DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 2

Senyum diukir sampai ke mata,
Diam mulut buat kerja;
Bila hati sudah cinta,
Buruk pun nampak indah saja.

“SURAYA Tarmizi, aku ni bukan tak sayang kau
tau. Tapi, ini dah masuk kali kedua kau lari dari rumah. Kau
tu kahwin tak sampai setahun lagi. Macam-macam hal dah
berlaku. Yang jadi orang tengah, aku... juga!”
“Yalah, kata kawan baik dunia akhirat. Kau kenalah
tolong aku,” balas dia teresak-esak.
Huh, itu ajelah modalnya.
Aku menggaru-garu kepala yang sedikit gatal.
Tudung pun tak sempat cabut lagi. Sampai aje di rumah
tengok dia dah terpacak depan pintu pagar. Ikut hati geram
aku tadi, rasa nak aje suruh Suraya balik. Bila fikir-fikir
macam kasihanlah pula. Dapat tahu dia datang ke sini naik
teksi, lagilah aku kasihan. Kereta dah dua hari di bengkel
katanya.
“Dahlah. Bawa beg kau tu naik atas. Aku pun nak
naik ni, nak mandi. Rasa berlengas satu badan!” Dengan
muka penat aku mencapai tas tangan. Suraya kalut bangun
ikut aku dari belakang bersama beg pakaiannya.
“Kira aku boleh tinggal sinilah, kan?"
Aku buat brek kecemasan di anak tangga kelima.
Suraya kaget. Sikit lagi dia nak telentang ke belakang.
Mujur aku tengok dia sempat menyandarkan belakangnya ke
dinding.
“Satu malam aje tau!” Satu jari aku angkat lurus
depan muka dia. Hampir mengena pundak hidungnya yang
kemik itu.
“Kedekutnya... Mentang-mentanglah aku dah tak
menyewa kat rumah kau.”
“Tahu tak apa.” Menjeling, aku sambung langkah.
Ya. Dulu Suraya memang tinggal dengan aku tapi
sebelum kahwinlah. Nak buat macam mana? Tempat seorang
isteri itu kan di sisi suaminya.

