DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 12 August 2015

Akad Kedua - Bab 3





T
AN SRI JUNAIDI melangkah keluar bersama tongkatnya yang sentiasa diusung ke sana ke mari setelah pintu kereta belakang dibuka oleh pemandunya. Dengan berhati-hati dia berjalan perlahan masuk ke dalam rumah. Liar bebola matanya melihat sekitar dalam rumah yang luas itu. Gayanya seperti mencari seseorang.
 Tan Sri Junaidi menoleh memandang pembantu rumahnya yang sedang menutup daun pintu. “Mak Som... Mana Khuz?” tanya Tan Sri Junaidi. Melihat kereta Audi TTs yang terpakir di garaj tadi, dia tahu anak lelaki tunggalnya itu ada di sini.
“Khuz di atas dalam bilik, Tan Sri. Katanya nak mandi,” beritahu pembantu rumah wanita yang berusia separuh abad itu yang senang dipanggil Mak Som.
“Abi…” tegur Khuz yang tiba-tiba muncul. Tangan abinya diambil dan dikucup penuh hormat.
“Ha, Khuz… Dah lama ke kamu sampai sini?” soal Tan Sri Junaidi.
Sambil mengekori langkah perlahan abinya ke ruang tamu, dia menjawab. “Baru aje sampai, abi. Lebih kurang tiga puluh minit. Balik dari pejabat, terus Khuz bertolak ke sini.”
Tempoh tiga jam untuk dia sampai di Ipoh dari Kuala Lumpur tidak lagi terasa lama kerana dia sering berulang alik ke sini. Dalam tidak sedar, sudah hampir dua tahun abinya menetap di Ipoh.
Khuz duduk di sofa menghadap abinya yang bercermin mata itu. “Khuz sampai sini aje tengok abi takde.  Mak Som cakap, abi ke Teluk Intan.” ujarnya.
“Memang abi ke sana… Ada urusan yang abi perlu selesaikan,” jelas Tan Sri Junaidi yang sedang bersandar di sofa.
Berkerut dahi Khuz memikirkan urusan yang dikatakan oleh abinya. Mustahil ada kaitan dengan Green Holdings kerana semuanya sudah diserahkan bulat-bulat kepada dirinya untuk diuruskan.
“Urusan apa tu, abi?” soal Khuz. “Sejak kebelakangan ni, Khuz rasa abi kerap sangat ke sana. Abi tu kan tak sihat. Duduk ajelah di rumah, berehat. Semalam, Mak Som telefon Khuz beritahu darah tinggi abi naik. Tak senang duduk Khuz kat KL tu fikir pasal abi.”
“Kamu tahu kan ada tanah terbiar kat sebelah rumah kita ni?”
Khuz mengangguk. “Tahu… Kenapa dengan tanah tu?” soalnya kehairanan.
“Abi nak beli… Jadi, Abi ambil keputusan untuk berjumpa dengan pemilik tanah tu sendiri. Sebab itulah abi kerap ke sana,” terang Tan Sri Junaidi lagi. Duit yang ada baginya bagus jika digunakan untuk melabur dengan membeli aset, seperti tanah.
Bukan beerti dia tamak mengumpul harta dunia. Harta untuk akhirat juga dia seimbangkan dengan menggunakan kelebihan serta kemewahan yang dia miliki.
Setiap tahun dia akan menaja tiga puluh orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan haji. Selain itu, menjadi pemberi dana tetap kepada beberapa buah rumah anak yatim dan juga warga emas di beberapa buah negeri di Malaysia ini.
Keikhlasan pemberiannya itu dapat dilihat dengan tidak menghebohkan setiap amal kebajikan yang dibuat kepada umum. Segalanya diberi secara peribadi tanpa balasan.
“Apa-apa pun, Abi beritahu aje pada Khuz. Kalau tak mahu beritahu pun, abi upah la sesiapa uruskan hal pembelian tanah tu. Tak payah la abi bersusah payah,” Khuz masih lagi dengan kerisauannya terhadap kesihatan abinya itu. Hanya itulah satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia ini.
“Buat apa buang duit nak bayar upah segala? Abi boleh uruskan sendiri. Lagipun, abi bosan duduk rumah tak buat apa-apa. Kamu tak payah la risau. Duduk rumah 24 jam pun bukan boleh baik. Tambah tekanan pada abi lagi, adalah.” Tan Sri Junaidi bangun dengan bantuan tongkatnya.
