DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 6

Kain batik dibuat basahan,
Terkoyak sisi terkena lidi;
Walau banyak kumbang berkeliaran,
Kumbang yang ini tetap di hati.
–Vona Chin-

“KAKAK pun baru dapat tahu yang Zarr
Iskandar tu sebenarnya kawan baik Abang Dika kamu semasa
di universiti. Katanya, masa akak dengan dia kahwin, Zarr di
London tengah sambung belajar.”
Tangan yang lincah mengacau air dalam teko
terhenti mendengar ayat Kak Naura yang terakhir itu.
“Dia sambung belajar? Bukan waktu tu Zarr dengan
Abang Dika bekerja di firma guaman yang sama ke?”
Bukan setakat kerja di firma guaman yang sama.
Nak kata hubungan persahabatan yang begitu kuat, masa nak
buat chambering pun mereka dapat di firma yang sama.
Aku pernah teringin nak jadi peguam. Tapi tengok
Abang Dika selalu stres menghadap buku tebal-tebal demi
dikurniakan segulung ijazah undang-undang, terus aku rasa
bersyukur sangat berada dalam bidang yang memang jauh
daripada bidangnya itu.
Orang selalu anggap kerjaya sebagai seorang peguam
sangat hebat. Tak kata orang, aku sendiri tengok peguam
pun mesti fikir; mereka pandai bercakap mematahkan hujah
lawan dan smart! Bila mereka sarung pakaian hitam putih,
entah kenapa nampak segak sangat. Tapi, hakikatnya nak
pegang status ‘peguam’ itu, lelaki sejati pun boleh menangis
tau!
Ingat lagi sewaktu aku, tok dan abah pergi ke Kuala
Lumpur meraikan Abang Dika pada hari dia didaftarkan
sebagai peguam bela dan peguam cara di Kompleks
Mahkamah Jalan Duta dulu.
Kira hari ‘konvokesyen’ dia atau dalam bahasa lain
Call to the Bar. Di mana peguam senior akan membacakan
biodata pelatih dalam kamar di hadapan hakim dan orang
awam, maka secara rasmi pelatih tersebut ‘naik pangkat’
menjadi peguam. Bercucuran air mata Abang Dika di bahu
tok sebaik keluar dari dewan bicara itu. Gembira sangat
kerana impiannya sudah pun tercapai. Penat lelah belajar
bertahun-tahun telah berbayar.
“Beberapa bulan aje. Lepas tu, Zarr sambung master
untuk jadi guru undang-undang. Mengajar di UM dalam
setahun sebelum dia dapat galakan daripada pihak universiti
untuk buat PhD sepenuh masa di sana.”
Oh... terangguk-angguk kepalaku. Patutlah masa
kenduri kahwin Abang Dika, aku tak nampak Zarr datang.
“Kakak curiouslah. Macam mana kamu boleh
kenal dengan Zarr? Maksud kakak, kamu berdua nampak
rapat. Kakak tengok malam tadi bukan main rancak lagi
bersembang. Bergelak-gelak di luar tu.” Kak Naura bersuara
lagi.
“Mestilah Dinda kenal. Zarr selalu datang singgah
kat rumah ni dulu. Sebab atuk dia tinggal di Perlis. Cuma
Dinda tak tahu pula dia pergi luar negara. Patut tiba-tiba
hilang macam tu aje. Petang semalam Dinda tengok dia pun
tak dapat nak cam. Nampak lain sangat dia sekarang ni.”
“Lain tu... kacak ke?” Kak Naura menjelingku.
Aku angguk. Kemudian menyengih.
“Mak ngah... laparlah,” rengek Noah sebaik masuk
ke ruang dapur. Lemah dia berjalan mendekatiku.
Kepalaku bergeleng. Anak buah seorang ni, asal
lapar aje cari aku. Asal cari aku aje, mesti dia cakap lapar.
“Alolo... kesiannya dia. Meh duduk, kita makan
nasi goreng.” Kerusi aku tarik keluar untuk dia. Nasi
goreng panas-panas yang baru siap digoreng aku senduk.
Rata-ratakan dalam pinggan dengan sudu supaya sedikit
sejuk sebelum membiarkan Noah suap sendiri.
Selang beberapa minit, datang tok, abah dan Abang
Dika untuk bersarapan sama. Zarr pula sedikit terlewat.
