DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Polaroid - Bab 1






“TIARA.”
Gadis yang mendengar namanya disebut itu segera
berpaling ke belakang. Mencari arah yang tepat dari mana
suara yang memanggil namanya berada. Dia yang pada
mulanya hanya melihat dengan ekor mata sedikit tergamam
dengan apa yang sedang dipandang. Terus dia memandang
dan memberi sepenuh perhatian.
Lelaki itu. Telah lama dia hilang. Sudah
berbulan-bulan. Sekarang muncul tanpa dipinta. Tak pernah
Tiara menduga. Dia menelan liurnya yang terasa melekat di
kerongkong. Terasa darah menyerbu di bahagian kepala.
“Encik Zafril.” Tiara turut sama memanggil nama
lelaki itu. Lelaki itu melemparkan senyum. Dia pula? Terus
kaku seperti tadi. Entah reaksi bagaimana yang harus dia
berikan. Terasa kejang dan seperti dibius segala urat di
mukanya. Dia yakin yang wajahnya sekarang telah bertukar
warna. Pucat. Nafasnya juga menderu dengan tidak menentu.
“Boleh saya jumpa dengan Tiara kejap?”
Kelopak matanya dikerdipkan beberapa kali. Untuk
apakah lelaki itu mahu bertemu dengannya? Apakah mahu
menuntut dendam dan mahu menghukum dirinya? Apakah
memang dia telah melakukan kesalahan besar yang mampu
membuatkan lelaki itu membenci dirinya?
“Tiara.” Zafril menegur lembut.
Wajah lelaki itu penuh dengan senyuman. Wajahnya
pula masih sama. Tidak mampu untuk tersenyum. Dia sendiri
tidak pasti kenapa dia tidak boleh menjadi dirinya yang
seadanya. Tidak boleh menjadi dirinya yang seperti sebelum
ini. Kenapa perlu dia kaku seperti itu?
“Encik Zafril.” Tiara mengulang lagi panggilan
terhadap lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya. Dia terasa
lengannya disiku kawan yang berada di sebelahnya.
“Kau dah kenapa? Macam kena strok. Encik Zafril
tanya kau tu.”
Tiara pandang Mek Yah di sebelahnya. Kawan itu
mengangkat kening beberapa kali dan menggerakkan sedikit
kepalanya serta menjeling dengan ekor mata ke arah lelaki
yang mereka panggil Encik Zafril.
“Errr... boleh.” Tiara akhirnya menjawab waras.
Mula mempamerkan senyuman. Senyum yang terasa kelat.
Zafril senyum dan mengangguk. “Kat office sayalah
ya. Lebih selesa.”
Tiara pandang Mek Yah dan gadis itu mengangguk
tanda dia tidak kisah.
“Aku balik dululah kalau macam tu. Kita jumpa kat
bilik.” Ucap Mek Yah
Tiara hanya mengangguk. Setuju dengan cadangan
rakan baiknya. Dia kemudian memandang kembali kepada
Zafril. Turut sama mengangguk. Lelaki itu terus membuka
langkah. Menuju ke pejabatnya. Tiara mengikut dari belakang.
Sedikit menjarak.
“Duduklah. Sorry berhabuk sikit bilik ni. Awak pun
tahu kan yang saya cuti panjang.”
Tiara memandang sekeliling. Memang agak
berhabuk. Ditepuk sedikit kerusi yang mahu dijadikan alas
punggungnya. Dia turut sama perasan barang kepunyaan
lelaki itu yang agak bertimbun di sebelah meja kerjanya.
“Saya tak pernah tahu Encik Zafril bercuti.
Tengok-tengok dah tak ada kat U ni.” Tiara mula berani
untuk berkata-kata. Sudah mula mahu menjadi dirinya.
Kasar dan sentiasa kurang adab seperti selalu. Itulah dirinya
yang seadanya. Semua orang di universiti itu mengenalinya
dengan watak sebegitu.
“Kenapa? Rindukan saya ke?”
“Bukan rindu. Tak jadi masalah pun pada saya sama
ada Encik Zafril ada ke tak. Bukan ada kena-mengena dengan
saya pun.”
“Tapi tadi macam terkejut je tengok saya berdiri kat
depan mata awak.”
