DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Polaroid - Bab 9

TIARA melangkah naik ke atas buaian yang
berada di halaman rumahnya. Dia termenung seketika.
Menarik nafas dalam. Kemudian dilepaskan perlahan. Tangan
ditekapkan di dada. Mata dipejamkan. Ingatannya terbayang
kenangan bersama Tania. Selama ini tiada kisah yang indah
pun antara mereka. Tidak ada yang elok pun untuk dijadikan
kenangan yang bahagia.
Selepas menerima berita kepulangan Tania ke
alam yang seterusnya, hidupnya tak pernah aman. Rasa
bersalah sangat dalam diri dengan apa yang telah dilakukan
oleh dirinya kepada Tania. Dia sentiasa dihurung dengan
rasa negatif. Kadangkala dia bermimpi yang arwah datang
melawatnya di dalam mimpi. Bukan lawatan untuk membalas
dendam tetapi wajah itu hadir dengan senyuman. Membawa
rasa kedamaian.
Tiara mengeluh seketika. Menyandarkan kepala pada
besi buaian. Kepalanya kini berganti pula dengan bayangan
lelaki yang dipanggil Encik Zafril. Entah apa khabar lelaki
itu sekarang. Sudah berbulan hubungannya dengan lelaki
itu terputus. Bukan hubungan sebenarnya. Cuma pandangan
matanya sudah dipisahkan dengan jarak.
“Apa khabar agaknya Encik Zafril sekarang.”
Dia terus merenung awan. Mencari tenang di dalam
arakan awan yang berkepul-kepul pada bumbung bumi.

“NANTI ABANG bawa Nia pergi daftar kat pejabat pendaftar.”
Zafril senyum dan pandang sekilas pada adiknya.
Tania turut sama membalas senyuman itu. Dia angguk
beberapa kali. Setuju. Nasiblah ada abangnya yang
menemani. Tidaklah dia berseorangan menguruskan semua
hal kemasukan ke UTHM.
“Abang ada berita nak beritahu Nia. Mesti Nia
happy.”
Senyumannya tidak mati. Tania teruja. Dia
mengiringkan badan dan memberikan sepenuh perhatian
kepada abangnya yang sedang memandu.
“Abang dah dapat kelulusan untuk pindah ke UTHM.
Berkuat kuasa dalam masa seminggu.”
“What???” Tania menjerit kuat. Dia memaut lengan
abangnya.
“Nia, abang kan tengah drive ni!”
“Sorry, sorry.” Dia sedar dengan khilaf yang dibuat.
“Bila abang apply? Nia tak tahu pun.”
“Lepas pada abang dengan mak tahu pasal penyakit
Nia. Lagipun Nia pun nak abang dekat dengan Nia, kan?”
“Ya. Thanks abang! Nia sayang abang sangat.”
Zafril hanya pandang dengan ekor mata dan
dikenyitkan mata itu. Dia bahagia kalau adiknya gembira.
Dibelokkan stereng ke kanan dan kereta diparkir cantik di
dalam petak.
Mereka kemudian berlalu ke arah pejabat pendaftar
fakulti untuk membuat pendataran. Tania perasan ada
beberapa mata yang sedang memandang dirinya. Seperti
pandangan pelik. Dia kerutkan dahi, berfikir. Apa yang tak
kena? Dicuit abangnya di sebelah.
“Ada benda pelik ke kat muka Nia?”
Zafril merenungnya tepat dan menggeleng.
“Tak ada pun. Apa yang peliknya?”
Tania mendekatkan diri kepada Zafril. Berbisik di
telinga lelaki itu.
“Tu, budak-budak perempuan kat hujung sebelah
abang tu pandang Nia macam blur je.”
Zafril memandang ke arah yang dirasakan tepat.
Ada tiga orang perempuan yang sedang memandang mereka.
Ketiga-tiganya senyum dan mengangguk.
“Eh Ara. Kau ke ni? Ni kau kan? Apasal bertudung
bagai ni?”
Lelaki yang menegur secara tiba-tiba itu sedikit
gelak. Dia menyentuh tudung yang membalut kepala Tania.
“Tolong respect orang boleh tak? Jangan kurang ajar.”
Zafril menegur. Sangat tidak suka apa yang diperlakukan oleh
lelaki itu terhadap adiknya.
Tania mengecilkan diri. Menunjukkan dengan jelas
yang dia tidak selesa diperlakukan begitu.
“Ni siapa? Balak baru kau eh? Relakslah bro. Takkan
nak sentuh sikit pun tak boleh. Sebelum ni bersentuh bagai
tu makanan dia kut.”
