DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 8 March 2018

Polaroid - Bab 3

MEK Yah menapak masuk ke dalam bilik. Dia
menjeling ke arah Tiara yang sedang menekup kepala rapat ke
meja belajar. Dia turut sama duduk di kerusi belajar miliknya.
“Ara.” Mek Yah memanggil. Dia tahu yang kawannya
itu tak tidur. Dia kenal dengan Tiara. Kalau ada sesuatu yang
mengganggu jiwanya, memang dia akan menekup muka
seperti itu. Sudah lali dengan perangai kawannya yang satu
itu.
“Kau pergi mana tadi? Sekarang ni suka sangat
ponteng kelas, kan? Ingat, kita dah nak grad tak lama lagi.
Kang tak pasal-pasal kena repeat sem. Tak dapat konvo
tahun ni.” Mek Yah meneruskan berkata. Dia tahu yang Tiara
mendengar. Dia menggelengkan kepala melihat rentak kawan
yang langsung tidak menghiraukan dirinya. Hanya diam tak
berkutik.
“Kau apa hal dengan Encik Zafril? Tadi kau jumpa
dia ke apa?”
Tiara masih diam. Tidak memberi tindak balas
langsung.
“Jangan cakap dengan aku kau dah jatuh cinta
dengan dia dahlah. Takkan kut.”
Terus Tiara mengangkat wajahnya. Direnung tajam
dan penuh geram wajah Mek Yah. Rasa mahu diterkam mulut
celopar kawannya itu.
“Kau cakap apa?”
“Apanya?”
“Tadi kau cakap apa?”
“Ada budak kelas kita nampak kau duk berdrama
dengan Encik Zafril tadi. Kau halang dia dari pergi ke apa?”
“So, jadi masalah ke pada kau?”
“Benda tu tak jadi masalah pun pada aku. Lantak
kaulah nak halang dia ke apa. Cuma sebabnya apa? Kau sejak
dua menjak ni lain betul perangai. Kau dah jatuh cinta dengan
dia ke? Dulu bukan main lagi benci macam apa. Sekarang ni
Allah dah balikkan hati kau ke apa?”
“Mulut kau tu memang busuk, kan? Cakap ikut
sedap je. Nak makan siku aku ke apa?”
“Tak adalah. Aku cuma cakap apa yang aku nampak.
Aku tak buta lagi. Mana tahu kau sendiri tak sedar apa yang
sedang kau rasa. Yalah! Ara yang aku kenal sebelum ni
bukannya perangai macam orang meroyan macam ni. Hati
kau tu dah mula simpan nama Encik Zafril ke?”
“Baik aku blah dari duk dengar kau membebel
macam mak nenek. Stres!” Ara mencapai kunci kereta. Dia
buka kasar pintu bilik dan dihempas dengan penuh rasa
geram.
Mek Yah menggeleng. Sebal rasa hati dengan
perangai tak semenggah kawannya itu. Malas nak fikir
apa-apa, dia terus menghempaskan badan ke atas katil. Tidur
lagi baik.

