DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 8

SINARAN bulan masih sama seperti tadi. Masih
setia menyuluh bumi. Cuma taburan bintang saja yang
sudah nampak berkurangan di dada langit. Bunyi nyanyian
cengkerik rimba tadi juga sudah berganti dengan bunyi
burung tukang.
Puan Raziah menyapu air matanya berkali-kali.
Sudah hampir setengah jam dia berdiri di jendela biliknya.
Menyorot bumi malam yang disimbah cahaya bulan.
Walaupun alam begitu indah pada sorotan mata, tapi hatinya
tetap berlagu hiba.
Wajah mengharap Arissa setiap kali dia bertanyakan
tentang ayah kandungnya sentiasa mengundang sebak di
hati Puan Raziah. Bagaimana dia mahu bercerita? Membuka
semula kisah silam, ibarat menoreh kembali parut lama. Pasti
rasa pedihnya menjadi lebih berganda.
‘Ya Allah... aku tidak kuat!’ Berkali-kali hatinya
merintih.
Tanpa diundang, kisah berpuluh-puluh tahun yang
lalu datang bertamu semula dalam ingatan, membuatkan
air hangat semakin deras berlari di pipinya. Masih terbayang
wajah bengis Wan Kalsom saat dia menyatakan hajatnya
mahu berkahwin dengan lelaki yang 9 tahun lebih muda
daripadanya. Bengisnya wajah Wan Kalsom ketika itu, lebih
daripada wajah Nyonya Mansor dalam cerita Ibu Mentuaku.
“Jangan buat gila, Ziah! Mak tak izinkan!” Turun
naik dada Wan Kalsom menahan marah. Matanya jangan
ceritalah. Bulat dan merah mengalahkan biji saga.
“Tapi mak... Ziah cintakan dia. Dulu masa Ziah tak
nak kahwin, mak bising-bising. Habis nama anak dara dalam
kampung ni mak petik. Orang itu dah mengandung, orang
ini dah beranak. Sekarang, bila hati Ziah dah terbuka nak
kahwin, mak membantah pulak.”
“Memanglah aku bantah! Kau tu dah 33 tahun. Budak
lelaki tu baru 24 tahun. Kau sedar tak beza umur tu? Aku
faham sangat lelaki ni. Aku dulu yang makan garam daripada
kau! Aku faham sangat perangai lelaki ni macam mana. Dalam
lingkungan umur macam tu, orang lelaki ni fikir nak seronok
aje. Macam mana dia nak bagi makan pakai kau, kalau dia pun
masih mak ayah yang tanggung?” marah Wan Kalsom makin
membara. Sakit hati sungguh dia dengan kedegilan anaknya.
Kalau sudah bahasakan diri dengan panggilan ‘kau’ dan ‘aku’
itu, memang marah sangat-sangatlah tu.
“Kalau kau kahwin juga dengan budak lelaki tu, kau
jangan sesekalinya jejakkan lagi kaki kau dekat rumah aku ni.
Aku tak ada anak yang derhaka macam kau!”
Allah... macam petir yang menyambar bumi,
berdentum rasa jantungnya. Pedih dan terhiris. Namun dek
kedegilan hatinya, dia bernikah juga tanpa restu daripada
seorang wanita bergelar ibu.
5 bulan pertama perkahwinan mereka, dia bahagia
seperti pasangan suami isteri yang lain. Pernikahan mereka
itu juga dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga
suaminya atas alasan perkahwinan mereka akan ditentang
jika keluarga di sebelah suaminya mendapat tahu. Maklum
sajalah, suaminya itu anak lelaki tunggal dalam keluarga.
Muda lagi tu!
Okeylah, dia tidak kisah. Walaupun mereka hanya
berjumpa secara curi-curi, tetapi cinta mereka tetap mewangi.
Namun begitu, betullah janji Allah, setiap anak yang
melukakan hati ibu dan bapanya, maka tiadalah kebahagiaan
untuknya di dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak, kerana
reda Allah itu terletak pada reda kedua ibu dan bapanya.
Dalam surah Luqman, ayat 14 ada menyebut tentang
perkara ini.
