DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Polaroid - Bab 2

“ARA, kau tahu tak yang Encik Zafril nak
pindah?” Mek Yah labuhkan duduknya di kerusi sebelah Tiara.
Gadis itu terus merenungnya dengan pandangan tajam.
“Apa? Bila?”
“Hari ni. Kat bawah tadi aku tengok barang dia
semua dah angkut masuk kereta. Mungkin dia dah blah kut.”
Tiara bangun dan dicapai begnya. Dia berlari mencari
pintu keluar. Tidak menghiraukan sesiapa dan juga kelas yang
akan bermula beberapa minit sahaja lagi.
“Ara! Hei, kau nak pergi mana? Alah... kalutlah
minah ni. Entah apa-apa.” Mek Yah menggeleng dengan
gelagat kawan yang dilihatnya seperti meroyan.
Sejak seminggu yang lepas, selepas Tiara balik
daripada berjumpa dengan Encik Zafril, dia perasan perilaku
kawan baiknya itu banyak yang berubah.
Tiara berlari turun ke tempat yang selalu menjadi
tempat parkir kereta Zafril. Dia tercungap-cungap.
Diperhatikan kawasan sekeliling. Orang yang dicari tiada. Dia
membongkok dan meletakkan tangan di lutut. Melepaskan
lelah. Tidak menunggu lama, dia menekan alarm keretanya.
Terus dicampak beg ke tempat duduk sebelah pemandu. Enjin
dihidupkan dan dia terus menekan pedal minyak. Tiara yakin
pensyarahnya itu masih berada dalam kawasan universiti.
Kalaupun sudah keluar, mungkin tidak jauh. Dia berharap
yang peluang untuknya mengejar masih ada.
Sejak minggu lepas, kepalanya sangat berserabut
dengan bayangan Tania. Tidurnya tak pernah lena. Sampai ke
hari ini dia masih tidak membuka bungkusan yang dikirim
untuknya. Dia masih belum bersedia.
Tiara memecut kereta dengan kelajuan tinggi.
Beberapa minit kemudian, matanya tepat memandang
kereta milik Zafril yang dipandu perlahan. Masih berada di
dalam kawasan universiti. Beberapa meter dia menghampiri,
ditekan hon bertalu-talu.
Zafril memandang cermin pandang belakang.
Terkejut dengan apa yang sedang dilakukan oleh kereta
di belakangnya. Dia kenal dengan kereta itu. Dia juga
kenal dengan pemilik kereta itu. Zafril mengeluh
perlahan. Memberikan signal ke tepi apabila melihat Tiara
bersungguh-sungguh memintanya berbuat demikian.
Tiara keluar dari kereta dan terus mendekat kepada
Zafril. Dia mengawal nafasnya supaya berentak normal.
Melihat lelaki itu dengan ekor mata. Terasa besar kecil saja
pensyarah itu di pandangannya.
“Encik Zafril nak pergi mana?”
“Saya nak pindah.”
“Kenapa?”
“Sebab kat sini dah tak beri apa-apa makna pada
saya.”
“Maksud Encik Zafril?”
“Nia dah tak ada. Apa yang saya lalui dengan dia kat
sini banyak buat hati saya terluka. Sebab tu saya pilih untuk
pergi.”
“Kenapa nak buang kenangan dengan adik sendiri?”
Tiara tak nak mengalah dan dia memang tak suka mengalah.
Walaupun buat masa sekarang dia tak tahu kenapa dia
bersikap seperti itu dengan pensyarah yang dia tidak suka.
“Saya bukan nak buang. Saya cuma tak kuat untuk
hadapi buat masa ni.”
“Encik Zafril nak tinggalkan tempat ni semudah tu
je? Macam mana dengan saya?”
Zafril merenung wajah itu lama. Ditentang mata itu
dalam. Dia tidak mengerti dengan apa yang baru keluar dari
bibir pelajarnya.
“Errr... maksud saya macam mana dengan kami
semua? Encik Zafril nak pergi macam tu je tanpa ucapkan
selamat tinggal?”
Zafril sandarkan badannya ke kereta. Dia
menyilangkan tangan dan memeluk tubuh. Dipandang
kejauhan. Dihembuskan nafas melalui mulut. “Rasanya tak
perlu. Biarlah saya dengan Nia terus hilang macam tu je.”
“Kenapa Encik Zafril terlalu pentingkan diri? Buat
benda ikut suka hati je! Langsung tak fikirkan perasaan orang
lain.”
