RAUF meletakkan mangkuk nasi air di atas meja. Tak sangka dia langkah kanan. Baru semalam dia teringin nak makan nasi air, sekali hari ni di kafeteria Mak Cik Aminah masakan bubur nasi itu pun tinggal semangkuk saja lagi.
Fuh, hari ini dia penat gila! Banyak kes kecemasan yang memerlukan dia turut serta. Tapi bila difikirkan semula, bila masa wad kecemasan itu tenang. Setiap hari ada saja kes yang mereka tangani.
Hari ini pula dari pagi ke tengah hari kes kemalangan yang dia tangani. Ada satu kes yang memberi kesan pada hatinya hingga kini. Sepasang suami isteri yang dilanggar lari. Suami meninggal di tempat kejadian dan si isteri masih dalam keadaan kritikal. Dari makluman keluarga, pasangan tersebut ada anak kecil yang berusia setahun. Bagaimana agaknya anak itu menerima kehilangan seorang ayah? Dia yang sudah mengerti tentang kehilangan juga terduduk saat menghadapi sebuah kehilangan. Inikan pula anak kecil yang baru berusia setahun.
“Baru nak makan?” tegur Addin. Dia meletakkan tin air Milo dan duduk di depan Rauf. Tangan naik meraup wajah kemudian melurut leher.
“Hmm,” gumamnya perlahan. “Banyak kes ke?”
Addin mengeluh sambil menongkat dagu.
“Kenapa?”
“Pesakit tak dapat diselamatkan,” lirih nada Addin. Menghadapi kematian bukan perkara yang mudah walaupun dia sudah berkali-kali menyaksikan sebuah kematian tetapi Addin rasakan sangat sukar untuk dia terima apatah lagi ahli keluarga mangsa.
Rauf memandang Addin dengan rasa simpati. Dia juga adakalanya seperti Addin. Emosi bila pesakit yang di bawah jagaannya tak dapat diselamatkan. Hatta saban waktu mereka ditemukan dengan kematian perasaan itu masih sama. Seperti hari ini hari pertama mereka berhadapan dengan kematian. Mati! Siapa yang mampu hadapinya dengan tenang? Tidak banyak hatta sedikit pasti ada rasa gentar.
“Kes apa?”
“Kemalangan. Luaran dia okey, tapi organ dalaman dia, terlalu banyak komplikasi. Hampir keseluruhan organ dalam dia rosak. Hati, limpa, belum lagi luka pada bahagian dalam otak dia. Masa aku lihat CT Scan, aku speechless. Aku cuba sedaya aku selamatkan mana yang mampu tapi...”
“Kau dah buat yang terbaik Addin. Ajal itu bukan urusan kita. Allah yang tentukan. Jika sudah sampai masa dia, sedaya mana kau berusaha sekalipun, hanya sia-sia,” pujuk Rauf.
Addin meraup wajah. Dia tahu tidak sepatutnya dia emosi begini. Sebagai doktor sepatutnya dia lebih rasional namun hatinya masih ada sekelumit simpati. Apatah lagi apabila melihat balu mangsa bersama anak kecil berusia 6 bulan, makin luluh hatinya. Bagaimana anak itu nanti apabila membesar tanpa mengenal ayah sendiri? Sedikit sebanyak dia tetap rasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan pesakit tersebut. Namun apa yang dikatakan oleh Rauf ada benarnya. Ajal itu bukan di tangan mereka walaupun tugas mereka menyelamatkan manusia. Selamat atau mati, itu semua Allah punya kerja. Manusia atau doktor mereka hanya berusaha. Mereka tidak mempunyai sakti yang
menentukan hidup dan mati manusia yang lain.
“Aku dengar ada gosip tentang kau dengan pesakit nama Sakura.” Addin menukar topik perbualan. Dia perlu lari dari kenyataan itu sekejap. Mengubat hati yang luka.
Rauf menyambung menyuap nasi air ke dalam mulut. Langsung tidak dipedulikan usikan Addin.
“Tadi aku dengan Doktor Anisah sempat bergosip fasal kau. Kata dia, dah kecoh satu hospital kau jadi hero semalam.” Addin ketawa kecil. Dia sendiri ketika dengar cerita Rauf dan pesakit bernama Sakura itu semalam, tercengang juga. Tak pernah lagi kat hospital ini ada drama begitu.
