DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 5

ANGIN petang bertiup sepoi-sepoi bahasa,
membuatkan tudung yang tersarung kemas di kepala
Arissa terbuai lembut. Sesekali Arissa membetulkan tudung
yang terasa senget di kepalanya. Pandangan matanya pula
dilemparkan jauh nun ke hujung sawah padi di hadapan sana.
Nampak sayup-sayup saja pada pandangan matanya.
Sudah hampir setengah jam dia duduk di kerusi
batu, di tengah halaman rumahnya. Entah apa yang sedang
menghantui fikirannya sekarang ini, Arissa sendiri tidak
tahu. Yang pasti, perasaannya rasa bercelaru. Resah tidak
menentu saja.
“Assalamualaikum.” Bahu Arissa ditepuk kuat dari
belakang. Terus dia tersentak.
“Ya Allah, Lela! Kau ni dah kenapa?” Arissa urut dada.
Jelingan mautnya sudah menyinggah ke wajah Lela. Geram.
“Opss... sebelum kau sembur aku, jawab dulu salam
tu. Wajib!” Lela jongket kedua belah keningnya kepada Arissa.
Senyuman sinis sudah sedia terukir di bibirnya.
“Hmm... waalaikumussalam,” Arissa menjawab
lemah. Tubuhnya disandar semula, rapat pada kerusi batu.
Hari ini dia tak ada nafsu hendak bertekak dengan Lela seperti
selalunya. Semenjak dia balik dari rumah Wan Kalsom petang
semalam, fikirannya memang langsung tidak tenang. Hanya
bayang Hariz dengan Izzara saja yang muncul silih berganti.
“Tepi sikit, aku nak duduk.” Lela tolak punggung
Arissa supaya memberi ruang kepadanya untuk melabuhkan
punggung di situ.
“Isy, kau ni!” Dalam marah-marah, Arissa
mengengsot juga, memberi ruang kepada Lela untuk duduk
bersamanya di situ.
“Aku tunggu kau dekat tepi bendang tu, kenapa kau
tak datang?” Bahu Arissa disenggol. Pelik pula dia tengok diri
Arissa hari ini. Tak macam hari-hari yang biasa. Nampak tidak
bersemangat langsung.
“Mama aku tak ada dekat rumahlah. Pergi mengajar
tuisyen,” lemah saja jawapan Arissa. Kalau ikutkan hatinya,
hendak buka mulut pun terasa malas.
“Ini yang aku pelik ni! Biasanya kau memang
pantang. Kalau mama kau keluar ikut pintu depan, kau mesti
dah lesap ikut pintu belakang. Tapi hari ni...” Lela menggaru
kepala. Wajah Arissa disorot sejenak. Pelik!
“Aku dah insaflah. Nak jadi anak yang taat. Tadi
mama aku pesan, jangan pergi berjalan. Sebab tu aku duduk
rumah aje.” Arissa jongket kening sambil tersengih kecil.
“Yalah tu!” Lela mencebik. Kalau sudah macam ini
gayanya, adalah yang sedang mengganggu fikiran kawan
baiknya itu. Bukannya baru hari ini dia kenal Arissa. Mereka
berkawan sejak kecil lagi. Setiap kali Arissa pulang bercuti
ke kampung, mereka akan bermain bersama-sama. Selepas
Arissa dan mamanya menetap terus di sini pula, hubungan
mereka menjadi semakin rapat. Macam belangkas.
“Rissa... kau ada masalah, erk?”
“Taklah. Pandai aje kau ni.”
“Habis tu, kenapa muka kau macam ni?”
“Macam mana? Macam Maya Karin?” Arissa tayang
sengih.
“Cittt... Maya Karin apa! Macam ayam berak kapur
adalah. Monyok. Tak bermaya langsung.” Renungan mata
Lela jatuh tepat pada wajah Arissa.
“Mana ada.” Ketawa Arissa berlagu halus. Saja nak
tutup rasa resah di hati.
“Aku kenal kau bukan semalam tau.” Lela kecilkan
matanya. Gaya macam langsung tidak percayakan Arissa.
Arissa menghela nafas. Panjang. Dia faham sangat
dengan perangai Lela yang tidak mudah mengaku kalah itu.
Semakin Arissa mengelak, semakin Lela mendesak. Selagi
Arissa tidak berterus terang, dia memang tidak akan beralih
topik. Tapi, nak ke dia bercerita perihal Hariz kepada Lela?
