DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 8

HAZIQ mengerling jam tangannya. 3 pagi.
Dia menggeliat kecil, lenguh badannya memandu. Dia
memandang pula ke arah Ayla. Lena benar gadis itu tidur.
Baru sahaja dia mahu mengejut Ayla, dia teringat akan
pembantu rumahnya. Timbul pula idea nakalnya tengah
malam begini. Dia terus mengangkat beg pakaian Ayla dan
masuk ke dalam rumah.
“Sufi, tolong kejutkan perempuan dalam kereta
saya tu.” Haziq terus mengarah pembantu rumahnya yang
tercegat di muka pintu.
Arahan Haziq disambut dengan anggukan.
Terkocoh-kocoh Sufi berlari ke arah kereta Haziq. Dia
terpandang seorang gadis bertudung sedang nyenyak tidur
di dalam kereta itu. Perlahan-lahan dia menggerak-gerakkan
tubuh gadis itu. Setelah berkali-kali, akhirnya usahanya
membuahkan hasil.
“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaah!” Jeritan Ayla yang kuat
membuatkan Sufi menjerit sama. Ayla terkejut kerana sebaik
sahaja dia membuka mata, dia terpandang lembaga berwajah
putih berada di hadapannya.
“Saya bukan hantu, mbak. Saya ini Sufi, manusia
sama seperti mbak.” Sufi cuba menenangkan gadis yang
belum diketahui namanya lagi itu. Padahal, dia turut terkejut
dengan jeritan tadi.
“Oh, maaf... saya ingat apa tadi. Muka putih semacam
aje,” jawab Ayla selepas sedikit tenang.
“Muka saya putih kerana saya pakai bedak sejuk.”
Sufi menjelaskan keadaan sebenar.
Ayla hanya tersenyum mendengar jawapan Sufi.
Kalut benar dia tadi. Namun telinganya menangkap
bunyi orang tergelak terbahak-bahak. Dia mengalihkan
pandangannya ke arah muka pintu. Haziq! Dah agak!
“Mari mbak, kita masuk. Di luar ini sejuk.” Sufi
memegang lengan Ayla. “Oh ya, nama mbak apa?”
“Ayla Khalish.” Ayla memperkenalkan diri. Dia
memandang ke arah Sufi yang nampaknya ada peluang untuk
dibuat teman.
Tanpa memberi sebarang isyarat, Sufi menarik
tangan Ayla. Hampir sahaja gadis itu hendak terjatuh akibat
tarikan kuat itu.
Mata Ayla terbeliak tidak berkelip. Dia seperti tidak
percaya. Rumah yang kini dia pijak, nampak kemas sahaja
susun aturnya. Cantik! Hiasan dinding, penataan cahaya,
semuanya begitu sempurna.
“Mbak, kenapa diam?” Sufi memetik jarinya di
hadapan Ayla. Sesekali dia melambai pula. Geram kerana
soalannya tidak dijawab, dia terus menggoncang tubuh kecil
itu.
“Ops, sorry! Saya terkejut sangat tengok susun atur
rumah ni. Siapalah agaknya interior designer rumah ni ya?
Perfectlah!” Ayla segera mengalihkan tumpuannya ke arah
Sufi pula. Terasa agak kurang sopan kerana baru sahaja
masuk sudah menanyakan soalan sebegitu. Namun dia tidak
dapat menahan dirinya daripada terus bertanya.
“Kak Di,” tiba-tiba Haziq mencelah. Sejak Ayla
masuk, dia hanya memerhatikan gadis itu dari tingkat atas.
Dia menahan ketawa apabila melihat wajah Ayla yang kagum
terlebih. Gadis ini minat seni agaknya!
“Kak Di? Siapa tu?” Ayla bertanya.
“Dyana Safiya, isteri abang aku. Panggil dia Kak Di
aje.” Haziq menjelaskan tentang kakak iparnya itu.
“Oh, siapa lagi yang tinggal kat rumah ni?” Ayla
bertanya lagi.
“Nanti kau tahulah. Sufi, bawa minah tu masuk
bilik.” Haziq terus memberi arahan kepada Sufi yang sedari
tadi membisu. Dia malas mahu memanjangkan perbualannya
dengan Ayla. Malas mahu mendengar soalan yang pastinya
takkan sudah-sudah keluar.
“Bilik tetamu atau bilik tuan?” Sufi bertanya.
Haziq mengeluh mendengar pertanyaan itu.
Sengallah pula si Sufi ni!
