RAUF berselisih dengan Doktor Anisah ketika mahu ke pantri. Dia menegur wanita itu untuk bertanyakan tentang pesakit hari itu. Sudah 2 hari Sakura dimasukkan ke sini dan dia belum sempat untuk melawat. Lagi pula jadual dia lebih banyak di wad kecemasan dari wad biasa. Cuma entah kenapa dia terasa ingin tahu tentang gadis itu.
“Macam mana dengan pesakit nama Sakura tu doktor?”
“Dia tak nak bercakap. Ubat tak nak makan. Puas nurse paksa tapi begitu juga. Malah dia cuba cabut drip kat tangan. I sendiri dah consult dengan dia tapi macam I cakap kat you, dia diam seribu bahasa. Nak kata dia tak faham bahasa Melayu, I siap speaking London dengan dia tau,” seloroh Doktor Anisah. Buntu juga dia nak memujuk si pesakit. Bukan tak pernah jumpa pesakit degil begini, cuma Sakura ini berbeza. Tak memberontak, tidak bertindak kasar tapi kesenyapan dia itu yang menjadikan dia dan nurse bingung. Apa saja yang ditanya pada nurse, Sakura hanya memandang kosong tanpa reaksi.
Rauf ketawa dengan bicara wanita ini. Pelik juga dia dengan pesakit seorang ini. Pesakit yang masuk sini sangat mudah mesra dengan Doktor Anisah kerana wanita ini sangat lembut kata dan juga perbuatannya. Dalam merawat pesakit pun Doktor Anisah sangat lembut.
“So, I perlukan bantuan you untuk consult dengan dia. Mana tahu dia nak dengar cakap you dan ikut semua saranan kita dengan baik. At least dia nak makan ubat, tak adalah nurse hari-hari nak kena paksa dia.” Doktor Anisah memutuskan untuk meminta bantuan Doktor Rauf. Memandangkan lelaki ini juga ada pengetahuan tentang psikologi.
“Dia kat wad biasa ya?”
“Ya.”
“Okey. Nanti petang saya naik ke sana kejap. Jadual saya minggu ni belum keluar lagi,” beritahu Rauf. Dia melurut leher yang terasa berat. Harapnya jadual dia minggu ni tak adalah on call. Tapi macamlah dia yang tentukan on call atau tidak.
“Sebelum jumpa dia, make sure muka you tu senonoh sikit,” tegur Doktor Anisah.
“Why?”
“Dah serupa orang mati bini tau.” Doktor Anisah berseloroh sebelum berlalu.
Rauf menjongket kening. Teruk sangat ke muka dia? Dari ke pantri dia terus ke tandas. Masuk saja tandas, dia terus ke cermin dan menilik dirinya di situ. Betullah apa yang dikatakan oleh Doktor Anisah tadi. Rambut dia serabai, muka sememeh. Haih, kalau lagi lama dia bertapa kat hospital mahu nanti dia jadi zombie.
Pili air dibuka lalu dibasuh wajahnya dan juga rambutnya. Barulah dia terasa segar. Kedua-dua tangannya menekap ke singki. Akhirnya dia boleh rasa nafas sendiri. Sadis sungguh hidupnya. Di sini, di tempat dia berkhidmat sedayanya dia berusaha untuk selamatkan pesakit. Tidak kira jiwa atau tubuh mereka, dia berusaha semampunya.
Tapi tidak dinafikan bahawa dia juga merasa lemah. Ada masa dia mahu sendirian dan menikmati hidup. Namun dia juga sedar di bahunya tergalas tanggungjawab. Dia yang memilih kerjaya sebagai doktor maka dia harus sedia menggalas bebannya.
Rauf tidak mahu digelar doktor yang hanya bekerja untuk kelangsungan hidup. Memilih profesion sebagai doktor hanya kerana gaji yang besar dan juga masa depan yang cerah. Tidak! Rauf tak mahu dilabel sebagai doktor begitu. Misi dia sebagai doktor, untuk menyelamatkan banyak nyawa yang dia mampu. Mati itu di tangan Allah, namun berusaha untuk hidup perlu juga. Kerana selagi belum sampai ajalnya, nyawa itu akan tetap di dalam badan.
SEPERTI YANG dijanjikan petang itu, dia naik ke wad perempuan. Tujuannya satu, untuk berjumpa dengan gadis bernama Sakura. Dia hanya mengenakan kemeja dan slek. Kot putih dia tinggalkan di dalam biliknya. Selepas melawat Sakura, dia akan balik berehat di rumah. Dan waktu kerjanya telah berakhir sejam yang lepas.
Melangkah tenang memasuki wad perempuan, kening Rauf mengerut bila melihat meja nurse kosong. Malah tidak ada nurse di mana-mana. Kakinya melangkah lagi dan bunyi bising yang menarik kakinya laju melangkah.
Sampai di hujung sudut, kelihatan sekumpulan nurse sedang mengerumuni katil. Dia melihat pesakit yang lain menjauh dari katil tersebut. Di wajah mereka masih jelas ketakutan.
“Kenapa ni?” tanya Rauf.