‘Dan Kami perintahkan kepada manusia
(agar berbuat baik) kepada orang tuanya.
Ibunya telah mengandungkannya dengan
keadaan lemah yang bertambah-tambah
dan tempoh menceraikan susunya 2 tahun.
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua
orang tuamu. Hanya kepada Akulah, kamu
kembali.’
Maka terbuktilah kalam Allah itu tidak pernah
menipu. Masuk sahaja setahun usia perkahwinan mereka,
rumah tangganya mula goyah. Perangai suaminya mula
berubah dingin. Dan yang paling menyakitkan, dia telah
diceraikan melalui telefon oleh suaminya tatkala lelaki itu
melanjutkan pelajaran di luar negara.
Saat itu pula dia sedang berbadan dua. Lelaki itu
langsung tidak tahu tentang kandungannya. Semenjak hari
itu, dia kehilangan jejak lelaki itu. Hanya Allah sahaja yang
tahu apa yang dia rasa.
“Allah...” Puan Raziah memegang dada. Sesak rasa
nafasnya mengenangkan itu semua. Perlukah dia berterus
terang kepada Arissa? Tidak kecewakah anaknya itu nanti
apabila mengetahui ayah kandungnya seorang lelaki yang
tidak bertanggungjawab?
Mujurlah saat dirinya dibalut kesedihan dan
kekecewaan dulu, tangan seorang ibu masih sudi
menyambutnya pulang. Masih sudi mengusap belakangnya
saat dia sebak. Allah, tidak terbalas rasanya jasa seorang ibu.
Kini saat diri sendiri sudah bergelar ibu, barulah dia tahu
bagaimana rasanya.
Air mata yang masih laju di pipi sekali lagi dikesat.
Tangannya laju saja menarik daun jendela lalu dirapatkan.
Dia jeda seketika di situ. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum
dia membuka langkah ke bilik air. Di saat begini, pada siapa
lagi dia boleh mengadu jika bukan kepada Dia sahaja; Pemilik
alam Yang Satu. Kerana dalam apa jua keadaan, saat suka
ataupun duka, hanya Dialah yang mampu memahami.

PAK NGAH Nordin menapak perlahan ke arah ruang tamu
rumah. Bunyi suara televisyen yang masih lagi terpasang
walaupun malam sudah menjengah dinihari itu membuatkan
kakinya laju saja menapak ke situ. Sebaik sahaja kakinya
menjejak ruang tamu rumah, anak matanya terus terarah
pada susuk tubuh yang duduk bersandar rapat di sofa. Kedua
belah matanya dipejam rapat.
“Along?”
Suara teguran Pak Ngah Nordin yang tiba-tiba itu
membuatkan batang tubuh Hariz terus tegak. Matanya
juga. Laju saja terbuka dan menyorot empunya suara yang
menegur.
“Abah...” Duduknya dibetulkan. Kopiah yang senget
di kepala juga dibetulkan seadanya.
“Along tengok cerita apa ni? Kenapa tak tidur lagi?”
Pak Ngah Nordin mengambil tempat di sofa, berhadapan
dengan Hariz. Sudah hampir 2 minggu anak lelaki tunggalnya
itu pulang, baru kini dia dapat bertemu muka dengan Hariz
secara berdepan.
Semenjak 2 minggu kebelakangan ini, masanya
di rumah memang agak terbatas. Projek ternakan udang
yang baru diusahakan bersama beberapa orang penduduk
kampung itu memerlukan perhatian yang sepenuhnya buat
masa sekarang ini. Dia juga terpaksa berulang-alik ke Jabatan
Pertanian bagi memastikan projek yang mereka usahakan itu
berjalan dengan sempurna.
“Tak ada tengok apa, abah. Tadi lepas solat sunat,
tak boleh nak tidur. Itu yang duduk dekat sini. Tak nak sunyi
sangat, along bukalah TV.” Hariz tersenyum lembut. Selama
hampir 7 tahun tidak bertemu muka dengan abahnya,
ternyata abahnya itu masih kuat. Syukur, alhamdulillah...
Pak Ngah Nordin cuma mengangguk perlahan.