Katanya ada panggilan daripada studen. Bergegas aku bangkit
menyenduk nasi goreng dan menuang air untuk dia pula.
“Sedap?” soalku sebaik sahaja Zarr mula menjamah.
Dia angguk dan senyum lebar.
“Awak masak ke nasi goreng ni?”
“Bukan. Kak Naura yang masak. Saya cuma buat air
teh tu aje. Minumlah.”
Zarr mencapai cawan di depannya dan disisip sekali
air itu. “Air ni pun sedap. Manis.”
“Haruslah! Serupa orangnya juga, kan? Bukan kata
muka ni saja manis. Darah pun tengah manis.”
Zarr gelak. Diikuti aku. Sedang kami sedap menjamu
selera, tiba-tiba rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena di
meja makan ini. Dah tidak riuh-rendah dengan bunyi pinggan
dan sudu berlaga. Lalu, aku angkat kepala untuk memeriksa.
Oh, meremang kau! Hampir-hampir aku nak
tercekik nasi goreng.
“Awat tengok lagu tu?” Pelik pula apabila semua
tidak berkelip mata memandang aku. Kecuali Zarr. Mesti dia
pun juga aneh melihat keadaan mereka sekarang ini.
“Baik sungguh hang dengan Zarr hari ni.”
Mataku menikam wajah tok yang bersuara.
“Semalam bukan main hang menjeling dia lagu
nak tembuih sampai ke otak. Hari ni tup-tup macam bini
duk layan laki makan pula. Hangpa berdua ni ada apa-apa
ka?” soalnya. Tidak menanti aku menjawab, kepala itu terus
terangguk-angguk.
“Agaknya betoi kata Adika yang kawan dia ni pernah
jadi Mr. Keras hang dulu.”
“Mr. Crushlah tok.” Abang Dika tolong perbetulkan.
Aku menjegilkan mata ke arahnya. Dia balas dengan
buat muka toya.
“Natang (benda) tulah tok nak kata tadi,” balas tok.
Aku pandang Zarr. Riaknya seperti menuntut
sesuatu. Tok, abah dan Kak Naura pun sama.
Ah, matilanak... Apa aku nak balas ni buat cover?
Fikir, Dinda. Fikir... Hah!
Tangan aku libas depan muka sambil ketawa besar.
“Daklah! Mana ada Dinda suka dekat Zarr pun tok
oi. Percaya sangat dengan Abang Dika tu. Dia kan suka buat
lawak bodoh.” Sejurus itu juga, aku menghantar renungan
tajam pada Abang Dika sebagai isyarat ‘jangan buka mulut
dah!’
“Eh, lawak bodoh apanya? Betui apa hang pernah
suka dekat dia. Dulu bukan main gigih suruh abang kenenkan
hang. La ni nak malu-malu biawak pula. Mengaku sajalah.
Awatnya? Bukan nak suruh nikah pun.”
Aku jegilkan mata. Abang Dika membakar lagi.
“Dulu memang abang sengaja tak mau tolong, sebab
hang tu duk belajaq lagi, tapi dah gatai nak bercinta. Lainlah
sekarang. Kalau hangpa dua masih single ka... ni hah!” Dia
menepuk-nepuk dada.
“Hang tak payah minta, abang sendiri akan tolong
satukan hangpa dua.”
“Dululah! D-U-L-U. Jangan nak ungkit boleh dak?
Hesy!”
Aku ketap hujung bibir bawah kuat-kuat. Abang
Dika terkekek-kekek gelak. Eee, dasar Donald Duck!
Saat mereka yang lain ikut ketawa, mukaku terus
jadi semakin panas membahang. Hidung ni kalau dalam
cerita kartun, mesti dah berkepul-kepul asap keluar.
Zarr aku lihat sedang menekup mulut. Muka itu
merah padam. Bahunya terhinggut-hinggut. Lain tak bukan
pasti dia juga tengah gelakkan aku.
Ya Allah, malunya! Mana aku nak campak muka yang
jelita ni?
“Lepas sarapan Zarr dah nak balik KL. Dinda pun
nak balik hari ni, kan?” Setelah keadaan kembali senyap, abah
tiba-tiba bersuara. Menukar topik lain.
