan apa yang kita minati, tiada apa yang menjadi masalah. Cuma sebagai manusia begitulah kita, ada ketika rungutan akan terbit dari bibir tatkala tubuh dan mental kepenatan.

“Rauf.”

Hmmm,” gumamnya perlahan sambil mencecap air kopi. Dia mahu menikmati kopi pekat yang berasap halus. Kepanasan yang memberikan kehangatan pada dingin penyaman udara.

“Dah berapa muk kopi hari ni?” Addin turut angkat muk duduk di sebelah Rauf. Dia hanya bancuh seuncang teh sahaja. Addin bukan penggemar kopi tapi sesekali apabila memerlukan, dia akan bancuh juga tapi bukan kopi tanpa susu atau gula seperti Rauf.

Si teman ini, dia boleh katakan gila. Minum kopi kaw tanpa gula ibarat minum air kosong. Dia pernah cuba sekali, rasanya kelat. Sampai tersembur air kopi tu dari dalam mulut. Tukang gelak, Rauflah. Tapi tak dinafikan kopi tanpa gula sebenarnya banyak khasiat jika diambil dengan jumlah yang betul.

“Lima.”

Melotot mata Addin pada Rauf. Kalau dah sampai 5 muk, itu bukanlah satu petanda yang baik. Menggeleng kepala dia dengan tingkah Rauf.

Hmm. Pergilah tidur,” suruhnya.

“Baru bangun ni,” balas Rauf malas. Dia tahu sekejap lagi Addin akan bebelkan dia. Bersahabat sudah lama menjadikan mereka sudah masak dengan sikap masing-masing. Addin ni ibarat pengganti Puan Raunah. Suka bebelkan dia jika ada mereka tak suka dengan perbuatannya.

Mama!

Keluhan dilepaskan perlahan. Sudah beberapa hari dia tidak menjenguk Puan Raunah apatah lagi meluangkan masa dengan wanita itu. Ralat dan rasa bersalah membalut diri tetapi di sini juga dia punya tanggungjawab. Dia berharap yang Puan Raunah mengerti tanggungjawab yang dia pikul ini. Lagi pula Mak Cik Razilah ada menemani Puan Raunah. Hanya pada Mak Cik Razilah dia menyandarkan harapan ketika ini. Menjadi orang kepercayaan untuk menjaga Puan Raunah.

“Kau ni dah berapa hari on call? Nampak macam tak cukup rehat aje ni. Kau kena jaga kesihatan juga.”

Rauf ketawa kecil. Dia mula dah. Dia akui yang dia terlalu fokus bekerja sehingga mengabaikan waktu rehatnya. Hanya dengan profesion itu menjadi alasan untuk dia lari dari satu lagi kehidupan yang menyekat langkahnya dan meninggalkan semua kepahitan itu.

“Atau kau nak lari sebenarnya?” soal Addin.

“Nak lari buat apa? Memang aku kerja kat sini pun.” Dia sisip titisan terakhir kopi. Bangun ke singki lalu mencuci muk dan sangkut di tempatnya. Dia berdiri dengan bersandar pada tepi singki.

“Kau tak lari dari kerjaya tapi dari hidup,” balas Addin.

“Hidup aku tetap di situ walau sejauh mana aku cuba berlari, Addin. Hakikat yang aku takkan mampu lupakan atau hilangkan dari diri aku. Jadi tak ada gunanya aku lari. Aku...Cuma mengelak,” keluh Rauf.

Jika dia berada di rumah pasti ada yang mencari. Bukan sekadar mengganggu dia tapi juga Puan Raunah. Hanya kerana mereka mahu mengikat dia menjadi pak turut. Berkali-kali dia katakan tak mahu tetap juga mereka memaksa. Serabut!

“Sampai bila?”

“Sampai aku jumpa ‘jalan’ aku.”

Jeda.

“Doktor Rauf.”

Rauf mengangkat kepala dan menoleh ke pintu pantri. Terjengul Nurse Riffa dalam keadaan termengah-mengah. Selalunya, pasti ada kes kecemasan kalau begini reaksi jururawat itu.

“Kenapa nurse?”

“Kecemasan.”

“Okey. jom! Aku pergi dulu Addin.” Rauf berlalu mendapatkan Nurse Riffa.

“Siapa?”

“Perempuan. Umur dalam lingkungan 20-an.”

“Sakit apa?”

“Cubaan bunuh diri.”

Kaki yang laju melangkah terhenti mendadak. Mata mencari seraut wajah Nurse Riffa. Perempuan berumur dalam lingkungan 20-an mencuba untuk bunuh diri? Kenapa? Selalunya hanya satu, sama ada dirogol atau putus cinta.

Hal sebegini sebenarnya dah biasa bagi dia. Ini juga bukan kes pertama bunuh diri yang dia handle. Terlalu banyak dan bila ditanya sebabnya sangat remeh. Putus cinta! Suami curang! Kekasih curang! Dah banyak kali. Kenapa nyawa itu menjadi murah pada mereka walhal nyawa itu cuma ada satu? Tiada ganti dan tiada dua hanya satu! Lelaki atau perempuan sama saja jika melibatkan soal cinta. Menjadi manusia pendek akal yang sanggup memusnahkan diri sendiri.

