S
|
EBUAH
kereta Mini Cooper S memasuki halaman
rumah Haji Rahman. Keluar seorang gadis yang manis bertudung itu dengan
senyuman. Sempat juga dia menjeling melihat sebuah kereta mewah yang terpakir
di hadapan rumahnya. Tanpa memikirkan pemilik kereta tersebut. Terkedek-kedek
dia berjalan masuk ke dalam rumah.
“Terima kasih la Haji,
sebab sudi mempertimbangkan hajat saya ni,” ucap lelaki yang sedang berjalan
dengan tongkat itu.
“InsyaAllah, Tan Sri…”
balas Haji Rahman. Hajah Sakinah tersenyum bersama suaminya sambil mengiringi
Tan Sri Junaidi keluar.
“Mak! Ayah!” jerit Dhia
sebaik sahaja melihat kedua ibu bapanya itu. Tangan mereka pantas disalam dan
dicium. Tak lepas juga kedua pipi milik orang tuanya juga dicium. Memang sudah
menjadi kebiasaan buat dirinya. Tanpa dia sedari, perbuatannya itu diperhatikan
oleh Tan Sri Junaidi.
“Apa ni Dhia,
terjerit-jerit? Tak nampak kita ada tetamu ni?” tanya Hajah Sakinah separuh
berbisik.
Dhia Irdina tiba-tiba menjadi
malu dengan sikapnya yang melulu tadi. Dia pandang wajah lelaki yang kelihatan
sebaya dengan ayahnya, lalu sebuah senyuman manis diberikan. “Minta maaf ye,
Pak Cik?” kata Dhia kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Hajah Sakinah dan Haji
Rahman saling berpandangan mendengar panggilan ‘Pak Cik’ yang keluar dari mulut
anak gadisnya itu.
“Tak apa, Pak Cik tak
kisah…” balas Tan Sri Junaidi lalu meneruskan langkahnya yang perlahan itu
untuk keluar. Haji Rahman segera mengikut dari belakang.
Satu tamparan melekat
di lengan Dhia. Segera dia mengadu sakit. Lengannya digosok laju. Boleh tahan
pedih tamparan maknya ni!
“Apesal ni mak? Dhia
baru aje sampai dah kena dera,” ujar Dhia sedih dan terpinga-pinga.
Sambil menatang talam
yang berisi gelas dan kuih, Hajah Sakinah menjawab. “Dhia panggil ‘Pak Cik’
pada orang tadi tu kenapa?” soal Hajah Sakinah bernada kecewa.
Dari belakang, Dhia
mengikuti langkah maknya sampai ke ruangan dapur. “Yelah… Dhia tak kenal pun
siapa dia. Takkan la Dhia nak panggil ‘abang’ kut? Ew… Geli tengkuklah!”
Dhia memegang
tengkuknya. Meremang sekejap bulu romanya jika itu yang sepatutnya dia panggil
pada lelaki tadi. Mati hidup balik pun dia takkan panggil ‘abang’ pada lelaki
tua seperti itu. “Lagipun, mak sendiri dengar yang dia sendiri gelar diri dia
‘Pak Cik’? Jadi, apa masalahnya?” tanya Dhia.
“Orang yang Dhia
panggil ‘Pak Cik’ tu sebenarnya berpangkat Tan Sri. Dah tentulah kita kena
panggil ‘Tan Sri’,” kata Hajah Sakinah.
“Nak buat macam mana,
dah Dhia tak tahu. Panggilan ‘Pak Cik’ tu pun dikira baguslah. Tengok Tan Sri tadi
pun tak kisah, yang mak pulak terlebih kisah.”
Dhia duduk di meja
makan. Rasa tidak adil kerana dia dihukum gara-gara memanggil lelaki yang
dikatakan berpangkat Datuk tadi dengan panggilan ‘Pak Cik’.
“Kenapa muka anak ayah
yang cantik tiba-tiba bertukar jadi itik ni. Muncung bukan main panjang lagi,”
tegur Haji Rahman yang tiba-tiba muncul di dapur.
“Mak ni ha tampar Dhia,
sebab panggil Tan Sri tadi tu ‘Pak Cik’.” Dhia mengadu. Haji Rahman memandang
isterinya.
