DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 15 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 9

Pucuk pauh delima batu,
Anak seluang mati dituba;
Walau jauh beribu batu,
Cinta dan sayangku tetap membara.
–Rafiah Sarifuddin-

AKU tiba di bangunan Al-Rizki yang indah dihiasi
mural-mural flora dan fauna pada luar dindingnya.
Mematikan enjin kereta, aku keluar berdiri di depan
pintu pagar memanjangkan leher setelah melihat keadaan
sekitar taska itu sunyi dan sepi. Mesti anak-anak lain sudah
dijemput oleh ibu bapa masing-masing.
Keluhan aku lepaskan deras. Memikirkan Noah yang
menunggu lama di sini.
“Mak ngah!!!”
Noah berlari keluar sambil menggalas beg Didi and
Friends kegemarannya. Diikuti oleh Cikgu Nur di belakang.
Tersenyum, aku ikut berlari mendapatkannya masuk
ke dalam pelukan.
“Kenapa mak ngah yang datang ambil Noah? Kenapa
bukan ayah?” Berlumur hairan di muka itu memandangku.
“Ayah minta maaf dekat Noah. Dia ada kerja sikit.
Sebab tu hari ni mak ngah yang datang ambil.” Hidungnya
aku cuit manja.
Tugas menghantar dan mengambil Noah selalunya
Kak Naura. Tapi, Abang Dika kata isterinya itu dah dua hari
pergi kursus di Port Dickson. Sebab itu dia minta tolong aku
menjemput Noah di taska dan membawanya balik sekejap ke
rumahku.
Sedar ada seseorang datang berdiri di sebelah
Noah, aku melurut tangan ke lutut. Menundukkan badan
memandang wajah budak perempuan itu.
“Noah, ni siapa? Tak nak kenalkan dengan mak ngah
ke?”
Noah segera mengambil tangan budak perempuan
itu dan digenggam kemas. Aku hanya tersenyum.
“Nilah Putri, mak ngah.”
“Oh... Putri, girlfriend Noah ya?”
Noah angguk tak bertangguh.
“Noah ni boyfriend Putri ke?” Aku tuding badan
Noah pada Putri. Saja nak tengok balasannya.
Putri malu-malu menjeling Noah. Senyum aje dia.
Tak sangka, gatal serupa Noah juga budaknya.
Eloklah tu. Sesuai sangat jadi menantu Abang Dika dengan
Kak Naura dua puluh tahun akan datang nanti.
“Mak ngah... kita pergi McD makan aiskrim, boleh?”
“Hmmm...” Aku buat-buat fikir.
Bukan apa, aku dah masak dengan perangai Noah
ni. Dia memang suka sangat ambil kesempatan tiap-tiap kali
mak saudaranya yang cun ini datang menjemput. Sebab dia
tahu macam mana pun aku akan turut permintaan dia.
“Bolehlah, mak ngah. Please...” Melompat-lompat
dia memujukku.
Aku pecahkan tawa. “Ya, mestilah boleh. Let’s go!”
Tangan Noah aku tarik, tapi tak bergerak. Aku
tunduk pandang dia. Dah kenapa buat muka kasihan pula ni?
“Kalau Noah nak ajak Putri makan aiskrim juga
boleh tak, mak ngah?” soalnya perlahan. Mata itu menjeling
Putri dengan riak kasihan.
Aku melepaskan keluhan kecil. Patutlah beria-ia
sangat minta aku bawa dia pergi makan aiskrim. Nak
berdating rupanya.
“Tak boleh, Noah. Nanti ayah atau ibu Putri datang
tengok dia tak ada dekat sini, susah pula.” Dalam harapanku
agar Noah mengerti.
“Alah, Cikgu Nur kan ada. Nanti cikgu boleh
tolong beritahu dekat papa atau mama Putri tu. Bolehlah,
mak ngah...” rayunya sambil menggoyang-goyangkan jari
kelengkengku. Tak cukup itu, mata pula dikelip-kelipkan.
Auch, ini yang buat aku tak menahan ni!
Tapi, susah aku nak tunaikan permintaan dia yang
satu ni. Nak cakap boleh terus memang kerja gila namanya.
Yalah, cari nahas apa nak bawa anak orang begitu aje? Tak
pasal-pasal nanti aku didakwa menculik budak pula. Cikgu
pun mana ada kuasa nak bagi kebenaran.
