DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 3

HAJAH Syamsiah memandang wajah cucunya
yang baru pulang daripada kerja. Apa kenalah cucunya itu.
Muka kelat semacam saja. Dia cuba mencari punca, namun
buntu. Dia mengekori langkah cucunya yang semakin laju
menuju ke pintu rumah.
“Assalamualaikum, nek. Sejak bila nenek ada dekat
pintu tu? Bukan tadi nenek tengah sapu laman ke?” Ayla
terpinga-pinga. Tadi di luar, tiba-tiba dah muncul di depan
muka pintu. Bela hantu raya ke? Isy, nauzubillah!
“Kamu yang tak perasan nenek ada dekat sini.
Kenapa dengan kamu? Muka kelat aje.” Bagai polis pencen,
Hajah Syamsiah mula menjalankan siasatan. Mahu juga tahu
ada apa dengan cucu kesayangannya ini. Mana tahu dia boleh
bantu.
“Tak ada apa-apalah. Tadi Aznira ada datang sini tak,
nek?” Ayla malas mahu memanjangkan cerita. Dia tak berniat
untuk menceritakan apa-apa. Nenek tidak perlu tahu.
“Ada. Oh ya, minggu depan Zaf balik. Dia dah tamat
dah dia punya, apa tu? Nenek lupa pula...”
“Masterlah, nek.” Ayla tersenyum lebar melihat
neneknya yang sedaya upaya cuba mengingat.
Airil Zafrel! Syukurlah adiknya sudah menamatkan
pengajian masternya. Selepas ini bolehlah Zafrel
membantunya menguruskan resort pula. Sudah lama dia
menanti adiknya itu tamat pengajian. Sekurang-kurangnya,
lepas ini dia ada peneman di resort.
“Okeylah, nek. Ayla nak pergi mandi.” Ayla meminta
diri. Dia berlalu ke arah biliknya.
Malam itu dia membaca surah Yasin buat arwah mak
dan abah yang telah meninggalkannya terlebih dahulu pergi
menghadap Ilahi. Begitu juga untuk si dia. Semoga mereka
tenang di sana.
Sebelum tidur, dia mengimbau kembali kenangannya
bersama mak dan abahnya. Dia tersenyum sendiri. Dia
menjadi pengurus di resort pun hasil peninggalan mak dan
abahnya. Kedua-duanya meninggal selepas terlibat dalam
kemalangan sewaktu pulang dari Kuala Lumpur.
Alif Haziq! Sampai hari ini nama itu melekat dalam
ingatannya. Mereka berkawan sewaktu di tingkatan 5.
Perangai Alif yang tak serupa orang itu membuatkan Ayla
ingin membantu. Kini Alif sudah meninggalkannya. Apalah
khabar Alif sekarang? Tetapi kehadiran lelaki yang mendakwa
dirinya sebagai Haziq Asyraf itu benar-benar mengingatkan
dia terhadap Alif. Semuanya sama. Pelanduk dua serupa ke?
Lamunan Ayla terganggu apabila telefonnya
berdering. Dia segera mencapai telefonnya itu.
“Assalamualaikum, Cik Ayla. Maaf saya ganggu cik,
tapi saya perlukan tandatangan cik sekarang. Petang tadi saya
ada datang ke pejabat, tapi cik tak ada.” Kedengaran suara di
hujung talian teragak-agak. Mungkin takut dimarahi.
“Okey, tunggu di pejabat saya. Kejap lagi saya
sampai.”
AYLA SEGERA memarkirkan skuternya. Mujurlah moodnya
baik untuk datang ke resort malam ini. Kaki laju diayun
menghala ke pejabatnya.
“Esok pastikan awak dapat pikat hati Encik Mahmud
tu untuk sign tender dengan kita. Pastikan awak baca setiap
perjanjian dari pihak sana. Nanti tak pasal-pasal kena tipu.”
Ayla mengingatkan Jamil yang bakal bertemu dengan supplier
resort mereka.
“Baiklah, cik,” Jamil menjawab mengerti. Dia
melepaskan nafas lega. Nasib baiklah bosnya itu berlembut
hati untuk datang malam ini. Jika tidak, memang terpaksa
menanti bosnya sehingga esok pagi.
