“KENAPA kau langsung tak beritahu aku pasal
Nia?”
Tiara pandang Mek Yah. Gadis itu menunggu
jawapan daripadanya.
“Tak penting pun. Bukan kau suka dia pun kan?”
“Oh, jadi selama ni kau memang tahulah yang dia
dah tak ada? Sejak hari Encik Zafril muncul tu kan? Sebab
tu kau dah macam berubah sekarang. Nak jadi baik? Kau
menyesal sebab selalu pedajalkan si Nia tu kan?”
“Tak payahlah kau nak membebel. Aku penat. Otak
aku ni dah letih nak fikir macam-macam.” Tiara bersuara
mendatar. Matanya dipejam. Malas nak endahkan Mek Yah
yang masih bernafas tercungap-cungap. Mungkin tak sabar
nak tahu kebenaran daripada dia. Sampai sahaja di bilik, terus
dia diserbu.
“Aku tak tahu kau ni hati apa. Kering ke keras ke...
entahlah. Pasal dia meninggal pun kau tak ada beritahu aku.
Kenapa? Kau takut aku doakan yang tak baik-baik ke untuk
dia? Kalau selama ni aku jahat dengan dia pun, kau pun share
saham yang sama. Saham dosa. Separuh datangnya daripada
kau.”
“Mek Yah please. Tak payahlah kau nak memekak.
Aku sakit kepala ni. Lagipun buat apa aku beritahu kau? Tak
ada beza pun sama ada kau dengar daripada aku atau dari
mulut orang lain.”
“No! Besar bezanya. Selama ni kita yang selalu cari
masalah dengan dia. Kau dengan aku satu kepala. Tapi bila
kau tahu hal ni kau tak nak share pun dengan aku.”
“Tak payahlah nak share pasal hidup mati orang.
Jaga diri sendiri lebih baik.”
“Kau ni memang manusia selfish! Tak berhati perut.
Kau kenapa sebenarnya? Apa kau rasa bila tahu dia dah
tak ada? Selama dia ada depan mata bukan main lagi kau
susahkan hidup dia.”
“Pleaselah Mek Yah. Kita sedekahkan saja Al-Fatihah
untuk dia. Biar dia tenang kat sana.”
“Pandailah kau nak nasihatkan aku suruh
sedekahkan Al-Fatihah bagai. Ustazahlah sangat. Solat pun
aku tak pernah nampak. Allah terima ke sedekah kau tu?”
“Astaghfirullahalazim... dahlah. Aku peninglah cakap
dengan kau. Nanti kita sambung. Aku nak tidur. Sakit sangat
dah kepala ni.” Tiara terus mengiring. Membelakangkan Mek
Yah. Tidak guna bertengkar pasal orang yang dah tak ada.
Bukan benda baik pun.
Mek Yah pula mencapai tuala di kepala katil dan dia
melangkah ke bilik air.
“MEK YAH, kita gerak sekali hari ni. Kau naik kereta aku ya?
Tak payah naik bas.”
Tiara mengelap rambutnya yang masih basah dengan
tuala. Selesai mandi tadi dia terus mencapai tuala kering di
dalam almari. Itu sudah menjadi kebiasaannya. Dipandang
Mek Yah yang sedang melayan Facebook di meja belajar.
Mek Yah memandang Tiara dengan ekor matanya.
Dia masih terasa hati kerana Tiara merahsiakan hal kematian
Tania. Rasa seperti dikhianati dalam diam. Dia tidak melayan.
Hanya membiarkan pertanyaan Tiara berlalu ditiup angin.
“Geng, kau masih terasa hati dengan aku pasal hal
semalam tu ke?”
Mek Yah masih terus menyepi. Dia masih dengan
rasa hatinya yang sebal. Tak nak pun dia menjawab pertanyaan
itu. Telinganya mendengar keluhan kecil yang dihembuskan
melalui bibir Tiara.
