DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 5

MATA Ayla merenung ke arah gambar ibu dan
bapanya yang tergantung di dinding. Matanya sudah merah
dan bengkak kerana menangis sejak petang tadi. Walaupun
dia rasa air matanya sudah mahu kering, dia tetap mahu
menangis.
“Mak, kenapa mak buat perjanjian mengarut tu? Mak
tak pernah cakap dengan Ayla pun. Bila mak?” Ayla merintih.
Dia seperti tidak percaya dia terlibat dengan perjanjian
mengarut ini. Dia memandang gambar itu, bagaikan
mengharap ibunya menjawab persoalan yang berlegar.
Hajah Syamsiah memandang cucunya yang masih
lagi menangis. Dia kasihan melihat cucunya itu. Dalam masa
yang sama, dia masih mengharap agar cucunya menunaikan
janji itu. Dia tidak mahu janji yang telah dipersetujui oleh
Suria tidak ditepati. Perkara seperti ini, baginya sangat
penting untuk ditunaikan segera.
Haziq? Biar benar? Benarkah dia akan berkahwin
dengan lelaki itu? Dahlah poyo. Pada mulanya dia ingatkan
bahawa lelaki itu berbohong soal kahwin tetapi apabila
kebenaran dah terbentang di depan mata, sudah tiada apa
yang dapat disangkal lagi.
“Sudahlah tu. Janganlah menangis lagi. Dah tak
cantik dah cucu nenek ni.” Hajah Syamsiah cuba memujuk.
“Tapi nek... nenek setuju ke kalau Ayla kahwin dengan
Haziq? Ayla tak kenal pun siapa dia. Takkan Ayla tiba-tiba aje
nak kahwin dengan dia. Mana tahu dia orang jahat?”
“Kalau dia orang jahat, dia tak datang cari Ayla
sampai sini. Nenek tak kisah Ayla nak terima ataupun tak,
tapi lagi bagus kalau Ayla terima.” Hajah Syamsiah mula
mencucuk jarum. Dia sudah fikir masak-masak, mungkin
Ayla patut terima Haziq.
“Kenapa pula Ayla kena terima?” Ayla tidak mengerti
dengan neneknya. Mana mungkin begitu mudah neneknya
setuju dengan perjanjian tersebut. Dia tahu, kini neneknya
sudah berada di pihak Haziq. Jadi siapa yang ada di pihaknya
kini?
“Nenek tengok si Haziq tu macam daripada keluarga
yang baik-baik. Lagi satu, Ayla nak ke mak Ayla tak tenang
dekat alam sana tu sebab janji tak ditepati?” Hajah Syamsiah
pasti umpannya kali ini mengena.
“Mestilah tak nak. Tapi Ayla tak cintakan dia.” Ayla
masih mahu berdebat dengan neneknya. Dia tahu apabila
berdebat dengan neneknya, satu bonus jika kemenangan
menjadi miliknya.
“Tak kenal maka tak cinta, sayang. Cinta tu boleh
dipupuk.” Hajah Syamsiah terus-menerus meyakinkan Ayla.
Keras juga hati cucunya ini rupanya.
“Betul ke?” Ayla tidak percaya. Dia memandang
neneknya yang mengangguk.
“Tengoklah dulu. Biar Ayla fikirkan.” Ayla masih
tidak percaya. Sedangkan hatinya masih berpaut pada kisah
silam.
Tidak dinafikan, dia masih mengharapkan kehadiran
Alif dalam hidupnya. Namun apalah ertinya jika orang yang
diharapkan masih tidak tahu khabarnya. Masih hidup atau
sudah... Seram Ayla mahu menyambung kata-katanya sendiri
Sedikit sebanyak jawapan Ayla melegakan hati Hajah
Syamsiah. Dia tidak kisah jika Ayla mahu berkahwin. Memang
sudah masanya cucunya itu berkahwin. Seboleh-bolehnya,
dia tidak mahu memaksa, tetapi apabila keadaan menjadi
begini, dia terpaksa.