Aku angguk lemah. Masih menahan malu lagi. Nak
sambung makan pun dah tak selera. Nasi dalam pinggan
dikuis-kuis saja dengan sudu. Abang Dika punya pasallah ni!
“Kalau lagu tu elok kalau hang ikut Zarr balik sana
sekali. Nanti boleh dia ikut hang dari belakang. Tak adalah
bahaya balik sorang-sorang.”
What??? Cadangan abah bikin aku terlongo.
“Tak maulah, abah... Biaq pi Zarr nak balik lepas
sarapan ka, malam sat lagi ka, esok atau tulat sekalipun. Cek
dah cadang dari semalam lagi nak balik lepas makan tengah
hari. Tak kesian ka?”
Alasan itu sengaja aku cipta. Mustahil aku nak setuju
setelah Abang Dika membuka cerita 7 tahun dulu. Sekali gus
dia telah membocorkan rahsia aku!
“Hah! Kalau lagu tu Zarr pun tunggu makan tengah
hari sekali. Nanti boleh teman cucu tok balik. Boleh?” sokong
tok pula.
“Boleh aje tok. Saya...”
“No. A big no!” Cepat aku potong bicaranya.
“Tolong jangan nak ikut sangat kepala ting tong
abah dengan tok saya ni. Saya dah biasa balik sorang-sorang.
Diaorang ni aje yang risau lebih-lebih. Tak apa, awak terus
balik aje kejap lagi.”
“Amrun! Tengok anak dara hang ni. Tulah kecik-kecik
suka bagi dia minum susu lembu banyak sangat. Kan dah
besaq jadi ketegaq lagu ni. Aku dah kata dah.”
“Mana ada cek bagi susu lembu mak. Kecik-kecik dia
kan suka minum teh saja. Pasai tu mai besaq, apa-apa sikit
nak naik angin. Kena ikut kepala ribut dia saja.”
Aku teriak panggil abah. Hesy, tok dengan anak sama
saja. Geramnya!
“Ketegaq Dinda ni Zarr oi. Tak boleh nak kata apa
pun dekat dia. Jangan nanti lepas kahwin keturunan dekat
anak dia sudah.”
Aku memutarkan biji mata ke atas setelah menangkap
bisikannya pada Zarr. Tak sedar ke degil keras tahap konkrit
ni ikut kepala siapa?
Paku dulang paku serpih, kata orang tok lebih tajam
daripada paku. Huh, rasa nak saja aku berpantun lingkup
macam itu.

“DIA TAK bertolak lagi pasai apa tu?” soalku. Hairan melihat
kereta Zarr yang masih tak bergerak-gerak keluar dari laman
rumah.
“Tak taulah. Ni yang tok duk pelik ni,” jawabnya
tanpa memandang wajahku. Kami berdua sama-sama berdiri
di jenang pintu.
“Awat? Ada masalah ka?” Tok menyoal tatkala cucu
lelakinya mendekat. Mesti dia hairan apabila melihat Zarr
tiba-tiba keluar daripada kereta dan buka bonet depan.
“Kereta dia buat hal lagi tok,” beritahu Abang Dika
sebelum melangkah masuk ke dalam rumah dan keluar
semula bersama telefon pintar di tangannya.
“Hang nak telefon sapa?”
“Telefon pomen. Nak suruh dia mai tengok balik apa
yang tak kena. Tadi pagi boleh Zarr ubah kereta tu. Sekarang
ni tak boleh hidup balik pula. Gamak lambat, Zarr minta Dika
hantaq dia dekat Stesen Shahab Perdana tu sajalah.”
“Dia nak balik KL naik bas?”
Abang Dika angguk-angguk.
“Habis kereta dia nak tinggai lagu tu saja ka tangni
(di sini)?”
“Kereta tu nanti adik dia, Rizz mai ambil bawa balik
Perlis.”
“Hesy, tak payah naik bas tu! Lambat sampai. Dah
alang-alang...”
Tok tidak menghabiskan ayatnya. Boleh pula dia
tenung aku. Abang Dika menurunkan telefon yang baru saja
melekap di telinganya dan memandang aku juga.
“Awat tengok lagu tu?” Aku mula rasa ada yang tidak
kena dengan panahan dua pasang mata itu.
