DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 7

Pipit tak boleh menjadi enggang,
Tak boleh juga sama terbang;
Janganlah abang berhati walang,
Cinta dan sayangku tak pernah berkurang.
–Rafiah Sarifuddin-

SUDAH setengah jam di lebuh raya. Pun begitu,
mulut kami masing-masing terkunci. Yang menjadi halwa
telinga cumalah lagu-lagu dari pendrive yang aku cucuk pada
radio kereta. Ini kalau tak fikir ada manusia lain dalam kereta,
memang dah lama aku melalak nyanyi. Bosan kut.
Aku curi-curi tengok aktiviti Zarr di sebelah.
Sibuk sungguh dia ni dengan buku dari tadi. Catat
apa benda entah. Tension juga jadi pensyarah ni ek. Hidup
di mana-mana pun tak boleh nak berpisah dengan buku dan
pen. Mengalahkan penulis. Huh! Bosan kuasa dua.
“Buku apa tu?” Saja aku nak menyibuk.
“Diari,” jawab dia sepatah tanpa memandangku.
Aku buat muka pelik. Sebab tak sangka masih ada
lagi manusia atas bumi ni rajin menulis diari.
Yalah. Bukan orang sekarang lebih suka menaip aje
ke? Upadate status di Facebook, Twitter, Blog dan Instagram.
Khabar pada dunia apa yang mereka lakukan setiap hari.
Sampaikan hal rumah tangga pun dicoretkan di sana!
Aku menjeling-jeling Zarr bersama diari di tangannya
itu. Agak-agak dia catat apa ya?
Hah, mesti dia tulis; hari ni balik KL tumpang gadis
jelita bernama Nur Adinda.
Ahaks! Perasan betul aku ni.
“Ehem, ehem! Dr. Zarr Iskandar, boleh tak kalau saya
nak tanya awak sikit?”
Dia panggung kepala menikam wajahku. Ada kerutan
di dahi itu. Acah-acah peliklah tu dari mana aku tahu dia dah
berpangkat Doctor of Philosophi.
“Panggil Zarr cukup. Hmm, awak nak tanya apa?”
“Kenapa awak jadi pensyarah dan bukan lawyer?”
Mula dah aku nak korek-korek.
“Kerana profesion guaman tu sangat luas. Bak kata
mantan Hakim Mahkamah Agung, Allahyarham Tan Sri
Harun Hashim; you can become anyone if you have a degree
in law except to become a doctor or an engineer.”
Betul juga tu. Pernah aku dengar Abang Dika
cakap, beberapa orang kawan dia tiap-tiap tahun perbaharu
sijil amalan guaman, tapi pilih kerja lain. Menguruskan
restoranlah, buat bisnes import eksportlah. Tapi, berjaya juga.
Tak kisahlah, kan. Tak semestinya sijil yang ada
menunjukkan itu yang harus kita jadi. Apa yang kita belajar
di universiti itu adalah ilmu. Cuma jika dipraktikkan lebih
baik.
“Ini bermakna awak tak minat jadi peguam?”
Zarr menutup diari dan memeluk tubuh.
“Bukan tak minat. Saya ambil belajar jurusan
undang-undang sebab abi seorang peguam dulu. Dia nak
saya ikut jejak langkahnya. Tapi, setakat ni saya lebih ke arah
dunia mengajar. Mungkin sebab umi seorang guru sekolah.
Jadi darahnya lebih kuat mengalir dalam badan saya ni,”
katanya, lalu ketawa sendiri.
“Allahyarham Sudirman dan beberapa lagi nama
terkenal di Malaysia ni ada lulusan undang-undang tau. Tapi,
mereka memilih untuk jadi apa yang mereka mahu. Dan saya
memilih pensyarah. Pensyarah undang-undang dan peguam
tu sama aje. Bezanya saya hadap studen, bukan klien. Kalau
dulu asyik keluar masuk mahkamah rasa puas sangat bila
dapat menangkan kes. Tapi, sekarang saya puas dan bangga
dapat berkongsi ilmu dan pengalaman pada bakal peguam
yang hebat-hebat di uni tu.”