Hajah Sakinah sudah
dapat menangkap maksud pandangan mata suaminya. “Yelah… Mak mintak maaf. Takkan
itu pun nak merajuk? Dah boleh jadi mak budak pun nak mengadu lagi. Macam mana
nak kahwin ni?” ujar Hajah Sakinah sambil meletakkan sepiring karipap di atas
meja untuk anaknya.
“Ayah… tengok la mak
tu! Cari pasal lagi…” sekali lagi Dhia mengadu.
“Sudah-sudah la tu,”
tegur Haji Rahman kepada isterinya yang sudah duduk di sebelah.
Anak sulungnya ini
memang manja dengannya sejak kecil. Biarpun diluar dilihat matang dan cekal
dalam menghadapi sesuatu perkara, siapa tahu hati Dhia Irdina ini lembut
seperti agar-agar. Mudah terasa dan berkecai.
“Dhia tak kenal dengan
Tan Sri Junaidi?” tanya Haji Rahman.
Dhia pantas
menggelengkan kepala. “Dalam Malaysia ni banyak lagi yang berpangkat Tan Sri
la, ayah. Tan Sri Junaidi tu, entah berpuluh-puluh orang nama macam dia,” jawab
Dhia sambil mengunyah karipap buatan maknya itu. Memang tersedap di dunia!
“Setahu ayah, Tan Sri
Junaidi tu salah seorang jutawan kat Malaysia ni. Ada bisnes bukan main besar,
tapi sekarang anak dia yang ambil alih bisnes tu,” cerita Haji Rahman.
“Patut kereta dia bukan
main besar lagi kan, ayah?”
Haji Rahman mengangguk.
“Siap dengan driver lagi,” tambah Hajah Sakinah.
“Ha! Kenapa Tan Sri
Junaidi tu boleh datang ke rumah kita. Ayah dengan mak ada buat bisnes dengan
dia ke?” soal Dhia. Hairan juga dia jika lelaki yang dikatakan jutawan itu
boleh datang ke rumahnya. Sudi jugak dia jejakkan kaki di kampung ni.
“Boleh dikatakan besar
jugak bisnes kita tu kan, bang? Beratus-ratus ribu!” ujar Hajah Sakinah sambil
menjeling melihat Dhia Irdina yang sudah terlopong mulut mendengarnya. Sengaja
mahu kenakan anaknya.
“Betul ke, ayah?” Dhia
begitu teruja.
Tiba-tiba riak wajahnya
berubah.
“Tunggup sekejap! Bisnes
apa sebenarnya ni? Jangan-jangan dia penipu. Kaki kikis duit orang-orang
kampung yang tak tahu apa-apa. Mak dengan ayah jangan risau, lepas ni biar Dhia
sendiri yang siasat. Kalau Dhia dapat tahu, orang tua tak sedar diri tu penipu
dan kaki kelentong. Dhia robek-robek bijik mata dia!” ujar Dhia. Gayanya sudah
seperti perwira yang berjanji akan membawa keamanan kepada negara.
“Dhia… Tak baik, belum
apa-apa dah menuduh orang yang bukan-bukan. Ayah kenal siapa Tan Sri Junaidi
tu. Dah banyak kali dia datang sini jumpa ayah. Dia ke sini, sebab ada urusan.
Dia berhajat nak beli tanah pusaka milik keluarga ayah yang dekat Ipoh tu,”
beritahu Haji Rahman.
Dhia tersenyum. Sekali
lagi dia malu, tapi kali ini kerana tuduhannya yang melulu. Astafirullahal’azim.
Ampunkan aku, Ya Allah!
“Owh... Jadi, ayah
setuju nak jualkan ke?” tanya Dhia sekadar ingin tahu.
“Ayah mintak waktu.
Tanah tu… tanah pusaka. Tak boleh la ayah yang buat keputusan sendiri. Kena la
tanya pada waris yang lain jugak sama ada setuju atau tidak,” balas Haji
Rahman.
Dhia Irdina diam tanda
mengerti. Karipap ditangan dihalakan ke mulut. Masuk ini, sudah tiga biji dia
telan.
“Kak Dhia!!!” jeritan
Wana sudah di ruang tamu sudah dapat didengar kuat oleh mereka tiga beranak
yang berada di dapur. Hampir tersedak Dhia dibuatnya.
“Apa ni, Wana… Masuk
rumah aje menjerit? Bagilah salam dulu. Elok la dua beradik, sama aje perangai.
Pening kepala mak fikirkan anak dara dua orang ni,” ujar Hajah Sakinah sejurus
anak keduanya itu masuk ke dapur.