Noah, Noah... ada saja akal dia. Yang pening kepala,
aku ni hah.
Aku kalih pada Cikgu Nur. Tersengih-sengih bibir itu
ke arah aku.
“Macam nilah, cik. Papa Putri telefon cakap pada saya
tadi, mama dia yang akan datang ambil hari ni. Kejap lagi cik
boleh minta izin pada mama Putri ni sendiri,” beritahu Cikgu
Nur. Setia dia berdiri di belakang Putri dan Noah. Macam
tahu-tahu aje apa yang ada dalam kepala otak aku ni.
Menundukkan badan, mataku terus mencari anak
mata anak kecil itu.
“Dengar tu, Noah. Kita kena minta izin mama Putri
dulu. Kalau mama dia kasi kita ajak pergi sekali, okey? Kalau
tak kasi, reda ajelah yang Noah tak boleh nak berdating hari
ni. Faham?”
Noah tunjuk jari tanda ‘OK’.
“Hah! Itu mama Putri dah sampai,” beritahu Cikgu
Nur. Mulutnya muncung ke arah sebuah kereta Mini Cooper
berwarna hitam.
Syukurlah. Tak sampai seminit pun kami tunggu.
Sebaik keluar seorang wanita dari kereta itu, aku
melihat Putri tiba-tiba menarik tangannya dari genggaman
Noah dan berlari bersembunyi di belakang Cikgu Nur.
Aneh. Tidak seperti budak-budak lain. Selalunya
anak-anak pantang nampak ibu atau ayah datang jemput di
sekolah, terkinja-kinja mereka tak sabar nak balik ke rumah.
Aku agak, Putri ni betul-betul nak ikut Noah pergi
McDonald’s kut.
Dari sini aku lempar senyum pada wanita yang
sedang berjalan lagak seorang model itu. Amboi, muda
sungguh mama Putri ni. Cantik pula tu. Tapi, kalau dia balas
senyum aku, lagi bertambah jelita.
“Maaf, cikgu. Saya ada hal penting di luar tadi.
Tiba-tiba aje papa Putri telefon cakap tak dapat nak jemput
anak dekat sini. Sebab tu lambat sikit saya datang.”
“Tak apa, saya faham. Putri?”
Cikgu Nur kalih mencari Putri yang bersembunyi di
belakangnya. Kalih ke kiri dia lari ke kanan. Kalih ke kanan,
dia lari pula ke sebelah kiri.
“Putri... jom kita balik sayang,” pujuk si mama.
Berusaha menarik tangan si anak yang mencengkam kemas
baju kurung Cikgu Nur.
Putri gelengkan kepala. Bersungguh-sungguh dia
tak mahu. Muka dikedutkan. Macam nak menangis!
“Mama letih ni, Putri. Jangan buat perangai boleh
tak?” Masam mencuka saja wajah si mama dengan kelakuan
si anak.
“Errr, puan...” tegurku dan mama Putri terus
kalihkan badannya. Seolah-olah baru perasan dengan
kewujudan aku di sini, lekas-lekas dia mengoyak senyum.
“Saya ada perkara nak cakap sikit dengan puan...”
“Aireen. Call me, Reen.”
Tangan yang dihulur aku sambut mesra.
“And your name is...”
“Adinda. Boleh panggil I Dinda aje.”
“Sedap nama.”
“Terima kasih,” ucapku. Terasa malu pula.
Jarang-jarang orang puji nama aku.
“Puan Dinda nak cakap apa ya dengan I?”
Puan? Agaknya dia fikir Noah ni anak aku kut. Hmm,
tak apalah. Muka aku petang-petang macam ni memang dah
serupa mak-mak. Serabai aje. Solekan pun cair.
Tak tunggu lama, aku mula menyusun ayat.
Harap-harap Aireen kasi aku bawa Putri sekali.
Sembang punya sembang, tak sangka mudah betul
ibu Putri beri kebenaran. Awalnya aku ingatkan Aireen ini
sejenis manusia yang sombong, rupanya ramah-tamah sangat
orangnya. Inilah maksud ungkapan Inggeris; don’t judge a
book by its cover.
“Okey, kalau ada apa-apa saya akan telefon Puan
Reen. Terima kasih.”
Selesai mengambil nombor telefonnya, aku bawa
budak berdua itu masuk ke dalam kereta. Putri yang tadi
sedih, dan-dan nampak gembira dan teruja.
