DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 2

“HAI, pelik ni! Mata mama yang kabur atau
Cinta yang buang tabiat ni?” Puan Raziah kerut dahi. Wajah
anak gadisnya yang sedang duduk di kerusi batu di halaman
rumah itu ditilik dengan senyuman sinis.
Batang pencakar sampah yang tersandar kemas di
pokok rambutan digapai laju. Macam biasalah, 2 hari sekali
dia pasti membersihkan halaman rumah. Daun-daun kering
yang berselerak di laman rumah itu betul-betul membuatkan
mata tuanya sakit. Rasa gelap saja hatinya melihat daun-daun
kering yang berselerak di sana sini. Kalau hendak harapkan
Arissa yang buat, alamatnya 2 tahun lagi tidur dalam daun
keringlah mereka.
“Mama ni, bisinglah! Cinta duduk rumah salah,
Cinta merayap pun salah!” Bibir bawah Arissa terjuih ke
depan. Sakit pula hati melihat senyuman sinis mamanya.
Macamlah buruk sangat perangai dia. Lepak-lepak tepi sawah
padi saja pun. Bukan dekat kelab malam!
“Tak adalah... biasanya waktu-waktu macam ni
susah nak nampak muka Cinta dekat rumah ni. Nun... depan
bendang sana nun tempat Cinta dengan sahabat setia Cinta
tu bertapa. Port beranganlah katakan!” tebak Puan Raziah
lagi. Tangannya sudah ligat mencakar daun-daun kering.
Dikumpulkan daun-daun kering itu setempat supaya senang
hendak dibakar nanti.
“Hmm... Lela kena jaga kedai petang ni. Mak dia tak
sihat,” jawab Arissa perlahan. Malaslah dia hendak bertekak
dengan Puan Raziah. Sudahlah mood dia tengah tidak elok
sekarang ini. Semenjak nama Hariz Ilman berdendang di
telinganya petang semalam, sampai ke hari ini hatinya masih
belum tenang. Serabut, sedih, pedih... semuanya ada!
“Haa... baguslah tu! Daripada duduk melepak aje
dekat tepi bendang tu, macam orang tak ada visi, baiklah dia
tolong mak dia. Dapat juga pahala,” sindir Puan Raziah lagi.
“Mama kalau sehari tak perli Cinta, memang tak
tenang hidup mama, erk?” Arissa geram.
“Yalah! Kalau mama tak perli-perli macam ni,
sampai bila-bila pun Cinta buat tak reti aje. Dalam mama
perli-perli pun, Cinta buat tak reti jugak!” bebel Puan Raziah
tidak mahu kalah. Batang mancis digores lalu daun-daun
kering yang dikumpul tadi dibakar. Berkepul-kepul asap naik
ke udara.
“Cinta... Cinta tu anak dara. Ada lulusan ijazah.
Mama tak naklah dengar orang kampung bercakap yang
bukan-bukan pasal anak mama. Sampai bila Cinta nak macam
ni? Kawan-kawan Cinta yang belajar sekali dengan Cinta tu
semua dah kerja,” lembut suara Puan Raziah menegur.
Arissa hanya membisu. Bila mantan guru besar
bercakap, memang pantang kalau menjawab. Nanti tidak
pasal-pasal kena penyepit ketam.
“Anak teruna dekat kampung ni pun tak ada yang
melepak macam Cinta. Dari petang bawa ke senja,” sambung
Puan Raziah lagi. Dia menapak ke arah Arissa dan terus
melabuhkan duduknya di sebelah anaknya itu.
“Allah, ma... mulut orang kampung semua nak
mengata. Itu kira okeylah Cinta melepak dengan Lela dekat
tepi bendang sana tu. Ramai aje budak-budak perempuan
dekat kampung kita ni ikut jantan naik motor, melepak dekat
pekan tu. Yang berkepit dekat Pantai Merdeka itu pun ramai.
Tak ada pulak orang kampung nak bising-bising.” Angin
Arissa dibuatnya.
“Eee... kalau orang cakap, menjawab! Biarlah orang
lain. Depa tu bukan anak mama!” Satu cubitan halus hinggap
di lengan Arissa.
“Arrgghhh... sakitlah maaa...” Terjerit kecil Arissa.
Cubitan Puan Raziah memang berbisa. Janganlah nak
main-main. Silap hari bulan, boleh terkoyak kulit oiii...
“Padan, muka! Kalau mama cakap, asyik nak
menjawabbb... aje!” Terherot-herot mulut Puan Raziah.
Geram benar gayanya.
Arissa tergelak halus. Lucu melihat mulut mamanya
yang sudah herot ke sana sini.
“Yalah! Cinta minta maaf, okey? Mmm... bagilah
Cinta masa. Buat masa sekarang, Cinta memang tak rasa nak
kerja lagi. Mama bukan tak tahu, dekat pekan ni manalah ada
kerja sangat. Kalau nak cari kerja yang bagus, Cinta mesti
berhijrah ke bandar besar. Mmm... Cinta tak puas lagi nak
bermanja dengan mama.” Arissa merangkul erat lengan Puan
Raziah. Kepala disandar manja pada bahu mamanya. Tahu
sangat, Puan Raziah pasti cair setiap kali dia buat begitu.
Puan Raziah tersenyum lembut. Kepala Arissa yang
bersandar pada bahunya itu diusap penuh kasih sayang.
Hanya Allah saja yang tahu betapa dia sayangkan Arissa.
