DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 4

DATO’ Adzim benar-benar tidak sangka dengan
keputusan nekad isterinya.
“Biar benar awak ni, Su?”
“Betullah. Yang awak tak sudah-sudah tanya biar
benar, biar benar ni kenapa?” Penat dia melayan suaminya
yang masih tidak mengerti.
“Yalah, bukan ke dulu awak juga yang tak gemarkan
budak tu? Awak benci dia sangat sebab dia budak kampung.
Sekarang awak nak minta bantuan daripada dia. Sudah! Saya
tak mahu dengar lagi idea mengarut awak ni.” Dato’ Adzim
mula berkeras.
“Habis, awak nak biarkan majlis tu kecoh? Nanti
awak juga yang malu kalau kena kutuk dengan Dato’ Kamal,
Dato’ Yusri.” Datin Suhaila membantah kata-kata suaminya.
Sengaja dimomokkan suaminya begitu. Dia tahu suaminya
cukup takut jika perkara itu akan menjejaskan perniagaannya.
“Haziq tahu ke tentang perempuan tu?”
“Alah, abang ni macam tak tahu aje yang isteri
abang ni pandai. Semuanya Su dah selesaikan.” Datin
Suhaila menenangkan kegusaran yang bersarang dalam hati
suaminya.
“Memang pandai. Pandai kalau bab-bab nak tutup
lubang.”
Terkedu Datin Suhaila mendengar jawapan
suaminya. Bibirnya dicebikkan.
“Boleh ke Haziq jumpa budak tu? Awak ingat
Pangkor tu kecil ke?”
“Apa pula tak bolehnya. Abang, dah nama pun pulau.
Tak ada maknanya besar,” balas Datin Suhaila memberi
jaminan.
“Kenapa tak upah penyiasat aje? Tak adalah
tergendala kerja Haziq di pejabat tu.”
Dato’Adzim masih tak puas hati dengan isterinya.
Jika tindakan isterinya itu tidak mengganggu kerja Haziq, dia
tidak kisah. Ini tidak, sewaktu dia masuk pejabat Haziq tadi,
fail-fail sudah menggunung di atas meja anak terunanya itu.
“Betul juga tu. Hesy abang ni... biarlah. Lagipun
penyiasat zaman sekarang ni bukan boleh percaya. Ada aje
tipu helahnya.”
“Apa pula yang tipunya? Awak tu yang gemar sangka
bukan-bukan,” bidas Dato’Adzim. Dia terus berlalu ke dapur.
Terasa haus pula tekaknya bergaduh dengan isterinya itu.

HAZIQ MERENJIS air ke muka Ayla. Kini mereka sudah
berada di lobi.
“Aduh minah ni, sedarlah! Minah ni sakit nak mati ke
apa? Sikit-sikit pengsan. Benci betullah. Aku juga yang susah.
Sepatutnya dia tolong aku, bukan aku yang kena tolong dia.”
“Bangunlah!” Haziq menekankan suaranya. Rasa
geram dalam hati ditahan mengenangkan gadis ini sudah
bersetuju untuk menolongnya.
Ayla tiba-tiba membuka mata. Dia masih lagi terkejut
dengan apa yang didengarinya tadi.
“Hah! Bangun pun! Apa masalah kau sebenarnya ni?
Penat aku angkat kau.” Haziq terus melontarkan pertanyaan.
Dia bersyukur melihat Ayla yang sudah sedar.
“Saya kenal mereka berdua.” Dalam masih bingung,
Ayla terus mencapai begnya sebaik sahaja melihat jam di
tangannya. Dia harus segera ke bilik mesyuarat. Tegang
sahaja suaranya.
“Bagus. Pukul 5 aku tunggu kau dekat lobi!”
Haziq menjerit kerana Ayla semakin hilang dari pandangan
matanya. Dia hampir saja mahu melompat di situ. Ini
bermaksud, kerjanya semakin mudah dan sudah hampir ke
garisan penamat.
‘Yeay! Lepas ni bolehlah aku balik KL. Tak payah aku
duduk sini. Tercapailah impian mama. Tapi mahu ke gadis tu
berkahwin dengan aku?’ Apa-apa pun, dia akan pastikan gadis
itu mengikutnya pulang ke Kuala Lumpur. Matanya dihalakan
ke arah dokumen yang diberikan oleh mamanya. Kata mama,
dengan dokumen ini, gadis itu akan mengikutnya balik. Huh!