“Doktor Rauf.” Nurse Riffa menghela nafas lega. “Tolong doktor. Pesakit ni cuba buka drip lagi. Dah tu dia tak nak makan ubat. Dia tampar nurse bila kami nak suntik ubat,” adu Nurse Riffa.
Rauf mencelah dalam kekalutan. Masing-masing sudah kelelahan. Memanglah mereka takkan mampu tangani tenaga ahli tinju seperti Sakura. Dia minta jarum suntikan dari Nurse Riffa. Dengan tenaganya, sekejap saja suntikan itu disuntik ke dalam tubuh Sakura.
Tubuh yang tegang tadi mula mengendur dan semakin longlai. Rauf mencempung tubuh kecil itu dan diletakkan elok di atas katil. Dia minta nurse betulkan pakaian gadis itu dan juga gantikan drip yang baharu.
Setelah selesai, dia tarik langsir menutup katil Sakura. Kerusi ditarik lalu dia duduk bersandar dan entah bila dia tertidur. Sakura memandang lelaki itu tanpa kata. Dia tak tahu siapa lelaki ini? Dia mahu bertanya tapi tubuhnya terasa sakit. Tak mampu untuk turun menyelak langsir atau mencari nurse.
Pandangan dilemparkan ke depan. Kosong. Sedar sahaja tadi, dia terlihat drip sudah bertukar. Dia sudah penat untuk mencabut maka dia biarkan saja. Kenapa dia masih hidup? Kenapa Damiera selamatkan dia? Bukankah dia sudah katakan yang dia tak mahu hidup lagi. Kenapa Damiera juga tidak mengerti? Damiera kata mereka kawan baik. Gadis itu sepatutnya faham akan dirinya. Faham kenapa dia bertindak sedemikian.
Rauf bergerak perlahan. Lenguh lehernya tidur sambil duduk begini. Dia betulkan tangan dan menoleh ke katil. “Dah bangun?” soalnya.
Dia bangun masuk ke bilik air, membasuh muka kemudian keluar semula. Duduk kembali di kerusi tadi. Memandang wajah tegang Sakura. Pandangan yang kosong berserta wajah yang kosong. Tanpa perasaan.
“Saya, Doktor Rauf.” Rauf perkenalkan diri. Dia menanti reaksi si gadis namun diam seribu kata. Usahkan membalas, melihat ke arahnya juga gadis itu tidak sudi. Aduhai, muka aku tak kacak ke? Atau sememeh? Rasanya tadi elok aje.
“Boleh saya tahu kenapa awak tak nak makan ubat?” Rauf masih berlembut. Orang berkeras takkanlah dia nak berkeras juga.
“Kenapa selamatkan aku?”
Kasarnya bahasa gadis cantik ni. ‘Aku’ ya?
Tidak menjawab, Rauf bangun bergerak ke kiri katil. Tangan Sakura dicapai lalu melihat jarum drip. Ada kesan bengkak. Haruslah bengkak bila berkali-kali cuba dicabut dengan kasar. Dari ekor mata, dia melihat tingkah lelaki itu. Doktor? Dia tak perlukan semua ini tapi dia sudah tidak ada kudrat untuk melawan. Ke mana hilang semua tenaga yang dia ada?
“Awak tahu adab tetamu datang ke rumah?” soal Rauf. Dia letak dengan hati-hati tangan gadis itu ke bawah. Tangan naik melekap pada dahi Sakura, agak panas. Bukan saja ubat malah makanan yang disediakan hospital pun gadis ini tak sentuh.
“Apa kaitannya?”
“Tuan rumah harus melayan tetamu dengan baik hatta tetamu itu tetamu tak diundang,” tutur Rauf. Dia duduk semula di kerusi.
“Awak ibarat tetamu dan saya sebagai tuan rumah. Bila tetamu datang, kita harus layan dengan baik. Tak kira siapa awak, apa awak mahu. Tugas saya melayan awak dengan baik. Nyawa awak bukan dalam tangan saya Sakura. Nyawa awak Allah yang pegang. Saya hanya berusaha selamatkan awak sebab awak tetamu kami,” jelas Rauf tegas.
Rauf masih memandang wajah kosong itu. Tiada reaksi. Ke mana hilang perasaan gadis ini? Apa yang sudah jadi hingga gadis ini benar-benar nekad? Dia boleh lihat sepasang mata itu tidak menyesal dengan apa yang terjadi. Hati Rauf tidak sabar untuk tahu apa yang terjadi dalam hidup gadis ini.
“Okeylah. Anggap saja hari ini hari perkenalan kita. Esok saya datang lagi.”
“Kau doktor psikiatri ke?”
Kaki yang melangkah setapak terhenti. Dia memusing tubuh melihat si gadis. Mulut bercakap dengannya tapi mata gadis itu memandang ke arah lain.
“Tak.”
Senyap.
Rauf mahu tanya kenapa namun dia tahan hatinya. Tidak perlu dia terlalu berusaha untuk buat Sakura selesa dengannya. Masih ada banyak waktu untuk dia berbuat demikian. Cuma seperti yang dia cakap, anggap saja hari ini hari perkenalan mereka.
Sakura... nama yang indah. Dia yakin peribadi gadis itu juga seindah namanya.
No comments:
Post a Comment