Kisah kita bukan wayang,
Setiap babak adalah realiti;
Cintaku hanya satu sayang,
Tetap untukmu hingga nanti.
MINGGU Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) kali ni
menghimpunkan variasi jenama tempatan juga antarabangsa
bagi koleksi ready-to-wear di mana temanya lebih tertumpu
kepada pengaruh warna dan bermotifkan flora. Rekaan
pakaian yang begitu sesuai untuk dipakai harian.
Acara ini adalah acara yang paling dinanti oleh
para pereka fesyen dan jutaan fashionista Malaysia pada
saban tahun. Peminat dan pemain industri fesyen tempatan,
termasuk selebriti yang hadir di Centre Court Pavillion ini lain
tidak bukan hanya ingin menunjukkan sokongan terhadap
dunia fesyen serta pereka kesayangan masing-masing.
Oleh itu, pelbagai gaya OOTD (Oufit of the Day) yang
digayakan oleh mereka dapat dilihat sekali gus menyumbang
sedikit ilham buat sesiapa saja, terutama pereka-pereka
pakaian yang turut hadir di acara ini.
Sebenarnya hari ini merupakan hari terakhir setelah
empat hari berlangsungnya minggu fesyen ini. Dan kasihan
kerana baru hari ini aku berkesempatan untuk ke sini.
Jadi bila menjadi salah seorang tetamu undangan
untuk runway berprestij seperti ini, haruslah aku tidak
melepaskan peluang untuk tampil bergaya. Namun, secara
ringkas; santai serta mix and match sahaja.
Memandangkan keselesaan serta melindungi aurat
itu lebih menjadi keutamaanku, celana dan blaus putih tanpa
lengan aku gandingkan bersama kot labuh berwarna dusty
pink. Biar senada dengan sepatu tinggi lima inci di kaki.
Oh ya... tidak lupa, sama warna juga dengan hijab
di kepala.
Lima belas minit berlalu. Setelah tamat dua buah
lagu dinyanyikan oleh penyanyi jemputan dan kata aluan
daripada pengacara, seorang demi seorang pereka tampil
mempamerkan hasil rekaan masing-masing.
Daripada apa yang aku tahu, hari ini sebanyak dua
puluh orang pereka ternama dari dalam dan luar negara akan
mempersembahkan koleksi ready-to-wear mereka. Salah
seorangnya amat aku nanti-nantikan.
Hai’Dar!
Setelah selesai lapan orang pereka menampilkan
rekaan mereka, akhirnya jenama itu muncul juga di visual
skrin putih yang terdapat di kiri dan kanan pentas peragaan.
Senyuman di bibirku terus melebar sehabis
mungkin. Ikut rasa hati, nak aje aku bangkit bersorak. Tapi,
memikirkan ini bukan konsert atau majlis penerimaan
anugerah, aku duduk diam-diam dan penuh sopan seperti
tetamu yang lain.
Hai’Dar adalah jenama yang diambil sempena nama
pereka itu sendiri. Yakni, Tengku Haidar.
Ya, Tengku Haidar. Dialah orang yang paling aku
nanti-nantikan itu. Seorang pereka baharu yang kini menjadi
rebutan ramai terutama dalam kalangan selebriti.
Namanya dalam industri fesyen Malaysia sudah tidak
asing lagi. Siapa sangka di usia yang sebegitu muda, dia sudah
mampu berdiri sebaris dengan pereka-pereka ternama yang
lain.
Percaya atau tidak. Percaya sajalah yang dia pernah
menerima anugerah Asia Young Designer dua tahun lepas.
Dan baru-baru ini dia berjaya meraih anugerah Ethnic Chic
Design di pertandingan reka bentuk di Singapura.
Itu belum termasuk lagi anugerah-anugerah yang
diterima sewaktu menuntut di California dulu.
Hebat Haidar tu, kan?
Mungkin sebab itulah dia digelar; King of Couture.
Kerana setiap satu hasil rekaannya tidak pernah tidak berjaya
menampilkan potongan yang dramatik terutama sekali pada
rekaan gaun perkahwinan. Oleh itu, pelanggan rela menabur
duit berapa saja asalkan mereka dapat menggayakan busana
hasil sentuhan magis tangannya.
Konsentrasi yang aku beri selama sejam setengah
di pentas peragaan itu tiba-tiba terganggu. IPhone milikku
bergetar agak lama tanda ada panggilan masuk. Tepat pada
waktu Anuar Zain keluar nyanyi pula tu. Spoil betul!