“Bilik tetamu ada berapa dekat rumah ni?” Haziq
bertanya dengan suara yang dibuat-buat lembut.
“3, tuan.” Sufi menjawab tanpa memikirkan apa
yang bakal berlaku.
“Tahu pun. Ingat dah lupa. Kalau bilik tetamu dah
ada 3, kenapa mesti nak letak minah ni di dalam bilik saya?
Ingat saya ni nak sangat ke kat minah pendek ni?” Haziq
merengus. Dalam bicaranya, dia mengutuk ketinggian Ayla
yang hanya separas hidungnya sahaja.
“Maaf, tuan.”
Ayla memandang Sufi. Pandangannya disorot pula
ke arah Haziq.
“Saya pun tak naklah kat awak!” Ayla berkata sewaktu
melewati Haziq yang berdiri di tangga. Dia sengaja menekan
perkataan ‘tak nak’ itu. Geram dia mendengar kata-kata
Haziq. ‘Ingat kau tu siapa, sampai aku nak terhegeh-hegeh!’
“Ini bilik mbak. Kalau perlu apa-apa, di sana ada
telefon. Tekan saja nombor 5. Nombor 1, bilik Dato’ sama
Datin. 2, bilik Tuan Hazri. 3, bilik Tuan Haziq. 4, bilik mbak
Nayla.” Panjang lebar Sufi menerangkan peranan nombor
speed dial bagi telefon putih di tepi katil itu.
“Nayla? Siapa tu?” Ayla bertanya lagi. Ingin juga dia
tahu. Maklumlah, nama dah nak dekat sama.
“Anak gadis di rumah ini. Adiknya Tuan Hazri dan
Tuan Haziq. Nayla Ilham. Nanti saja mbak ketemu dia. Pasti
dia sudah tidur di kamarnya.”
“Okey. Terima kasih ya.” Ayla segera mengucapkan
terima kasih kepada Sufi yang banyak membantunya. Otaknya
ligat memikirkan tindakan yang telah dia ambil. Betul ke apa
yang dia buat ini? Tiba-tiba sahaja nak berkahwin. Dengan
lelaki yang dia tidak kenal pula tu! Nanti apalah tanggapan
orang di kampungnya.
Otaknya mula mengingat kembali wajah Haziq pula.
Haziq Asyraf! Nama itu diulang-ulang. Kenapa wajahnya
saling tak tumpah seperti Alif? Pelanduk dua serupa
mungkin. Tapi.... ah, sudahlah! Ayla memujuk hatinya supaya
bertenang.

HAZIQ MEMERHATI Ayla menerusi pintu bilik tetamu yang
renggang. Gadis itu berjalan mundar-mandir di balkoni.
Dia tersangatlah pasti bahawa dia pernah melihat gadis itu
sebelum ini.
Dia berpaling ke arah tangga apabila mendengar
bunyi derapan tapak kaki menaiki tangga itu. Alamak, Sufi!
Dia segera masuk ke biliknya. Mujur biliknya berada di
sebelah bilik Ayla. Huh!
Haziq terus duduk di atas katilnya. Biar betul dia
nak kahwin? Kalau dulu dia memang tidak sabar hendak
berkahwin, tetapi itu sewaktu dengan Farah. Kini Farah
sudah terbang ke Paris. Tinggallah dia di Malaysia dengan
masalah yang paling besar pernah menimpa dirinya. Farah
berseronok di sana, dia kena tanggung akibatnya di sini. Haziq
geram namun apakan daya. Fikirannya melayang teringatkan
perbualannya dengan Farah dahulu.
“You... apa kata kita kahwin?” Farah memaut lengan
Haziq.
“Sabarlah. I belum bersedia. Banyak lagi I nak kena
buat. Hotel lagi.” Haziq memang pandai mengelak apabila
Farah membuka topik soal perkahwinan. Entah mengapa, dia
masih belum bersedia.
“Biar betul you ni? Kita dah lama bertunang, tapi
you still belum bersedia?” Farah mula tidak puas hati.
“Sayang, nanti kalau kita dah kahwin, I pula sibuk
nak kukuhkan kedudukan I... nanti I tak ada masa untuk you
macam mana?” Haziq membalas. Sengaja mahu mencuit
tangkai hati Farah.
“Nak kukuhkan apa lagi? Hotel tu dah memang milik
papa you, kan? So, kalau you main-main pun, you still akan
dapat hotel tu,” bidas Farah.