Aku mengangguk-angguk. Tersenyum setuju dan
kagum dengan keputusan Zarr membuka ruang kerjayanya
mengikut apa yang dia suka. Bagus juga tu. Kalau kita suka
dengan apa yang dibuat hari-hari, barulah diri gembira dan
kerja pun berkualiti.
Aku diam. Tak tahu nak cakap apa lagi. Sebab semua
sudah jelas.
“Awak pula macam mana boleh berminat menjadi
designer? Kenapa tak pereka hiasan dalaman atau pereka
grafik aje?”
“Sebab jadi designer lebih glamor. Dapat masuk
majalah, masuk dalam TV. Lepas tu sentiasa dikelilingi model
yang hensem-hensem dan cantik.”
“Extrovert,” ujarnya sepatah dan aku terus
memecahkan tawa.
“Saya gurau ajelah,” kataku mahu memperbetulkan
tanggapannya. Sah dia fikir seorang Nur Adinda ni spesies
yang gila glamor.
“Saya ni peminat dunia fesyen sejak dulu lagi.
Mungkin sebab saya juga ada kreativiti dan imaginasi yang
tinggi. Bukan saya cakap ya, tapi orang yang selalu cakap
macam tu pada saya. Percaya atau tak, semenjak sekolah
menengah lagi saya dah pandai menjahit tau. Dan itu dah jadi
passion untuk saya sekarang ni.”
“Passion...” sebut Zarr, perlahan. Kemudian bibir
itu menarik senyum senget ke atas seperti ada sesuatu dalam
kepalanya saat ini.
“I get it now. Patutlah passion awak terhadap saya
terus hilang lepas tu.”
“Pardon me?” Keningku terjongket sebelah.
“Maksud passion kan satu perasaan yang sangat kuat
wujud dalam diri manusia. Di mana seseorang tu suka dan
rasa semangat dalam apa yang dia lakukan. Kalau boleh dia
nak buat apa yang dia suka tu hari-hari. Sebab itu yang boleh
buat dia rasa puas.”
Aku diam. Otak terasa berselirat untuk mencakna
ayat-ayat kawan Abang Dika itu.
Mata Zarr pula terkedip-kedip menghantar satu
pandangan yang sukar difahami.
Aku berdeham. Tidak betah ditenung lama-lama
begitu.
“Okay, whatever. Tapi, apa kaitannya dengan awak?”
Menyimpul senyum kecil, Zarr menundukkan
kepala. Membuka kembali diarinya, tangan itu bergerak
menulis sesuatu di atas lembaran baharu.
Sekejapan, dia mengangkat tunjuk ke arah aku satu
perkataan.
“Crush?” soalku selepas melihat perkataan yang
begitu besar ditulis. Penuh satu muka surat.
“Yep... C-R-U-S-H,” ejanya.
“Crush on me. You have lost that passion.”
Nah, terus muka aku terasa seperti ditekap dengan
bara api. Panas! Terbakar kulit tahap satu. Sejurus itu juga,
kejadian yang sangat memalukan sewaktu sarapan pagi tadi
kembali mengetuk kotak ingatan.
Ya Allah... duk elok bersembang pasal kerjaya,
tiba-tiba yang dia boleh masuk topik perasaan ni dah kenapa?
Menyesal pula ajak bersembang.
“Kenapa awak suka saya dulu?”
Gulp! Apa aku nak jawab ni?
“Errr, mungkin sebab saya suka peguam kut.”
Hesy, apa mulut aku dah mengarut ni?
Sungguh aku tak pasti sebabnya. Yang pasti, selepas
kejadian dia tolong aku daripada jatuh skuter dulu, tup-tup
perasaan tu memang dah ada. Datang macam tu aje.
“Tak sangka kan, ada juga orang yang pernah syok
kat saya. Ingatkan muka hensem macam ni tak ada sesiapa
yang nak pandang dulu.”