“Helo?”
Pot pet, pot pet.
Tanpa sebarang mukadimah terus telinga aku
menjadi mangsa bebelannya.
“Hah? Apa kau cakap? Rumah? Apa rumah?” Dahi
aku kerut-kerutkan. Tak mengerti.
“Rumah lari???” Eh, apa aku mengarut ni? Rumah
mana ada kaki. Lalu, sebelah telinga aku pekup dengan tapak
tangan. Mahu fokus pada pendengaran di talian.
“Hah?”
Asyik duk hah, hah... Salah seorang pereka fesyen
negara yang duduk di sebelahku sudah menggarit senyum
pada wajahnya. Mungkin agak kuat suara aku tadi. Lantas,
kepala kutunduk sedikit tanda maaf. Ah, malunya!
“Aku tak dengar. Bisinglah dekat sini. Kau WhatsApp
ajelah.” Terus aku putuskan talian. Bila teringatkan
intonasinya semasa bercakap tadi, seperti dia dalam
kesusahan aje.
Hesy, bimbang pula hati ni. Cepat-cepat aplikasi
hijau itu aku buka.
Mak ai! Banyaknya pesanan yang dia hantar.
Ibu jariku tangkas skrol skrin naik ke atas. Membaca
dan menghadam setiap satu pesanan daripadanya. Pesanan
yang bikin nafas sesiapa saja boleh terlepas berat.
Dia buat dah...
NAMPAK GAYANYA tak sempat aku nak jamu mata dengan
melihat koleksi terbaharu Rizman Ruzaini, Jovian Mandagie
dan beberapa lagi orang pereka.
Ruginya! Tapi, tak apalah. Asalkan aku dah dapat
tengok koleksi daripada Haidar. Kalau koleksi dia tak keluar
lagi tadi, jangan harap aku nak balik. Biar dicap kejam oleh
manusia yang menelefonku tadi.
Mana dia ni? Kakiku berjinjit-jinjit mencari kelibat
Haidar dalam ramai-ramai krew belakang tabir, model dan
pereka fesyen di sini.
Bukan apa, sebelum pulang ke rumah, rasanya aku
perlu berjumpa dengan dia dulu. Dah memang aku kerja
separuh hari ni pun semata-mata datang ke sini kerana dia.
Nanti apa pula katanya kalau aku pergi macam tu aje.
Hah, itu pun dia!
Semasa dia menoleh, aku langsung melambai tangan
kepadanya. Menggamit minta dia datang kepadaku.
Malaslah aku nak pergi dekat. Nak-nak apabila
tengok dia dan rakan sepasukannya di kelilingi model-model
wanita yang jelitawan di sana. Entah apa yang mereka semua
sedang bincangkan. Sakan sangat bergelak ketawa sampai
bertepuk bertampar.
Cemburu? Haruslah. Tapi, aku percayakan Haidar.
“Hi, honey! Saya ingatkan awak tak jadi nak datang,”
ucapnya sebaik berdiri di hadapanku. Besar langkah dia
sewaktu berjalan ke sini tadi. Jelas sangat tak sabar-sabar nak
berjumpa dengan aku.
“Mana boleh tak jadi. Buat rugi ajelah tiket yang
awak minta Danny hantarkan pada saya hari tu. Lagipun, tak
ada siapa di Malaysia ni yang nak lepaskan peluang tengok
koleksi ready-to-wear by Hai’Dar, hasil pereka fesyen muda
negara yang kini menjadi rebutan ramai!”
“Mujurlah rekaan aje yang menjadi rebutan. Kalau
hati yang menjadi rebutan, habislah wanita cantik yang
bernama Nur Adinda di depan saya ni kena kejar.”
“Eh, kenapa saya yang kena kejar pula?”
“Sebab hati saya ada pada awaklah, sayang...” balas
Haidar seraya jarinya naik mencuit hidungku.
Aku cebir bibir. Cis, jawapan tu tak boleh cheesy
lagikah?
“By the way, Haidar. Saya... tak! Saya rasa semua
yang datang hari ni suka dengan koleksi untuk wanita dan
lelaki tu. Yalah, kali ni koleksi awak nampak sangat sweet and
simple. Tapi, tetap terserlah ciri elegan, moden dan kasual.
Pemilihan palet warna yang lembut. Fabrik utama yang awak
guna tu pun saya tengok jenis yang menyelesakan. Mesti akan
banyak permintaan nanti. Congratulations!”
