DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 12 August 2015

Akad Kedua - Bab 1





J
URUGAMBAR lelaki itu galak memainkan kamera mengikut rentak gaya yang diberikan oleh model wanita yang jelita lagi menawan di hadapannya. Semua krew di studio itu bagaikan terpukau melihat posing yang menarik dan bersahaja itu.
            Berlainan pula dengan seorang lelaki yang kelihatan gelisah melihat jam di dinding studio. Pantas dia berjalan dan berdiri di tepi pintu masuk. Telefon bimbit dikeluarkan kalut dari poket seluarnya.
            Sambil menunggu panggilannya dijawab, sebelah tangannya dikipas-kipas ke wajah. Kedinginan pendingin hawa di studio itu tidak dapat menghalang peluh kegelisahannya itu daripada keluar.
            “Liya! Kau kat mana ni? Lagi sejam giliran kau untuk ambik gambar tau!” Tegas Que mengingatkan Daliya, pelakon dan model yang terkenal.
            “Kau boleh sabar tak? Aku ada hal kat luar. Apa guna aku ambil kau jadi manager kalau aku lambat sikit kau tak boleh nak uruskan?!” balas Daliya dalam talian. Nadanya melantun kuat membuatkan Que merengangkan sedikit telefon bimbit dari cuping telinganya.
            “Ini bukan kali pertama tau. Dah banyak kali. Aku malu nak mintak tangguh lagi! Kau fham tak? Aku tak kira, kau kena datang on time jugak.” Que mencengkak pinggang. Gayanya yang lembut itu sudah tidak mampu untuk mengawal suara lelaki sejati. Sesekali dia menoleh melihat ke belakang. Setelah pasti tiada siapa yang hampir dengannya, dia meneruskan lagi kata-katanya.
            “Aku tahu kau nak pergi jumpa, Khuz kan? Kau jangan cari pasallah, Liya! Kau tak takut kena kondem lagi ke? Aku ni, dah tahu nak bina ayat apa dah nak bagi kat wartawan. Kalau kau tak kesiankan aku, kau kesiankanlah diri kau tu,” sambung Que lagi. Suaranya ditahan-tahan agar tidak didengari sesiapa.
            “Ish… Kau ni bising la, Que! Aku jumpa dia untuk kerjaya aku jugak tau. Kalau aku berjaya, kau jugak yang senang, kan? Sekarang tugas kau uruskan hal kat studio. Pandai-pandai la kau kalau aku lambat. Faham?!”
            Daliya memberi arahan lalu mematikan talian.
            “Helo! Liya… Helo!” Tangan Que semakin laju mengipas. Semakin panas terasa dirinya dengan sikap Daliya yang suka mengambil mudah dan menyerahkan segala beban kepada dirinya. Kalau bukan kerana Daliya tu sepupunya, dah lama dia angkat kaki dari menjadi pengurus artis yang banyak karenah itu.
            “Eh, stop!” arah Que kepada seorang krew yang baru melintasi dirinya. Dengan lemah-gemalai, Que menghampiri krew perempuan yang sedang membawa sekotak tisu itu dan mencabut seberapa banyak tisu yang boleh.
            “Terima kasih…” ucap Que lembut. Pantas dilap peluh yang meleleh di dahinya. Selendang yang melilit leher dilonggarkan sedikit. Hairan krew prempuan itu, lalu berlalu pergi.
            “Que…! Mana Liya?” Sergah seorang wanita dari belakang.
            Que mengukirkan senyuman terpaksa. “I dah call dia tadi. Liya terperangkap di tengah jalan. Katanya ada accident. But no worries. I jamin, dia akan terpacak kat sini tepat pada waktunya.” Que mereka cerita bagi menyelamatkan keadaan. Entah berapa banyak lagi dia perlu berbohong pada hari ini.
            Kalau dia tahu akan jadi begini, dah lama dia ke rumah Daliya dan heret minah tu datang ke studio. Kenapalah dia bodoh sangat percayakan Daliya untuk datang sendiri, sedangkan dia tahu gadis itu memang dah bercadang mahu berjumpa dengan Khuz?
            “Ini bukan soal on time atau tidak. Ini soal nak make-up, nak tentukan pakaian mana yang sesuai untuk photoshoot nanti. Kita tak ada masa. Waktu macam pun masih tak sampai-sampai lagi! I tak percaya tau jaminan You tu. Sebelum ni macam itu jugak!” bebel wanita itu yang merupakan pengurus sebuah syarikat majalah fesyen.
            Que menggaru kepala. Binggung memikirkan cara untuk menyelamatkan Daliya daripada dibuang dari kontrak yang baru sahaja ditandatangani dua minggu yang lalu.
