DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 13 August 2015

Akad Kedua - Bab 4





S
ETELAH membayar menggunakan kad kredit, Rayna bangun dan melangkah keluar dari kedai barang kemas itu. Tiba-tiba datang dua orang remaja perempuan menegur dirinya.
“Kak Rayna… Boleh tak nak berselfi dan autograf?” tanya salah seorang remaja tersebut.
Rayna tersenyum.
“Mestilah boleh…” jawab Rayna lalu mengambil pen dan kertas yang diberikan oleh mereka. Sambil berdiri sahaja dia menurunkan tandatangan serta menulis kata-kata motivasi. Setelah selesai, dia bergambar pula dengan mereka.
“Terima kasih, Kak Rayna…” ucap dua orang gadis remaja itu, gembira.
“Sama-sama…” balas Rayna.
Tanpa Rayna sedari, tidak jauh dari situ dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang.
Berkepul-kepul asap jika dapat dilihat keluar daripada badan Daliya. Pantang betul dia melihat perempuan itu. Hatinya akan terus terbakar.
“Kau nak beli apa lagi?” tanya Que yang sibuk dengan telefon bimbitnya sambil berjalan mengekori Daliya dari belakang.
“Nah! Kau pegang ni...” Sebuah beg plastik dicampakkan ke dada Que. Terkopoh-kopoh Que menyambarnya daripada terjatuh. Terkejut dia dengan tindakan Daliya. Pertanyaannya tadi langsung tidak diendahkan.
“Liya! Kau nak pergi mana?” tanya Que setelah dia lihat langkah yang diatur oleh Daliya begitu laju. Seolah mahu menerkam sesuatu.
“Rayna?!” Que memperbetulkan cermin mata besar yang dipakai. Memastikan apa yang dilihat itu memang betul-betul Rayna. “Habislah!” Dahinya ditepuk. Nampaknya akan berlaku perang dunia ketiga sebentar lagi.
Tanpa berlengah lagi, segera Que menghayun kakinya mengejar Daliya yang sudah semakin dekat menghampiri Rayna. “Liya… jom la kita balik?” ajaknya sambil menarik lengan Daliya.
“Lepaslah, Que!” bentak Daliya. Dia tahu Que cuba menghalangnya daripada berjumpa dengan Rayna.
Que menggaru belakang kepalanya. Bingung memikirkan apa yang harus dia lakukan. Fikir punya fikir. Argh! Sudah tiada cara untuk menghalang Daliya saat ini.
Bye, Kak Rayna…” Dua gadis remaja itu melambai sambil berlalu pergi. Rayna hanya tersenyum sambil mengangkat tangan membalas lambaian dua orang peminatnya itu.
Mahu sahaja mengangkat langkah. Daliya muncul di hadapannya bersama Que.
“Hai, Rayna…” Que menegur sambil tersenyum.
Daliya segera menjeling tajam. Perlahan-lahan Que mengecutkan senyum. Pantang betul Daliya apabila melihat orang berbaik dengan musuhnya.
“Hai, Que…” balas Rayna, ceria tanpa menghiraukan Daliya. Tangannya dilambai-lambai kepada Que.
“Sakan betul you shopping. Pakai kad kredit Khuz ke?” perli Daliya.
Rayna tersenyum senget. Rasa geli telinganya mendengar tuduhan yang boleh dikategorikan sebagai melampau itu.
“Liya… Jomlah balik?! Tolonglah jangan cari pasal kat sini,” bisik Que di sebelah. Dia dapat rasakan, Daliya sudah mula mahu mencari pasal.
Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak lepas memandang dua artis yang meletop di Malaysia ini. Ada yang berhenti sambil mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil kesempatan untuk menangkap gambar.
Que semakin resah. Sungguh dirinya terasa sangat tidak tenteram berdiri di situ. Risau jika tindakan Daliya melampaui batas.
“Jumpa kawan baik…” ujar Que sambil tersengih-sengih kepada mereka-mereka yang lalu lalang di situ biarpun tidak disoal oleh sesiapa.
 Daliya hanya mentulikan telinganya. Dia seperti tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Yang penting hatinya puas dapat berdepan dengan Rayna. Perempuan yang dianggap perampas kebahagiaan dan penganggu besar bagi kariernya.
“Kenapa? You ada masalah ke kalau betul I pakai credit card Khuz?” soal Rayna. Sengaja dia mahu melihat reaksi Daliya yang seterusnya. Sama ada dia mengaku ya atau tidak, mustahil Daliya akan percaya. Susah betul kalau berhadapan dengan orang yang tidak faham bahasa ni!
“Memang I ada masalah besar dengan You. Sudah la banyak job I You rampas! Tak cukup dengan tu, Khuz dengan duit-duit dia sekali You nak kikis?!” Sekali lagi Daliya melontarkan tuduhan.