Saban masa dia baca di surat khabar atau dengar pada berita di kaca televisyen, kisah perempuan yang mati dibunuh selepas dirogol. Tidak hanya dibunuh malah ada yang dibakar. Pengakhiran yang menakutkan. Itu perempuan, belum lagi kisah lelaki yang diakhiri oleh perempuan. Sungguh jangan buat musuh dengan perempuan kerana bila mereka tekad apa saja yang tak mampu mereka lakukan.

Langkah semakin dilajukan apabila menghampiri ruang kecemasan. Riuh di situ menandakan keadaan yang kritikal. Langsir yang menutupi katil diselak kasar. Mata Rauf terpaku kepada susuk yang terlentang atas katil. Tidak ada apa yang pelik. Tidak ada buih yang keluar dari mulut dan tidak ada luka pada tubuhnya. Jadi, bagaimana gadis ini cuba membunuh diri?

“Doktor!” panggil Nurse Riffa.

“Haa, ya. Macam mana Doktor Anisah?”

“Dia collapsed. I baru lepas buat AED kat dia, dan syukur kita dapat semula nadinya tapi bacaannya masih lemah,” jelas Doktor Anisah. Dia menoleh ke arah katil yang menempatkan pesakit tadi, pucat dan tidak bermaya. Dalam hati tertanya juga apa yang terjadi?

Tidak ada tanda kecederaan pada tubuh yang menjadi bukti pendakwaan. Tiada langsung unsur cubaan bunuh diri.

“Tapi I hairan, kawan dia cakap cubaan bunuh diri tapi I tak jumpa sebarang luka pada tubuh. Maksud I luka seperti kelar tangan atau ubat-ubat terlarang dalam tubuh. Cuma ada lebam seperti dipukul sahaja tapi tidak mendatangkan bahaya,” jelas Doktor Anisah.

Rauf angguk faham. Dia juga nampak apa yang dikatakan oleh Doktor Anisah.

“Ahli keluarga dia datang?”

“Kawan dia saja. Ada kat luar,” jawab Nurse Riffa.

Rauf keluar ke tempat menunggu. Mencari ahli keluarga gadis tadi. Dia menoleh ke arah Nurse Riffa.

“Siapa nama pesakit tadi?”

“Sakura.”

Rauf jongket kening. Sakura? Orang Melayu atau bukan? Tapi kalau melihat pada wajah gadis tadi mungkin kacukan. Tapi nak pelik apa kan? Sekarang orang Melayu pun letak nama anak Sakura untuk menampakkan keunikan.

Nurse Riffa sengih. Memang nama gadis itu Sakura. Cantik nama dan orangnya. Sayang kalau betul dakwaan kawan Sakura yang gadis itu cuba bunuh diri. Usia masih muda dah terfikir nak akhiri hidup dengan cara begini.

“Siapa keluarga Sakura?”

“Saya.” Seorang gadis muda meluru ke arah Rauf.

“Kakak?” Sengaja Rauf menyoal begitu walau sudah tahu apa hubungan gadis ini dengan Sakura.

Damiera menggeleng.

“Kawan.”

“Dia tak ada keluarga ke?”

Geleng lagi. Damiera ketap bibir. Keluarga? Kerana keluargalah Sakura jadi begini. Kerana keluarga, Sakura seksa diri sendiri. Gadis itu tak perlukan keluarga. Hanya cukup ada dirinya untuk Sakura.

“Okeylah. Saya nak tahu, kenapa dengan pesakit?” Damiera mengeluh nipis.

“Dia tak apa-apa kan doktor?”

“Doktor Anisah sedang merawat. Saya nak tahu apa yang terjadi? Nurse beritahu saya dia cuba bunuh diri tapi kesan bunuh diri tak ada pada dirinya,” jelas Rauf. Dia tertanya juga apa yang jadi pada gadis itu.

“Sakura dah hampir 2 minggu tak makan dan minum.”

“Kenapa?” soal Rauf dengan kening mengerut.

“Itu cara dia cuba bunuh dirinya doktor.” Damiera bersuara perlahan. Tanpa makan dan minum serta tidur yang cukup, itu cara yang Sakura tentukan untuk akhiri hidupnya. Siang malam berlatih tinju tanpa pedulikan diri yang dibantai. Akhirnya, Sakura pengsan! Tanpa nadi. Nak naik gila dia berkejar ke sini tadi.

Rauf kerut kening. Tak makan dan minum bukan cara yang tepat untuk bunuh diri. Itu jalan yang... Oh, okey! Dia sudah faham. Gadis itu mahu seksa diri sendiri lepas tu mati? Dangkal! Apa gadis itu semudah itu hendak mati? Selagi Allah tidak katakan ya, selagi itulah tubuh kecil itu akan kandungkan roh yang Allah pinjamkan.

Namun mengapa dewasa kini semakin kerap kes bunuh diri kedengaran? Kematian itu mungkin kedengaran sangat mudah. Mati, tanam, selesai, mudah kan?

Tak! Jika Allah buka hijab yang tertutup, dia rasa tidak akan ada manusia yang akan cuba bunuh diri, malah tidak akan ada manusia yang cuba melakukan dosa. Malah dia yakin tidak ada manusia yang akan menyebut mati semudah menyebut ABC setelah melihat kebenaran selepas kematian. Kerana sakitnya kesan perbuatan tersebut bukan di dunia pentingnya tapi di sana kelak.

No comments:

Post a Comment