            “You beritahu dia… Kalau dia betul-betul nak teruskan kontrak ni, I nak dia datang sekarang jugak! Banyak lagi la artis kat Malaysia ni yang boleh gantikan dia!” kata wanita itu sebelum melangkah pergi. Ayatnya kedengaran seperti mengugut.
            Sekali lagi Que pantas mendail nombor Daliya.

*****
DALIYA melihat skrin di telefon bimbit. Panggilan daripada pengurusnya dibiarkan dan telefon bimbit dimatikan. Senang! Letih dia nak jawab dan dengar bebelan Que. Urusannya ke Bumi Holdings lebih penting dari segala-galanya. Amarah di hati tidak dapat ditanggung lagi. Dia perlu segera menyelasaikannya dengan lelaki itu.
            Cermin mata gelap yang dipakai tidak ditanggalkan. Laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam lif. Banyak mata yang memerhatikan dirinya. Ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri, namun dibuat tidak tahu sahaja.
            Rambut panjang beralun itu diperbetulkan. Skirt pendek yang dipakainya memang menarik mata lelaki miang. Seorang lelaki di sebelahnya mengambil kesempatan dengan mengukir senyum menggoda dan mengkenyitkan mata padanya.
            Daliya tersenyum sinis. Muka macam jalan tak siap! Ada hati nak mengurat aku? Boleh pergi mampus la! Kutuk Daliya dalam hati.
            Keluar sahaja dari perut lif, kaki yang memakai kasut tujuh inci itu dihayun laju memasuki ruang pejabat. Sekali lagi kehadiran Daliya memeranjatkan semua pekerja di dalammya. Mana tidaknya, kehadiran perempuan itu selalu membuat kecoh.
            Dahulu mungkin kehadiran Daliya sangat dinantikan. Artis popular. Siapa yang tak mahu tengok secara real. Tapi, semuanya berubah sejak beberapa bulan yang lalu. Semenjak mereka nampak warna sebenar yang tersembunyi di sebalik senyuman dan kelembutan Daliya. Sangat menggerunkan!
            Myra… Setiusaha Khuz segera bangun dari duduknya. Berderau darah sampai ke kepala melihat Daliya semakin menghampiri.
            Daliya mengangkat cermin matanya dan diletakkan ke atas kepala. Kemudian dia mendekatkan wajah ke arah Myra. “Bos You, ada?” soalnya.
            “Aa… ada,” jawab Myra terketar-ketar.
            “Bagus,” balas Daliya dan memberikan senyuman manis buat gadis yang sudah bertahun bekerja di sini.
            Myra cepat menyaingi langkah Daliya yang sedang melulu ke bilik bosnya. “Cik Liya tak boleh masuk! Encik Khuz ada tetamu.” Halang Myra.
            “I ni pun tetamu dia… Kenapa? Bos You dah black list I dari senarai tetamu ke?” perli Daliya.
            “Kalau Cik Liya nak jumpa Encik Khuz, Cik Liya kena buat appointment dulu,” beritahu Myra biarpun sudah masuk berpuluh kali dia mengeluarkan ayat itu kepada wanita yang tak reti bahasa di hadapannya ini.
            “I tak tahu la, sama ada I yang bodoh atau You yang bodoh. Dah sah-sah kalau I buat temu janji, bos You akan lari daripada nak berjumpa dengan I. Tepi!”
            Bahu Myra terus dilanggarnya dan meneruskan langkah menuju ke bilik Khuz.
            Perbualan Khuz dan Rayna yang rancak itu terhenti setelah pintu tiba-tiba dikuak seseorang.
            “Encik Khuz, saya minta maaf. Saya dah beritahu Cik Liya yang…”
            Belum sempat Myra menghabiskan penjelasannya, Khuz mengangkat tangan supaya Myra berhenti. Melihat sahaja Daliya yang berdiri berpeluk tubuh sambil menjeling itu dia sudah tahu, perempuan itu memang payah untuk dihalang. “Tak apa, Myra. Awak boleh keluar.”
            Myra mengangguk dan perlahan menutup pintu bilik sebelum beredar.
            “Owh, inilah tetamu You?!” Perli Daliya sambil memandang tajam ke wajah Khuz. “Baguslah kalau dua-dua ada. Lagi senang I nak bercakap,” ujar Daliya. Rayna bangun dari duduknya. Dia sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh Daliya.
            “You ni kenapa, Liya? Dari dulu tak puas hati dengan I. You cemburukan I dengan Khuz, kan? I tak pernah ada hubungan istimewa dengan Khuz la! Takkan tak faham-faham lagi?!”
            “Tak ada hubungan istimewa konon…” Daliya ketawa mengejek. Geli hati dia mendengar penafian yang keluar dari mulut Rayna. “Sampai sekarang pun You masih nak menafikan? I ni tak buta dan tak bodoh tau! Jadi, jangan ingat You boleh perbodohkan I!”