“Maaf ye semua?
Assalammualaikum?” ucap Wana sebelum mengambil tempat di sebelah kakaknya.
“Waalaikumussalam…”
segera mereka bertiga menjawab.
“Kak Dhia balik kenapa
tak bagitahu?” Muncung saja bibir Wana semasa mengajukan solan itu. Sama
seperti muncung yang kakanya selalu buat.
“Malaslah nak bagitahu.
Nanti adalah budak tu nak menghabiskan duit orang kirim itu dan ini,” perli
Dhia.
Wana menarik muka. “Ish,
kedekut punya orang...”
Haji Rahman tersenyum melihat
kedua anak gadisnya itu. Hajah Sakinah pula menggelengkan kepala.
“Abang nak kopi? Kinah
buatkan…” tanya Hajah Sakinah.
“Abang dah kenyang
minum dengan Tan Sri, tadi. Abang ingat nak ke rumah Kak Kiah ni. Ada nak kirim
apa-apa tak?”
“Ha, elok sangatlah tu.
Boleh la Kinah bekalkan karipap ni. Rumah Kak Kiah tu ramai, sebab tu sengaja
Kinah buat banyak karipap ni. Ingat nak suruh abang hantarkan la,” ujar Hajah
Sakinah.
Pantas dia bangun dan memasukkan
karipap-karipap ke dalam sebuah bekas. Setelah siap, diberikan bekas itu kepada
suaminya.
“Hati-hati bawak motor
tu abang,” pesan Hajah Sakinah.
“Yelah…” balas Haji
Rahman.
Sampai di pintu rumah,
kelihatan Saiful sedang menunggang motosikal masuk ke halaman rumahnya.
“Assalammualaikum…”
laung Saiful setelah enjin moto kapcai peninggalan arwah ayahnya itu dimatikan.
“Waalaikumussalam. Ha,
Epol… Bila kamu balik?” Tanya Haji Rahman.
“Tengahari tadi
sampainya, Pak Ngah. Saya nak ke kedai, tapi ternampak pulak kereta Dhia. Itu
yang saya singgah ni,” ujar Saiful. Senyuman di bibirkan sentiasa terukir.
“Dhia! Epol datang ni!”
beritahu Haji Rahman. Suaranya kuat melaung. “Pak Ngah nak ke rumah kamu
sebenarnya. Tak apalah, kamu masuk aje. Dhia ada kat dalam tu. Di dapur,”
suruhnya pula.
Perlahan Saiful masuk
ke dalam. Dia sudah biasa dengan rumah ini. Rumah nombor dua selepas rumah
maknya yang hanya selang beberapa buah rumah dari sini.
“La…, bila Abang Epol
balik?” Tanya Wana bila dia ternampak Saiful di ruang tamu. “Wana ingatkan
apalah yang ayah terjerit-jerit tadi.”
“Tengahari tadi. Erm…
Kak Dhia mana?”
Wana tersenyum
mengusik. “Abang Epol memang pantang dapat tahu Kak Dhia balik, kan? Asyik nak
berkepit aje kerjanya. Jangan tak jadi majlis esok sudahlah, ye?”
Saiful tersenyum. Dia
faham makna tersirat yang terkandung di sebalik kata-kata sepupunya yang baru
menjangkau usia 21 tahun itu. “Kalau tak jadi, kira ada harapan la Wana nak
jadi adik ipar Abang Epol…” Saiful seolah masih mengharap.
“Uish… kelam kabut la
Mak Long nanti kalau mulut Abang Epol tu betul-betul masin,” balas Wana.
“Abang Epol duduk dulu…
Wana ke dapur panggil Kak Dhia.”
“Yelah… terima kasih,”
ucap Saiful sebelum Wana pergi.
“Sama-sama…” balas Wana
dari jauh.
Sampai Dapur, Wana melulu
ke arah kakanya. “Kak Dhia…” panggilnya. Namun, kakaknya itu diam saja tidak
menyahut.
Ish! Pekak ke apa dia
ni? Gumam Wana dalam hati. “Kak Dhia!!!” jerit Wana dekat dengan telinga
kakaknya.
“Oitt… Gajah terbang!”
Dhia melatah. Cawan yang sedang dicuci terus dilepaskan semula ke dalam sinki.