“Apa kau cakap ni? Kami tak kenal pun kau. Tolong
respect. Baik kau berambus sebelum penumbuk sulung aku
ni singgah kat muka kau.”
Lelaki itu mendepangkan tangan dan melangkah
beberapa tapak ke belakang.
“Okeylah. Sebab sekarang kat fakulti aku tak nak
cari masalah. Bye the way, cantik gaya baru kau ni. Nampak
alim. Aku pergi dululah ya, ustazah... ustaz.” Lelaki itu terus
berlalu pergi dengan sengihan nakal.
Zafril menggenggam penumbuknya. Kalau ikutkan
hati, nak sahaja dia pecahkan muka budak tu. “Nia okey ke?”
“Okey. Dia salah orang kut abang. Tadi dia sebut Ara.
Sahlah tu dia silap orang.”
“Kalau silap orang sekalipun, takkan tak tahu nak
bezakan langsung. Dari cara dia cakap tadi macam budak
yang dia panggil Ara tu jenis tak bertudung. Jenis sosial.”
“Biarlah abang.”
“Berani betul dia buat Nia macam tu depan abang.”
“Abaikan jelah abang. Dia salah faham tu.”
Zafril mendengus. Cuba tenangkan diri. Dia kalah
melihat senyuman Tania. Mereka duduk kembali di kerusi.
Menunggu giliran untuk dilayan oleh kerani di situ.
“Assalamualaikum.”
Mereka berdua pantas berpaling ke arah orang yang
memberi salam. Dia melihat senyuman di wajah ketiga-tiga
gadis yang tadi agak jauh daripada mereka. Sekarang ini
hanya duduk di sebelah Zafril.
“Waalaikumussalam.” Mereka menjawab dengan
senyuman.
“Maaf kami mengganggu. Tadi kami dengar yang
nama awak Nia ya?”
Zafril dan Tania berpandangan. Kemudian mereka
memandang kembali kepada ketiga-tiga gadis tersebut.
“Ya. Nama saya Nia. Kenapa ya?”
“Jadi awak ni bukan Aralah?”
Tania menggeleng. Dia berbalas pandangan dengan
mereka bertiga dan juga dengan Zafril. “Bukan. Saya Nia.
Hari ni first day saya kat sini. Pindah U.”
“Oh... Lelaki tadi tu nama dia Pudin. Dia memang
suka kacau orang. Tapi tadi rasanya dia salah orang. Sebab dia
ingatkan awak ni Ara. Mungkin dia terkejut sebab awak yang
dia sangka Ara tu dah bertudung.”
“Ara tu siapa? Kenapa dia sangka adik saya ni
perempuan tu?” Zafril menyampuk. Turut sama berminat nak
mendengar kenapa lelaki tadi salah faham dengan adiknya.
“Ara tu muka dia sebijik macam Nia. Tak ada beza
pun. Masa first tengok tadi pun kita orang ingat yang Ara dah
bertudung. Itu yang susah nak percaya tu.”
Kawan-kawannya yang lain mengangguk, bersetuju.
Zafril betulkan duduk. Berdeham.
“Betul ke rupa adik saya ni macam dia? Takkan tak
ada beza langsung? Dan kalau Ara tu berubah, bertudung,
baguslah. Kenapa susah nak percaya?”
Gadis itu memandang sekeliling. Tak mahu ada
yang mendengar. Dia pandang kakak kerani yang berada
di kaunter. Masih sibuk menguruskan pelajar. Gadis itu
memperlahankan suaranya.
“Betul. Sebijik macam kembar. Yang beza cuma
tudung je. Susah nak percaya sebab Ara tu jauh benar dengan
perwatakan Nia ni. Tengok pada Nia ni macam lembut je. Ara
tu pulak, playgirl. Lelaki kiri kanan. Dia famous kat fakulti
tempat dia study dengan perangai sosial dia. Perangai dia
jenis suka cari masalah dengan orang. Suka sakitkan hati
orang.”
Zafril berdeham lagi. Tania faham yang abangnya
tidak suka mendengar cerita seperti itu. Apatah lagi hanya
mendengar sebelah pihak dan dari orang yang mereka tak
kenal.
“Tak apalah dik. Biarkanlah dia. Kita jaga diri kita
je ya.”
Zafril senyum. Mereka semua juga senyum. Tania
ikut rentak yang sama, senyum. Dalam hatinya, terasa nak
sangat dia jumpa dengan perempuan yang seiras dengannya.
“Ara tu ambil kos apa?”
Tania bertanya. Zafril pandang pelik. Dapat rasakan
adiknya itu berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut
pasal gadis yang bernama Ara.
“Dia budak Multimedia.”