“You pun tahu yang saham I dekat hotel tu sama
dengan Rafiq. Bila-bila masa aje dia boleh naik. Macamlah
you tak tahu yang Rafiq tu memang tak nak kalah dengan I,”
jawab Haziq.
Rafiq! Sepupu Haziq, abang kepada Dirra. Rafiq anti
kepada Haziq hanya kerana dia selalu kalah jika bertanding
dengan Haziq. Dari kecil hinggalah dewasa, mereka sering
berlumba dalam apa pun. Kadang-kadang, nak makan pun
berlumba.
“You dah tak sayang dekat I ke? You dah ada orang
lain ke?” Farah bertanya. Bimbang juga dia memikirkan
perkara itu. Memandang tunangnya menggeleng, cukup
membuatkan hatinya lega.
“Habis tu sampai bila?” Farah menagih jawapan.
Wajah tunangnya direnung.
“Dahlah, nanti kita bincang pasal ni, okey? Makan
cepat. I ada meeting lepas ni.” Haziq cepat-cepat menamatkan
perbualan. Dia malas memanjangkan perbualan itu lagi.
“Fine! Jangan menyesal kalau you hilang I!” bentak
Farah.
Haziq menghela nafas kasar. Dia masih ingat, kerana
rajuk Farah itulah dia membuat keputusan untuk berkahwin,
tapi penghujungnya tetap sama.
“I dah buat keputusan pun Farah... tapi I still hilang
you. So sama aje kalau I tak setuju dulu. Dah setuju, tapi I
kena kahwin dengan orang lain pula.” Haziq berkata sendiri.
Baru sahaja kakinya hendak melangkah ke dalam
bilik air, dia dikejutkan dengan suara jeritan.
‘Apa hal pula minah ni menjerit? Tak tidur ke?’
desis hati Haziq. Takkan tak nak tolong kut, dia pasti tiada
siapa yang mendengar jeritan Ayla kecuali dia kerana lokasi
biliknya dan Ayla berada di tingkat tiga. Mana mungkin Sufi
di tingkat satu akan mendengar jeritan gadis itu. Langkahnya
diayunkan juga ke arah bilik Ayla.
Haziq berdiri di hadapan pintu bilik Ayla. Dia
berkira-kira mahu menjenguk ataupun membiarkan saja,
namun langkahnya yang mula melangkah ke biliknya terhenti
apabila terdengar erangan yang sayup-sayup kedengaran.
Cukup perlahan namun telinganya masih mampu mendengar
erangan itu. Dia memulas tombol bilik Ayla.
“Bagilah salam dulu kalau nak masuk.” Kaget Ayla
apabila melihat pintu biliknya terbuka dan Haziq berdiri di
muka pintu. Dia segera mencapai selimut di atas katil bagi
menutup rambutnya.
“Yang kau menjerit pagi-pagi ni kenapa?” Haziq
bertanya. Dia sebenarnya terkejut melihat Ayla yang tidak
bertudung. Rambut lurus Ayla itu kelihatan menarik untuk
ditatap.
“Jatuh waktu keluar bilik air. Terseliuh agaknya.”
Ayla menjawab.
“Meh sini, biar aku tengok.” Haziq menyuruh Ayla
duduk di sofa di dalam bilik itu.
Ayla memandang lelaki itu. Biar betul? Tadi
marah-marah, sekarang nak baik-baik pula. Tangan kanannya
masih lagi memegang selimut yang berada di kepalanya.
Tangan kirinya pula memegang pintu almari.
“Cepatlah, karang makin bengkak.” Sekali lagi
arahan keluar dari mulut Haziq.
Ayla dengan susah payahnya terhincut-hincut
berjalan ke arah sofa.
“Hah! Aku dah cakap dah, kan dah bengkak.” Haziq
mengurut-urut perlahan di bahagian buku lali Ayla. Sesekali
kedengaran suara Ayla menjerit kesakitan.
“Dah siap,” kata Haziq kepada Ayla. Setelah kaki
gadis itu dibalut dengan bandage, Haziq kemudian memapah
Ayla ke katil.
“Terima kasih,” ucap Ayla. Pemergian Haziq hanya
dihantar dengan pandangan. Dia pelik dengan angin Haziq
yang kadang-kadang kelihatan sungguh membencinya.
Kadang-kadang ada juga sikap prihatin lelaki itu terhadapnya.
Macam perempuan datang bulan!
Ayla tersenyum dengan andaiannya sehingga dia
terlelap.

No comments:

Post a Comment