Wana ketawa seperti
mahu pecah perut. Entah zaman bila kakaknya ini pandai melatah.
Dhia mengetap bibir.
Geram melihat adiknya yang sedang ketawa suka itu. “Ha! Seronok buat akak
terkejut? Bersyukur ajelah akak tak hempap cawan kaca tu atas kepala adik!”
marah Dhia lalu menyambung mencuci pinggan mangkuk yang penuh di dalam sinki
itu.
“Eleh… Itu pun nak
marah. Dia tu yang pekak. Tahu la akak tu seorang yang fokus apabila melakukan
sesuatu kerja. Tapi, jangan la sampai orang panggil pun tak dengar. Cuci
pinggan, fokusnya tu mengalahkan orang yang tengah buat eksperimen belah katak,”
kata Wana sambil memeluk tubuh. Belakangnya pula disandarkan di kabinet dapur.
“Akak tak marah la…
Akak sayang. Tapi, lain kali jangan la buat macam tu. Buatnya masa tu akak
tengah pegang pisau ke apa maca mana? Akak boleh jadi anak tunggal tau!” balas
Dhia.
Wana diam. Faham makna
tersirat di sebalik kata kakaknya itu. “Erm, yelah… Sorry,” ucap Wana. Dhia pula hanya tersenyum.
“Tak nak tanya ke
kenapa Wana panggil akak ni?” soal Wana.
“Kenapa?” tanya Dhia.
“Abang Epol… Dia ada
kat ruang tamu tu. Pergi la… dia nak jumpa dengan akak.”
Dhia terus berhenti mencuci.
Paip air segera ditutup. “Serius?!” tanya Dhia seakan tidak percaya.
“Yelah…” jawab Wana
sepatah.
Dhia segera mencabut apron
yang dipakainya keluar dan disarungkan kepada tubuh Wana. Terperanjat Wana
dengan kelakuan kakaknya.
Dhia tersenyum. “Tolong
sambung cuci pinggan mangkuk ye?” kata Dhia kepada adiknya lalu keluar dari
ruangan dapur dengan memakai selendang.
“Aiseh… Apalah nasib aku?” Wana membuka paip air. Satu pinggan di
dalam sinki diambil.
“Beginilah nasib, diriku yang malang… Oh,
Tuhan…” Sempat Wana menyanyikan satu lirik lagu nyanyian arwah P. Ramlee sambil
menyambung mencuci sisa pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh kakaknya.
*****
DHIA
menghayun perlahan buaian kayu yang dibuat oleh ayahnya di pokok mangga yang
terletak di sebelah rumah. Dhia tersenyum-senyum sambil memandang Saiful yang
duduk di atas batang pokok kelapa yang sudah rebah ditebang beberapa minggu
yang lalu.
Sekali sekala dapat
melepak dan berbual di sini sangat menyeronokkan. Tempat ini sudah seperti
menjadi port wajib untuk mereka
kunjungi jika sama-sama balik ke kampung.
“Kukuh lagi buaian ni
ye? Tak bahaya ke?” soal Saiful sambil mengoyang-goyang tali buaian itu.
Terkejut Dhia dibuatnya.
“Eh, mesti la kukuh…
biarpun dah bertahun,” jawab Dhia. Dia menghayunkan semula buaian menggunakan
kakinya.
“Bukan apa… dah nama
pun sudah bertahun, orang yang duduk tu pun mesti la semakin berat,” ujar
Saiful.
Dhia mengetap bibir.
Terasa sangat mendengar perkataan ‘berat’ itu. “Kau perli aku ek?” Dia tunduk
melihat badannya. Tak ada la besar pun. Rasanya, dari sekolah menengah sampai
la sekarang… badannya tak besar-besar jugak. Pembesaran di tempat lain tu ada
la. Hehehe.
Saiful tersengih.
Sebatang ranting yang dipegangnya itu dikais-kais di atas tanah. Seperti
menulis sesuatu, tapi tak nampak muncul apa-apa perkataan pun.
“Kau mesej, kata nak
balik minggu depan. Ke… aku yang tersalah baca mesej kau?” tanya Dhia yang
lebih selesa membahasakan diri mereka sebagai ‘aku’ dan ‘kau’ kerana usia
mereka hanyalah berbeza setahun. Saiful 30 tahun, manakala Dhia 29 tahun.