Rayna menggelengkan kepala dan tersenyum senget. Seperti tidak percaya semua itu keluar daripada mulut busuk Daliya, malah lebih busuk daripada loji kumbahan.
“I nak kikis ke, nak rampas, nak gali, nak korek sekali pun… tak ada kaitan dengan You.” Rayna membidas pedas. Dia tidak mahu mengalah. Perempuan bongkak seperti Daliya ini memang harus diiyakan saja apa yang dikata. Semakin kita mengaku, semakin panas hati dia. Ewah-ewah, dah macam buat hipotesis pulak.  
Sebenarnya, sesen pun dia tidak pernah menggunakan duit Khuz seperti yang dituduh oleh Daliya. Lebih-lebih lagi diberikan kad kredit oleh Khuz. Untuk apa? Macam la aku ni miskin sangat.
Sungguh dia tidak faham, kenapa begitu sakit sekali hati Daliya dengan dirinya. Padahal, dia dengan Khuz tidak lebih daripada seorang kawan. Sebetulnya, Daliya harus sedia maklum bahawa dia terlebih dahulu mengenali Khuz, malah dia juga yang memperkenalkan Daliya kepada Khuz.
“Kesian ex-husband I tu kan? Kenal dengan orang yang pandai berlakon baik ni. Bukan setakat dalam TV aje. Dekat luar pun masih lagi nak berlakon. Cukup-cukup la dengan lakonan You tu. Penat la I tengok,” sindir Daliya. Suaranya ditahan-tahan. Mukanya pula dimaniskan dengan senyuman paksa bagi menggelapkan mata-mata yang sedang memerhatikan mereka.
Rayna juga seperti itu. Wajahnya diceriakan seolah sedang berjumpa dengan sahabat baik.
Orang ramai yang melihat pastinya sudah tertipu.
“Owh, tahu pun ex-husband. I ingatkan You dah nyanyuk yang You tu dah takde apa-apa hubungan lagi dengan Khuz. So, I rasa You dah tak ada sebab nak masuk campur dalam hidup khuz lagi dan jari You tu jangan nak tundingkan pada orang lain, boleh? Sekali sekala, tunding pada diri You tu,” nasihat Rayna.
Daliya mengetap bibir. Sungguh terasa pedas dengan kata-kata itu.
“I tak pernah salah tau! You tu yang suka cari pasal dengan I. I… kalau orang tak sentuh kehidupan I, I pun takkan terhegeh-hegeh nak sentuh hidup orang lain la!” balas Daliya. Suaranya ditekan-tekan.
“Daliya… Daliya. Masih tak matang You ni rupanya. Kesian... Jadi, I sebagai orang yang lebih matang dan berpengalaman daripada You nak ingatkan. Kalau You masih dengan sikap dengki yang macam ni. You tak akan lama dapat bertahan dalam dunia populariti. Ingat tu?!” Rayna berpesan sebelum melangkah pergi. Malas mahu melayan orang gila seperti ini.
“You jangan nak mengajar I, ye?!” Marah Daliya. Suaranya dikuatkan. Bertambah membara api di dalam dirinya apabila ayat yang pernah dia lemparkan kepada Rayna di pejabat Khuz seminggu yang lepas dicampak semula kepadanya.
Que yang mendengar seolah mahu sahaja membenamkan mukanya dalam tong sampah. Malu dengan sikap Daliya.
Baru beberapa langkah, Rayna berhenti lalu memusingkan sedikit badannya dan memandang tepat ke arah Daliya. “Owh ye… You jangan ingat, I akan mengalah dan tolong You macam dulu. You sendiri yang putuskan persahabatan kita, kan? So, good luck!” Satu kenyitan mata dan senyuman yang penuh dengan pelbagai maksud tersirat itu diberikan.
“You!” Daliya menahan jerit. Kakinya sudah sedikit bergerak ke hadapan. Tangannya juga dinaikkan. Rasa seperti mahu tampar sahaja wajah perempuan yang suka bikin hatinya panas itu.
“Dasar perampas! Memang patut pun aku putus sahabat dengan kau la. Kurang ajar!” Daliya menyumpah seranah sendirian.
Kalau tidak diingatkan mereka sekarang berada di pusat membeli belah. Dah lama dia menjerit kuat melepaskan perasaan geram yang dia rasa.
“Jomlah balik? Malu la kalau peminat You nampak,” pujuk Que sambil menarik-narik lengan Daliya.
“Aku tak nak balik!” beritahu Daliya kasar. Turun naik dadanya menahan geram terhadap Rayna.
