ZARIQ menyelak katalog minyak wangi dengan kasar. Keadaan bilik mesyuarat sungguh sunyi. Hanya bunyi selakkan dan penghawa dingin sahaja. Dia memandang pekerjanya satu per satu.
Katalog semua dah dalam keadaan baik. Tetapi apa yang lebih merunsingkan adalah pada bahagian promosi. Sekarang ini, mereka sedang mengalami masalah dalam pemilihan model iklan minyak wangi. Kesemua katalog yang diberikan dari bahagian promosi tidak memuaskan hatinya.
Syeera dan Hasanah hanya diam sahaja. Apabila melihat wajah bosnya yang keruh, mereka berdua tahu bahawa itu bukan petanda yang baik. Lagi-lagi mereka berdua juga bekerja di bawah bahagian promosi dan pemasaran. Jadi, jika ada sebarang perkara yang tidak diingini, mereka juga yang perlu menghadap bos besar.
“Dah setengah jam buat meeting. Tapi satu habuk pun tak ada improvement. Lagi-lagi bahagian promosi. Aku tak puas hati dengan senarai katalog model yang aku dapat ni. Siapa buat katalog ni?” tanya Zariq tegas.
Hasanah dan Syeera tersentak. Merekalah yang membuat katalog tersebut. Kedua-dua gadis itu mengangkat tangan perlahan-lahan. Kesemua mata-mata tertumpu ke arah mereka. Hasanah bermain dengan jemarinya. Memang cara itu sahaja dapat menghilangkan rasa gementarnya.
“So, improvement macam mana? Model... dah dapat yang baharu?” tanya Zariq sambil menyilangkan kedua-dua tangannya.
Hasanah dan Syeera pula saling berpandangan. Sejujurnya, dia tidak punya sebarang cadangan nama model. Tetapi kalau mereka menjawab perkara sebenar, mesti bosnya itu akan mengamuk. Syeera terus sahaja memberikan isyarat mata iaitu menyuruh Hasanah menjawab pertanyaan tersebut.
“Aku tak tanya dinding, aku tanya korang! Takkan tu pun susah nak jawab!”
Kesemua pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat tersebut tidak berani bersuara. Bahu Syeera sedikit terangkat dek terkejut akan suara Zariq yang sedikit meninggi itu.
“Ma... macam ni, bos. Saya dan Syeera ada cadangan untuk model iklan minyak wangi tu. Saya cadangkan kita ambil Instafamous ataupun YouTuber yang terkenal. Lagipun, mereka ada pengikut-pengikut yang ramai di sosial media. Tu bagus jugak untuk pemasaran produk kita. Itu pun kalau bos setuju dengan cadangan kami berdua,” jawab Hasanah sedikit gugup. Dia tidak tahu hendak memberikan jawapan yang lain. Jawapan itu hanya spontan sahaja.
Zariq hanya mengangguk sahaja. Baginya, itu merupakan satu cadangan yang baik. Lagi-lagi, sekarang ini ramai rakyat Malaysia menggunakan media sosial. Jadi, inilah masanya untuk menggunakan pengaruh penggiat YouTube dan Instafamous terkenal terhadap produk minyak
wangi ini.
“Okey. Teruskan,” kata Zariq, memberi keizinan kepada Hasanah untuk meneruskan hujahnya. Kesemua pekerja fokus mendengar.
Hasanah berdeham sedikit. Sekarang ini, hanya dua orang nama penggiat YouTube terkenal yang muncul dalam benaknya. Harap penggiat YouTube tersebut sudi menerima tawaran mereka nanti.
“Saya dan Syeera cadangkan YouTuber Yaya Su dan Asyraf Kholid. Lagipun nama YouTuber Yaya Su ni terkenal di seluruh Malaysia. Ada jugak peminatnya dari Brunei, Indonesia dan Singapura. Jadi, memang satu keuntungan yang besar kalau syarikat ni pilih mereka berdua,” ujar Hasanah yakin.
Kesemua ahli mesyuarat tersentak apabila mendengar nama Yaya Su. Zariq pula hanya bungkam. Yaya Su dan Suraya merupakan orang yang sama. Dia amat pasti tentang itu kerana dia sendiri pun ada menonton beberapa video YouTube gadis itu.
Tiba-tiba sahaja timbul rasa serba salah dalam hatinya. Teringat pula peristiwa 5 tahun yang lalu. Peristiwa di mana dia melakukan satu kesalahan yang besar iaitu menghukum gadis yang tidak bersalah. Dia benar-benar malu.