“Okeylah... aku minta maaf sebab tak beritahu kau
pasal arwah. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Jujurnya,
hati aku ni rasa bersalah dengan arwah tentang apa yang aku
dah buat kat dia sebelum ni. Kau sendiri tahu kan macam
mana aku layan dia. Then tiba-tiba dia pergi macam tu je.
Entah dia maafkan aku ke tak. Bukannya sebab aku fikir kau
akan cakap yang negatif pasal arwah. Aku tak ada fikir yang
tak elok pun pasal kau. Aku sayang persahabatan kita.”
Panjang lebar Tiara bercakap. Cuba menerangkan
duduk sebenar apa yang tersimpan kemas dalam hatinya.
Kawan yang cuba diajak berbual itu masih mengeraskan hati.
Tidak mahu berkata sepatah pun.
Tiara kemudian menarik kerusinya dan diletakkan
dekat dengan Mek Yah. Dia labuhkan duduknya di kerusi itu.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Tiara masih
cuba memujuk. Ditarik muka kawan itu supaya berpaling
menghadap dirinya.
“Aku minta maaf. Tak naklah gaduh macam ni. Kau
je kawan yang aku ada. Sebilik, sekelas. Kau kena hadap muka
aku juga mana pun kau pergi. Dahlah tu merajuk ya? Aku
bukannya pandai pujuk pun.”
“Baik, aku akan maafkan kau kalau kau jawab soalan
aku dan jawapannya buat aku puas hati.”
Tiara mengangkat kening beberapa kali. “Bergantung
pada soalan.”
“Kau dah jatuh cinta dengan Encik Zafril?”
“Kau tanya soalan macam tu kenapa?”
“Tu bukan jawapan.”
“Aku tak nak jawab soalan macam tu.”
“Tu pun bukan jawapan.”
“Soalan kau langsung tak kena pada tempat. Aku tak
kena jawab pun soalan macam tu.”
“Kalau macam tu berhenti cakap dengan aku. Tak
payah cakap apa-apa pun.”
“Kau ugut aku ke?”
“Terpulang.”
Tiara bangun. Dia mencapai pengering rambut.
Menghidupkan suis dan benda alah itu kedengaran bising di
ruang bilik.
“Dia bukan taste aku. Kau pun dah sedia maklum
dari awal lagi kan? Encik Zafril tu dah tua. Aku tak ingin pun
dengan mamat skema macam tu. Siap cermin mata bagai
lagi. Sekali pandang macam nerd pun ada.”
Mek Yah gelak. Gelak sinis. Dia menggeleng
beberapa kali. Sukar untuk dia menerima apa yang diluahkan
oleh gadis itu.
“Itu dulu. Mungkin kau langsung tak ada hati
dengan dia. Mungkin kau langsung tak kisah pun dia ada ke
tak depan mata kau. Tapi sekarang ni aku tengok dah lain.
Kau macam pandang dia pun boleh kena strok. Tu hati kau
yang vibrate, kan? Sebab hati tak dapat nak menipu. Kau nak
nafikan banyak mana pun, kau takkan dapat tipu diri kau dan
aku yang ada mata ni. Cermin mata dia tu bukan nampak dia
nerd tapi buat wajah sedia ada dia tu makin handsome.”
“Tak payahlah kau nak membebel pasal apa yang aku
rasa pada dia. Aku tak faham kenapa dia dengan arwah adik
dia tu boleh buatkan hubungan kita ni asyik nak berperang
je.”
“Aku nak tanya kau. Ni kau nak menipu aku ke nak
tipu diri sendiri?”
“Tipu apa benda pulak kau ni?” Tiara matikan
suis pengering rambut dan dia mencapai sikat. Mulutnya
muncung. Tak puas hati dengan kawan yang nak korek rahsia
hati dia.
“Kalau kau tak cintakan dia, hari tu kenapa kau
jumpa dia? Kau halang dia supaya dia tak pergi, kan?”
“Siapa cakap aku halang dia?”
“Aku boleh agak. Masa aku cakap yang dia nak blah
hari tu, kau gabra semacam je. Kejar dia macam orang gila.”