Aku cebir bibir. Ingatkan aku aje suka masuk bakul
angkat sendiri. Tak sangka dia pun sama.
“Awak nak tahu tak kehebatan orang yang ada crush
ni?” soalku kemudian dan Zarr menganggukkan kepala tanda
mahu.
“Sebenarnya kan, 99.9 peratus dia yakin yang crush
tu tak suka dia. Sebab tulah dia pendam aje perasaan. Takut
kena reject. Tapi, kerana baki 00.1 peratus yang masih
ada buat dia gigih juga menyimpan harapan dan kuatkan
semangat untuk teruskan.”
“Ya ke?”
“Yalah. Kalau tak percaya tanya saya.” Aku kulum
senyum. Zarr diam. Tak lama, telingaku menangkap sesuatu.
“I love you.”
“Hah?” Mataku membulat besar memandang dia.
Aku salah dengar ke?
“I-love-you.” Zarr ulang. Jelas satu per satu.
Weh, dia dah pasai apa??? Merinding pula bulu roma
aku ni. Dahlah berdua aje dalam kereta. Jangan sampai aku
terajang keluar dia ni nanti.
“Itu ke 00.1 peratus yang awak harapkan daripada
saya dulu?”
“Ma... mana ada,” jawabku tanpa memandangnya.
Aku buat-buat fokus memandu.
“I’ll might love you back, kalau tiga perkataan simple
tu awak mula cakap pada saya dulu. Siapa tahu sekarang lain
keadaan kita. Tak menyesal ke awak tak luahkan semua tu?”
Okey, tadi cuak. Sekarang aku rasa nak gelak walau
tak pasti di mana lawaknya.
“Awal-awal tu kut macam menyesal sikit. Masa
awak dah tak lagi datang ke kampung saya. Tapi, lama-lama
entah... hilang macam tu aje rasa ralat tu. Sebab tulah crush
ni dikatakan berbeza dengan cinta.”
“Berbeza?” soalnya.
“Haah. Perasaan sukanya tu temporary infatuation
aje. Sekejap kita suka orang ni, sekejap kita suka orang tu.
Umpama kita minat pada artislah. Tak ada kesan sangat pada
hati dan jiwa bila orang tu tiba-tiba sekelip mata menghilang.”
“Kalau cinta pula?”
“If it was love, we have no option but to just dive in.
Bila dah mula cintakan seseorang, perasaan tu payah untuk
dibuang. Dengan dia, kita akan rasa ingin disayangi dan
menyayangi. Bila orang tu tak ada di depan mata, mulalah
kita gelisah mencari-cari. Kehilangannya pula akan memberi
kesan yang mendalam pada jiwa juga kehidupan kita. Sebab
itulah orang selalu kata cinta itu buta. Manusia sanggup buat
apa saja demi cintanya.”
“Impressive. Macam doktor pakar cinta awak punya
penjelasan,” komennya dan aku ketawa besar.
“Kalau jawapan macam tu, boleh dapat markah
penuh tak, Encik Pensyarah?”
Kali ni Zarr pula ketawa. Gamat sekejap ruang dalam
kereta ni dengan gelak tawa kami. Tenggelam lagu-lagu yang
sedang berdendang.
“Kalau soalan tu bernilai 10 markah, saya bagi awak
9.9. Sebab 0.1 lagi berdasarkan pengalaman saya, crush boleh
berubah menjadi cinta.”
“Pengalaman awak?”
Zarr sekadar mengangguk. Sempat dia tarik senyum
kecil penuh erti kepadaku sebelum membawa wajahnya ke
luar tingkap. Tangan itu membawa buku diari ke dada dan
aku melihat matanya terpejam rapat.
Dia pun pernah ada crush macam aku ke?
Ingin aku menyoal itu kepada Zarr, tapi melihat
dia begitu, tidak terluah dengan gayanya seolah-olah
terkenangkan sesuatu.