ENJIN KERETA dimatikan. Cermin kereta dibuka. Mahu
udara masuk ke dalam ruang kereta. Dia menarik nafas
perlahan. Telinganya masih terngiang-ngiang kata-kata Mek
Yah seketika tadi.
“Kurang ajar betul kau cakap aku macam tu. Kalau
aku tak sabar tadi memang makan penyepak aku dah. Nasiblah
kau tu kawan aku. Kalau tak memang kirim salamlah aku nak
lepaskan kau macam tu je. Aku tibai mulut celopar kau tu.”
Rambutnya diramas kasar. Dia meraup tangan di
seluruh muka. Dia sangat benci dengan ramalan yang dibuat
oleh Mek Yah terhadap dirinya.
“Kau tak layak nak cakap aku macam tu. Biul punya
kawan!” Tiara hamburkan kata-kata dengan sekuat hatinya.
Rasa sangat tak puas hati dengan apa yang dilontarkan
kepadanya.
“Senang-senang je kau nak cakap aku dah jatuh
cinta dengan Encik Zafril. Macam mana aku nak cintakan
dia? Bukan ke kau tahu yang selama ni aku bencikan dia. Tu
pun tak boleh nak fikir ke apa? Dah terencat kut minah tu!”
‘Hei Ara. Yang kau struggle sangat nak menidakkan
apa yang si Mek Yah tu cakap, dah kenapa? Kalau tak, buat apa
kau nak marah? Tak payah nak berperang dengan hati sendiri.
Kau cakap tak jelah. Yang nak tension lebih-lebih tu apasal?’
Tiara bernafas laju. Dia terpanar dengan kata hatinya.
Benar! Dia seperti sudah meroyan dengan perasaannya
sendiri. Tak tahu apa yang tidak kena dengan dirinya.
“Betul ke aku dah jatuh cinta?” Tiara menyoal diri
sendiri. Kemudian dia menggeleng. “No! Aku tak boleh ada
perasaan macam tu. Cinta pun aku tak pernah kenal macam
mana rasa dia. Macam mana aku nak jatuh cinta? Manusia
yang bercinta semua tu bodoh. Tak boleh nak fikir rasional!”
Tiara menghentak kepala perlahan beberapa kali di stereng
kereta. Terbayang wajah pensyarah lelaki yang dia benci.
“Benci betul! Kenapa kau nak kena ada dalam fikiran
aku? Aku benci kau. Aku menyesal sebab cakap dengan kau
tadi. Kau nak blah, kau blah jelah. Tak payah nak buat aku
sentap ke apa.”
‘Dia tak buat apa-apa pun pada kau Ara. Kau yang
sedang berkecamuk dengan apa yang kau rasa. Kalau kau
tak pernah kisah dengan pemergian dia, kenapa hati kau tak
rela? Kenapa kau minta nak jadi adik dia? Ke kau cuma nak
pedajalkan je gelaran tu sebelum kau rembat dan curi hati
dia? Sedarlah! Tak guna kau nak nafikan dah. Kau dah pun
jatuh cinta dengan dia.’
“Kau diam!!!” Ara menjerit sekuat hati. Kata-kata
yang lahir dari hatinya itu sangat memberi gelodak rasa yang
bertebaran. Semuanya rasa negatif.
‘Kau tahu tak manusia yang paling bodoh tu seperti
apa? Manusia yang tak pernah percaya dengan kata hati
sendiri. Nak menafikan apa yang kau rasa? Stupid!’
“Kau yang bodoh. Yang kau pandai-pandai nak
rasa macam tu kat pensyarah sendiri dah kenapa, hah?” Dia
menjerit lagi pada batinnya. Ditumbuk dadanya berkali-kali.
‘Aku yang bodoh ni adalah kau. Kau tak rasa ke yang
kau dah jilat ludah kau sendiri? Kau bencikan dia sangat kan?
Kau pernah cakap yang lelaki macam tu bukan taste kau kan?
Sekarang kau hadaplah dengan hati kau ni!’
“Stop! Aku tak nak dengar apa-apa dah. Idiot!” Tiara
keluar dari kereta. Disepak tayar kereta di bahagian depan.
Melepaskan geram. Kalau ikutkan rasa, nak saja dibuang hati
yang sedang mengkhianati diri. Nak ditarik keluar, dicampak
dan dipijak-pijak.