Rauf menggeleng kepala. Ada pula kata dia jadi hero. Dia hanya menjalankan tugas sebagai doktor. Di mana saja pasti ada yang suka bergosip. Dia dah boleh agak sebenarnya apatah lagi bila dia buat kerja gila menunggu di situ.
“Banyak pula masa korang bergosip ek,” sinis Rauf.
Addin menyengih saja.
“Bukan selalu pun. Sesekali dah penat kerja nak juga ada hiburan macam ni.” Mengekek dia ketawa apabila Rauf menjeling. Tahu sangat yang temannya tidak suka orang bergosip.
“Macam mana?” tanya Addin lagi.
“Macam mana apa?” soal Rauf. Dia menjongket kening.
“Pesakit tulah. Doktor Anisah ada cerita yang dia tolak semua rawatan. Semalam pun dia tampar Nurse Qaira. Menangis budak tu. Berbekas merah kat muka dia. Dahlah budak tu masih dalam praktikal. Nampak macam dah serik,” cerita Addin.
Rauf angkat wajah memandang sinis.
“Baru kena tampar dah serik? Nak jadi nurse macam mana kalau baru kena macam tu dah mengalah.” Rauf menggeleng kepala. Budak sekarang memang manja. Baru kena torture sikit dah mengalah. Kena bambu sikit berhenti kerja. Mana ada kerja yang tidak ada tekanan. Tidak ada kena maki.
“Kerja sebagai nurse ni kerja yang mulia. Hati kena ikhlas. Jangan hanya kerana manfaat yang banyak sebagai pekerja kerajaan semua pakat mohon jadi nurse. Tapi tanggungjawab, keikhlasan kosong. Yang susah nanti pesakitlah. Itu yang ada kes, nurse kena buang kerja kerana masalah disiplin. Paling penting, kena ikhlas!” tegas Rauf.
“Sama juga dengan doktor. Jangan harapkan masa depan cerah sahaja maka sanggup belajar jadi doktor. Lepas tu bila dah jadi doktor, tak tahan tekanan dilepaskan perasaan pada pesakit. Berapa banyak aduan yang pihak atasan terima berkaitan dengan doktor pelatih yang bertindak kasar pada pesakit. Ada yang memaki juga. Jangan rosakkan profesion mulia ini hanya kerana nafsu diri mahukan jaminan masa depan yang cerah,” sambung Rauf.
Jeda.
Addin ketawa kemudiannya. “Kau sekali buka mulut bernanah telinga aku.” Dia meneguk air dalam tin kemudian memandang Rauf. “Kau rasa Sakura tu seperti yang Doktor Anisah sangka?”
“Apa yang Doktor Anisah sangka?” Rauf meletakkan sudu. Dia pun tak sempat berbincang lebih dalam dengan Doktor Anisah tentang Sakura.
“Sakura ada masalah tekanan.”
Rauf jeda. Dia menggaru kening sambil memikirkan apa yang dikatakan oleh Addin.
“Oh, aku tak sempat jumpa dia lagi hari ni. Tapi Nurse Riffa takde update tu maksudnya dia okeylah kut,” balas Rauf.
Addin bersandar tubuh pada kerusi. Dia berkira-kira sama ada mahu beritahu apa yang dia dengar itu kepada Rauf ataupun tidak. Kemudian dia mencapai tin Milo meneguk perlahan. Rauf yang melihat perilaku Addin merasa musykil.
“Kau ada benda nak beritahu kan?”
Addin menyengih. “Aku dapat tahu yang keluarga dia nak bawa dia keluar dari sini tapi kawan dia berkeras tak bagi.”
Dia yang mahu menyudu nasi air, meletakkan kembali sudu. Apa ke pelik kehidupan Sakura ni? Kawan lebih sudu dari kuah! Sedangkan keluarga pula sibuk hendak bawa anak yang sah-sah kesihatan fizikal dan mentalnya tak stabil. Apa yang tersimpan di sebalik nama Sakura?
“Kau tahulah, kawan dan orang tua pastilah orang tua yang menang. Cuma masalah sekarang keadaan Sakura tak mengizinkan. Tapi keluarga dia berkeras juga. Itu yang Doktor Anisah menggelupur sekarang,” cerita Addin.