MEMANDANGKAN SUDAH masuk waktu zuhur, kami
singgah sebentar di R&R. Selesai solat, aku dan Zarr berjumpa
semula di medan selera untuk makan tengah hari.
“Awak duduk sanalah.” Mulutku memuncung ke
arah meja yang berada di sebelah kiri. “Saya pula duduk
sini.” Aku bawa pula muncung ke sebelah kanan. Tak tunggu
balasannya terus aku angkat kaki.
“Kejap!” Zarr pusing badan menghadapku.
Aku angkat sebelah kening.
“Kenapa saya dengan awak kena makan asing-asing
pula? Satu meja dah cukup besar apa. Kerusi ada enam pula
tu. Kita duduk makan sekalilah.”
“Sebab ni...” Aku tayang tangan kiri depan muka dia.
Jari manis yang tersarung cincin sengaja aku gerak-gerakkan.
“Saya dah bertunang. Awak pun sama, kan?
Masing-masing sekarang ni tengah menghitung hari aje nak
jadi isteri dan suami orang. Jadi saya tak naklah nanti timbul
fa ta nun ha. Bunyinya apa?”
“Fitnah.”
“Good! Boleh timbul fitnah kalau kita makan
sama-sama. Orang ramai dekat sini kita tak tahu siapa
yang kenal kita. Nak-nak zaman sekarang ni senang tular.
Acah-acah manja teringin nak makan cendol pun tular tau!
Oleh itu, bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada...”
“Merawat,” kata Zarr. Seperti tahu-tahu aje yang aku
memang nak dia tolong sambungkan.
“Hah, tahu pun! Karang kalau tak jadi majlis kahwin
awak dan majlis kahwin saya, siapa yang akan susah? Siapa
yang nak menangis? Kita berdua... juga, kan?”
Dia diam. Mataku mengeluarkan isyarat suruh dia ke
tepi beri laluan pada aku.
Sebaik Zarr menyengetkan badannya memberi
laluan, langkah yang terhenti tadi lekas aku sambung semula.
Selesai makan, kami berjalan keluar dari medan
selera itu. Dua meter aku di depan, dua meter dia di belakang.
Ini pun atas arahan aku juga. Kalau orang lain lihat ni, mesti
mereka menganggap kami tidak saling mengenali.
Tengah sedap aku melenggang kangkung menuju ke
kereta, kakiku bagaikan digam dengan gam kasut. Oh, no!
Satu tapak...
Dua tapak...
Aku undur perlahan-lahan. Seterusnya... 1, 2, 3.
Okey Dinda, lari!
Terdesak mencari tempat untuk menyorok, akhirnya
belakang Zarr juga yang menjadi sasaranku. Membongkokkan
badan, baju dia aku tarik-tarik melindungi muka. Itulah, tadi
buat macam tak kenal sangat, kan? Bila dah dapat susah,
orang tu juga yang dicari untuk pertolongan.
“Kenapa ni?” soal Zarr.
Aku senyap tidak menjawab. Dia pusing kiri. Aku
bergerak ke kanan. Dia pusing kanan, aku gerak ke kiri.
“Berdiri diam-diam boleh tak?” marahku. Zarr buat
seperti yang dipinta. Tangan itu naik mencekak pinggang
sambil mulutnya membebelkan sesuatu. Tak jelas apa.
Sebaik sahaja dua manusia itu melintas, bergegas
aku berlari masuk ke dalam kereta.
Fuh, selamat! Sebelah tangan diletakkan di dada
yang berombak laju. Eh, kejap! Dah kenapa aku yang perlu
sembunyikan diri tadi? Sepatutnya aku tunjuk aje diri ni biar
dua manusia itu menggigil sampai terkencing.
“Siapa couple tu?” tanya Zarr yang kini duduk di
bahagian pemandu memandangkan aku mengambil tempat
di bahagian penumpang.
“Couple?”