“Aku cuma nak ucapkan selamat tinggal je. Sebab
dia nak pergi tak ada mention apa-apa pun kat kelas.”
“Eleh, yalah tu! Pasal tu kau kisah pulak. Macamlah
sebelum ni kau baik dengan dia. Aku tak dapat terima
alasan budak tadika kau tu.” Mek Yah menutup laptop dan
menyimpan di dalam beg. Dia bangun dari kerusi. Bersedia
untuk pergi.
“Eh tunggulah aku. Kita pergi sekali.”
“Takpelah. Lain kali aku tumpang kau. Hari ni aku
naik bas je. Sementara bas U masih free ni, baik aku hargai.”
“Dah tu kalau kau naik dengan aku bukannya aku
suruh bayar pun.”
“Tak payahlah. Balik nanti aku stay kat library.”
“Terasa dengan aku lagi ke?”
Mek Yah senyap. Dia bangun dan terus berjalan
menuju pintu keluar.
Tiara hanya mampu mengeluh. Biarlah. Dia pun
dah malas nak memujuk. Sepatutnya dia yang lebih terasa
hati kerana dituduh bukan-bukan. Bukan-bukan ke? Ditanya
hatinya sendiri.
“AKU NAK tanya something boleh?”
Mek Yah sengih pada Tiara yang sedang khusyuk
melayan Maggi goreng. Mereka singgah di kafeteria kolej
kediaman setelah balik dari kuliah.
Tiara pandang wajah itu. Seminggu Mek Yah
merajuk. Hari ni baru nak senyum. Dia menggeleng dengan
perangai perempuan itu yang entah apa-apa.
“Mood kau okey hari ni sebab nak tanya aku pasal
something tu ke?”
Mek Yah gelak. Dia turut sama mengunyah Maggi
goreng yang dipesan. Menu sama dengan Tiara. Memang itu
makanan kegemaran mereka. Maggi goreng di kafeteria itu
sangat terkenal di kalangan pelajar. Sedap!
“Tak adalah. Aku merajuk setahun pun bukannya
kau nak pujuk. Malas dah aku nak layan perasaan ni. Lagipun
hari-hari aku kena hadap muka kau.”
“Tahu pun. Yang kau nak merajuk bagai tu dah
kenapa?”
“Ni aku nak tanya, masa Encik Zafril panggil kau
masuk bilik dia sebulan lepas tu kenapa?”
“Kau nak tahu kenapa? Tak ada benda penting pun.
Dia cuma cakap yang arwah Nia kirim salam dengan aku.”
“Boleh percaya ke?”
“Dah tu dia nak cakap apa lagi?”
“Takkan nak sampaikan salam pun kena masuk bilik
pejabat dia?
“Dia rindu nak tengok muka aku ni. Kan wajah yang
aku bawa ke hulu ke hilir ni wajah arwah adik dia. Tu yang dia
duk tenung aku je. Dia rindu dengan arwah. Dia cakap yang
arwah dah tak ada dan sampaikan salam. Itu jelah.”
“Aku nak percaya. Tapi aku tetap tak boleh percaya
seratus peratus dengan kau. Macam kena kencing je aku rasa
sekarang ni.”
Tiara gelak. Ditepuk sedikit kepala kawannya itu.
“Kepala kau ni dah ting tong! Sebab tu kau banyak buat
ramalan yang bukan-bukan.”
“Ada dia cakap yang dia cintakan kau?”
“Eh dia ni... macam mana dia nak cintakan aku kalau
selama ni dia tak pernah pun usyar aku. Lagipun muka aku
ni seiras dengan adik dia. Takkan dia ada hati nak berjiwang
karat dengan muka ni.” Ujar Tiara sambil menuding jari
telunjuk ke mukanya. Mata dijegilkan pada Mek Yah.
“Tapi kau cintakan dia, kan?”