            Khuz sudah tidak tahan mendengar Daliya memekik di hadapannya. Dia tidak boleh berdiam diri. Dia yakin, perkara akan jadi lebih teruk jika dibiarkan. Silap hari bulan, polis dan ambulans yang datang.
            “Liya…! Can You stop it?!” Marah Khuz. Pandangannya kini beralih kepada Rayna.
            I’m so sorry, Rayna. I rasa lebih baik You pergi sekarang,” ujar Khuz dengan harapan, Rayna memahami keadaannya sekarang.
            “Cepat la berambus! Buah hati You dah halau tu. Ke..., You ni pekak?” Sindir Daliya. Sengaja mahu menyakitkan hati Rayna.
            “Ops! Sorry. I lupa pulak yang artis popular macam You ni mustahil la pekak, kan? Tapi, You ingat ye? Orang yang suka rampas jobs orang lain macam You ni takkan lama populariti dia,” tambah Daliya lagi.
            Tanpa sebarang balasan, Rayna berlalu keluar. Menelan pahit segala tuduhan dan kata-kata sindiran yang dilemparkan oleh Daliya. Dia tahu, Khuz tidak menghalaunya, malah cuba untuk melindungi dirinya. Hanya Khuz yang betul-betul faham dan tahu siapa Daliya yang sebenarnya.
            Khuz bangun dan berjalan menuju ke sofa yang terdapat di dalam biliknya. Dia duduk di situ sambil memerhati Daliya yang masih berlagak berdiri sambil berpeluk tubuh.
            “You tak malu ke, Liya? Setiap kali You datang ke pejabat I, you nak marah-marah. Ada saja hal yang You tak puas hati dan datang sini nak serang I. You dah lupa, yang kita ni dah bercerai? You dah hilang hak untuk datang sini sesuka hati You!” kata Khuz.
            Sudah dua dia bercerai dan selama itu juga Daliya sering bertandang ke pejabatnya membuat kacau. Sering menyalahkan dirinya jika ada yang mengganggu kariernya sebagai seorang artis.
            “I tak pernah lupa la, sebab I yang mintak cerai. Patut la senang sangat You setuju nak ceraikan I. Ini semua sebab Rayna tu, kan?” tuduh Daliya tanpa berlapik lagi.
            “Kalau I cakap tidak pun, You percaya ke? Tak, kan? I dah terlalu masak la dengan perangai You! Semuanya tak kena di mata You. Rayna tak ada kena mengena dalam hal kita. Apa yang You nak sebenarnya ni?” tanya Khuz.
            “I… Kalau saja-saja nak datang sini jumpa You, memang I takkan jejak kaki kat sini tau. I datang, sebab You sengaja bermain api. Kita bercerai secara baik dan janji takkan ganggu hal masing-masing. Tapi, You! Mungkiri janji dengan mengganggu life I!” sekali lagi Daliya menuduh. Nyaring sekali suara itu menyapa telinga Khuz.
            Khuz tersenyum sinis. Sungguh dia tak faham apa yang dimaksudkan oleh bekas isterinya itu.
            Khuz mengangkat dua jarinya dan ditunjukkan kepada Daliya.
            “Dah dua tahun kita bercerai tau? Selama itu jugak, You yang selalu datang ke pejabat I. I pun dah tak ingin lagi la nak ambil tahu pasal hal You. Sekarang, You beritahu I siapa yang ganggu siapa?” Soal Khuz.
            Dia sudah penat. Ini bukan kali pertama dia dituduh, malah sudah berkali-kali.
“You ingat, I tak tahu yang You ni orang yang berpengaruh. You boleh aje hasut pengarah-pengarah yang tawarkan I jadi watak utama supaya bagi tawaran tu pada Rayna, kan?  I tahu, You masih berdendam dengan I. You marah sebab I yang mintak cerai! I tak dapat bagi apa yang You nak, kan? You memang tak boleh nak tengok I senang!” tengking Daliya.
            “Cukup, Liya!” jerkah Khuz. Dari tadi dia cuba bersabar dengan setiap tuduhan Daliya. Ingatkan bila dah bercerai, tak perlu la lagi dia bertekak dengan gadis itu. Tapi, fikirannya ternyata meleset.
            “I dah penat dengan You ni! You ingat I ni tak ada kerja lain selain nak ganggu hidup You ke? You dengar sini! I tak pernah berurusan dengan mana-mana pengarah sekalipun! Apatah lagi nak menghasut. Kalau I nak buat, dah lama I jatuhkan You dari dunia seni You tu!”
            Daliya terdiam. Terdetik di fikiran apa yang dikatakan oleh Khuz ada benarnya. Siapa tidak kenal dengan lelaki yang bernama Hasbi Khuzairy ini, anak tunggal seorang jutawan iaitu Datuk Junaidi. Jika benar Khuz mahu menjatuhkannya, sekelip mata sahaja lelaki itu boleh melakukannya.
