DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 5

Senyumku panjang sedepa,
Gembira hati tak tertahan;
Sudah takdir kita berjumpa,
Panjat syukur kepada Tuhan.

DENGAR kata kereta lelaki itu tak boleh hidup
masa nak balik petang tadi. Kebetulan mekanik pula tak ada.
Kalau ikutkan, kampung aku ni bukannya hulu pun. Nak
cari bengkel mudah aje. Masalahnya semua bengkel tutup
pula hari ni. Tak pasal kena cari di tengah bandar. Jadi lewat
sikitlah nak sampai si mekanik Itu.
“Kalau lambat siap kereta tu nanti, Zarr tidoq sini
noh?” Tok mula bersuara.
Zarr...
Sejak tadi nama itu yang meniti di bibir semua
orang. Anehnya, tiap-tiap kali aku dengar nama itu disebut,
terasa seolah-olah begitu dekat saja dengan diriku.
“Tak apa, tok. Saya seganlah,” balas Zarr.
“Hesy, nak malu apanya? Bukan ada orang lain pun.
Tinggai kami anak cucu yang duk ada dekat meja makan ni
saja. Lagipun, semua hang dah kenai, kan? Tidoq sini nah?”
“Betoi tu, Zarr. Sorang-sorang bawa kereta tengah
malam kalau terlelap bahaya nanti. Bukan bahaya dekat
nyawa hang saja. Bahaya dekat nyawa pengguna jalan yang
lain juga. Tambah-tambah keadaan duk hujan lagu ni. Jalan
licin. Sebelum jadi benda tak elok, baik kita elak siap-siap.”
Sokong abah pula. Kata-katanya mengalahkan JPJ.
Sudahnya Zarr mengangguk setuju.
“Hah, lagu tulah.” Tok sengih suka.
“Dinda...” panggilnya.
“Ya, tok.”
“Tolong bubuh nasi tambah dekat Zarr tu. Tok
tengok dia berselera sungguh makan dengan ikan pekasam
ni,” suruh tok memandangkan mangkuk nasi tambah ada di
tepi aku aje.
“Nak tambah ke?” soalku. Karang aku main letak nasi
dalam pinggan dia tak makan pula. Ikutkan tok tu, sepuluh
kali mahu tetamunya menambah nasi.
Zarr angguk tanpa memandangku.
Dalam rasa yang masih geram dengannya, aku pun
angkat punggung menyenduk satu senduk nasi untuk dia.
“Cukup?” soalku dengan nada garang. Bersedia nak
tambah satu senduk lagi kalau dia minta.
“Cukup. Terima kasih,” ucapnya, masih tidak berani
menentang mataku. Takut aku ngap kepala dia agaknya.
Sebab sejak kejadian depan bilik air tadi aku asyik tunjuk
muka ala-ala singa lapar tak makan setahun bak kata Suraya.
“Simpan ajelah kasih awak tu,” balas aku perlahan,
tapi sedikit sinis seraya kembali melabuhkan duduk.
“Eh, eh... budak bertuah ni. Jawab tu cuba elok-elok
sikit. Loklaq!” Tok ketap bibir bawah dekat aku sebelum kalih
memandang Zarr dengan muka paling manis.
“Jangan ambil hati nah? Dia memang lagu tu. Kepala
angin. Nasib ada juga yang berkenan nak buat bini.”
Aku hampir-hampir mahu tersedak mendengar
kata-kata tok pada Zarr. Cepat-cepat gelas air disambar dan
dibawa ke mulut.
Seminit kemudian, tok bersuara lagi.
“Hari tu masa tok pi makan kenduri dekat Perlis, tok
ada terserempak dengan Asni. Dia kata hang nak menikah
bulan 12 nanti. Seminggu selepas majlis Dinda ya?”
Nikah? Terkejut aku mendengar. Baru nak kahwin
rupa-rupanya kawan Abang Dika ni. Ingatkan dah jadi bapa
orang.