Mustahil! Selama ini pun rahsia itu hanya tersimpan kukuh
dalam memori hidupnya.
“Hmm... tak ada apa-apalah. Cuma mama aku tu
dah bising, sebab hari-hari kita melepak dekat tepi bendang
tu. Dia suruh aku cari kerja.” Nasib baiklah alasan itu yang
terlintas dalam fikiran Arissa sekarang ini. Kalau tidak, jenuh
juga dia hendak menjawab.
“Ooo...” Lela sandarkan tubuhnya pada kerusi batu
sambil menggaru hujung dagu. Terdiam kemudiannya. Gaya
macam tengah memikirkan sesuatu.
“Hmm... betullah kata mama kau tu. Kau ada
kelulusan, Rissa. Buat apa nak buang masa. Aku ni, lainlah.
Belajar setakat SPM aje. Elok jugak kau pergi cari kerja dekat
Pekan Merbok tu.”
“Kerja apa yang ada dekat pekan kita tu Lela oi...”
“Eh, ada sebuah tadika baru buka tau. Ada tampal
iklan dekat kedai mak aku. Diaorang tengah cari cikgu yang
ada kelulusan. Kau cubalah mohon sementara nak dapat
kerja lain.”
“Ya ke? Iklan baru ke?” Arissa nampak macam
berminat. Jadi guru tadika pun guru tadikalah. Okey juga kan
daripada kena paksa kahwin?
“Haah. Baru tampal semalam. Kalau kau berminat,
bolehlah cuba. Lagipun bukan jauh sangat Pekan Merbok tu
dengan kampung kita ni.”
“Hmm, nantilah aku cuba. Kau tak jaga kedai ke hari
ni?” Wajah Lela disorot sejenak.
“Kalau aku ada dekat sini, memang taklah. Kau ni,
tanya soalan tak agak-agak.” Lela tertawa kecil. Namun, sesaat
kemudian tawanya mati. Mata bulatnya mengecil, merenung
ke hujung jalan sana.
“Rissa, kereta siapa tu? Macam nak datang rumah
kau aje.” Mata Lela tidak lepas merenung ke jalan sana.
“Mana?” Tegak terus tubuh Arissa. Sorotan matanya
kini sudah ditalakan sama arah dengan sorotan mata Lela.
Dup!!! Jantungnya berdegup. Arissa telan liur.
Sebuah kereta Honda City berwarna biru Pepsi meluncur
gagah memasuki pagar rumahnya dan berhenti betul-betul di
hujung laman rumah.
Jantung Arissa semakin kuat berdetak. Tekak yang
tadinya basah terasa kering tiba-tiba. Sudah! Dia nak buat apa
sekarang ni?
“Kereta siapa tu, Rissa?” Lela menoleh. Terus
dahinya berkerut tatkala bola matanya menangkap pandang
pada wajah Arissa.
“Wei, kau ni kenapa?” Bahu Arissa disenggol lagi
sekali. Pelik melihat wajah pucat Arissa. Apa kena pula ni?
“Errr...” Lidah Arissa terasa seperti disumpah. Kelu
untuk memuntahkan kata. Matanya pula masih tidak lepas
daripada menyorot tubuh Honda City yang terparkir elok.
Saat pintu kereta sebelah penumpang mula terkuak, debaran
di dadanya semakin membadai.
“Mama...” laung anak comel yang sudah
memboloskan diri dari perut kereta. Tubuh genit itu berlari
laju mendapatkannya.
Gulp!!! Liur Arissa tertelan sendiri. Habislah...
“Mama?” Suara Lela naik seoktaf. Tercengang
melihat anak comel tadi sudah mendakap erat tubuh Arissa.
“Mama, I miss you so much.” Pipi Arissa dicium
bertubi-tubi.
Terjeda Arissa seketika. Lambat-lambat tangannya
naik juga memeluk tubuh kecil yang sedang mendakap erat
tubuhnya. Matanya pula tidak lepas daripada merenung
Honda City yang terparkir elok di hujung sana. Bila-bila
masa saja lelaki yang sentiasa berlegar-legar dalam fikirannya
semenjak malam tadi akan muncul dari dalam kereta itu.
“Cinta Arissa! Boleh tak kau terangkan apa semua
ni?” Lela masih belum berpuas hati. Anak comel yang sedang
memeluk kawan baiknya itu direnung atas bawah. Anak
siapakah ini? Tiba-tiba saja muncul. Pelik!