Matanya mula fokus pada kaca TV. Disebabkan terlalu lama
tidak bersua dengan anak lelakinya itu, membuatkan Pak
Ngah Nordin menjadi sedikit kekok untuk membuka bicara.
“Abah kenapa tak tidur lagi, bah? Selama along tak
ada dekat sini, abah okey? Abah kecil hati dengan along ke?”
Soalan terakhir Hariz membuatkan Pak Ngah
Nordin terjeda seketika. Lama juga dia membisu. Apa yang
patut dia jawab? Tipulah kalau dia tidak berkecil hati. Tapi
tidaklah sampai dia hendak berdendam dengan anak sendiri.
“Abah pun sama macam along. Bangun solat. Lepas
tu abah terdengar bunyi TV. Sebab itulah abah menapak ke
sini. Manalah tahu kalau-kalau adik terlupa nak tutup TV.
Selalu sangat dia macam tu.” Pak Ngah Nordin tersenyum
nipis. Soalan terakhir Hariz tidak pula dijawab.
Hariz mengangguk lemah. Abahnya memang begitu.
Sudah menjadi kelaziman bagi abahnya untuk bangun
bersolat di tengah malam. Dan dia, semenjak akhir-akhir ini
cuba juga menggagahkan dirinya untuk bangun menghadap
Yang Satu dan menjadikannya rutin malam hari.
“Abah.” Tangan tua Pak Ngah Nordin dicapai. Kemas
dia menggenggam tangan kasar itu. “Along minta maaf ya
kalau selama ini along dah kecilkan hati abah. Along tak ada
niat langsung nak sakitkan hati abah dengan umi. Along
sedar, memang tak patut along membelakangkan umi dan
abah semasa along ambil keputusan untuk berkahwin dulu.
Keputusan along untuk terus menetap dekat sana juga, along
tahu sedikit sebanyak sudah menggores hati abah,” bergetar
suara Hariz. Liur ditelan terasa kesat. Wajah tua abahnya
disorot dengan kening yang teduh. Jelas, dia benar-benar
nampak bersalah.
Pak Ngah Nordin tidak menjawab. Sorotan matanya
saja nampak redup.
“Bah... along minta maaf, bah.” Sekali lagi Hariz
memohon maaf. Tangan tua Pak Ngah Nordin dicium sejenak.
Mata Pak Ngah Nordin bergenang. Sumpah! Dia
langsung tidak berdendam dengan anak lelaki tunggalnya itu.
Cuma dia sedikit terkilan.
“Sudahlah tu, along. Benda dah lepas. Abah pun
dah lama lupakan semua tu. Abah tak pernah berdendam
pun dengan along. Dulu pun abah tak marahkan along. Abah
cuma terkilan. Maklumlah, along anak abah yang sulung.
Satu-satunya anak lelaki yang abah ada. Bila along ambil
keputusan nak berkahwin secara mengejut, macam-macam
yang abah fikir.”
Pak Ngah Nordin menarik nafas sejenak sebelum dia
kembali menyambung bicara.
“Tambah terkilan bila along ambil keputusan nak
menetap terus dekat sana. Sebab abah memang harap sangat
along balik dan bekerja dekat sini. Tapi sekarang, along
dah ada dekat depan mata abah. Itu dah cukup buat abah
bersyukur. Walaupun abah tak sempat nak tengok menantu
abah, cukuplah dapat tengok cucu. Memanglah dia bukan
cucu kandung abah, tapi abah tetap terima dia dengan tangan
terbuka,” luah Pak Ngah Nordin panjang lebar.
Hariz tersenyum kelat. Ditundukkan wajahnya
kemudian.
‘Abah... kalaulah along tak bertindak mengikut
emosi, tentu hati abah dengan umi tak terluka. Tentu hati
Cinta Arissa tidak tergores,’ hati Hariz berbisik sendiri. Allah,
banyak sungguh dosanya. Sudah tidak tertanggung rasanya.
“Abah... along banyak dosa, bah. Dosa dengan abah,
dengan umi... dengan Allah...” ‘dan dengan Cinta Arissa juga,’
hatinya menyambung sendiri.