Tiara meletakkan beg sandangnya di atas paha.
Dia membuang pandangan ke arah luar tingkap. Kononnya
memerhati gelagat manusia yang sedang berjalan di luar
bangunan. Kebanyakan orang yang dia nampak adalah rakan
sekelasnya sendiri.
“Tania mana? Suka hati dia je nak ponteng kuliah
bagai. Dah nak habis sem kut.”
Zafril memandang gadis di depannya itu dengan
pandangan yang bersahaja. Tidak tahu reaksi apa yang mahu
diberikan terhadap pertanyaan gadis itu. Hatinya sedikit
tersentuh, sedikit sebak. Wajah itu direnungnya lama. Dia
digamit rasa rindu yang menebal.
“Encik Zafril!” Tiara menegur dengan nada yang
sedikit tinggi. Terasa seperti dirinya telah ditelanjangi oleh
mata itu.
Zafril tersedar. Segera dia membetulkan khilaf.
Berdeham beberapa kali. “Maaf. Saya tak ada niat yang tak
elok. Saya tengok awak sebab saya rindu.”
“Apa kes pulak sampai nak rindu bagai dengan saya?
Kita tak pernah ada kena-mengena pun.”
“Ada. Wajah awak tu yang sangat ada kena-mengena
dengan saya.”
Tiara herotkan mulut. Dia malas nak ambil kisah.
“Encik Zafril nak jumpa saya ni kenapa?”
Sekali lagi lelaki itu merenungnya. Tiara buat muka.
Geram pun ada. Satu soalan dia pun tak dijawab. Zafril asyik
merenung dia sahaja dari tadi. Lelaki itu banyak berubah
setelah dia kembali semula sejak sekian lama menghilang.
“Saya banyak lagi benda nak buat selain daripada
duk menghadap muka Encik Zafril. Baik saya balik bilik
settlekan semua assignment yang berlambak menunggu.”
Percakapan Tiara tidaklah kasar. Hanya mendatar. Tetapi
ayatnya bisa kalau nak diikutkan sebagai percakapan seorang
pelajar kepada pensyarah.
“Saya nak sampaikan salam Nia.”
“Macamlah sebelum ni saya baik sangat dengan dia
sampai dia nak kirim salam bagai.”
“Saya tak faham. Apa yang dia dah buat sampai
awak nak bermusuh dengan dia? Rasanya adik saya tu baik je
perangai. Ada dia menyusahkan awak ke? Manalah tahu ada
benda yang saya tak tahu. Kalau dia berhutang, bolehlah saya
tolong selesaikan.”
Suara Zafril juga sama. Hanya mendatar dan tidak
meninggi. Langsung tiada nada marah dalam suara itu.
Tiara telan liur perlahan. Dia termenung seketika.
Berfikir. Kalau nak dikira, dia yang banyak buat salah dengan
Tania. Tapi dia tetap tak puas hati dengan perempuan itu.
Banyak mana salah yang dia buat, dia sedikit pun tak hairan
sehingga hati dia benar-benar puas.
“Tak payahlah nak bincang hal perempuan. Encik
Zafril tu lelaki. Tak sesuai. Lebih baik saya selesaikan dengan
dia sendiri.”
Zafril mengeluh perlahan. Dia tahu yang jawapan
mengecewakan yang akan dia terima. Sebab dia sudah cukup
hadam perangai perempuan yang berada di depannya itu.
“Tak nak jawab salam Nia ke?”
Tiara sedikit merengus. Dia bangun. “Saya balik
dululah Encik Zafril. Saya ingatkan tadi ada benda penting
yang Encik Zafril nak cakap.” Tiara berpaling. Mahu membuka
langkah.
“Tak boleh ke awak berhenti bencikan Nia?”
Tiara berhenti seketika. Tanpa membalas dia terus
melangkah. Tombol pintu bilik dicapai.
“Macam-macam saya dengar awak buat pada Nia.
Tapi dia tak pernah mengadu pun dengan saya. Tak pernah
sekalipun dia cakap buruk pasal awak.”
Tiara kembali pusingkan badannya dan menentang
pandangan lembut pensyarahnya. “Itu pun bukan masalah
saya.”