“Abi nak pergi mana ni?” tanya Khuz. Risau jika orang tuanya itu terasa hati dengan kata-katanya yang sering melarang melakukan sesuatu yang dikira boleh saja diserahkan kepada sesiapa yang mampu melakukannya.
“Dah nak masuk Maghrib. Abi nak masuk mandi lepas tu solat. Nanti kita makan malam sama-sama,” ujarnya sebelum berlalu pergi.
Khuz melepaskan keluhan berat. Memandang sepi langkah abinya yang perlahan itu. Memang tidak ada sesiapa dapat menghalang kemahuan abinya itu. Bukan dia tidak mahu faham, tapi dia khuatir setiap kali memikirkan kesihatan abinya.
Dia tidak mahu kejadian lima tahun dahulu berulang kembali, di mana abinya tiba-tiba diserang strok. Sebelah badannya lumpuh dan bergerak hanya menggunakan kerusi roda. Mujurlah keadaan selepas itu semakin baik. Perlahan-lahan, abinya dapat berjalan dan bercakap seperti biasa. Cuma kakinya sahaja seperti lemah dan perlu menggunakan bantuan daripada sebatang tongkat.
Semenjak dari itu jugalah, dia membuat keputusan untuk mengambil alih Green Holdings dan memberi peluang kepada abinya untuk berehat.
*****
MAK SOM sibuk menuang air ke dalam gelas untuk dua beranak yang sedang enak menjamu selera di meja makan. Satu gelas diletakkan di atas meja berhadapan dengan Khuz dan kemudian satu lagi diletakkan di hadapan Tan Sri Junaidi. Setelah selesai tugasnya, Mak Som kembali ke dapur.
            “Macam mana dengan Green Holdings sekarang ni? Hari tu Datin Azizah telefon dan dia ada beritahu abi, kamu dapat projek besar di Indonesia. Betul ke?” Pertanyaan Datuk Junaidi memecah kesunyian yang sementara itu.
            “Abi… tak payah la cakap pasal Green Holding kat sini. Dekat sana sibuk dengan Green Holdings, balik sini abi pulak bertanya pasal Green Holdings. Bosan la, abi… Kita lupakan sekejap pasal syarikat. Apa kata kita sembang pasal hal lain yang tak ada kaitan langsung dengan Green Holdings, boleh?” pinta Khuz.
            Sebolehnya, dia tidak mahu berbicara soal Green Holdings apabila dia balik ke Ipoh. Jika terdapat masalah sekalipun yang berkaitan dengan syarikat, dia akan sedaya upaya selesaikannya sendiri. Dia sudah anggap itu semua sudah menjadi kewajipan dirinya untuk mengekalkan kemajuan Green Holdings yang merupakan titik usaha abinya selama ini.
            “Kamu ada jumpa Liya, kan?”
            Tak tertelan rasanya makanan yang sedang dikunyah itu apabila nama bekas isterinya itu meniti keluar dari mulut abinya.
            Biarpun jauh di Ipoh. Semua perkara yang berlaku di Kuala Lumpur lebih-lebih lagi tentang anaknya, pasti akan sampai di pengetahuannya. Ditambah pula isu-isu panas dan kontroversi yang berkaitan dengan bekas menantunya yang popular itu sering disiarkan di surat khabar dan juga kaca televisyen.
            “Ada. Tapi, bukan Khuz yang pergi jumpa dia. Dia sendiri yang datang cari Khuz.” Khuz berterus-terang biarpun dia tahu abinya tidak menyukai Daliya.
            “Abi tak suka kamu berjumpa dengan Liya. Macam-macam cerita tak elok keluar pasal bekas isteri kamu tu selepas kamu berdua bercerai, malah lebih teruk. Abi tak mahu kamu terlibat sama. Kamu dah takde kaitan lagi dengan dia,” ujar Tan Sri Junaidi sambil menikmati makan malamnya.
            “Ye… Khuz tahu abi. Tapi, Khuz memang tak boleh nak halang dia. Kalau kaki dia tu Khuz boleh ikat, dah lama Khuz buat.” Khuz membalas. Memang bukan keinginan dirinya untuk bersua muka dengan Daliya. Perempuan itu sahaja yang tak reti-reti untuk pergi terus dari hidup dia.