“Oh...” Tania pandang Zafril. Abangnya itu juga turut
memandang dirinya. Macam kebetulan yang sungguh tak
disengajakan.
“Tania Binti Hasnan.”
Tania bangun. Zafril juga. Giliran untuk mendaftar
sudah tiba.
“Kami minta diri dululah ya. Terima kasih sudi layan
kami. Abang ni handsome. Cermin mata tu buat abang makin
handsome!” Tanpa menunggu lama, ketiga-tiga gadis itu
terus melangkah pergi. Pergi dengan senyuman dan gelak.
Zafril terpinga-pinga. Tania menyiku perut abangnya
manja. Dia turut sama gelak.
“HAA DR. Zairul. Kebetulan pulak Dr. ada kat sini. Elok
sangatlah. Lepas ni kelas Dr. Zairul dengan budak Multimedia
kan?”
Profesor Samsudin yang merupakan dekan fakulti
menghentikan langkah di luar bilik. Tania berdiri di
sebelahnya. Dr. Zairul pandang gadis di sebelahnya itu tanpa
berkelip.
“Saya tanya awak ni Dr. Zairul.”
“Hah? Err... ya Prof. Sorry... ya, lepas ni kelas saya
dengan budak Multimedia.”
“Haa, baguslah kalau macam tu. Saya ingat nak
hantar Tania ni ke kelas. Dia student baru. Dah alang-alang
Dr. dah ada kat sini, Dr. jelah bawa dia dan kenalkan pada
kelas. Saya pun rushing sebenarnya ni. Ada hal kat luar. Boleh
ke?”
“Boleh Prof, tak ada masalah.”
“Okay good. Saya tinggalkan dia dengan Dr. ya?”
Dr. Zairul mengangguk. Profesor Samsudin terus
menapak masuk kembali ke dalam biliknya.”
“Terima kasih Dr. Saya Tania.”
“Tania ni ada kaitan dengan Tiara ke?”
“Tiara? Tadi pun Prof. ada beritahu pasal Tiara.
Katanya muka kami seiras.”
“Tak kenal? Oh tak ada kaitanlah tu. Tadi masa first
tengok ingatkan kembar Tiara ke atau ada apa-apa pertalian
darah. Ni pertama kali saya berdepan dengan realiti tentang
peribahasa pelanduk dua serupa.”
“Seiras sangat ke?”
“Awak tengoklah nanti.” Dr. Zairul senyum.
Mereka beriringan keluar dari pejabat dan menuju
ke kelas.

“MORNING CLASS.”
Dr. Zairul dan Tania melangkah masuk ke dalam
kelas bersama senyuman. Kesemua pelajar tercengang. Kelas
tiba-tiba menjadi sunyi. Dr. Zairul tergelak kecil. Sudah
diagak kemungkinan itu akan berlaku. Dr. Zairul memandang
Tania dan menyuruh gadis itu bersikap seperti biasa. Seperti
tiada apa-apa.
Penghuni di dalam kelas itu memandang Tiara
dan perempuan di hadapan kelas silih berganti. Sukar nak
percaya.
“Morning class. Assalamualaikum.” Sekali lagi Dr.
Zairul menegur.
“Morning Dr. Waalaikumussalam.” Masing-masing
menjawab hampir serentak.
Tiara pegang mukanya. Dia mengerdipkan matanya
beberapa kali. Tak percaya dengan apa yang sedang dia tengok.
Disiku Mek Yah di sebelah. “Weh, muka aku ni masih melekat
kat muka aku ni kan?”
Mek Yah angguk. Dia juga masih tercengang.
“Habis tu dah kenapa dia pergi melekat dekat muka
perempuan tu?”
Tiara pandang terus ke hadapan. Matanya
bertentangan dengan mata perempuan yang berwajah sama
sepertinya.
“Ni Tania Hasnan, student baru. Dia transfer ke
sini. Sebelum ni dia dekat UMK. So, kamu semua pun mesti
sama macam saya, kan? Seiras sangat dengan Tiara. Macam
kembar.”
Mereka semua mengangguk setuju.
“So, please be nice to her. Tiara, awak dengar tak?”
Semua mata memandang ke arah Tiara. Gadis itu
buat tak reti. Tania pelik. Kenapa Dr. Zairul perlu berpesan
sebegitu kepada Tiara? Dia hanya membiarkan. Tak perlulah
dia berfikir. Nanti dia akan tahu dengan sendiri.
“Tania, pergi duduk. Duduklah mana-mana tempat
yang kosong.”
Gadis itu patuh menurut arahan.

SELESAI SAHAJA dua jam kelas, masing-masing terus
keluar dari dewan kuliah. Membawa haluan sendiri. Dr. Zairul
mendekat pada Tania.