            Tidak! Khuz tetap bersalah. Mungkin dia tak jatuhkan aku secara drastik, tapi secara perlahan-lahan. Dia memang nak siksa aku!
            “Tak payah la You nak sembunyi, Khuz. Sebelum ni, I tak pernah ada masalah dalam kerjaya I pun. Tapi, semenjak bercerai dengan You, macam-macam yang berlaku. Punca siapa lagi, kalau bukan You puncanya?!” Daliya masih lagi mempertahankan dirinya. Dia tidak boleh mengaku kalah. Khuz harus berhenti dari menganggu hidupnya.
            Kepala digelengkan beberapa kali. Khuz bangun menghampiri Daliya. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket. Cakap apa pun, ada saja yang dibalas oleh Daliya. Dia sudah buntu dan tidak tahu lagi cara untuk berhadapan dengan orang yang tidak mahu faham.
            “Kenapa You tak nak salahkan diri You? You tu yang tak berdisiplin. Siapa nak tawarkan You bekerja, kalau pelbagai masalah You sendiri yang timbulkan. Terkinja sana sini. You datang sini, biar semua orang bergosip cakap You masih tergilakan bekas suami. You tak malu ke?” tanya Khuz. Nada suaranya juga diperlahankan. Kering tekaknya asyik meninggikan suara.
            Sudah terlalu banyak gosip dan berita-berita yang kurang enak didengar. Semuanya berpunca dari bekas isterinya itu. Tapi, dirinya yang tidak ada kena mengena ini jugaklah yang dipersalahkan.
            “Sudah la, Liya. You balik la, dan tolong jangan datang sini lagi. Hubungan kita dah tamat. You teruskanlah dengan kerjaya You yang tercinta tu. Kalau You tak cari pasal, semua ni takkan terjadi,” tambah Khuz lagi. Hati Daliya semakin sakit dan panas. Tangannya digenggam rapat menahan marah.
“Baik! I pergi dari sini. Tapi, You kena ingat. I pergi bukan bermakna I mengalah dengan You. I akan cari bukti bahawa You la orang yang cuba nak jatuhkan I,” ujar Daliya.
“Silakan, Cik Daliya…” balas Khuz dengan senyuman.
Sebaik sahaja Daliya lesap dari pandangan. Senyuman yang terukir juga lenyap. Rambutnya diraup. Kelihatan jelas sekali riak di wajahnya juga bertukar. Masih ada cinta di hatinya buat Daliya. Seandainya Daliya tahu betapa sukarnya dia menghadapi perpisahan ini. Bagaikan hilang separuh hatinya.
Intercom ditekan. “Myra… Masuk bilik saya sekejap.” arah Khuz.
“Baik, Encik Khuz.” Terdengar suara Myra membalas dari intercom.
Beberapa saat kemudian. Sekali ketuk sahaja, Myra terus masuk dengan membawa buku jadual. Dilihat wajah bosnya itu, dia yakin pasti tercetus lagi peperangan di dalam bilik ini. “Are you okay, Encik Khuz?” tanya Myra penuh rasa simpati.
“Saya tak rasa, saya akan nampak okey selepas berjumpa dengan artis popular macam tu untuk entah keberapa kalinya,” balas Khuz bersahaja.
Myra tersenyum. Dia faham maksud di sebalik kata-kata bosnya itu. “So, ada apa Encik Khuz panggil saya?” soal Myra.
“Untuk esok dan lusa, saya nak awak batalkan atau tangguh semua mesyuarat yang ada. Saya nak balik Ipoh sekarang,” arah Khuz.
Myra membelek-belek jadual Encik Khuz yang telah dicatatkan di dalam nota. “Tapi, Encik Khuz. Mesyuarat dengan kontraktor-kontraktor untuk projek kita di Indonesia tu dah banyak kali tertangguh. Mesyuarat ni penting dan Encik Khuz tak boleh nak tangguhkan lagi,” terangnya.
Khuz bangun dan mencapai kotnya yang tergantung. Diambil pula briefcase yang terletak di atas meja. “Tak ada apa yang lebih penting daripada keluarga saya. Tangguhkan juga temujanji saya dengan Datin Azizah petang ni,” pesan Khuz sebelum keluar meninggalkan biliknya.
Myra mengeluh. Nampaknya, terpaksalah dia memerah otak sekali lagi bagi mancari tarikh yang sesuai untuk menggantikan mesyuarat-mesyuarat yang bakal ditangguhkan.
Sebelum keluar, sempat Myra mengemas meja bosnya. Dua gelas yang dihidangkan Myra untuk Khuz dan Rayna semasa mereka berborak tadi diambil dan dibawa keluar bersama.






 



No comments:

Post a Comment