“Betul la… memang kalau
ikut perancangan minggu depan. Tapi, banyak pulak hal yang aku nak uruskan di
kolej tu. Dengan pelajar-pelajar nak final
exam lagi. So, terpaksalah
dipercepatkan pertunangan. Lepas ni, memang susah la aku nak dapat cuti,”
cerita Saiful.
Kerjayanya sebagai
seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Jika dilihat cara dia
berpakaian sekarang ni ditambah pulak tunggang moto kapcai buruk tu, memang
susah orang nak percaya dia ni seorang yang berpendidikan dan mempunyai kerjaya
yang baik.
Kata Saiful, inilah
gaya dia apabila dia di kampung. Dia pun dah penat setiap hari memakai kemeja
dan tali leher. Di kolej, dia adalah di dalam senarai pensyarah yang paling handsome dan cool. Dhia juga tidak terlepas. Apabila di kampung dia akan
sentiasa berkain batik, tapi itu hanyalah apabila dia berada di sekitar
rumahnya. Keluar sahaja dari border
rumah, automatik dia akan menukar.
“Bertunang?!” Dhia
terperanjat. Hayunan buaian pantas dihentikan. Adakah dia salah dengar? Kenapa
mak, ayah dan Wana tak beritahu dia apa-apa pun?
“Yelah, bertunang. Kau
tak tahu ke? Bukan ke hari tu aku ada call
kau beritahu.” Saiful memandang Dhia penuh kehairanan.
Dhia diam sejenak. Cuba
mengingati kembali panggilan telefon yang dikatakan oleh Saiful itu. Beberapa
saat kemudian…
“Ha! aku ingat, tapi
ingat-ingat lupa apa yang kau cakap dalam telefon tempoh hari, aku mengantuk
sangat la masa tu…” ujar Dhia.
Dia ingat lagi, masa
itu dia baru balik dari berjoging pada waktu petang. Entah macam mana dia
tertidur di ruang tamu rumah sewanya. Pada masa itulah, dia rasa seperti
separuh sedar sahaja menjawab panggilan daripada Saiful. “Dengan siapa kau nak
bertunang? Setahu aku… kau tak pernah bercinta pun.”
“Dengan kawan lama aku
semasa di USM dulu, Nadia. Kami terjumpa semula semasa hadiri satu kursus tiga
bulan lepas di Kelantan,” beritahu Saiful.
Dhia mengambil seketul
batu kecil di bawah, lalu dibaling kepada Saiful. “Ish! Bagusnya kau....
Bercinta. Lepas tu, tup-tup dengar nak bertunang pulak? Sikit pun kau tak
cerita kat aku kan?” Dhia memerli.
Bibirnya dimuncungkan. Entah
kenapa Dia rasa dipinggirkan. Selama ini, Saiful tidak pernah merahsiakan
apa-apa dari pengetahuan dirinya. Tidak ditanya pun, pasti dengan sendiri
Saiful akan bercerita biarpun kadang-kadang tu, Dhia sendiri rasa malas nak
dengar.
“Ala… Aku tengah nak
cerita la ni. Jangan la merajuk. Cair betul la hati aku tengok muka monyok kau
tu. Comel semacam aje. Geramlah aku tengok!” ujar Saiful sambil cuba memujuk
gadis di sebelahnya ini.
“Aku tak merajuk la… Aku
cuma terkilan, sebab jadi orang terakhir yang tahu pasal hal ni,” kata Dhia
sambil memeluk tubuh.
“Mana ada… Apa-apa pun
kau orang pertama yang aku cerita tau. Kau juga orang pertama yang aku lamar
dan orang pertama yang tolak lamaran aku.” Saiful mengingatkan kembali.
Dhia memandang Saiful
penuh simpati. Ada rasa bersalah yang dia rasakan apabila melihat wajah yang
berada di sebelahnya ini. Tapi, dia yakin bahawa Saiful seorang yang memahami.
“Yelah… Waktu tu aku
terlalu sibuk dengan kerjaya aku yang masih tak tetap tu, dan aku belum
bersedia nak pikul tanggungjawab yang lain. Kau tahu, kan? Aku kalau boleh nak
jadi seorang isteri yang baik dan solehah buat suami aku nanti,” ujar Dhia yang
sudah lama memasang matlamatnya.
“Tapi kan… Kalau kau
lamar sekarang mesti aku terima,” tambah Dhia lagi.
Saiful mendongak memandang
Dhia. “Kalau macam tu… aku masuk meminang kau ajelah esok!”