Kesemua ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan Hasanah itu. Hasanah pula masih menunggu kata putus daripada Zariq. Harap bosnya bersetuju dengan cadangan spontannya itu. Lagipun sudah lama dia tidak berjumpa dengan Suraya.
“Okey. Kau... boleh teruskan kerja kau.”
Seusai Zariq berkata begitu, Syeera dan Hasanah terus sahaja tersenyum kegembiraan. Nampaknya, masalah mereka sudah selesai. Sekarang ini tinggal pihak Suraya sahaja.
Sementara itu, Zariq tersenyum dalam diam.
ZARIQ bangun daripada kerusi. Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur sangat menenangkan hatinya. Keluhan dilepaskan perlahan. Selepas ini, mungkin dia akan bertemu dengan Suraya semula. Memang sudah lama dia ingin bertemu dengan gadis itu. Tetapi dia tiada keberanian.
Tiba-tiba, ada seseorang mengetuk pintu pejabatnya. Zariq terus tersedar daripada lamunan. Dia membenarkan gerangan tersebut masuk ke dalam pejabat. Kelihatan adiknya, iaitu Zafran sedang masuk. Dia hanya membiarkan sahaja.
“Kau apa hal ni? Lepas meeting tadi, terus tak ada mood,” Zafran berkata sambil duduk di sofa. Matanya memandang ke arah Zariq.
Zariq pula hanya menggeleng perlahan. Lalu, dia duduk di sofa bertentangan dengan Zafran.
“Aku okey aje. Kenapa kau tanya?” tanya Zariq kembali.
Zafran hanya tersenyum sinis. Macamlah dia tidak tahu apa punca abangnya jadi begitu. Ini mesti kerana salah seorang pekerjanya tadi telah menyebut nama Suraya.
“Kau teringat kat Suraya?” tanya Zafran inginkan kepastian.
Zariq tersentak. Tetapi riak mukanya kekal selamba. Zafran masih lagi tersenyum sinis. Nampak sangat abangnya itu masih lagi serba salah dek peristiwa yang terjadi 5 tahun lepas.
“Betul cakap kau dulu. Aku menyesal sangat. Kalaulah masa tu boleh putar balik... mesti aku siasat dulu pasal kes curi dulu. Tapi nak buat macam mana. Haih...” keluh Zariq sambil memicit kepalanya.
Zafran hanya diam sahaja. Kadang-kadang, dia rasa simpati terhadap abangnya itu, tapi salah abangnya juga kerana suka membuat keputusan terburu-buru. Tapi itu dululah. Sekarang ini, dia
lihat abangnya itu semakin matang.
“Habis tu, kau nak buat apa? Kalau dia terima tawaran model tu... hari-hari kau kena jumpa Su tu. Dia pun dah jadi YouTuber yang terkenal kat dalam Malaysia ni. Entah-entah, dia pun tak ingat kau lagi,” ujar Zafran sambil menyilangkan tangannya. Sengaja dia berkata begitu. Matanya tajam mahu melihat reaksi Zariq. Nampak reaksi abangnya yang jelas kurang senang.
“Macam nilah, long. Aku tahu kau suka kat dia. Tapi ego kau tu tinggi melangit. Masa dia kerja sini dulu, ada aje benda kau tak puas hati dengan Su tu. Kau selalu marah dia, tengking dia. Aku kesian jugak kat Su tu,” luah Zafran jujur.
“Kau merepek apa ni? Tak ada maknanya aku suka minah kelam-kabut tu,” nafi Zariq sambil ketawa kecil. Tapi ketawanya itu kedengaran dibuat-buat sahaja. Dia pun agak keliru dengan
perasaannya.
Keluhan perlahan dilepaskan. Memang dia akui setelah gadis itu tidak bekerja di sini, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang kosong. Sungguh dia menyesal.
“Nampak! Kau tu egolah, long. Lantak kaulah. Malas aku nak cakap. Kalau Suraya tu dah ada orang lain, kau juga yang menyesal. Padan muka kau!” Seusai berkata begitu, Zafran terus sahaja keluar daripada bilik tersebut.
Zariq sudah mula risau. Akhirnya, senyuman sinis terbit di bibirnya. Dia tidak akan membiarkan hal tersebut terjadi!
No comments:
Post a Comment