Kali kedua dia mengetuk kepala Mek Yah. Lebih
kuat daripada yang pertama. Geram rasa hatinya. Gigi dikacip
rapat. “Haa kau memang minta sangat, kan? Rasalah.”
“Sakitlah bengong!” Mek Yah menjeling Tiara. Gadis
itu turut membalas dengan jelingan.
“Dahlah cakap pasal diaorang tu. Tesis kau macam
mana?”
“Hmm. Kalau aku tanya bab ni kau memang cepat je
nak mengelak, kan? Tak salah kalau kau cintakan Encik Zafril
tu. Tak adalah tua sangat. Beza enam tahun je dengan kita.
Handsome!”
“Dah-dahlah mak cik woi. Aku tanya tesis kau macam
mana? Dah sampai mana?”
“Setakat ni okeylah. Cuma lepas ni nak kena banyak
pergi library luar. Kena ulang-alik kat DBP. Lepas tu nak kena
cari bahan kat library U. Mungkin kalau dah terdesak nanti,
stay library.”
“Wah... semangat kau. Nak dapat 4 flat ke?”
“Perli akulah tu. Aku tahu yang aku ni tak genius
macam kau. Tu yang aku kena usaha lebih. Tapi tak salah
kalau kita sama-sama berjuang untuk 4 flat. Mana tahu
keluar nanti dapat kerja bagus sebab orang pandang kat
result kebabom kita tu.”
Tiara sekali lagi tidak dapat menyingkirkan wajah
Zafril yang hadir secara tiba-tiba di ruang matanya. Sungguh
mengganggu. Zafril juga mahu dia mendapat keputusan
seperti itu. Mahu dia memegang anugerah dekan.
“Woi mak cik. Kau dah pergi mana? Ambil degree kat
atas pentas ke? Dapat dekan eh?” Mek Yah memetik jarinya di
depan muka Tiara. Gadis itu senyum dan menepis perlahan.
“Kejap je aku rasa kita kat U ni. Dah nak habis. Lepas
ni kau nak apply kerja kat mana?”
“Entah. Aku tak ada apa-apa perancangan lagi setakat
ni. Kau?”
“Aku rasa kalau result aku baik, nak apply biasiswa.
Aku nak sambung master.”
“Wah kau... diam-diam je kan. Sebelum ni tak ada
cakap apa-apa pun pasal plan kau nak sambung master.”
“Belum sure lagi. Kalau ada rezekilah.”
“Elok juga tu. Kau nak sambung kat mana?”
“Entah. Maybe UMS.”
“Jauhnya kau nak bawa diri. Seberang laut tu...”
Tiara pandang Mek Yah. Dia sendiri kaget dengan
nama universiti yang disebutnya. Spontan. Dia terkebil-kebil.
Kelopak matanya dikerdipkan beberapa kali. Tidak pernah
terlintas pun di hati ataupun dalam fikirannya untuk dia ke
UMS.
Apa yang disebutnya tadi hanya keluar macam tu
sahaja. Teringat jawapan yang diberikan oleh Encik Zafril
sewaktu dia bertanya lelaki itu akan berpindah ke universiti
mana. Dia mendengus kecil. Terasa penat dengan rasa hati
yang semakin hari semakin buat dirinya serabut.
“Kenapa kau pilih UMS?”
“Tak ada sebab. Saja nak kenal tempat orang.” Tiara
memberi alasan selamat.
“Kat UTHM ni dah tak syok ke sampai kau tak nak
sambung kat sini? Ke Encik Zafril pindah pergi UMS?”
Terasa tak tertelan Maggi goreng yang berada di
dalam mulut. Segera dia mencapai air dan menyedut dengan
rakus. Pandai buat ramalan. Hesy!
“Baik kau habiskan Maggi tu cepat sebelum aku yang
tolong habiskan.”
“Eleh, nak mengelak cakap jelah. Tak payah ugut nak
habiskan Maggi aku pulak.”
Kali ini Tiara pekakkan telinga. Biar lebih pekak
daripada badak.
No comments:
Post a Comment