“Thank you so much, princess. Semua rekaan baru
tu takkan nampak menarik kalau bukan awak yang sweet and
simple ni sebagai sumber inspirasi saya.”
“Really?”
Haidar angguk-angguk.
“Well... I’m seriously flattered.”
“You should be.” Dia kenyit mata. Aku tayang gigi
depan saja kepadanya.
“Oh ya, sebelum terlupa. Sebenarnya saya jumpa
awak di belakang ni sebab...”
“Sorry for the interruption, boss.”
“Ada apa Danny?” soal Haidar.
“Beberapa orang wartawan dari syarikat akhbar dan
majalah dah tunggu bos untuk interviu.”
“Orite. I’ll be there in a minute,” balas Haidar.
Mulutku dah bertukar menjadi mulut itik. Kata-kata
yang mahu diluahkan kepadanya tadi aku sekadar telan tawar
saja.
“Muncungnya mulut tu. Kiss baru tahu!”
Erk? Terus aku kemam mulut.
Haidar gelak-gelak. “Oh... I miss you terribly,
baby. Awak tunggu sini. Nanti saya datang semula, okey?”
Tangan itu diangkat-angkat meminta aku supaya jangan ke
mana-mana.
“Okey,” balasku lemah. Sebaik Haidar melangkah
pergi, tiba-tiba aku tersedar yang aku tak boleh menunggu
lama lagi di sini.
“Danny, tunggu!”
Lelaki berbangsa Cina itu berpaling. Cepat-cepat aku
mendekatinya.
“Dinda xiaojie, weisheme (Kenapa, Cik Dinda)?”
Pembantu peribadi Haidar ni kalau cakap dengan aku
mesti akan terselit bahasa ibunda dia. Mentang-mentanglah
aku tahu sikit-sikit.
Tidak menunggu lagi, aku mula meninggalkan
pesanan pada Danny. Terangguk-angguk kepala dia. Tekun
mendengar setiap butir bicaraku.
“Hao, wo hui de (Baik, saya akan sampaikan). Ada
apa-apa lagi?”
“Tak ada. Itu aje. Xiexie, Danny. You jangan lupa
tau.”
Danny bentukkan jarinya tanda ‘OK’ kepadaku.
Aku senyum sebelum lengan baju disingkap sikit
ke atas melihat jam tangan. Sekarang sudah 5.30 petang.
Memikirkan masalah di rumah, laju-laju aku melangkah
keluar dari belakang pentas.
“Aduh!” teriakku.
“Ngak lihat aku lagi jalan di sini?”
Eh, kejap. Bukan dia ke yang langgar aku? Apa hal
nak marah aku pula?
“I minta maaf.” Aku tunduk kepala layak orang
Korea selalu buat tu. Malas nak cari gaduh. Lebih tepat aku
tak suka perbesarkan masalah.
“Maaf? Emangnya kamu tu kalau jalan ngak pakai
mata ya?”
Kaki yang diangkat aku turunkan semula. Berdesing
telinga menangkap suara dari mulut longkang itu lagi. Aku
kembali mendongak memandang wajahnya.
“I mean, is your brain not able to communicate to
your legs, where you can and can’t walk?” soalnya sambil
membelit tubuh. Muka tak puas hati ditayang.
Mata kupejam seketika menahan rasa. Agaknya dia
nampak aku berjumpa dengan Haidar tadi kut. Sebab itu
sengaja dia cipta jalan nak cari pasal dengan aku.
Aku merenung dia atas dan bawah.
“Rasanya you tak ada patah riuk dekat mana-mana
pun, kan?” Aku menikam ke dalam matanya yang mengenakan
kanta lekap berwarna biru itu.
Sebelum dia membalas pertanyaanku...
“Oh, I lupa!” Jari telunjuk kubawa menujah ke dada
atasnya yang terdedah sehingga menampakkan lurah itu.
“Di sini yang patah riuknya. Betul tak? Mesti tadi you
ada nampak I berjumpa dengan Haidar, kan? Kenapa? You
marah? Cemburu?” Bibirku menarik senyum sinis.
“You!” Tanganku dia tepis kasar. Mukanya yang putih
gebu kelihatan sudah bertukar rona. Benganglah tu.
Aku mengulum senyum kemenangan. Langkah
yang terhenti kembali bersambung. Buang masa aje layan
perempuan itu!
No comments:
Post a Comment