Rauf yang mendengar bertambah pelik. Benar-benar misteri gadis bernama Sakura ni. “Pastu apa yang aku perlu lakukan?” Tiba-tiba dia jadi bingung pula.
“Jalankan tugas kau sebagai doktorlah. Pihak hospital belum berikan apa-apa keputusan. Tapi aku ada dengar ura-ura mangsa buat tawaran.”
“Tawaran?”
Addin mengangguk. Bibirnya menyenget. Dia yakin Rauf akan melopong apabila mendengar tawaran daripada Sakura. Dia sendiri melopong bila diberitahu oleh Doktor Anisah.
“Apa dia?” tanya Rauf.
“Mereka sanggup menyumbang dana kepada hospital sebanyak RM2 juta dan...”
Melopong Rauf. RM2 juta okey bukan RM2. Sekaya mana keluarga Sakura? Atau kenapa mereka beria-ia sangat mahu membawa Sakura keluar dari sini sehingga sanggup memberikan tawaran yang sebegitu lumayan? Dan...
KAKI RAUF menapak laju. Habis saja jadual kerja, dia terus salin baju dan menapak naik kewad perempuan yang menempatkan Sakura. Apa yang diberitahu Addin terngiang-ngiang di telinga. Kenapa? Itu yang bermain dalam kepalanya.
“Hai,” sapa Rauf.
Sakura mendongak wajah memandang tanpa perasaan. Dia membetulkan selimut dan juga duduk. Tangan naik menyilang dada. Mata masih melekat kemas pada si jejaka. Dia yakin dia tahu apa yang membawa doktor ini ke sini. Pasti tentang khabar angin yang sedang berlegar di sekitar hospital sekarang ini.
“Sihat?”
“Hmm,” gumam Sakura. Kerusi ditarik perlahan dan punggung dilabuhkan. Seketika dia hanya diam dan bertenang. Risau juga dia terlalu ikutkan perasaan.
“Kenapa saya?”
“Dan dia buat tawaran supaya kau jadi doktor peribadi dia.”
Itu yang diberitahu Addin kepadanya. Doktor peribadi? Bukan ini yang dia mahukan. Tapi jika dia dapat arahan daripada pihak atasan, suka ataupun tidak, dia perlu menerimanya.
“Apa yang kenapa?” polos Sakura bertanya.
Nafas ditarik dalam. “Kenapa awak mahukan saya sebagai doktor peribadi awak?”
Jeda.
Sakura memaku pandangan ke arah Rauf. Kenapa? Dia tak ada jawapan untuk soalan Rauf. Dia tak tahu kenapa dia buat tawaran gila itu. Sepatutnya dia guna alasan apa yang terjadi ini untuk bebas daripada mereka, tapi sebaliknya dia...
“Cik Sakura.”
“Ya, saya,” sahutnya tanpa nada.
Wajah kosong dan nada bersahaja Sakura benar -benar buat tenang Rauf tercabar. Apa yang gadis ini mahukan? Apakah kerana marahkan dia tentang semalam maka Sakura merancang untuk kenakan dia balik?
“Bukan ke awak yang handle kes saya?”
“Saya cuma bantu Doktor Anisah saja.”
“Oh, macam tu ya?” polos dia bertanya.
“Kalau macam tu okey. Tak apa. Awak boleh lupakan tawaran tu.”
Rauf kerut kening. Semudah ini? Biar betul? Takkanlah semudah ini Sakura mengalah? Kalau betul Sakura mahu kenakan dia, tapi kenapa perlu biarkan?
Apabila melihat tubuh itu terbaring dan tangan halus itu terketar-ketar menarik selimut, Rauf tersedar sesuatu. Dia sedang berdepan dengan pesakit. Tidakkah dia sudah melampaui batas?
“Sakura.”
“Saya nak rehat.” Sakura bersuara tegas. Dipejamkan matanya menandakan yang dia mahu Rauf meninggalkan katilnya.
Rauf mengeluh perlahan. Tidak menunggu lama, dia meninggalkan katil Sakura. Tak apalah, esok dia datang jumpa gadis itu. Mereka boleh bincang dari hati ke hati. Lagi pula esok jadual tugasannya sedikit lengang.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)
No comments:
Post a Comment