“AKU TAK tahu pula kau kena pergi rumah keluarga Haidar.
Sorry... Kau tak dapat keluar malam ni mesti sebab aku, kan?”
Aku lihat bibir Suraya muncung sedepa. Boleh ikat
buat sangkut belanga! Rasa bersalahlah tu.
“Tak ada hallah.” Dia tak tahu yang aku ni malah
tadah tangan ucap syukur.
“Sekarang baru pukul 8, beb. Sempat lagi ni kalau
kau nak pergi. Tak apa, jangan risaukan aku. Teman okey aje.
Teman boleh tinggal sendiri.”
“Nope. Sebenarnya, aku kalau boleh memang nak
elak berjumpa dengan Tengku Sarah. Kau sendiri tahu kan
sikap dia pada aku macam mana? Jadi, bila kau ada dekat sini
boleh aku jadikan sebagai alasan.”
Suraya diam.
Aku mencapai dua biji pinggan. Spageti yang dah
siap masak aku bahagi dua.
“Here you go, bestie.” Sebaik saja pinggan diletakkan
di hadapannya, muncung di bibir Suraya terus berganti
dengan senyuman.
Entah apa mimpi dia tiba-tiba pujuk rayu aku minta
masak Spaghetti Carbonara. Nasib baik cukup bahan-bahan
tau. Kalau ikut diri yang malas ni, ingat nak buat nasi goreng
bodoh-bodoh aje. Maklumlah hidup sendiri. Ikut suka ususlah
nak sumbat apa pun.
“Haidar tahu kau tak jadi dinner dengan keluarga
dia?” soal Suraya selepas dua suap.
“Hmm, aku dah minta Danny tolong sampaikan
dekat Haidar. Dan tadi lepas maghrib, Haidar ada WhatsApp
aku. Dia cakap okey dan dia faham.”
“Untung kawan aku yang seorang ni. Dapat bakal
suami sejenis yang memahami. Rasanya tak pernah lagi aku
dengar dia nak marah-marah, merajuk atau cari pasal dengan
kau, kan?”
Aku hanya menarik senyum sebagai balasan.
Ya. Selama bercinta dengan Haidar dan dalam
tempoh bertunang yang sering orang kata penuh dengan
ujian ini, alhamdulillah sekalipun kami belum bertelagah.
“Tak sangka kemalangan dulu tu boleh bawa
kau dengan dia selangkah ke jenjang pelamin. Bila
dikenang-kenang semula, boleh jadi novel cerita cinta kau ni.
Ubah suai sikit menarik tu,” tambah Suraya lagi.
Hampir tersembur air sirap yang aku teguk
mendengar dua ayat terakhirnya itu.
“Dah-dah. Tak payah nak mengarut. Menulis dua
perenggan pun dah give-up. Ini nak jadikan novel. Hidup
kau sesuai kira duit aje hari-hari dekat bank tu. Sekarang ni
ceritalah dekat aku.”
“Cerita apa?”
“Apa lagi, hal kau dengan Faizlah? Setahu aku, PA
suami kau dah berhenti bulan lepas. Kes kau pergi serang
bawa pam lubang jamban tenyeh dekat muka dia dulu.
Sekarang ni dengan betina mana pula kau cemburu?”
Suraya belum cerita apa-apa. Tapi, aku berani
tuduh begitu kerana sebelum ini punca yang sama juga dia
melarikan diri.
“Ex-girlfriend lama dia.”
“Apasal? Kau nampak dia keluar dengan perempuan
tu ke?”
“Bukan. Cuma aku perasan kerap sangat dia pergi
outstation jauh-jauh sekarang ni.”
“Biasalah tu businessman. Kau ni, cemburu tak kena
tempat! Cuba fikir positif sikit.”
“Nak positif macam mana bila Faiz sendiri ambil
perempuan tu jadi PA dia!”
“Hah???” Rahangku jatuh ke bawah.
“Kalau aku tak pergi pejabat dia hari ni, entah
sampai ke mati aku tak tahu pasal tu. Silap hari bulan, aku
dimadukan pun tak sedar.”
Suraya menampar meja. Melampiaskan marahnya
pada meja itu. Aku yang tegak duduk terus tersandar ke
kerusi. Terkejut.
“Siapa tak panas hati, weh? Dalam banyak-banyak
accounting firm dekat Malaysia, yang laki teman punya
juga dia nak! Ini lain tak bukan mesti betina tu ada agenda
tersembunyi. Dulu, kau ingat tak masa aku hampir-hampir
nak putus tunang dengan Faiz?”
“Yep.” Kepalaku angguk-angguk.
“Disebabkan perempuan tulah! Sekarang dia mula
terhegeh-hegeh nak balik dekat Faiz. Ngelenyar bebenor.
Huh, laki aku tu pun satu hal! Katanya perempuan tu kerja
jauh di Johor. Berhenti kerja balik ke KL sebab nak jaga mak
yang sakit. Jadi Faiz kononnya kasihan, tawarlah perempuan
tu kerja di firma dia. Baik hati sangat! Mesti baik ada udang
di sebalik spageti ni.”
Suraya mencucuk udang yang sememangnya ada
dalam spageti dengan garpu. Lalu, dimasukkan ke dalam
mulut secara geram.
Lagi dia tepuk meja. Kuat bunyinya sampaikan
kedua belah bahu aku pula terangkat.
“Alasan! Weh, teman yang sepatutnya Faiz kesian.
Bernanah hati apabila dia dah macam tak pedulikan aku.
Sekarang setiap masa asyik sibuk aje. Kalau boleh nak terus
tidur dekat ofis lagaknya.”
Mulut aku ternganga luas. Tergamam. Bukan kerana
apa yang Suraya beritahu. Tapi, kerana spagetiku sekarang
sudah ditambah dengan perisa percikan air liurnya.
“Aku mengandung pun Faiz tak tahu. Sibuk sangat,
kan? Bior le! Bior dia sedar sendiri bila perut aku ni dah mula
membuncit nanti. Tak siyer (tak ingin) teman nak kabo ke
dia.”
“Hah? Kau mengandung?” Tadi aku menganga tak
besar sangat pun. Sekarang rasanya muat kut kalau nak
sumbat jag air sirap ke dalam mulut ni.
“Serius? Be... berapa bulan?” soalku.
Suraya angkat tunjuk dua jari.
“Itu pun baru semalam aku pergi sahkan dekat
klinik. Sebab aku rasa badan ni macam pelik sangat. Lepas tu,
aku asyik mengidam nak makan itu ini.”
Patutlah beria-ia sangat dia minta aku buatkan
Spaghetti Carbonara ni. Mengidam rupa-rupanya.
“Su, benda penting ni. Kau kena beritahu Faiz walau
bagaimana keadaan sekalipun.”
“Kau ni... tadi tu aku tengah geram. Tak sengaja
terkeluar dari mulut. Nanti aku beritahulah dia. Tengah
larikan diri kan sekarang ni? Biarlah Faiz tu rasa kehilangan
aku sikit,” balas Suraya selamba. Naik risau pula aku.
“Aku rasa kau ni cuma sensitif aje lebih. Pembawaan
budak. Sebab tu hal kecil pun kau perbesarkan. Kak Naura
dulu serupa nilah perangainya masa tengah mengandungkan
Noah. Abang Dika keluar dengan aku pun dia boleh cemburu.”
Suraya senyap. Habis modal nak balaslah tu.
“Ni hah! Lupa nak cakap. Sebenarnya Faiz ada
telefon aku tadi. Kejap lagi dia datang sini jemput kau balik.”
“Weh, aku tak nak balik lagilah!”
“Itu kau cakap sendiri dengan dia. Aku tak nak
masuk campur hal rumah tangga korang.”
“Eee, kenapa kau beritahu dia aku ada dekat sini?”
“Suraya Tarmizi, ni cek nak pesan. Lain kali kalau
nak merajuk ka apa ka... pi sembunyi dekat tempat lain nah.
Kalau mai rumah aku, sah-sah Faiz dah boleh baca ‘kubu’
hang. Sebab tu dia tak pernah kalut nak cari bila hang lari
dari rumah. Faham dak?” Hah, kan dah keluar bahasa utara
aku.
“Bencilah!” Terus dia mendakap tubuh seperti
budak-budak mahu merajuk. Aku julingkan biji mata ke
atas. Saat itu juga tiba-tiba telingaku mendengar sayup suara
orang memberi salam.
Suara macam lelaki. Jangan-jangan...
“Su, suami kau dah sampai!”
Suraya bingkas menuju ruang tamu. Pintu gelangsar
yang bertutup didekati. Terhendap-hendap dia di sebalik
langsir itu. Kalih memandangku, dia tersengih lebar pula.
Aku kerutkan dahi. Bukan Faiz ke?