AYLA MEMANDANG seorang lelaki bertopi hitam di lobi.
‘Mesti dia. Tak lepas dengan topi dia tu.’ Tidak
dinafikan memang Haziq kelihatan kacak dengan topinya,
namun dia tidak suka kerana hatinya pasti tidak berhenti
memuji lelaki itu.
“Hoi, cepatlah. Penat aku tunggu kau ni,” laung
Haziq.
“Awak ni nak saya tolong ke tak? Tak reti nak sabar
sikit. Banyak kompelin pula. Tak nak tolong karang,” ugut
Ayla. Dia cuba berlagak biasa di hadapan Haziq. Padahal
hatinya meronta-ronta ingin mengetahui rancangan Haziq.
“Alah, tak payahlah nak marah. Yalah. Kau tahu ke
rumah dia?” Haziq menurunkan ton suaranya.
“Tahulah. Tapi Puan Suria dah meninggal. Hajah
Syamsiah aje yang ada sekarang ni.” Bergetar suara Ayla
memberitahu. ‘Betul ke mamat ni nak kahwin? Dia tipu aje
kut.’ Ayla menyedapkan hatinya.
“Eh, yang kau termenung ni apasal? Jom! Mana
kereta kau? Biar aku drive.” Haziq semakin bersemangat.
Dia sudah mula membayangkan rumahnya di Kuala Lumpur
sana.
“Saya tak ada kereta. Saya ada skuter aje.”
“Hah? Biar betul! Habis tu macam mana? Takkan
nak jalan kaki?” Haziq buat-buat cemas. Dia sudah biasa
berjoging setiap pagi. Setakat beberapa kilometer, apalah
sangat. Nak keluar peluh pun tak sempat.
“Tak. Saya naik motor, awak jalan kaki.” Ayla sengaja
mengenakan Haziq.
“Alah, mana adil. Kalau aku jalan kaki, kau pun kena
jalan kaki.”
“Apa pula yang tak adilnya? Ni skuter saya. So adil,
kan? Satu lagi, awak tak ada share pun kat motor ni.” Ayla
masih tidak menunjukkan tanda yang dia mahu mengalah.
“Oh, takpelah.” Haziq sudah membalikkan tubuhnya.
“Eleh, nak merajuk konon. Hurm, okeylah... jom
kita jalan kaki sama-sama.” Ayla akhirnya mengalah. Malas
mahu melayan lelaki yang mudah benar merajuk. Muka aje
ganas, tapi dalam hati ada taman bunga.
“Jom!” Haziq menjerit. Senang betul minah ni cair.
Ayla sekadar menurut dan memandang Haziq yang
sudah mula melangkah. Tak sabar betul!