“Aaa... aku...” tergagap-gagap Arissa. Bulat matanya
menyorot ke wajah Lela. Sumpah! Dia tak tahu bagaimana
hendak menjelaskan kepada Lela kerana dia sendiri masih
terkejut dan buntu.
“Isy, aku... aku... apa??? Bila kau kahwin ni? Anak
siapa ni?” Lela semakin dihimpit perasaan ingin tahu. Mata
anak kecil tadi terkelip-kelip menyorot ke wajahnya. Pelik
gamaknya tengok dia yang menggelabah ayam itu. Tangan
kecil itu pula masih memeluk utuh pinggang Arissa.
“Assalamualaikum.” Suara garau seorang lelaki
menampar gegendang telinga mereka. Nafas Arissa terasa
semput. Dia kaku dan beku.
“Papa...” Izzara laju mendapatkan Hariz yang sedang
berdiri di hadapan mereka kini.
“Waalaikumussalam,” jawab Lela sambil tersenyum
kecil. Wajah Hariz disorot penuh minat. ‘Ini rupanya gerangan
pemilik kereta Honda City tadi. Budak perempuan yang
comel ni anak dia ke? Tapi kenapa pulak budak perempuan
ni, panggil Arissa, mama? Isy, kusut!’
Arissa yang tidak berkutik di sebelahnya dikerling
sekilas. Aik, kepala tu kenapa tertunduk saja? Gaya macam
nak cium tanah dah. Kening Lela naik berkerut.
“Ini Lela, kan? Anak Pak Ndak Leman?” soal Hariz
ramah. Senyuman manis bergayut di bibir merahnya. Kacak.
“Haah, betullah tu.” Lela tersengih lebar. Tak sangka
abang sepupu Arissa ini masih ingat kepadanya. Siap sebut
nama ayahnya sekali!
“Tak sangka abang masih cam Lela.”
Hariz senyum lagi. Izzara yang sedang bergayut di
pahanya semenjak tadi diangkat dan didukung erat. Pipi anak
kecil itu dicium sesaat. Tawa halus mula berlagu dari bibir
anak kecil itu. Nampak bahagia sangat.
Lela perhatikan gelagat Hariz dengan penuh minat.
Arissa yang membatu di sebelahnya semenjak tadi dijeling
sekilas. Hatinya semakin ditujah perasaan pelik.
‘Minah ni dah kenapa sebenarnya? Dari tadi lagi
bisu. A tak cakap. B pun tak cakap!’ hati Lela tidak henti-henti
menduga.
“Alah, orang sekampung takkanlah abang tak kenal.
Masa kecik-kecik dulu, Lela selalu ikut Cinta pergi tangkap
belalang dekat tengah bendang tu, kan? Sekarang buat lagi ke
perangai lama tu?” Ada tawa di hujung katanya. Arissa yang
semenjak tadi hanya tunduk bermain dengan jemari sendiri
direnung dalam.
Lela tergelak halus. Matanya tidak lepas daripada
menilik Hariz. Lelaki itu nampak kacak dengan T-shirt hitam
berkolar merah, dipadankan pula dengan seluar jean berwarna
biru gelap. Penampilan Hariz nampak begitu ringkas tetapi
menarik di matanya.
“Macam tak percaya pulak ini abang. Lain sangat!”
Tersungging senyuman di bibir Lela. Sebelah keningnya
sudah terjongket tinggi. Tahi lalat di hujung bibir Hariz
direnung bersungguh. Tahi lalat itulah yang selalu menjadi
bualan mulut gadis-gadis di kampung mereka suatu masa
dahulu. Tahi lalat pemanis kata mereka. Tapi kalau tak ada
tahi lalat itu pun Hariz memang sudah sedia manis dan kacak
orangnya.
Dia berkulit sawo matang, dengan tubuh yang tinggi
dan tegap. Sepasang mata coklat cair milik Hariz memang
mampu menggoda setiap mata yang memandang. Ditambah
pula dengan seulas bibir merah yang sentiasa basah dengan
senyuman dan tutur katanya yang sentiasa lembut mengulit
jiwa. Bijak pula tu! Pendek kata, memang cukup pakej untuk
membuatkan hati anak-anak gadis di kampung mereka
berdegup-degap.
“Apa yang lainnya? Lela sihat ke?” ramah Hariz
bertanya. Gigi putihnya terserlah cantik setiap kali dia
tersenyum.
“Alhamdulillah, sihat abang. Hmm... betullah, abang
nampak lain sangat sekarang ni. Kulit dah makin cerah.