“AWAK NAK buat spot check atau saja-saja suka nak datang?”
soalku. Mana tahu Haidar tak percaya cakap aku yang Suraya
ada dekat sini. Fikir aku sengaja cipta alasan sebab tak nak
ikut serta makan malam bersama keluarganya.
Maklumlah, dia tahu selama ni seorang Nur Adinda
memang tak sebulu dengan seorang Tengku Sarah. Pelik, kan?
Tetap saja Haidar nak jadikan aku bakal bini dan menantu
kepada mami dia a.k.a. si Diva Malaya.
“Saja-saja suka, sebab saya...” Tersenyum-senyum,
dia mengeluarkan tangannya yang disembunyikan di
belakang.
“Taraaa!” Satu beg kertas ditayangkan betul-betul di
depan mukaku. Aku membulatkan biji mata.
“Awak datang semata-mata nak bagi ni dekat saya?”
Haidar angguk.
Saat beg kertas itu bertukar tangan, wajahku terus
terasa hangat. Terharu! Malu!
Kasihan dia. Tak pasal kena tuduh dengan aku tadi.
“Favourite awak tu. Saya ada minta bibik buatkan.
Dah awak tak dapat datang, siapa pula nak habiskan nanti.”
“Alah... that’s very sweet of you.”
“Anything for my girl,” bisiknya dalam nada yang...
Ah, cair!
“Thank you.” Aku malu-malu meow. Hidung dibawa
dekat dengan beg kertas itu. Sedapnya bau!
“Su akan tinggal sini terus dengan awak ke?”
Kepalaku menoleh ikut arah muncung mulut
Haidar. Aku lihat Suraya tersengih-sengih sambil menggigit
buah epal di muka pintu. Huh, bahagia sangat dia apabila
tahu bukan Faiz yang datang.
“Mestilah tak. Apa, awak ingat saya ni suami dia
ke? Suraya sebenarnya tengah mengandung. Sebab tu cepat
sangat nak tersentap. Kejap lagi datanglah Faiz tu ambil dia
balik.”
“Oh, eloklah tu.” Mata Haidar kembali berpusat di
wajahku.
“Awak tahukan saya pergi ke Paris esok?”
“Tahu,” jawabku laju.
Haidar diam. Wajahnya beralih mendung.
“Kenapa nampak sedih aje ni? Sepatutnya rasa happy
dan teruja kan dapat pergi sana?”
“Saya rindukan awak. Berminggu-minggu saya sibuk
sampai tak sempat kita nak berjumpa. Dan esok saya dah nak
terbang ke sana pula. Seminggu tinggalkan awak kat sini.”
Lah... pasal tu aje? Aku ingatkan apa benda tadi.
“Ini bukan zaman batu, Haidar. Video call kan ada.
Macamlah awak tak biasa. Seminggu aje pun. Bukan sebulan!
Lagipun tok selalu pesan, masa bertunang tak elok sangat
kalau kita asyik berjumpa. Sabar sikit, ya? Nanti bila kita dah
kahwin hari-hari awak dapat tengok muka saya. Jangan lepas
tu cakap jemu sudah. Saya luku kepala awak!”
Haidar ketawa. “Garangnya bakal isteri saya ni.
Takut!” Dia mahu mencubit pipiku. Namun, belum sempat
sampai tangan itu...
“Haidar!” Ada satu suara menghentikan tingkahnya.
Tawa yang masih lanjut juga serta-merta terhenti.
“Kamu hantarin itu kok lama banget sih? Aku capek
nunggu tahu ngak. Mau pulang!”
Aku kecilkan mata. Walau dengan hanya simbahan
cahaya dari tiang lampu jalan, aku boleh nampak wanita itu
menghentak-hentak kasutnya di atas jalan. Siapa ek?
Mengingatkan bahasa dan lenggok manjanya, aku
membulatkan biji mata. Tak mungkin perempuan yang
langgar aku di Pavilion tadi.
Sekali lagi aku merenung figura itu untuk kepastian.
Bila diamati betul-betul batang tubuh yang tinggi lampai
serta kurus seperti papan di luar kereta Haidar, tak syak lagi.
Memang dia!
Aku pandang Haidar. Tangan naik membelit tubuh.
“Explain.”