“Kalau perasaan negatif awak masih ada untuk Nia,
itu dah jadi masalah saya sekarang. Saya mohon pada awak
untuk maafkan apa pun salah dia pada awak.”
“Encik Zafril nak cakap apa sebenarnya ni?” Tiara
sudah mula bosan. Lelaki itu banyak berteka-teki daripada
berterus terang.
“Nia dah tak ada. Dah dua minggu dia pergi.”
“Tak ada? Pergi?” Tiara kerutkan kening. Dia pandang
wajah tenang pensyarah di depannya.
“Nia dah meninggal.”
Lutut Tiara terasa goyah. Dia bernafas laju. Dipegang
rak buku yang berada di sebelah tempatnya berdiri. Mencari
sokongan. Dadanya mula sebak, tapi ditahan. Dia tak nak
menangis. Dia labuhkan kembali duduknya pada kerusi yang
dia tinggalkan seketika tadi.
“Sampai ke nafas dia yang terakhir pun dia ingat
pada awak. Dia minta saya sampaikan salam.”
Tiara pejamkan mata. Dia menunduk. Liurnya
ditelan berkali-kali. Badannya sedikit berpeluh. Darah yang
dipam oleh jantungnya sudah tidak normal seperti tadi. Nafas
yang laju sedari tadi juga tetap sama.
“Tiara, awak okey?”
Tiara mengangguk perlahan. Lambat-lambat.
Zafril menunduk seketika. Mengambil sesuatu dari
dalam laci meja. Sebuah bungkusan diletakkan di depannya
dan menolak perlahan ke tengah meja. “Arwah pesan pada
saya suruh bagi benda ni kat awak.”
Tiara angkat pandangan. Dia melihat bungkusan
yang ditolak dekat padanya. Tangannya yang berada di bawah
meja menggigil. Tanpa disedari oleh lelaki itu.
“Apa yang ada dalam tu? Kenapa dia bagi saya?”
Zafril menggeleng. “Saya pun tak tahu apa yang
ada dalam tu. Nia amanahkan saya supaya tak buka tengok.
Mungkin awak istimewa di hati dia untuk dia sampaikan apa
yang ada dalam tu tanpa pengetahuan sesiapa.”
“Kenapa saya?”
“Mungkin jawapan tu juga ada dalam tu.”
“Nia kenapa? Macam mana...” Ayatnya tidak dapat
disudahkan. Terasa bibirnya menggigil.
Zafril faham apa yang mahu ditanya oleh perempuan
itu. “Kanser. Kanser otak tahap empat.”
“Allahuakbar.” Beg sandangnya terjatuh ke lantai
bilik. Terasa sangat ampuh. Tenaganya hilang.
“Sejak bila dia sakit?”
“Sebulan sebelum dia datang dan daftar kat U ni.”
Tiara tidak dapat menahan air matanya. Buat pertama
kali selama dia berada di universiti itu, dia menitiskan air
mata kerana seseorang. Seseorang yang dia benci.
Tidak mahu lama berada di situ, beg dicapai, bangun
dan menyambar bungkusan yang diberikan kepadanya.
Sepantas mungkin dia keluar, berlari menuju ke arah
keretanya. Di dalam kereta, Tiara menangis semahunya.
Diletakkan kepala di stereng. Dia tersedu-sedu. Hilang semua
sifat ganasnya selama ini.
“Kenapa? Kenapa aku ada perasaan yang macam ni?
Aku benci dia! Aku tak boleh menangis sebab dia.”
Tiara menyapu kasar air mata yang keluar. Dia
mendengus kuat. Setelah itu matanya terpandang bungkusan
di sebelah tempat duduk pemandu. Wajahnya kembali
berkerut. Terasa sakit. Dia terasa lain saat memandang
bungkusan itu. Hatinya sayu.
“Arghhhh!!!” Tiara menjerit kuat. Sekali lagi air
matanya tumpah. “Nia. Selama ni jahatnya aku dengan
kau.” Bahunya terhinggut-hinggut. Hidungnya merah.
Dia cuba mencapai bungkusan itu tapi hatinya tidak kuat.
Hanya dibiarkan. Kereta dipandu keluar dari kawasan fakulti.
Menuju ke kolej kediaman.

No comments:

Post a Comment