“Orite kids... apa kita nak buat dekat McD tu?”
“Dating!” teriak Noah.
Aku terus menepuk dahi.

BERSAMA SENYUMAN aku menatang talam ke tempat di
mana mereka duduk. Noah bertepuk tangan. Tak sabar nak
makanlah tu.
“Ini untuk Noah.” Secawan aku letak depan dia.
“Yeay... Chocolate Sundae!” jeritnya, gembira dapat
apa yang diinginkan.
“Dan ini untuk Putri dan acik! Strawberry Sundae.”
Aku letak aiskrim di depan Putri. Anehnya dia tak nampak
teruja seperti Noah.
“Putri... kenapa tak makan?” tanya aku. Dah beberapa
minit berlalu, aiskrimnya masih tidak bersentuh. Noah di
sebelah tak payah cakaplah. Sikit lagi nak habis makan. Besar
tu punya aiskrim? Huh, bagi dia apa sangat. Kecik!
Putri menggeleng. Sekadar membisu sambil
memeluk anak patung ikan lumba-lumba berwarna merah
jambu miliknya.
Rasa pelik aku dengan anak kecil seorang ini belum
habis lagi. Malah semakin menjadi-jadi. Sudahlah sepanjang
jalan di dalam kereta sepatah haram pun tak dengar suara
keluar daripada mulut dia. Bila tanya nak aiskrim perisa apa,
Noah pula yang tolong jawabkan.
“Noah, jangan-jangan Putri tak suka aiskrim
strawberi kut.” Mana tahu Noah main hentam kromo aje
beritahu aku tadi.
“Dia suka. Apa pun warna pink Putri mesti suka.”
Aku kembali mencerlung wajah Putri. “Putri kalau
suka, makanlah. Nanti cair dah tak sedap tau. Acik suapkan
ya?”
Sudu yang berisi aiskrim itu aku sua ke mulut Putri.
Kut-kutlah budak ni dah terbiasa disuap. Lihat pada gayanya,
nampak lebih muda daripada Noah aje.
“Nah.” Sudu ditala dan Putri laju menekup mulutnya
yang comel itu dengan tapak tangan.
“Kenapa tak nak?” soalku. Hairan dapat berjumpa
dengan seorang budak yang tak ada nafsu tengok aiskrim ni.
Aku yang tua bangka pun bukan main gelojoh lagi makan.
Putri cuit bahu Noah. Tangan dia kemudian bergerak
seolah-olah mengkhabarkan sesuatu.
“Mak ngah, Putri cakap kan... papa dia tak kasi
makan aiskrim. Nanti rosak gigi.”
“Putri cakap?”
Noah angguk-angguk.
Eh, eh... bila masa pula Putri cakap? Aku tak dengar
apa-apa pun. Yang aku nampak dia libas tangan sana sini.
Tiba-tiba pandai aje Noah terjemahkan.
“Kalau macam tu acik bagi pada boyfriend Putri ya?”
Aku acah-acah hulur pada Noah. Mungkin dengan
cara ini nanti dia nak makan. Budak-budak selalunya
begitu. Bila kita nak bagi pada orang lain masa itulah dia
terhegeh-hegeh meminta.
Noah buat isyarat sesuatu kepada Putri. Aku
memerhati. Apa punya fesyen bercakaplah budak dua orang
ni. Ah, boleh gila aku macam ini kalau hari-hari.
“Betul ni papa tak kasi makan?” Aku minta kepastian.
Yang ini pun hairan juga. Kan tadi aku dah beritahu
mama dia nak bawa pergi makan aiskrim. Aireen tak cakap
pula yang Putri tak boleh makan aiskrim.
Putri angguk dua kali kepadaku.
“Okey,” balasku. Akur. Langsung itu, Noah terus
rampas aiskrim milik Putri daripada tanganku dan makan
tanpa rasa bersalah.
Eh, anak buah seorang ni. Tak menyempat-nyempat!
“Putri nak makan yang lain tak? Acik pergi belikan.”
Kasihan pula tengok dia tak makan apa-apa bila dah datang
sini.
Dia angguk lagi.
Hmm, angguk dan geleng. Itu sajalah kau reti balas,
nak...
Aku bingkas menuju ke kaunter pesanan dan kembali
semula bersama dua kotak Happy Meal Chicken Burger. Satu
kotak lagi untuk Noah.