“Ya, tok. Nanti datanglah,” kata Zarr.
“Insya-Allah, mesti tok pi.” Tok ketawa lanjut.
“Orang sebelah abang ni tak jealous ka?”
Kus semangat! Hampir-hampir saja aku nak tercekik
tulang ayam apabila suara Abang Dika tiba-tiba menerjah.
Terus kepala melipat maut ke arahnya yang duduk di sebelah.
“Nak cemburu pasai apa pula?”
Abang Dika angkat tangan kiri letak di tepi
mulutnya. Tubuh itu disengetkan sedikit agar lebih dekat.
Lalu, dibisikkan sesuatu di telingaku.
“Serius?” soalku dan Abang Dika angguk laju-laju.
Aku masih rasa ragu-ragu. Lantas, dengan kiraan 1,
2, 3... Okey Dinda, tengok dia!
Mungkin perasan mataku sedang merenungnya, Zarr
menarik senyum seakan teragak-agak. Pun begitu senyuman
itu semakin melebar sehingga menunjukkan lesung pipit di
kedua belah pipinya.
Ya, tak silap lagi. Memang dia.
Saat ni aku rasa nak pekup muka dengan pinggan
nasi. Malunya!
“L IS for lion.”
“L is also for love. I love you!”
Aku menjatuhkan kedua-dua belah bahu. Aduhai
anak buah yang seorang ni. Gatal sungguh!
“Betul tak, mak ngah? Betul tak?” Lenganku
digugah-gugah.
“Noah, sayang... Kut ya pun dah ada girlfriend, tak
payah semua benda nak kaitkan dengan cinta. Tutup buku
tu dan pergi masuk bilik. Dah jam 10 ni. Nanti tertidur pula
dekat sini macam semalam,” leter Kak Naura setiba sahaja
di ruang tamu. Noah sudah menjeling panjang apabila kena
perli seperti itu.
“Kak, kenapa tak panggil Dinda aje?”
“Alah, nak angkat air aje pun.”
Aku bingkas bangkit mendekatinya. “Tak apa. Sini
bagi Dinda. Akak pergilah duduk rehat.”
“Yalah, elok-elok bawa. Panas air tu,” pesan Kak
Naura apabila talam yang ditatangnya sudah bertukar tangan.
Menyarung selipar, penuh berhati-hati aku
berjalan keluar menuju meja batu di depan rumah. Mujur
berbumbung. Tak adalah basah tempat ni dek hujan lebat
yang turun tadi.
“Ehem!”
“Allah!” Hampir-hampir saja air kopi yang sedang
aku tuang ni nak tersimbah tangan sendiri. Dah dua kali
aku terkejut malam ni tau. Lama-lama boleh daftar masuk
Institut Jantung Negara jawabnya.
“Sorry.”
Melihat sengihan dia, bibir aku pun ikut tersengih.
Tak tahu kenapa. Mungkin kesan daripada lesung pipit dia
yang dalam tu kut. Sesiapa tengok pun boleh tersenyum
sendiri weh.
Aku menjeling tubuh Zarr yang sedang melabuh
duduk. Pakaiannya kini sudah berganti dengan kain pelekat
serta baju t-shirt leher bulat yang Abang Dika bagi pinjam.
Tidak dinafikan dia kelihatan sungguh berbeza dari
dulu. Badan seperti stok-stok mamat gim. Rambut pula dah
tak serupa pelatih tentera. Lebat dan berstail! Tambah pula
apabila ada jambang nipis di muka dia tu. Pergh... segak
habaq hang!
“Sorry,” ucapnya lagi.
Aku melabuhkan duduk. “Kenapa cakap sorry
sampai dua kali ni?”
“Satu maaf buat awak terkejut masa di bilik air
maghrib tadi. Satu lagi buat awak terkejut semasa tengah
tuang air ni.” Tangan itu menunjuk secangkir kopi yang baru
sahaja aku hidangkan di depannya.