“Kita kan dah habis shopping. Kalau kau tak nak balik, kau nak buat apa lagi kat sini?” tanya Que. Kalau boleh, secepat mungkin dia mahu membawa Daliya keluar dari pusat membeli belah ini. Gadis ini memang sukar dijangka tindakannya. Entah apa lagi yang bakal dilakukan.
Daliya memandang ke dalam kedai emas tempat ‘musuhnya’ keluar tadi. Ada sesuatu yang menarik tiba-tiba berkunjung di benak fikirannya.
“Ikut aku!” arah Daliya kepada pengurusnya. Terpinga-pinga Que mengikuti langkah Daliya memasuki kedai emas yang terkemuka itu.
*****
TERSENGIH suka Daliya sambil membelek seutas gelang tangan emas putih yang baru dibelinya sebentar tadi.
Dia ingat, dia aje boleh beli gelang macam ni? Aku pun boleh la… Tak sia-sia aku tanya pekerja kedai tu apa yang dibeli oleh ‘Si Perampas’ tadi! Daliya berbicara dalam hati.
Sambil memandu, Que sempat menjeling melihat Daliya di tempat duduk belakang melalui cermin tengah dalam kereta. Dia masih kesal dengan tindakan Daliya membeli gelang itu. “Buat apa kau beli gelang tu, Liya? Bukan murah. More than RM5K, You know?!” ujarnya kecewa.
“Buat apa lagi?! Nak pakai la… Ini kira murah giler kau tau? Lagipun, aku ni perempuan. Lain la kalau lelaki macam kau,” jawab Daliya. Tiba-tiba pantas dia menutup mulut. “Ops! Aku lupa… Kau ni bukan lelaki sejati pun.” Daliya ketawa mengejek. Sempat lagi dia menyindir pengurusnya yang sememangnya lembut itu.
 Que menjeling memandang Daliya melalui cermin tengah. Bibirnya dicebikkan. Dia sendiri sudah lali dengan sindiran seperti itu.
“Kau kena ingat, Liya… Tawaran kau untuk berlakon dan jadi model dah tak sehebat macam dulu. Kau kenalah belajar berjimat sikit. Lain la, kalau kau ni masih jadi isteri kepda anak jutawan macam Khuz tu. Apa kau nak semuanya tinggal petik jari aje,” ujar Que.
Memang patut la kau cerai dengan Khuz tu. Kalau aku la… bukan setakat talak satu. Talak tiga terus aku bagi kat kau! Hati Que sudah tertawa jahat.
Daliya tersenyum sinis.
Memang betul apa yang dikatakan oleh Que. Dulu, sesen pun dia tidak keluarkan duit untuk belanja itu dan ini. Apa yang dia mahu, akan dihulurkan sahaja kad kredit warna hitam tanpa had yang diberikan Khuz itu untuk membayar.
Gelang tangan diletakkan kembali ke dalam kotak. Kemudian, dia memeluk tubuh sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap kereta. “Menyesal aku tau, tak ambik manager bisu! Tak ada la aku dengar suara kuat membebel macam kau ni,” ujarnya, sinis.
Eleh… Cuba tengok? Macam mana manager bisu kau tu nak handle wartawan. Silap hari bulan, kau yang bisu!
“Yang kuat membebel ni la banyak menyelamatkan karier kau, tau? Aku zip mulut aku ni baru kau tahu dunia ni besar ke kecik!” gertak Que.
Ish…, terasa hati la pulak ‘sotong kurita’ ni!
 “Yelah… aku mintak maaf. Teruskanlah membebel kau tu sampai kiamat. Biar tersumbat telinga aku ni dengar.”
“Tahu pun…” jawab Que sendiri. Suara radio yang tenggelam dengan pertelingkahan mereka tadi kini kembali timbul tanpa gangguan. Daliya sedang sibuk menambah gincu yang merah terang itu di bibirnya, manakala Que sedang fokus memandu.
“Jangan hantar aku balik lagi.” Daliya kembali bersuara dengan memberi arahan.
“Kau nak pergi mana?” soal Que.
“Bawak aku pergi spa,” arah Daliya.
“Dua hari lepas, kan kau dah pergi. Takkan nak pergi lagi?”
“Siapa yang bayar gaji kau sekarang ni?!” tanya Daliya mengingatkan, Que.
“Kau…” Lemah sahaja jawapan yang keluar daripada mulut Que.
“Sedar pun… Jadi, jangan banyak soal! Hantar ajelah!” Marah Daliya lalu menyambung semula membelek wajahnya yang tebal dengan solekan itu di cermin. Sepasang mata yang galak, hidung yang mancung, bibir yang mungil, dan setiap apa kurniaan yang ada di wajahnya diperhatikan satu persatu. Apabila puas. Dia akan tersenyum sendiri. Bangga dengan kecantikan yang dimiliki.



No comments:

Post a Comment