Wajah dah makin kacak. Tubuh pun dah makin sado.” Lela
melepaskan tawa.
“Amboi... puji abang lebih-lebih ni nak suruh belanja
gula-gula ke? Sorrylah, abang dah tak simpan stok gula-gula
macam dulu dah,” bidas Hariz sambil melirik kecil ke arah
Arissa. Dia masih ingat lagi, sewaktu zaman kanak-kanak
mereka dulu, Arissa suka sangat minta gula-gula daripadanya.
Pantang dia minta tolong sikit, pasti upahnya gula-gula.
Bukan sebiji, tapi berbiji-biji Arissa minta. Nakal sungguh!
Lela makin galak ketawa. Arissa yang tidak berkutik
sedari tadi disorot lagi. Tu dia! Wajah Arissa sudah merah
menyala.
“Weh, kenapa muka kau ni? Macam kena cat merah
aje!” giat Lela bersama ketawa yang masih bersisa. Dia tahu
Hariz sedang mengusik Arissa sebenarnya. Dia masih ingat
lagi kenangan zaman kanak-kanak mereka. Kalau tak dapat
gula-gula, jangan haraplah Arissa hendak buat apa-apa.
“Abang tak tahu pulak kawan baik Lela ni dah jadi
pemalu sekarang ni. Pendiam pula tu. Agaknya lama sangat
abang dekat negara orang, sampaikan semua yang dekat sini
dah berubah,” sinis Hariz sambil tersenyum nipis. Mengharap
sangat Arissa sudi buka mulut dan berdebat dengannya
seperti dulu-dulu. Sungguh dia rindukan kenangan lalu.
Kelincahan dan kenakalan Arissa suatu masa dulu sentiasa
menghiburkan hatinya.
Arissa tetap juga membisu. Tapi hatinya laju saja
membalas sindiran Hariz. ‘Aku tak pernah berubah Hariz.
Sikit pun tak! Yang dah berubah tu kau. Lihatlah diri kau
sekarang!’
“Isy, dekat depan abang aje dia macam ni. Malu-malu
kambing. Selalu tu, tak adanya nak sopan macam ni.” Lela
mencebik. Seronok dapat kenakan Arissa. Selalunya jangan
haraplah Arissa nak jadi sepasif sekarang ini. Kerja nak
membuli dia saja!
Arissa menoleh kepada Lela. Bibir diketap geram.
Budak Lela ni kan, makin dibiar makin menjadi!
“Amboi... seronok mengata?” Laju saja tangan Arissa
mencubit lengan Lela. Geram sungguh dia dengan minah
sorang ni. Bukan main sedap lagi usik dia di depan Hariz.
“Aduh. Sakitlah! Abang, tengoklah ni. Macam ni
abang kata sopan?” Lela kerut dahi. Lengan yang perit akibat
cubitan berbisa Arissa tadi digosok laju. Rasa macam terbakar
kulitnya dek bisa cubitan Arissa.
“Padan muka!” bentak Arissa perlahan bersama
senyuman senget di bibir. Kalau ikutkan hatinya yang sedang
geram, itu belum cukup lagi.
Izzara yang menjadi pemerhati semenjak tadi ketawa
mengekek. Lucu barangkali melihat Lela menyeringai begitu.
“Alahai... comelnya dia. Anak abang ke ni?”
Mata Lela kini berpusat penuh ke arah Izzara yang
berada di dukungan Hariz. Semenjak tadi lagi matanya sudah
tertarik kepada budak perempuan itu sebenarnya. Rambut
ikal mayang berwarna keperangan yang diikat tinggi, anak
mata berwarna coklat cair bersinar galak, kulit putih
kemerahan dan bibir mungil yang merah merekah. Ya Allah,
sangat-sangatlah comel!
Izzara yang terasa dirinya diperhatikan menyorokkan
wajahnya ke dada Hariz. Malu agaknya apabila Lela tidak
lepas-lepas merenungnya.
“Haah, anak abang,” jawab Hariz bersama senyuman
nipis. Sekali lagi matanya mencari wajah Arissa. Mahu melihat
reaksi adik sepupunya itu. Namun dia hampa. Arissa diam
saja. Seakan tidak ambil peduli dengan perbualan mereka.
“Comel. Mana ibu dia?” spontan mulut Lela bertanya.
Kali ini Arissa terus panggung kepala. Matanya
sudah berlaga tepat dengan anak mata Hariz. Lama. Entah
kenapalah dengan dirinya. Lela yang bertanya, tetapi dia
pula yang rasa berdebar-debar menantikan jawapan daripada
Hariz.