HAZIQ MELIHAT skrin telefonnya yang berkelip-kelip.
Aiman! Dia segera menekan butang hijau. Sudah lama dia
tidak berhubung dengan sahabatnya itu.
“Yo, bro! Dah lama aku tak nampak kau. Datang
pejabat kau, si Dirra tu aje yang ada. Kau pergi mana?” Aiman
Hadi segera menyapa.
“Aku ada kat Pangkorlah. Dirra tak cakap kat kau
ke?” Haziq pelik. Takkan Dirra tidak beritahu? Walaupun
Dirra bekerja dengannya atas dasar fanatik, tetapi gadis itu
tetap komited dalam melakukan kerjanya.
“Kau pun tahu yang aku mana boleh nak cakap
dengan Dirra tu. Bencilah!”
Kata-kata Aiman disambut oleh tawa Haziq. Haziq
tahu bahawa Aiman alergi dengan Dirra sejak dulu lagi
kerana perangai Dirra yang kadang-kadang terlebih manja.
Mengalahkan kucing!
“Kau buat apa dekat Pangkor? Kau tu dah nak kahwin,
mana boleh jalan sana, jalan sini. Orang kata darah manis.”
Aiman mula membuka kitabnya. Inilah yang menyebabkan
Haziq selesa berkawan dengan Aiman kerana sahabatnya itu
sering memberikan nasihat kepadanya kala dia alpa. Ala-ala
lebai tak jadi.
“Kau pernah rasa darah aku ke? Aku sendiri tak
pernah rasa darah aku. Kau ni Drakula ek?” Haziq sengaja
mengenakan Aiman.
“Nasib baik kau dekat Pangkor. Kalau tak, kau
makan penumbuk malam ni.” Aiman geram dengan Haziq.
Suka membuat lawak yang menyakitkan hatinya.
“Sebelum terlupa, aku nak beritahu yang aku tak
jadi kahwin dengan Farah.” Ada keluhan di hujung bicaranya.
Sakit hatinya apabila membuka tajuk itu.
“Really? Kenapa? Tapi aku memang suka pun kalau
kau tak kahwin dengan dia. Menyampah aku dengan dia
tu. Gedik aje lebih.” Selamba Aiman mengkritik Farah. Dia
memang akan jujur sekiranya dia tidak sukakan sesuatu.
Baginya, itu lebih baik daripada menjadi seorang yang
hipokrit.
“Sebab dia yang nak. Mama aku pula suruh aku
kahwin sebab nanti keluarga aku juga yang akan malu.”
Haziq mengeluh, kesal. Langsung tidak tercuit hatinya
dengan kutukan Aiman terhadap tunangnya. ‘Eh, tunang lagi
ke?’ soal hatinya.
“Betullah apa yang mama kau buat tu. Nanti apa
pula orang cakap. Habis tu, kau pergi Pangkor sebab nak cari
calon-calon isteri ke?”
“Bukan calon... tapi dah tetap. Cuma tak tahu dia
setuju ataupun tak.”
“Oh, dah ada calon. Tentang perkahwinan kau
dengan Farah yang tak jadi... dan sebab tu kau kena kahwin
dengan dia, dia tahu ke?” Aiman ragu dengan Haziq. Dia tahu,
ini pasti kes terpaksa.
“Tu kau tak perlu tahu. Just wait and see, okay?”
Jawapan Haziq membuatkan Aiman menggelengkan
kepala. Malangnya nasib gadis itu.
“Yalah. Dah, aku ada kerja nak buat ni. Woi, balik
cepat! Kerja kat atas meja kau tu, dah menggunung aku
tengok,” sempat lagi Aiman berpesan kepada temannya itu.
“Okey,” balas Haziq. Dia terus mematikan talian.
Haziq berharap Ayla setuju dengan perjanjian itu.
Jika tidak, mengamuk sakanlah mamanya. Gara-gara Farah,
dia kena bersusah begini. Tiba-tiba timbul pula perasaan
marahnya terhadap Farah.

“MAK... MAK... mak dekat mana?” Mata Ayla memandang
sekelilingnya. Semuanya gelap. Dia pasti wanita tadi itu
ibunya. Dia berpaling apabila terasa bahunya disentuh.
“Mak... abah... Ayla rindu mak dengan abah,”
kata Ayla dengan suara yang serak. Dia meluru ke arah ibu
dan bapanya. Belum sempat dia memeluk tubuh mereka,
tiba-tiba...
“Aduh, sakitnya!” Ayla mengaduh kesakitan. Dia
memandang sekeliling. ‘La, aku mimpi rupanya. Siap jatuh
katil lagi. Aduhai, malangnya nasib aku!’
Jam loceng berwarna ungu di atas meja solek
dikerling. 6.45 pagi. Ibu dengan bapanya nak kejut dia solat
subuh agaknya. Ayla tersenyum sendiri mengenang andaian
merapiknya itu. Segera dia mencapai tuala dan membersihkan
diri.
Usai solat subuh, Ayla segera pergi ke dapur. Setiap
pagi inilah rutinnya. Membuat sarapan. Ayla membuka pintu
peti sejuk. Dia berkira-kira sebentar.
“Nak masak apa ya?” Dia menutup kembali peti
sejuk.
“Kamu nak buat sarapan ke Ayla? Kamu buatlah apa
yang kamu nak makan. Nenek puasa hari ni.” Hajah Syamsiah
menegur cucunya yang termenung.
Tersentak Ayla mendengar suara neneknya.
“Nenek, terperanjat Ayla.” Ayla berpaling ke arah
neneknya. Neneknya sudah lengkap bertudung. “Nenek dah
siap ni nak pergi mana?”
“Hari inikan nenek ada kelas mengaji. Macam
biasalah. Kamu ni kenapa?” Takkanlah cucunya itu lupa,
memang setiap minggu dia akan ke kelas mengaji.
“Oh ya, Ayla lupalah nenek.”
“Kamu ni muda-muda lagi dah lupa.”
“Muda ke? 25 tahun dah,” balas Ayla sambil
tersenyum.
“Betul juga. Dah boleh kahwin dah tu,” kata Hajah
Syamsiah. Dia sengaja menjerat cucunya.
Tergamam Ayla mendengar kata-kata neneknya. Dia
pula yang terkena. Dia buat-buat tidak dengar. Kalau dilayan,
dia juga yang akan kalah nanti. Berlawan cakap dengan
nenek, memang takkan menang.

No comments:

Post a Comment