“Isy, mana ada. Abah dengan umi dah lama maafkan
along. Along tak buat salah pun. Yang salahnya, abah dengan
umi ni. Cepat sangat nak terasa hati. Jangan risau, abah
dengan umi sentiasa maafkan dosa along dengan adik. Tapi,
dosa along dengan Allah tu... along kenalah bertaubat.”
“Bertaubat bah?”
“Ya. Firman Allah SWT, dalam surah At-Tahrim, ayat
8... ‘wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu
kepada Allah dengan taubat nasuha.”
Hariz mengangguk-anggukkan kepala. Perasaannya
semakin sebak.
“Taubat nasuha, bah? Nak ke Allah ampunkan dosa
along ni, bah?” duga Hariz dengan mata berkaca. Bercakap
dengan abahnya waktu dinihari yang sunyi sepi begini,
mengenai dosa dan pahala membuatkan perasaannya
dicengkam hiba.
“Along... Allah itu Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Abah tak nak tanya dosa apa yang dah along buat.
Sebab along sendiri nampaknya dah sedar dengan kesilapan
yang along lakukan. Abah cuma nak cakap, kalau kita rasa
berdosa, segeralah bertaubat. Bertaubat pula, biarlah taubat
nasuha. Taubat ikhlas kerana Allah dan tak akan sesekali
mengulangi lagi kesalahan lalu.”
Bahu Hariz diusap lembut. Penuh dengan sifat
kebapaan. Terasa kemesraan yang telah bertahun lamanya
hilang antara mereka terjalin semula.
“Insya-Allah, abah. Terima kasih abah, sebab
ingatkan along.”
“Dah memang tanggungjawab abah untuk menegur
dan mendidik along. Tanggungjawab along pula, itu... yang
kecik dekat dalam bilik tu. Didiklah dia dengan sebaiknya.”
“Insya-Allah, bah. Hmm... abah sihat ke sepanjang
along tak ada ni? Macam mana dengan projek kolam udang
tu?”
“Alhamdulillah, Allah masih beri kesihatan yang
baik pada abah. Demam-demam biasa tu adalah. Kalau tak
sakit langsung, pelik pula, kan?” Pak Ngah Nordin tergelak
halus. “Projek kolam udang tu insya-Allah berjalan lancar. 2
minggu ni abah sibuk berulang-alik ke Jabatan Pertanian.”
“Semoga semua lancarlah nanti ya, abah.”
“Along pula macam mana? Apa perancangan masa
depan? Umi cakap along ada minta kerja di Kuala Lumpur,
ya?” Lurus mata Pak Ngah Nordin menyuluh ke wajah anak
lelaki tunggalnya itu.
“Ya, abah. Sebelum balik ke sini hari tu, along ada
pergi temu duga. Tengah tunggu jawapanlah ni, bah. Kalau
ada rezeki, adalah nanti. Kalau tak ada rezeki, along tolong
ajelah abah sementara nak dapat kerja. Jadi kuli abah.” Hariz
tergelak halus. Lama sangat rasanya dia tidak bergurau senda
dengan abahnya. Rindu.
“Eh, abah no hal... tapi kerja dengan abah tak ada
gaji bulananlah. Dapat makan nasi free aje.” Pak Ngah Nordin
ketawa lepas.
“Tak apa, abah. Asal dapat makan.” Ketawa Hariz
juga meletus pada pagi yang sunyi itu.
Sebaik saja tawa mereka mereda, suara kokokan
ayam jantan mula berdendang sayup-sayup di telinga mereka.
Spontan Pak Ngah Nordin menoleh pada jam yang tergantung
kemas di dinding rumah.
“Allah... dah pukul 4.30 pagi, long. Lama sangat kita
berbual. Pergilah masuk tidur. Abah pun nak masuk tidur dah
ni. Nanti tak terjaga pula waktu subuh.” Pak Ngah Nordin
bingkas bangun daripada sofa. Kain pelekat yang dipakai
dibetulkan seketika sebelum dia membuka langkah ke bilik
tidur.
“Ya, abah. Assalamualaikum.” Hariz juga sudah
bangkit daripada sofa.
“Waalaikumussalam...”

No comments:

Post a Comment