“Okeylah. Dah tak ada apa-apa, kan? Saya balik dulu.
Good luck!”
Sempat juga Ayla mengucap kata selamat buat
pekerjanya itu. Dia pasti, Jamil akan melakukan yang terbaik.
Sudah 3 tahun Jamil bekerja dengannya. Tiada satu pun kerja
Jamil yang menghampakannya. Kerana itu, dia percayakan
Jamil.
Sewaktu melewati lobi hotel, Ayla berhenti sebentar
di kaunter penyambut tetamu. Hani bertugas di situ. Dia
mahu bertanyakan soal pelanggan mereka siang tadi. Tentang
Haziq Asyraf.
“Hani, saya nak tanya. Sebenarnya apa yang jadi
dekat bilik 333 tadi siang?”
“Entahlah, cik. Tapi saya betul-betul tak faham.”
Hani mula mengadu.
“Kenapa?”
“Dia panggil saya, lepas tu marah-marah. Kata
berhabuklah, apalah. Kec...” Termati kata-kata Hani tiba-tiba.
Dia benar-benar terperanjat. Mulutnya ditekup. Peluh dah
merecik di dahi. ‘Baru aje cakap, dah ada kat sini. Habislah
kalau kena lagi kali ni.’
“Kenapa dengan kamu ni? Tiba-tiba aje. Ceritalah
lagi. Saya nak tahu apa masalah sebenar mamat tu. Kerek
semacam aje saya tengok.” Ayla pelik melihat pekerjanya itu.
Namun dia segera menoleh apabila terdengar dehaman dari
belakangnya. Begitu hampir di sebelah telinganya.
“Mengumpat ke?” Haziq menegur selamba.
Kata-kata Haziq membuatkan Ayla tergamam. Allah!
“Never mind, sebab aku nak minta tolong kau.” Haziq
terus menyatakan hasratnya. Dari tadi lagi dia sudah nampak
Ayla di resort itu. Dia berhasrat untuk meminta bantuan
gadis itu bagi menjejaki anak kawan mamanya. Rasanya tak
salah kalau minta tolong daripada kawan si Aznira ini.
“Tolong apa?” Ayla cuba menghilangkan rasa
gugupnya dengan senyuman. Dia memandang wajah lelaki di
hadapannya. Tiada senyuman. Jadi dia pun ikut buat muka
selamba.
“Kau setuju ke tak?” Soalan Ayla tadi dijawab dengan
soalan.
“Setuju apa? Awak tak cakap pun nak tolong apa?”
Dia memandang lelaki itu dengan pandangan yang pelik.
“Okey, aku anggap kau setuju ajelah. Esok aku jumpa
kau dekat restoran. Pukul 9,” Haziq menetapkan perjanjian.
Dia terus berlalu. Itulah sifat semula jadi yang sudah sebati
dalam dirinya iaitu sesuka hati mendesak orang.
“Aik? Aku tak cakap pun aku setuju. Pandai-pandai
aje buat keputusan. Mesti king control ni!”
AYLA MEMANDANG jam di tangannya. Mengikut kata lelaki
semalam, pukul 9. Tetapi sekarang dah lewat 15 minit. Nak
kena pergi ke? Dia dilanda dilema sama ada mahu menurut
kemahuan lelaki itu ataupun tidak. Akhirnya diatur juga
langkahnya.
“Mana pula minah ni? Air aku dah nak habis ni.”
Haziq sudah mula merungut sendiri. Bengang betul apabila
gadis yang ditunggu langsung tidak muncul-muncul. Silap
dia juga yang menjangka gadis itu akan mengikut sahaja
rancangannya.
“Assalamualaikum, dah tunggu lama ke? Saya ingat
awak main-main semalam. Tak sangka pula betul.” Ayla buat
muka tak bersalah. Memang dia tak bersalah pun. Lelaki di
hadapannya itu yang pandai-pandai membuat keputusan.
“Apa-apa ajelah. Duduklah dulu.” Haziq malas mahu
membazir masa yang sudah terang-terangan dibazirkan oleh
Ayla. Dia mahu cepat pulang ke KL.
‘Eleh, dahlah nak minta tolong tapi muka poyo aje,’
hati Ayla mula meluahkan perasaan meluatnya. Sekadar
dalam hati. Matanya memandang penampilan lelaki itu.