5 MINIT berjalan, mereka sudah berdiri di halaman sebuah
rumah papan. Kelihatan bersih sahaja laman rumah itu.
Pandangan mata Haziq dijatuhkan pula pada sebuah buaian
yang tergantung pada sebatang dahan.
“Betul ke ni rumahnya? Buatnya salah tak ke naya?”
Haziq menyatakan perasaan ragunya kepada Ayla yang
kelihatan gelisah.
“Betullah. Saya dah duduk sini lama,” jawab Ayla
acuh tak acuh. Tanpa Haziq sedari, kata-kata itu penuh
dengan makna.
“Cepatlah bagi salam,” Haziq mendesak.
“Sekejaplah. Yang awak tak sabar sangat ni kenapa?”
Ayla mula geram. Ada yang kena ketuk ni karang. Cuba bawa
bersabar sedikit.
Belum sempat Ayla memberi salam, seorang wanita
berumur lingkungan 60-an muncul dari belakang rumah.
“Hah, Ayla! Mana motor kamu? Takkan kamu balik
jalan kaki? Ni siapa? Kawan kamu ya?” soalan Hajah Syamsiah
membuatkan Ayla terasa sesak nafas.
“Motor ada dekat tempat kerja. Oh, ni Haziq Asyraf.
Dia datang sini nak cari nenek.”
Haziq terpinga-pinga melihat Ayla masuk ke rumah.
‘Aik, ni rumah dia ke? Ni nenek dia ke? Jadi?’ Pelbagai
soalan muncul dalam minda Haziq. Dia terus mencapai
tangan perempuan tua di hadapannya itu untuk disalami.
“Nek, yang tadi tu cucu nenek ke?” Haziq bertanya
sebaik sahaja masuk ke rumah selepas dipelawa oleh Hajah
Syamsiah.
“Ayla? Yalah. Dia cucu nenek, kenapa?” Hajah
Syamsiah pula pelik melihat anak muda di hadapannya itu.
Dia menyuruh Ayla menyediakan minuman buat tetamunya
itu.
“Tak ada apa-apalah, nek. Nama nenek ni Syamsiah
ke?”
“Betullah nama nenek Syamsiah. Kamu sebenarnya
nak cari siapa?” Hajah Syamsiah sebenarnya sudah pening
dengan anak muda itu.
“Selain Ayla, nenek ada cucu perempuan lain? Anak
Puan Suria?”
“Ada cucu lain tapi lelaki, Zaf... adik Ayla. Yang
perempuan, Ayla aje. Tak ada yang lain. Merekalah anak
Suria. Nenek ni tak ada cucu lain.”
Terkedu sebentar Haziq mendengar ayat yang
meluncur laju dari mulut Hajah Syamsiah. Otaknya berputar
ligat. Maksudnya... dia akan bernikah dengan Ayla?
Haziq segera mengeluarkan sehelai kertas dari beg
sandangnya. Dalam hati dia berdoa semoga rancangannya
berjaya. Tetapi, dengan niat sebegini, termakbulkah doanya?
“Ni perjanjian antara Puan Suria dengan mak
saya. Dalam perjanjian ni, Ayla akan kahwin dengan saya
selepas umurnya 23 tahun.” Suara Haziq bergetar sewaktu
menerangkan soal perjanjian itu. Gusar juga jika perjanjian
itu ditolak mentah-mentah oleh nenek tua ini. Mana taknya,
bunyi macam tak lojik aje. Tapi memang tak lojik pun. Mana
ada orang terima lagi alasan begini untuk berkahwin.
Semalam sewaktu membaca surat itu, dia sendiri
terkejut. Selama ini mamanya tidak pernah memberitahunya
soal perjanjian itu. Apabila dia menelefon mamanya, barulah
mamanya memberitahu bahawa perjanjian itu sebenarnya
palsu. Saat ini dia hanya berharap Hajah Syamsiah menerima
perjanjian itu.
“Tapi dia tak pernah cakap dengan nenek pun pasal
perjanjian ni,” jawab Hajah Syamsiah yang mula ragu-ragu.
“Itu saya tak tahu kenapa. Mama saya ingin
perjanjian ini segera dilaksanakan. Dia kata, dia tidak mahu
menangguhkan lagi hasrat teman baiknya. Kata mama saya,
sejak akhir-akhir ini dia asyik mimpi temannya itu sahaja.
Mungkin itu petanda.” Haziq mula mereka cerita.
“Bagi sini surat tu!” Ayla yang datang dengan dulang
yang berisi air dan gelas mencapai surat itu. Matanya terus
mencari tandatangan. Hanya tandatangan ibunya saja yang
mampu menjelaskan apakah benar kata-kata Haziq. Sebaik
sahaja matanya mengecam tandatangan itu, dulang di
tangannya terlepas.
Haziq hanya memandang Ayla yang sudah berlari
naik ke atas rumah. Tiada apa yang mampu dia lakukan. Yang
penting, dia harus meyakinkan nenek di hadapannya itu. Soal
Ayla boleh diuruskan nanti.
“Nenek ikut sahaja, tapi Ayla... nenek pun tak suka
kalau janji tak ditepati. Lagipun perjanjian yang anak nenek
buat bukannya benda tak baik.”
Sebaik sahaja Haziq mendengar kata-kata Hajah
Syamsiah, dia melepaskan nafas lega. Mujur nenek ini segera
membuat keputusan.
“Pasal Ayla, nanti nenek cuba cakap dengan dia.
Perjanjian ni pun boleh dikira sebagai wasiat. Kita yang hidup
ni perlulah laksanakannya.”
“Baiklah nek, hari pun dah nak maghrib. Saya balik
resort dululah.”
Hajah Syamsiah hanya menghantar Haziq sehingga
ke muka pintu.

No comments:

Post a Comment