“OLIVE?” SURAYA ketuk-ketuk dagunya memikir sebelum
dijatuhkan lutut dan duduk di bawah sama-sama dengan aku.
“Maksud kau, Olivia?”
“Ya. Perempuan mana lagi yang ada kaki panjang
macam Olive bini Popeye tu, kalau bukan dia?”
“Kau samakan dia dengan Olive dalam cerita kartun
Popeye tu?”
“Haah. Sesuai dengan dia!”
Terbahak-bahak Suraya ketawa. Aku buat tak
peduli. Makaroni bakar dan keju yang Haidar beri tadi aku
sumbat-sumbat dalam mulut. Stres punya pasal, tunggu apa?
Melantak lagilah jawabnya.
“Mengikut apa yang kau dah ceritakan pada aku
tadi, Haidar guna agensi model milik Olivia. Ini bermakna
perempuan tu akan jadi ketua model untuk peraga koleksi
tunang kau?”
“Hmmm... Via sendiri yang tawarkan dirinya untuk
bantu Haidar memandangkan dia sudah berpengalaman
dengan event besar macam tu.”
“Dan kau tak kisah Haidar setuju?”
“Ini penyertaan pertama Haidar. Kau ingat senang ke
dia nak terpilih sebagai sepuluh pereka untuk ke sana? Bila
dah berpeluang memperkenalkan rekaan sendiri sampai ke
luar negara, mestilah dia nak buat yang terbaik. Takkan aku
nak minta dia tolak hanya kerana Via tu bekas ex-girlfriend
dia kut? Aku bukan manusia selfishlah.”
“Habis tu, yang kau hangin sangat bila tengok minah
gedik tu dengan Haidar dah ngaper? Masuk-masuk rumah aje
tak berhenti membebel. Menambah stres aku pada Faiz aje.”
“Tengku Sarah jemput Via datang ke rumah dia
untuk makan malam sebab...” Aku tuding jari minta Suraya
tolong sambungkan.
“Sebab nanti bila kau ke sana tengok perempuan tu
ada sama mesti kau akan sakit hati.”
“Tapi malangnya, aku tak pergi. Ini bermakna misi
dia gagal. Dan daripada apa yang Haidar beritahu tadi, aku
yakin mami dia cuba cari helah lain dengan sengaja menyuruh
Haidar hantar Via balik ke rumah. Konon tayar kereta Via tu
pancit.” Aku ketawa sendiri memikirkan perangai Tengku
Sarah.
“Pancit? Tiba-tiba pula, kan? Aku syak Tengku Sarah
tu dah tahu Haidar nak ke rumah kau. Ini mesti rancangan
dia dengan Olivia. Hesy! Geram aku bila fikir-fikir. Mike
belum kahwin lagi dengan Haidar, dia dah berani cari pasal.
Lepas kahwin nanti lagi parah agaknya dia membuli kau.”
Mendengar kata-kata Suraya itu terus merinding
bulu romaku satu badan. Pernah juga aku terfikir:
1. Aku akan bertekak setiap hari berkaitan
Olivia dengan Haidar;
2. Ada tendensi Olivia akan jadi madu aku;
3. Akan terbuka rekod aku bunuh orang
(Tengku Sarah) tanpa sengaja;
4. Aku akan jadi gila!
Tak mustahil nombor 3 dan 4 tu akan jadi realiti
nanti. Kerana seorang Nur Adinda bukanlah sejenis manusia
yang penyabar sangat.
“Assalamualaikum?”
Aku dan Suraya sama-sama tersentak. Bila dipasang
telinga besar-besar, kali ini jelas dan tidak ragu-ragu lagi
bahawa manusia yang menghulur kata salam itu adalah Faiz.
Kening aku menari-nari pada Suraya.
“Bencilah!” teriaknya dan aku bergegas bangun buka
pintu.
Menjemput Faiz masuk, aku terus membawa diri ke
dapur meninggalkan mereka berdua. Memberi laluan bagi
sesi pujuk memujuk pasangan laki bini itu.

No comments:

Post a Comment