“Maaf diterima. Dan... saya pun nak minta maaf juga
sebab panggil awak orang minyak masa kemalangan depan
bilik air tu. Tak sengaja. Saya terkejut sebenarnya.” Insaf dah.
Lain kali aku dah tak nak tuduh orang sembarangan.
Zarr tak kata apa. Dia senyum menampakkan barisan
giginya yang putih dan tersusun cantik.
“Macam mana dengan kereta awak? Mekanik tu
dapat siapkan cepat ke?” Muncung mulut aku menghala
mekanik yang sedang membaiki kereta Zarr sambil diperhati
oleh Abang Dika.
“Insya-Allah. Kejap lagi siaplah tu. Esok pagi-pagi
saya dah boleh balik.”
Aku angguk-angguk. Sedang berkira-kira nak
bangkit masuk ke dalam, terus tak jadi saat nampak Zarr ukir
sebuah senyuman sewaktu memandangku. Dan-dan aku rasa
tak selesa.
“Ke... kenapa pandang saya tersengih-sengih macam
tu?” Aku mula rasa tak selesa. Selendang di atas kepala aku
betulkan walau tidak ada apa yang perlu diperbetulkan.
Duduk pula dipusingkan sikit ke sisi. Segan!
“Nothing. Cuma tak sangka adik kesayangan Adika ni
baru nak berkahwin. Ingatkan dah jadi mak budak,” ujarnya
sesedap rasa Ajinomoto. Apa, dia ingat sebelum ni aku tak
laku sangat ke?
“Ek eleh... awak lagi parah. Dah sama tua dengan
Abang Dika. Sepatutnya sekarang dah jadi bapak budak
berusia 5 tahun macam Noah tu.”
Zarr sekadar ketawa lepas menerima tembakan
daripada aku. Huh, intonasi dia ketawa pun dah serupa bapak
budak.
“Lama kita tak jumpa. 7 tahun? Akhir jumpa rasanya
masa saya dengan Adika Call to the Bar, kan?” soalnya.
“Haah, 7 tahun.”
Senyap. Selepas menyisip dua kali kopi, dia menyoal
lagi.
“Oh ya, dah lama awak kenal dengan bakal suami
awak tu?”
“Maksud awak, Haidar?”
“Tengku Haidar, CEO dan Pengarah Kreatif Hai’Dar
Couture. Anak lelaki Tengku Sarah dan arwah Tengku Habib.
Awak ada tunang lain selain daripada dia ke?”
“Aw... awak kenal dengan dia?”
Zarr gelak. “Siapa yang tak kenal dengan pereka
fesyen muda kegilaan ramai tu, hmm?”
Aku terus sengih. Ya tak ya juga ek. Lupa pula yang
aku ni ada tunang kacak lagi popular.
“Sebenarnya tak lama sangat pun. Dalam tiga tahun
macam tu. Mula-mula saya kenal Haidar di MECC, Pusat
Pameran dan Persidangan MATRADE. Masa tu merupakan
hari kedua berlangsungnya Minggu Fesyen Malaysia di sana.
Perkenalan yang saya kira agak tragik. Sebab waktu tu dia
tengah sibuk ditemu bual dan saya tak sengaja terlanggar
belakang dia sampai tersungkur dia di depan semua
wartawan.”
“Really?” Zarr sedikit ketawa.
Aku angguk. Lalu, ikut ketawa teringatkan kejadian
tersebut. Kejadian yang menjadi titik pertama pertemuan
kami yang Suraya kata seperti dalam novel itu.
“Mesti dia marah betul dekat awak kan masa tu?”
“Haruslah dia marah. Saya pula buat hal pergi
larikan diri. Tak cakap maaf pun dekat dia. Tapi, itulah.
Lari ke mana pun tetap berjumpa juga memandangkan
kami dalam industri yang sama. Cuma tak sangka bermula
dengan pergaduhan kecil dan akhirnya boleh berkawan baik.
Sejak tu wujudnya perasaan suka. Dia lamar dan saya terus
terima walaupun umur dia sebenarnya tiga tahun lebih muda
daripada saya.”