Zafril tegakkan badan. Dijatuhkan tangan yang
memeluk tubuh dan sekali lagi dipandang tepat wajah Tiara.
“Awak ni dah kenapa? Bukan ke selama ni awak bencikan saya
sebab saya abang Nia? Kenapa sekarang nak halang saya dari
pergi? Saya datang sini hari tu sebab Nia yang nak masuk U
ni. Sekarang dia dah tak ada. Dah tak ada sebab untuk saya
terus stay kat sini. Apa yang saya pentingkan diri?” jelas Zafril
dan turut memberi pertanyaan kepada Tiara.
Tiara terkulat-kulat. Tidak tahu untuk dia
memberikan alasan yang tepat kenapa dia menghalang lelaki
itu daripada pergi. Padahal, untuk dijawab kepada dirinya
sendiri pun dia tidak tahu. Memang selama ini dia membenci
lelaki itu.
“Sudahlah Tiara. Saya kena pergi. Esok dah nak fly.”
Pintu kereta dibuka. Wajah Tiara yang menunduk sekali lagi
dipandang.
“By the way, tak lama lagi dah nak grad, kan? Good
luck! Nia tak beruntung macam awak. Impian dia untuk bagi
ijazah dekat mak kami tak tercapai. Saya doakan awak dapat
dekan. Saya tahu awak mampu.”
Tiara sekali lagi tidak mampu untuk berkata-kata.
Seperti kata-kata itu hilang saat tiba di kerongkong. Tak
terluah. Di hatinya terdetik sesuatu. Segera dia melihat
kepada Zafril yang telah masuk ke dalam perut kereta.
Diketuk tingkap kereta. Lelaki itu menurunkan cermin.
“Jangan pergi.”
Zafril mengeluh perlahan. “Kenapa? Berikan saya
sebab.”
“Sebab saya boleh jadi adik Encik Zafril. Yang
membezakan saya dengan arwah Nia hanya tahi lalat kat
bawah bibir saya ni. Yang lain semuanya sama. Sebijik!”
Zafril senyum. Lama. Dia merenung wajah di
hadapannya. Wajah itu memang seiras. Sangat sama dengan
wajah arwah Tania. Tapi perwatakan mereka jauh berbeza.
Langsung tak sama.
“Macam mana awak boleh terfikir untuk jadi adik
saya?”
“Saya tak tahu. Saya cuma tak nak Encik Zafril pergi
macam tu je. Saya tahu yang saya tak baik. Tak sama dengan
Nia. Tapi manusia boleh berubah kan?”
“Ara... manusia memang boleh berubah. Tapi jangan
berubah kerana saya dan Nia. Kami bukan sesiapa pun pada
awak. Kenangan yang saya ada dengan arwah Nia, takkan
pernah sama dengan apa yang pernah ada dalam kisah kita
untuk dijadikan kenangan. Awak takkan dapat gantikan
tempat dia.”
Tiara kaku. Pertama kali lelaki itu memanggilnya
dengan panggilan Ara. Sekali lagi terasa senak singgah di
hatinya. Entah apa yang tidak kena. Dia sendiri tak faham.
“Baliklah ke kelas. Pagi ni ada kelas dengan Dr.
Zairul, kan?”
Tiara masih lagi kaku. Apa yang diberitahu oleh lelaki
itu masih kuat menendang gegendang telinganya. Benar!
Dia patut sedar diri yang dia memang tak layak langsung
untuk menjadi adik kepada pensyarahnya itu. Apatah lagi
menggantikan tempat Tania. Entah macam mana dia boleh
terfikir sehingga ke tahap itu. Terasa dia hanya memperbodoh
dirinya sendiri.
Tiada apa yang dibalas oleh pelajar itu membuatkan
Zafril mengeluh perlahan. Wajah kelat Tiara sekali lagi
direnungnya. “Saya minta maaf kalau awak ada terasa dengan
apa yang saya cakap. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
“Boleh saya tanya soalan terakhir?”
Tingkap yang baru separuh dinaikkan terus terhenti.
Lelaki itu hanya mengangguk. Tapi dia mula sedar yang Tiara
langsung tidak memandang dirinya.
“Boleh, tanyalah. Apa dia?” Zafril mengalah.
“Encik Zafril pindah ke U mana?”
“Perlu ke saya jawab soalan tu?”
Tiara terus menunduk. Dia malu untuk bertentang
mata dengan pensyarah yang tua enam tahun daripadanya.