“Umur Putri berapa tahun?” tanyaku seraya tangan
menghulur burger kepadanya. Saja nak ajak sembang. Sebab
rasa teringin sangat nak dengar suara dia.
“Dia 3 tahun.”
“Noah, mak ngah tanya Putri, kan? Biarlah Putri
yang jawab.”
Noah menunduk pandang meja. Membebeh bibirnya.
Mungkin fikir aku memarahinya.
“Tahu, tapi...” Terhenti di situ. Noah angkat kepala
memandang Putri sebelum menggamit tangan kecilnya
kepadaku.
Aku mendekatkan wajah. Lalu, dia bisikkan sesuatu
di telingaku.

NOAH MELAMBAI tangan ke arah Putri. Separuh jalan keluar
dari kawasan perumahan itu, dia memeluk tubuh. Erat. Mulut
itu muncung sedepa. Muka pula masam mencuka.
Haih... Tak akan sebegini teruk kut berpisah
dengan kekasih hati? Dah begitu, nampaknya terpaksa aku
membatalkan niat mahu melancarkan peluru bebelan pada
dia sebab dah kenakan aku.
Masa aku berbual sekejap dengan Aireen masa hantar
Putri tadi, katanya Putri bukan bisu. Cuma dia sendiri yang
tak nak cakap. Berat mulut.
Patutlah budak tu boleh mendengar dengan baik
dan faham apa yang orang lain cakap. Lagipun, kebiasaannya
anak-anak istimewa ni akan dihantar ke sekolah khas. Bukan
di Al-Rizki.
“Noah tak suka dengan Mama Reen!”
Fuh, tiba-tiba. Terperanjat aku.
“Kenapa cakap tak suka pula ni? Apa yang Mama
Reen tu dah buat? Tak baik tau benci-benci orang tak tentu
pasal. Tambah-tambah orang yang lebih tua daripada Noah.”
Sungguh, tak pernah aku tahu Noah pandai bersikap
kurang diajar seperti ini. Padanlah tadi bukan main liat masa
aku minta dia salam dengan Aireen. Ada isu rupa-rupanya.
“Mama Reen tu garang! Dia jahat! Putri cakap, Mama
Reen selalu marah-marah dia! Tampar-tampar dia!”
Erk? Aku kerutkan kening. Dalam pada masa yang
sama teringat tindakan Putri lari bersembunyi di belakang
Cikgu Nur semasa di Al-Rizki tadi apabila melihat susuk
mama dia datang.
Takutkah dia? Tapi... itukan ibu Putri sendiri.
“Tak baik cakap macam tu. Noah kena tahu, seorang
ibu tu garang dan marah sebab dia sayangkan anak dia. Ibu
Noah pun garang dan pernah marah Noah kalau ada buat
silap, kan?”
Noah angguk perlahan.
“Jadi, sama juga mak Noah dengan Mama Reen tu.
Faham?”
Dia membebeh bibir. Aku gelengkan kepala.
Noah ni aje nampak teremosi lebih bila girlfriend dia
cerita macam tu. Tak padan dengan budak-budak. Dah pandai
nak bersikap over protective.
“Noah sayangkan Putri?” Aku ajukan soalan kategori
dewasa. Tengok dia nak jawab apa.
“Mestilah sayang! Sebab tu Noah nak kahwin dengan
Putri nanti. Noah nak jaga dia. Biar Mama Reen tu tak dapat
nak marah-marah dia lagi.”
“Walaupun Putri tu malas nak bercakap?”
“Tak apa. Noah kan rajin bercakap. Apa aje yang
Putri nak cakap, Noah boleh tolong cakapkan.”
Tu dia! Lagak seperti hero semua jawapan dia. Dan
tak sangka semua kata-kata tu boleh keluar daripada mulut
seorang budak berusia lima tahun.
“So manlylah anak fruit mak ngah ni,” kataku sambil
rambutnya sengaja aku semak-semakkan.
Noah mula tersengih-sengih. Aku tarik senyum.
Haih, kecil-kecil lagi dah mempunyai ciri-ciri lelaki
idaman wanita. Betul-betul mewarisi gen Abang Dika dia ni!
Harap-harap sampai ke besar Noah tetap gentleman. Bangga
aku nanti selaku mak saudaranya.

No comments:

Post a Comment