“Nanti mana yang awak dah terlepas, awak catch up
dengan member-member dalam kelas ni. Tak banyak mana
pun. Kelas baru mula dua minggu. Jadi tak payah risau. Kelas
yang lain awak dah dapat jadual kan? Pihak U dah masukkan
semua dalam sistem maklumat pelajar, kan?”
“Ya Dr. Zairul. Semua saya dah dapat. Maklumat
semua dah masuk dalam sistem. Terima kasih sebab bertanya.”
Tania pandang pensyarahnya itu dengan riak gembira. Terasa
kehadirannya di situ sebagai pelajar baru mula dihargai.
“Okeylah. Kalau macam tu saya keluar dulu.”
Tania mengangguk. Dr. Zairul teruskan melangkah
ke arah pintu keluar.
“Wah, baik betul Dr. Zairul dengan kau. Siap bagi
warning kat aku lagi tu.”
Tania segera berpaling. Tidak sedar rupanya Tiara
dan seorang lagi rakannya masih tidak keluar dari dewan
kuliah.
“Eh tak adalah. Biasa je.”
Tiara dan Mek Yah duduk di depan Tania. Tiara
merenung lama wajah di depannya itu. Mereka saling
merenung. Tania dengan senyuman dan Tiara dengan wajah
tiada perasaan. Dalam hati kedua-duanya mengaku yang
muka mereka sangat seiras. Apa yang membezakan mereka
hanyalah tahi lalat di bawah bibir Tiara. Yang lain semuanya
sama. Alis mata, warna mata, bentuk hidung, warna kulit.
Seperti dicetak dan ditampal pada wajah mereka.
“Kau pindah sini kenapa ek? Kalau satu U aku tak
ralat sangat. Ni satu kelas. Nak hadap muka photostat ni
hari-hari ke sampai habis degree? Kan elok je kau duduk kat
UMK tu diam-diam. Ni nak pindah bagai, kenapa?”
“Awak, kenapa ni?”
“Aku tak suka kau. Aku tak suka sebab wajah kau
ni. Tudung kau ni. Macam perli aku je bila pakai tudung tapi
ambil muka aku. Lepas ni confirm ramai yang gelakkan aku.
Ejek cakap yang aku ada bela hantu. Muka sebijik macam
aku.”
“Astaghfirullahalazim. Tak baik awak cakap macam
tu. Saya bersyukur sebab dapat jumpa awak. Macam saya
tengok diri saya bila saya tengok awak.”
Tiara kerutkan kening. Dia membuat badannya
menggigil. Sengaja.
“Eh pleaselah. Tak payah nak bersyukur sangat. Geli
aku dengar. Sejak pandang kau tadi, aku rasa nak tengok
muka aku kat cermin lepas ni pun aku rasa seram. Kenapalah
Allah takdirkan kau pindah kat sini?”
Tania senyum. Dia mengambil keputusan untuk
diam. Tak ada guna dia bertekak untuk sesuatu yang tak
menjadi masalah kepada dirinya. Lagipun kepalanya terasa
sedikit berdenyut. Dia tak nak membuat dirinya tertekan.
Emosi perlu dikawal. Dia senyum lagi dan pandang Mek Yah.
Perempuan itu turut membalas senyumannya. Serentak itu
juga bahunya ditampar kasar oleh Tiara.
“Kau senyum-senyum dah kenapa?”
“Macam kau pulak yang senyum kat aku.”
Mek Yah mengekek ketawa dan menjauh bila tangan
Tiara sekali lagi mahu hinggap di badannya.
“Saya balik dulu ya. Assalamualaikum.”
“Eh kau nak pergi mana?” Tiara cuba menghalang
Tania. Tangannya memegang meja kecil yang bersambung
dengan kerusi tempat Tania duduk. Gadis itu tak dapat
bangun.
“Tak payahlah kau nak buat hal. Kau ada janji dengan
Shaiful kan? Buang masa je ni duk lama-lama kat sini.”
Tiara batalkan niat. Kalau nak diikutkan, ada lagi
yang nak dibebelkan kepada perempuan yang berwajah
dirinya.
“Jom blah.” Tiara angkat begnya dan disilangkan ke
belakang badan.
“Nantilah aku basuh kau lain kali.” Tiara dan Mek
Yah bergerak ke arah pintu utama dewan.
Tania senyum sekali lagi dan menggelengkan kepala.
Dia senyum. Teringat kepada ketiga-tiga perempuan yang
bercerita tentang Tiara semalam. Nampaknya mereka tidak
menipu. Dipegang dan diusap wajahnya seketika. Kemudian,
dia kembali menyambung senyum.

No comments:

Post a Comment