Sekali lagi Zafril mengalah. Tidak sampai hati untuk
dia berlalu tanpa memberi jawapan kepada soalan Tiara.
“Saya pindah ke UMS.” Kali ini cermin tingkap
dinaikkan. Pedal minyak ditekan. Zafril meneruskan
pemanduannya.
Melihat kereta lelaki itu berlalu, Tiara berjalan
perlahan ke arah keretanya. Dia terasa segala urat sarafnya
lemah. Dia menapak masuk ke dalam kereta. Termenung.
Entah apa yang bermain dalam fikirannya pun dia tidak pasti.
Entah apa yang hatinya mahukan. Fikirannya juga buntu.
Kenapa dia menghalang pensyarah lelaki itu daripada pergi?
Itu juga menjadi persoalan kepada dirinya. Dia sendiri tiada
jawapan.
Wajahnya dirapatkan ke stereng kereta. Hatinya
seperti dijentik dengan rasa yang tidak pernah dia lalui. Rasa
apa? Sekali lagi dia tidak faham. Seperti mana dia mendapat
berita tentang Tania, seperti itu jugalah perasaannya kini.
Terasa kehilangan. Tiara tidak rela lelaki itu pergi. Kenapa?
Jawapannya masih sama. Dia sendiri tidak tahu.
Enjin yang sedari tadi tidak dimatikan, terus
dimasukkan gear. Dia mahu balik ke bilik asramanya. Sudah
tiada hati untuk dia menghadiri kelas pada pagi itu. Sepanjang
perjalanan, dia terbayangkan wajah Tania dan Zafril. Kenapa
mereka berdua itu sering kali menyemak dalam kepalanya?
Terasa sukar untuk dia bernafas dengan sempurna. Semuanya
menyesakkan.
Sampai sahaja di bilik, dia menghempaskan
badannya ke atas katil bujang yang sememangnya tersedia
untuk dirinya. Dipejamkan mata dan tangan diletakkan di
atas dahi. Dia memandang siling bilik. Fikirannya sangat
bercelaru.
‘Kenapa dengan aku ni? Selama ni aku bukan main
lagi benci dia, benci Tania. Tapi kenapa hati aku rasa tak best?
Kenapa aku rasa tak nak diaorang jauh dengan aku? Apa yang
hati aku nak sebenarnya? Selama ni bukan main lagi aku
hadap muka diaorang untuk cakap benda yang menyakitkan
hati je. Tak pernah hormat dia sebagai pensyarah aku. Tak
pernah cakap baik-baik dengan Tania. Sekarang ni apa?
Dengan tak malunya tadi aku pergi cakap macam tu dengan
Encik Zafril. Macam aku ni tak ada maruah. Macam haram je
aku boleh bersikap macam tu. Mana diri aku yang sebelum
ni?’
Tiara bermonolog panjang. Berbicara dengan
hatinya sendiri. Daripada jawapan, hanya soalan yang banyak.
Dia menggeleng beberapa kali. Sudah puas mengeluh,
merengus. Tapi tidak pernah dia jumpa damai yang selama
ini selalu menyinggah dalam hatinya. Walaupun jahat
apa yang dia buat, dia selalu merasa tenang. Tenang tanpa
fikirkan perasaan orang lain. Sekarang apa? Mana hilangnya
ketenangan tu? Kenapa mendadak seperti itu?
Kepala otaknya sudah sangat berserabut. Dia bangun
dari perbaringan dan duduk di birai katil. Mengucar-ngacirkan
rambutnya. Wajah juga turut sama berkerut. Nampak
sangat yang dia sedang serabut tentang apa yang ada
dalam kepalanya. Dia mendekat pada meja belajar. Lama
diperhatikan bungkusan yang diberikan oleh arwah Tania.
Sehingga ke hari ini, dia hanya membiarkan bungkusan itu.
Masih tiada kekuatan untuk membuka dan melihat apa isi
yang telah dikirimkan oleh perempuan yang dia benci itu.
Tiara melabuhkan duduk ke kerusi. Pandangannya
masih tidak beralih. Masih memandang tepat pada bungkusan
di depan mata. Dia cuba mengagak apa yang ada di dalam
bungkusan itu tapi dia gagal. Apa pun andaiannya, dia tahu
yang andaiannya itu tidak tepat. Malas untuk terus berada
dalam keadaan itu, dia mencapai kunci kereta. Pintu bilik
dibuka dan daun pintu dihempas kuat.

No comments:

Post a Comment