“Ni, hang nak balik lepas tengah hari sat lagi, elok
tumpangkan Zarr tu sekali. Kereta dia dah elok tadi tup-tup
merajuk pula pagi ni. Kesian...”
Datang abah seolah-olah menyuarakan apa yang ada
dalam kepala tok dengan Abang Dika kepada aku.
Aku kebil-kebilkan mata pada abah.
“Awat? Abah ada tersalah cakap ka?”
‘Ya, abah. Ya... memang salah!’ teriak aku dalam hati.
“Boleh dak ni?” Tok menyiku lenganku.
Sudah, nak jawab apa ni?
Aku pandang Abang Dika. Dia angkat sebelah bahu.
“Errr...” Pelipis yang tak gatal aku garu-garu. Kejam
tak kalau aku cakap tak boleh?
Memang kejam! Hidup ni kan seperti roda. Hari ni
mungkin hari dia. Esok lusa, siapa tahu giliran aku pula. Jadi
mahu atau tidak...
“Okey,” balasku tanda bersetuju. Tapi, bukan tengah
hari, sekarang ni juga aku kemas pakaian untuk balik sana.
Tak mahu nanti malam-malam duduk satu kereta dengan dia.
Tak selesa.
Aku mencapai dan mengucup tangan tok.
“Jaga diri tok tau. Jangan stres-stres. Beletiaq
banyak sangat pun tak elok juga. Dahlah diri tu ada darah
tinggi. Nanti... auch!” Hah, kan aku dah kena ketip perut.
“Pandai hang pesan kat tok nah. Hang tu yang kena
jaga diri. Darah duk manis ni kenalah hati-hati lebih sikit.
Abang hang, Adika lusa baru dia nak balik sana. Jangan duk
jumpa Haidar tu kerap-kerap sangat. Tak elok. Tak lama dah
nak nikah. Ingat dak ni?”
“Dinda ingat aih. Tak payah risaulah. Lagi satu,
Dinda dah ambil kad kahwin kat kedai tau. Satu kotak kad,
satu kotak sampul. Dinda letak kat dalam bilik tu. Nanti tok
ambil nah.”
“Elok sangatlah tu. Sebulan saja lagi hang
nak kenduri. Memang dah kena mula kalut memanggil
(menjemput) saudara-mara pun. Hang bila dah sampai sana
nanti jangan lupa telefon kami kat sini pula.”
“Insya-Allah. Dinda pergi dulu.”
Aku peluk dan cium kiri kanan pipi tok sebelum
bergerak menyalami Kak Naura diikuti dengan Abang Dika
dan abah. Paling tak boleh tinggal anak buah aku.
“Assalamualaikum,” ucap Zarr dan semua menjawab
salamnya serentak.
“Tak apa, saya tolong bawakan.”
Aku hanya membiarkan lelaki itu mengangkat beg
pakaian milik aku dan dimasukkan ke dalam but kereta.
Mungkin dia kasihan melihat sebuah beg besar yang tok
sudah siapkan untuk aku kut.
Begitulah tok setiap kali aku nak bertolak balik ke
Kuala Lumpur, lain tak bukan diisinya dalam beg ni ikan
pekasam, buah pisang, serai, lengkuas, daun kari, daun
pandan dan seangkatan khazanah alam yang lain.
Apa, ingat cucu dia ni pandai dan rajin masak sangat
ke? Sudahnya kebanyakan barang-barang ni aku sedekahkan
pada Suraya aje. Dia semenjak dah berkahwin memang rajin
masuk dapur. Kalau dulu, haram... Aku buat nasi goreng
bodoh pun dia melantak juga. Malas hadap kuali punya pasal.
Dari dalam kereta aku lihat mereka semua
tersengih-sengih melambai tangan. Terutama sekali tok
dengan abah. Seronok kut bila aku dah ada geng nak balik
sana.
Inilah jadinya akibat ketegaq enggan dengar cakap
orang tua-tua. Dalam duk tak mahu terima cadangan abah
masa sarapan tadi, akhirnya aku kena juga balik dengan Zarr.
Bukan dia ikut belakang kereta. Tapi, duduk sebelah aku
terus.
Padan muka sendiri!
“Done! Let’s go,” kata Zarr yang sudah siap memakai
seat belt. Bibir itu menarik senyum kepadaku.

No comments:

Post a Comment