Selama berpuluh tahun ini, hanya Arissa sajalah kekuatan
yang dia ada.
“Hmm... okeylah. Tapi jangan lama sangat berehat.
Nanti bila otak tu dah berkarat, payah pulak nak dapat kerja.
Ataupun Cinta memang tak ada niat nak kerja? Kalau macam
tu... nikah ajelah. Boleh bagi mama cucu.”
“Nikah?” Tegak terus kepala Arissa. Keningnya sudah
bertangkup dua. ‘Mama ni biar betul! Kenapa sebut hal nikah
kahwin pulak ni?’
“Haah, nikah.”
“Isy, Cinta muda lagilah ma! Lagipun...” Tenggelam
terus suara Arissa. Wajahnya juga terus berubah mendung.
“Lagipun apa?” laju saja Puan Raziah menyoal. Dia
seakan sudah dapat menduga apa yang bermain dalam fikiran
anak gadisnya kini.
“Cinta... Cinta nak cari papa dulu.” Bergetar suara
Arissa. Tubir mata juga mula terasa panas. Tapi ditahan
sekuatnya agar air jernih tidak mencemari pipi mulusnya
saat ini.
Perasaan Puan Raziah terus tersentak. Wajahnya
dipalingkan ke arah lain, tidak mahu bertentang mata dengan
Arissa. Setiap kali perkara ini dibangkitkan oleh Arissa,
hatinya bagaikan dilapah-lapah. Sakit dan pedih.
“Ma...” Arissa meraih lembut tangan Puan Raziah ke
dalam genggamannya.
“Hmm... mama nak masuk ke dalam rumah. Dah
nak senja ni. Malam nanti mama ada kelas tuisyen dengan
budak-budak yang nak ambil PT3 minggu depan. Mama nak
kena pergi siapkan apa yang patut untuk malam ni,” potong
Puan Raziah laju.
Semenjak dia pencen menjadi guru besar 2 tahun
yang lalu dan kembali menetap di kampung halamannya,
itulah kerja sampingan yang dia buat. Mengajar tuisyen
kepada budak-budak kampung pada waktu malam. Pada siang
harinya pula, dia berkebun pisang.
Arissa mengeluh kecil. Sampai bila mamanya mahu
berahsia? Kenapa susah sangat mamanya mahu bercerita?
Tidak sudah hatinya merungut tanya.
Tanpa sepatah kata lagi, Puan Raziah terus angkat
punggung dan berlalu dari situ. Namun, baru beberapa
langkah dia menapak, langkah kakinya terhenti semula. Dia
kembali berpaling kepada Arissa.
“Cinta, lepas asar esok jangan merayap ke
mana-mana. Kita kena pergi rumah wan.”
“Rumah wan? Nak buat apa ma? Kita baru aje pergi
semalam, kan?”
“Wan nak buat makan-makan sikit. Jemput jiran
tetangga. Kan anak mak ngah baru balik dari luar negara. Dia
dah balik menetap di sini semula tau.”
Dup!!! Jantung Arissa berdegup kuat. Peluh kecil
tiba-tiba saja merecik di dahi.
“Siapa ma?” dia buat-buat tanya. Liur yang terasa
penuh di kerongkong diteguk laju. Tapi tetap juga tidak
kering.
“Siapa lagi, anak mak ngah yang kerja dekat luar
negara itulah. Hariz! Dia kan pergi belajar di UK dulu.
Habis saja belajar, dia terus bekerja dan menetap dekat
sana. Sekarang baru balik ke sini. Dekat 7 tahun jugalah
dia dekat sana tu. Cinta tak ingat ke?” cerita Puan Raziah
bersungguh-sungguh.
Arissa terdiam. Lidah terasa kelu mahu membuka
bicara. Hanya perasaannya saja yang berperang ganas dengan
hati sendiri.
“Senyap aje! Tak ingat ke? Dulu masa Cinta
kecik-kecik, suka sangat mengekor Hariz tu pergi tangkap
belalang dekat bendang. Takkanlah tak ingat?” Puan Raziah
kerut dahi.
“Entahlah, ma... ingat-ingat lupa.” Arissa paksa
senyum. Tapi cacat sangat gayanya. Gelora dalam hatinya
semakin mengganas.
“Tak apalah. Besok dah jumpa, ingatlah tu.” Puan
Raziah ukir senyum. Dia menyambung langkahnya semula.
“Err... mama...”
Sekali lagi langkahnya terhenti. Mata Puan Raziah
sudah bertemu tepat dengan anak mata Arissa. Keningnya
nampak sedikit terjongket.
“Kalau Cinta tak pergi, tak apa kan? Cinta ingat nak
pergi cari kerjalah esok.”
Sekarang kening Puan Raziah sudah bertangkup
dua. Mimpi apa Cinta Arissa ni? Tiba-tiba saja mahu pergi cari
kerja.
“Jangan nak degil! Cinta bukan tak kenal dengan
perangai wan tu. Jangan bagi apa-apa alasan! Mama malas
nak layan.”
“Tapi ma...”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Titik!” Puan Raziah terus
membuka langkah. Kali ini dia terus berjalan masuk ke dalam
rumah.
Arissa ketuk kepala sendiri. Perasaannya semakin
terhimpit. Nafas pula terasa semakin sesak. Ya Allah...
Tanpa dipinta-pinta, air jernih mula menuruni pipi
gebunya. Semakin lama, semakin deras. Cepat-cepat diseka
dengan hujung jari.
‘Kau ni dah kenapa, Cinta? Menangis bagai ni
kenapa?’ hatinya membentak keras.

No comments:

Post a Comment