“Itulah namanya jalan jodoh. Kadang-kadang
sesuatu yang berlaku cuma sebagai asbab aje. Kalau awak tak
terlanggar Haidar masa tu, mungkin awak tak jadi tunang dia
sekarang ni, kan?”
Aku senyum saja mengiakan kata-katanya.
“Untung dia dapat awak. Saya yakin awak boleh jadi
isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak dia nanti. Juga...
menantu yang baik,” tambahnya dan aku terus sengih palsu
saja.
Menantu yang baik? Hmm, tengoklah dulu perangai
Tengku Sarah tu macam mana nanti.
Zarr yang mungkin kering tekak mula angkat cawan.
Aku perhati dia minum perlahan sambil buang pandang ke
arah keretanya yang terletak tidak jauh dari sini.
“Awak sayangkan Haidar?” Mata itu kembali terarah
kepada aku.
“Hah?” Aku sedikit merasa aneh dengan pertanyaan
itu.
“Errr... Why you asking me that?”
“Mak ngah sayang sangat dekat Pak Ngah Haidar.”
Serentak aku dan Zarr berkalih pandang ke arah
suara kecil itu. Tersengih-sengih Noah berdiri sambil
memeluk buku Learn English miliknya. Bila masa entah dia
keluar ke sini. Ingatkan dah masuk tidur tadi.
“Hey, buddy!” Zarr berhigh five dengan Noah.
Kemudian dia mengangkat anak itu duduk di atas ribaannya.
“Papa Zarr nak tahu tak? Selalu bila mak ngah cakap
dengan telefon, Noah dengar mak ngah cakap I love you dekat
Pak Ngah Haidar.”
Aku terus ketap bibir bawah. Mata membulat. Kecil
besar saja pandang Noah. Haih, aku kunyah juga anak buah
ni nanti! Suka hati dia aje nak beritahu orang lain.
“Jadi, sebab tu Noah selalu cakap I love you tu dekat
Putri?” soal Zarr sambil matanya memandangku.
Noah angguk laju.
Amboi, amboi... Gatai sungguh hang noh, Noah. Tak
padan dengan kecik!
Zarr pula, hebat betul. Bukan kata nama mak bapak
tunang aku aje dia tahu. Nama girlfriend budak si Noah ni
pun dia tahu juga?
“Papa Zarr...” panggil Noah.
“Hmm?”
“L bukan untuk lion aje, love pun boleh, kan?” Noah
menunjuk gambar huruf L di bukunya pada Zarr.
Cis! Masih tak puas hati nampaknya si Noah ni.
“Mestilah boleh. Asalkan bermula dengan huruf L.”
“Yeay! I love you!” jerit Noah. Suka benar bila apa
yang dia katakan di rumah tadi betul. Sejurus itu juga Kak
Naura dalam teriak memanggilnya masuk.
“Opps!” Noah terus buat aksi comel dengan menekup
mulutnya dengan tangan.
“Hah, ibu dah panggil suruh pergi tidur tu. Kita
masuk sekarang ya? Noah kata nak tidur dengan mak ngah,
kan?”
Noah angguk-angguk.
“Okey, Jom!” Aku sua tangan. Noah sambut. Lalu,
dia melompat turun dari atas riba Zarr.
“Good night!”
Tengah mencabut selipar, aku menoleh ke belakang.
Tangan Zarr melambai-lambai.
Pelik! Dia ucap dekat siapa? Noah? Eh, budak tu kan
dah berlari masuk ke dalam. Takkan pada aku kut?
Teragak-agak aku tuding jari ke tubuh sendiri. Zarr
jatuhkan sedikit kepalanya.
“Errr... good night,” balasku bersahaja. Masuk ke
dalam rumah, aku sembunyi senyum. Rasa masih tak percaya
setelah 7 tahun berlalu, hari ni tiba-tiba dia muncul kembali.

No comments:

Post a Comment