ZAFRIL MEMATIKAN enjin kereta dan masuk ke dalam
rumah.
“Mak.”
“Ya Zaf.” Puan Syarifah melangkah naik ke ruang
tamu. Dia senyum kepada Zafril. Satu-satunya anak yang
tinggal. Kehilangan Tania sangat mendalam buat mereka
berdua.
“Mak buat apa? Masak ke?”
“Ya Zaf. Apa lagi yang mak boleh buat kalau tengah
hari macam ni. Macam mana dengan barang-barang kat U?
Dah ambil semua ke?”
“Dah mak. Barang Zaf tak banyak pun. Tak perlu nak
angkut berulang kali.”
Puan Syarifah duduk di atas sofa sebelah Zafril. Dia
senyum. “Baguslah kalau macam tu. Barang Nia macam
mana?”
“Tadi Zaf ada jumpa kawan sebilik dia. Zaf dah suruh
dia sedekah. Bagi je pada siapa-siapa. Kalau ada yang dah tak
boleh pakai, Zaf minta dia buang je.”
“Eloklah tu Zaf. Kita pun dah nak fly ke Sabah esok.
Barang Nia, mana yang mak sayang je mak bawa.”
Zafril memandang emaknya. Senyuman diukir
menampakkan barisan gigi. “Nia tu istimewa mak. Tak pernah
sakitkan hati Zaf. Sentiasa buat Zaf gelak dengan perangai dia.
Kalau boleh, Zaf nak dia ada dengan kita sampai bila-bila.”
“Tak apalah Zaf. Apa yang elok, kita simpan. Mak
pun sayangkan dia. Tak ada pun dia buat mak terasa hati.
Allah bagi pinjam dia sekejap pun mak dah sangat bersyukur.
Insya-Allah syurga tempat dia.”
Zafril peluk bahu emaknya erat. Dia suka dengan
tutur kata emaknya. Lembut. Dia tahu yang hati itu sangat
terluka dengan kehilangan adiknya. Tapi insan di dalam
pelukannya itu sangat tabah, hebat. Mungkin begitu agaknya
orang yang mendekati agama menerima kematian.
Bukan mahu dipuji ilmu agama emaknya tinggi. Tapi
dia cukup kenal dengan emaknya, cukup tahu bagaimana.
Wanita itu tidak pernah terlepas solat malam. Tidak pernah
mengeluh dengan ujian yang datang. Puan Syarifah juga
sentiasa gagahkan diri untuk ke masjid pada setiap waktu
solat. Dia juga merupakan guru mengaji di kawasan
perumahan itu. Sentiasa menjadi tempat rujukan anak-anak
muda dan juga mak cik-mak cik yang hampir sebaya.
“Mak betul ke nak ikut Zaf pergi Sabah?”
Puan Syarifah merenung Zafril dengan dahi yang
berkerut. Dia mengangkat kening.
“Kenapa? Zaf tak nak mak ikut ke?”
“Hesy, mak ni. Tak adalah macam tu. Zaf orang yang
paling happy kalau mak ikut. Zaf cuma tak nak mak rasa
terpaksa. Sebab Zaf tahu rumah ni banyak kenangan pada
mak. Anak murid mengaji mak yang ramai tu, mesti mak
rindu nanti. Lagipun kubur kedua-dua arwah pun kat sini.”
Puan Syarifah senyum lama. Dia mengambil tangan
Zafril dan dielus tangan itu perlahan.
“Memang mak banyak kenangan kat sini. Arwah
ayah dan Tania pun berkubur kat sini. Tapi, apa yang lebih
penting, mak nak Zaf sentiasa ada depan mata mak. Hanya
Zaf yang boleh buat mak bahagia. Arwah ayah dan Tania
pulak, bukan mak lupa. Sejauh mana pun kita pergi, kalau
sentiasa ingat dan sedekahkan ayat-ayat suci untuk mereka,
mereka takkan hilang dalam hati kita. Sentiasa ada. Apatah
lagi dengan arwah suami sendiri. Selama tiga puluh lima
tahun mak kongsi hidup dengan arwah. Mana boleh mak
nak lupa tentang dia. Tania pula, hampir dua puluh empat
tahun dia depan mata mak. Dia akan selalu lekat dalam hati
mak ni. Semua tentang mereka mak akan ingat. Tak payahlah
Zaf risau. Mak memang nak ikut Zaf. Bukan terpaksa. Nanti
kita boleh datang sekali-sekala. Tapi Zaf kena belanja tiket
flightlah.”
Zafril bawa emaknya rapat ke dada. Dipeluk erat
wanita itu. Puan Syarifah tidak pernah menghampakan
dirinya. Sama seperti arwah ayah dan adiknya. Dicium
ubun-ubun Puan Syarifah.
“Terima kasih, mak. Zaf pun nak mak selalu ada
depan mata Zaf sampai saat Allah panggil Zaf pulang ke
negara abadi nanti.”
“Isy, macam tu pulak! Tak boleh. Mak dah dua kali
terpaksa tengok orang yang mak sayang pergi. Kali ni, biarlah
mak dulu yang pergi. Kalau tak nanti siapa nak imamkan
jenazah mak?”
“Tak naklah cakap benda yang macam ni. Buat hilang
mood je. Jom makan. Zaf lapar. Mak masak apa?” Segera dia
mengubah topik. Tidak mahu berbicara tentang hal itu. Dia
takut.
“Ikan merah masak lemak cili api, ayam bakar
dengan ulam pucuk ubi cicah budu.”
“Allah mak. Dengar pun dah tak boleh tahan. Kecur
liur. Jomlah makan.”
Zafril turut sama senyum apabila melihat Puan
Syarifah senyum. Mereka bangun dan menuju ke ruang
dapur.

No comments:

Post a Comment