“Saya tahu awak sembunyikan diri tadi sebab tak nak
lelaki baju coklat dengan perempuan baju hijau tu nampak
awak, kan?”
Aku mengerutkan dahi dan Zarr terus
memuncungkan mulutnya pada satu pasangan yang sedang
berjalan masuk ke dalam medan selera.
“Haah! Memang saya lari daripada mereka tadi,”
jawabku dalam perasaan geram.
“Kenapa?” soalnya ingin tahu.
Aku merengus kasar. Hati tengah panas. Tak ada
mood nak cakap tentang itu sekarang ni. Lagipun, mustahil
aku nak cerita pada dia. Tapi, betulkah apa yang aku lihat?
Atau lelaki tu cuma pelanduk dua serupa?
“Kenapa awak diam?”
“Tak ada kaitan dengan awaklah. Tak payah nak
sibuk-sibuk ambil tahu. Nah, kunci. Cepat jalan!”
“Nak jalan buat apa Cik Nur Adinda kalau kita dah
naik kereta, hmm?” balasnya sarkastik buat aku menggigit
bibir. Karang aku tinggalkan dia dekat sini baru dia tahu
betapa kejamnya Cik Nur Adinda ni.
Tiba di rumahnya...

“TERIMA KASIH sudi tumpangkan saya.”
“Sama-sama. Hal kecil ajelah. Lagipun, minyak dan
tol semua awak yang tolong bayarkan. Dah tu awak sendiri
yang drive sampai ke KL ni. Makan pun awak belanja.”
Dia senyum menayangkan lesung pipinya.
Hesy, kadangkala cemburu betul aku dengan orang
yang ada ‘lesung’ dekat muka ni. Yalah, selalu orang kata
lesung pipit ni sejenis cacat muka yang comel! Nak-nak kaum
lelaki pula ada kecacatan tu. Rasa nak aje aku tumbuk sambal
belacan dekat situ.
“Cantik rumah,” pujiku tak ada arah.
“Ini rumah parents saya. Semenjak diaorang bersara,
abi ajak semua pindah duduk di Perlis dekat rumah arwah tok
wan. Tapi, memandangkan saya bekerja di KL, saya tinggallah
dekat rumah ni.”
Kepala aku terangguk-angguk. Tangan mengangkat
melihat jam tangan. Lama-lama aku dekat depan rumah dia,
karang orang fikir apa pula.
“Dah lewat petang ni. Saya minta diri dulu.”
Zarr mengangguk.
Aku berpaling menuju kereta. Belum sempat
membenamkan diri ke dalamnya, tiba-tiba aku teringatkan
sesuatu.
“Zarr, wait!”
Lelaki itu memusingkan badannya memandang ke
arahku. Selesai mengambil sesuatu dari dalam beg tangan,
aku kembali menonong berjalan mendekati Zarr semula.
“Nah! Saya lupa nak bagi ni dekat awak.”
“Saya ingatkan awak tertinggal hati dekat sini tadi.”
Nah... gurauan dia umpama aliran elektrik 30,000
voltan menyambar. Tak pasti aku nak gelak atau tak.
Okey, tak nak gelak. Tak patut aku gelak pun. Tapi,
dia pula yang gelak dengan kata-kata sendiri.
“Adinda Wedding Wear,” sebutnya ketika membelek
kad bisnes itu.
“Itu butik saya. Kalau awak belum ada baju untuk
bersanding nanti datanglah ke sana. Nak sewa baju pengantin
untuk photoshoot pun boleh. Untuk awak dan bakal isteri,
saya bagi harga best punya!” Sempat lagi aku promo butik
sendiri.
“Kenapa? Sebab saya ex-Mr. Crush awak?”
Aku terkedu dan dia sekali lagi tergelak besar. Tak
sangka, mudah terhibur rupa-rupanya Zarr Iskandar ni.
“Insya-Allah. Thank you so much for this,” ucapnya
bersama satu senyuman yang...
Patut ke tak aku cakap ek?
Okey, cair!

No comments:

Post a Comment