            “Kamu tu, semakin hari bukan semakin muda. Dah 31 tahun. Kamu tak bercadang nak kahwin lagi ke?” tanya Tan Sri Junaidi tiba-tiba. Satu lagi soalan yang membuatkan makanan sekali lagi tersekat di tekak Khuz. Ha’ish, boleh mati tercekik ni!
            Sejujurnya dia sudah serik untuk berumahtangga lagi setelah apa yang dia pernah alami. Dia takut untuk menyesal buat kali yang kedua. Baginya, sendiri itu lebih baik.
            “Khuz malas nak fikir lagi la abi soal tu. Khuz rasa lebih selesa dengan kehidupan yang sekarang ni. Bebas, tak payah nak bertikam lidah setiap masa. Tak payah tanggung dosa isteri. Itu yang penting,” jawab Khuz yang sudah memasang tekad untuk terus membujang.
            Tan Sri Junaidi meletakkan pandangannya kepada Khuz. Mahu disalahkan anaknya, tapi semua itu sudah pun berlaku. Tidak guna jika dia membangkitkan kembali atas apa yang pernah terjadi. Dia faham hati anaknya ini sudah terlalu terluka.
            “Tapi, abi tak selesa tengok kamu tak lengkap tanpa seorang isteri dan keluarga. Kamu tu, anak abi satu-satunya. Penyambung warisan keluarga. Jadi, siapa lagi nak berikan keturunan kalau bukan kamu? Abi ni dah tua, berpenyakit pulak tu. Sebolehnya, abi nak tengok la kamu ni berkeluarga. Bahagia macam orang lain.”
            Suapan nasi ke mulut semakin perlahan. Khuz hanya mendiamkan diri tanpa membalas pandangan mahupun kata-kata abinya. Kemahuan abinya untuk dia beristeri pernah ditunaikan, tapi bukan kebahagiaan yang diperlihatkan. Mungkin silap dia kerana salah memilih pasangan dan membuatkan semuanya hancur dalam tempoh dua tahun.
            “Kalau susah sangat untuk kamu cari calon isteri, biar abi saja yang carikan. Anak kawan-kawan abi pun ramai. Semuanya cantik-cantik belaka,” sambung Datuk Junaidi dengan memberi cadangan.
            “Tak payah la, abi. Abi tu kan tak sihat. Kalau ada lagi jodoh, Khuz kahwin la. Abi tak payah la risau pasal hal tu...” Khuz bersuara. Di hatinya mula bimbang jika apa yang dikatakan oleh abinya itu benar-benar dilakukan. Apa yang dia perlu buat?
            “Abi ni bukan orang tua yang terlantar sampai tak boleh nak bergerak atau bercakap. Penyakit ni bukannya setiap hari datang. Takpe kalau kamu tak mahu abi carikan. Tapi, kamu sendiri yang kena cari. Abi mahu secepat mungkin,” kata Tan Sri Junaidi. Kedengarannya begitu serius sekali.
            “Yelah, abi…” Khuz akur dengan arahan abinya. Malas mahu melawan. Dengan ini, boleh la membuatkan abinya diam daripada membincangkan tentang hal yang baginya sangat menyemakkan kepalanya.
            Hati abinya perlu dijaga sentiasa. Cukuplah dengan permasalahan rumahtangga dan penceraian antara dia dan Daliya sebelum ini menjadi bebanan fikiran abinya itu.
            “Erm… esok petang, Khuz dah nak balik KL. Hujung minggu ni kalau tak ada apa-apa Khuz balik sini lagi,” beritahu Khuz.
            “Elok sangatlah tu. Tak payah la risau pasal abi kat sini. Mak Som kan ada? Doktor Hadi pun, dua tiga kali dalam seminggu datang rumah ni periksa kesihatan abi,” ujar Tan Sri Junaidi.
            Khuz diam tidak membalas.
Memang benar ada orang-orang yang dia harapkan untuk memantau kesihatan abinya dari semasa ke semasa. Sebagai seorang anak, dia rasa tidak puas jika tidak dilihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan abinya yang sebenar biarpun dia acapkali menghubungi abi atau Mak Som di rumah ini. Dia takkan maafkan diri sendiri sekiranya terjadi apa-apa kepada abi sepertimana dia tidak dapat memaafkan dirinya setelah apa yang terjadi pada arwah uminya lima belas tahun dahulu.

No comments:

Post a Comment