Riak wajah Hariz nampak tenang saja. Senyuman
kecil sudah berlari di bibir merahnya, membuatkan dada
Arissa terasa macam hendak pecah dipalu debar. Kenapalah
lama sangat masa yang diambil oleh Hariz untuk menjawab?
“Hmm... isteri ab...”
Kring... Kring...
Kata-kata Hariz mati di situ. Bunyi telefon bimbit
dari poket seluar trek yang dipakai oleh Lela menghentikan
percakapannya. Matanya dan Arissa terus berlari ke wajah
Lela.
Arissa lepas nafas kasar. Jelas terbias riak kecewa
pada wajahnya. Isy! Masa-masa macam inilah telefon minah
ni nak berbunyi. Memang potong line sungguh! Arissa geram.
“Err... maaf.” Lela tersengih macam kerang busuk.
Tangannya laju saja menggagau poket seluar. Dahinya
berkerut buat seketika. Kemudian panggilan cepat-cepat
disambut.
“Ya. Orang ada dekat rumah Arissa ni, mak. Yalah...
yalah!”
Talian telefon terus dimatikan. Seketika Lela
tersengih kepada Arissa dan Hariz.
“Maaf, mak suruh balik jaga kedai. Dia nak pergi ke
pekan. Ada hal katanya. Rissa, aku balik dululah. Abang, saya
balik dulu ya. Lain kali kita sambung cerita.” Lela bingkas
bangun.
Arissa terkedu. Nak balik? Habis tu, takkan nak
tinggalkan dia berdua dengan Hariz? Okey, memang Izzara
pun ada sama. Tapi apa yang budak sekecil itu tahu?
“Weh, takkan nak balik dah?” Teduh kening Arissa.
Memang nampak terang lagi tersuluh dia tidak selesa
ditinggalkan berdua sahaja dengan Hariz di situ. Duduk
bersama Hariz seolah-olah merobek semula kenangan lama.
Dia tidak kuat.
“Eh, aku kena baliklah. Kau bukan tak tahu Mak
Ndak Tipah tu. Sekali dia buka silat, mati terpenyek aku
nanti,” balas Lela dengan riak serius. Wajah bengis ibunya
tika marah sudah menari-nari di ruang matanya. Ngeri.
“Akak balik dulu ya, sayang.” Pipi Izzara dicuit sesaat
sebelum dia berlalu. Tergelak kecil anak comel itu.
“Cit... akaklah sangat!” Arissa mencebik. Kemudian
hujung bibirnya digigit rapat apabila melihat batang tubuh
Lela semakin menjauh.
Senyap.
“Kenapa? Takut tinggal berdua aje dengan abang?”
Lembut sorotan mata coklat cair milik Hariz singgah ke
dalam mata Arissa. Wajahnya nampak tenang saja. Tidak
macam Arissa yang sedari tadi nampak gelisah macam kucing
hilang anak.
“Taklah. Mana ada berdua. Zara kan ada,” pangkah
Arissa laju. Wajahnya sudah terasa panas. Tak sangka lelaki di
hadapannya sekarang ini dengan mudah saja dapat membaca
isi hatinya.
“Habis tu, kenapa takut sangat?” Sekali lagi suara
lembut Hariz menjamah telinga Arissa. Sekali gus berjaya
menjamah hatinya juga. Liur ditelan lagi.
‘Kenapa kau masih mahu menduga hati aku, Hariz?
Kenapa masih mahu mendera perasaan aku?’ Mahu saja Arissa
melontarkan pertanyaan itu. Tapi sayangnya, pertanyaan itu
hanya terluah dalam hatinya saja.
Izzara yang sedari tadi berada di dukungan Hariz
hanya terkebil-kebil memandang. Mungkin minda kecilnya
tidak dapat mencerna dengan jelas apa yang berlaku antara
papa dan Mama Cintanya.
“Kenapa diam?”
Pandangan mereka bertemu lagi. Merenung dalam
antara satu sama lain. Dada masing-masing sudah bertumbuk
sesama sendiri.
“Yeaaayyy... tok ma balik!”
Sorakan Izzara yang tiba-tiba itu menyentap
lamunan mereka. Terus pandangan mereka tertoleh ke arah
kereta Persona putih yang meluncur tenang memasuki
halaman rumah.
Arissa menghela nafas lega. ‘Terima kasih ya Allah...’

No comments:

Post a Comment