Simple. Topi, seluar paras lutut dan baju-T berwarna merah.
“Hurm, sebelum tu nama awak siapa? Nama saya
Ayla. Ayla Khalish. Awak?” Ayla membuka salam perkenalan.
“Penting ke? Nama aku Haziq Asyraf.” Haziq
menjawab, dingin. Nak tak nak, tetap jawab juga.
“Okey, awak nak saya tolong apa?” Terus sahaja
kepada tujuan sebenar. Tak berniat nak panjangkan masa
dengan lelaki ini. Banyak lagi kerja yang boleh dibuat di
dalam pejabat daripada melayan kerenah lelaki ini.
“Tolong cari orang. Boleh?” Haziq bertanya. Sebelah
keningnya dijongketkan, meminta persetujuan daripada Ayla.
“Orang? Awak nak buat apa dengan orang tu?” Ayla
makin pelik. Kenapa lelaki ini meminta pertolongannya? Dia
ada rupa detektif ke?
“Alah, banyak tanya pula. Aku nak kahwin dengan
dia. Puas hati?” Haziq berterus terang sahaja. Memang pelik
namun dia terpaksa.
Ayla terkejut. Nak kahwin? Bakal isteri sendiri pun
suruh orang cari? Pelik betul mamat ni. Bakal isteri dia tu
lari ke? Otak Ayla mula membayangkan pelbagai spekulasi.
“Kahwin? Siapa nama bakal isteri awak tu?” Ayla
malas mahu bertanya lebih lanjut, takut nanti dikatakan yang
dia ini busybody pula. Baik diam dan tolong!
“Entah, aku tak tahu nama dia. Tapi nama mak
dengan nenek dia aku tahu.”
Kata-kata Haziq membuatkan Ayla tergelak sehingga
merah mukanya. Inilah perkara yang paling menggelikan
hati di dunia. Tahniah kepada Haziq kerana dah berjaya
menceriakan paginya.
“Hah? Awak nak kahwin dengan dia atau nenek
dia? Nama bakal isteri sendiri pun tak tahu?” Ayla berbicara
setelah tawanya reda. Sakit perutnya kerana gelak tadi.
Sumpah kelakar!
“Tak nak tolong dahlah.” Haziq sudah bangun dari
kerusi. Terasa pula hatinya. Tak apalah, ramai lagi yang boleh
tolong dia. Bukan gadis itu saja hidupan yang ada di Pulau
Pangkor ini.
“Alah, merajuk pula. Fine, siapa nama emak dia? Dah
nak kahwin pun merajuk lagi, macam budak-budak.” Sempat
pula Ayla mengusik lelaki itu.
“Kau nak tolong aku? Betul ke ni?” Haziq tidak
percaya. Dia sudah kembali di kerusinya tadi. Dia pandang
Ayla dengan pandangan berminat. Bersinar-sinar matanya
melihat wajah gadis itu.
“Tak nak ke? Cepatlah, saya ada mesyuarat kejap
lagi.” Ayla mula nak tarik persetujuannya. Ingat dia ni
main-main ke? Tak ada masa!
“Nama mak dia Suria. Suria binti Hamid,” beritahu
Haziq. Teragak-agak juga mahu menyebut nama itu. Takut
dia tersilap nama.
“Hah! Biar betul? A... aw... awak cakap na... ma si...
siapa tadi?” Tergagap-gagap Ayla selepas mendengar nama
yang disebut tadi. Dia benar-benar tak percaya. Kenapa nama
itu pula yang disebut? Siapakah lelaki ini?
“Aduh, takkan dah bertukar jadi gagap pula! Suria!
Dah pekak ke? Kau lupa korek telinga ek?” Haziq naik
bengang.
“Nama nenek dia?” Ayla cuba mencari kepastian.
Hatinya berdebar-debar menanti jawapan Haziq.
“Syamsiah...” Belum sempat mulut Haziq tertutup,
Ayla sudah pengsan. ‘Pengsan lagi? Apalah yang mak ayah dia
beri dia makan sampai asyik pengsan aje ni? Atau tak bagi
makan langsung? Menyusahkan betul!’

No comments:

Post a Comment