Tersembur
ketawa Dhia mendengar rancangan yang boleh dikatakan gila tu. Sebenarnya dia
hanya bergurau. Sengaja mahu melihat reaksi Saiful. Tidak sangka pula itu yang
dibalas oleh Saiful. Jika betul Saiful serius, memang masak la dia!
“Kau
nak kena ganyang dengan mak kau? Kalau berani, kau buatlah!” Dhia memberi
peringatan.
“Ish,
tak nak la aku! Mak aku kalau dia dah naik angin monsun, sekali dengan aku
terbang campak kat laut.” Saiful menggelengkan kepala. Gerun pula memikirkannya.
Jauh di sudut hatinya, dia masih ada keinginan
untuk memiliki gadis yang bernama Dhia ini. Tetapi, semuanya sudah terlambat.
Dia harus kuburkan perasaan itu dalam-dalam. Mungkin memang tiada jodoh
diantara mereka.
“Eh, kali ni kau balik
sekejap ke lama?” soal Saiful.
“Lama jugak… Aku dah
berhenti kerja kat Penang tu. Pelan-pelan aku angkut barang-barang bawak balik
sini,” beritahu Dhia.
Bukan dia tidak betah
bekerja dan tinggal di sana, cuma apa yang ditawarkan ini lebih baik dari kerja
yang sebelumnya. Dhia juga bersyukur kerana selepas tamat sahaja buat master di
Universiti Malaya, banyak sekali tawaran temuduga yang dia dapat.
“Habis tu lepas ni, kau
nak buat apa?” tanya Saiful. Sebenarnya dia sudah tahu bahawa Dhia mahu
berhenti kerja. Tapi, tidak sangka pula dalam masa terdekat ini.
“Aku pergi KL la. Aku
kan dapat tawaran kerja sebagai setiausaha kat sebuah syarikat di sana.”
“Wah… Lepas ni, selalu
la kita jumpa. Urm, bila kau nak pergi sana?” tanya Saiful lagi. Gembira dia
setelah dapat tahu Dhia akan ke Kuala Lumpur.
“Awal bulan depan.
Sekarang aku nak rilek-rilek dulu kat kampung, hirup udara segar lagi nyaman
seperti sekarang ni sebelum balik semula ke tempat yang penuh dengan kesesakan
tu!” kata Dhia. Dia sudah dapat rasakan suasana kesibukan di kota, terutama
sekali di ibu negara seperti bandar Kuala Lumpur itu.
“Nanti di sana kau nak
tinggal mana? Susah tau kalau last
minutes baru kau nak cari rumah sewa. Kalau kau nak, hari rabu ni aku balik
sana, aku tolong carikan rumah yang sesuai untuk kau sewa.” Saiful menawarkan
pertolongan memandangkan dia mempunyai ramai kenalan di sana.
“Terima kasih la, Epol…
Soal di mana aku nak tinggal tu, kau jangan risau. Aku ada kawan kat sana. Aku
dah telefon beritahu dia pasal hal ni. Dia pulak, ajak aku tinggal dengan dia,”
ujar Dhia sambil tersenyum. Saiful juga tersenyum lega mendengarnya.
Bunyi
menandakan ada mesej yang baru sampai membuatkan Saiful terus mengeluarkan
telefon bimbitnya dari poket seluar. “Aduh!” Saiful menampar dahinya selepas membaca
mesej tersebut.
Dhia
menjongketkan keningnya. Hairan melihat kelakuan Saiful. “Kau dah kenapa?”
“Aku
lupa yang aku nak ke kedai beli barang-barang yang diorang pesan tadi. Nasib
baik Kak Anis mesej,” beritahu Saiful yang sudah bangun dari situ. “Aku pergi
dululah… Kang nanti, mengamuk pulak
Kak Anis tu.”
“Yelah…
pergilah cepat!” balas Dhia.
Saiful terus melangkah
pergi. Baru sahaja beberapa langkah, Saiful berhenti dan menoleh ke arah Dhia.
“Dhia… Esok, kau jangan lupa datang rumah aku tau,” pesannya.
“Jangan
risau… Esok pagi-pagi buta lagi aku terpacak dalam rumah kau macam tiang
bendera Malaysia,” ujar Dhia lantang. Saiful mengangkat ibu jarinya tanda suka
dengan jawapan Dhia.
“Eloklah
tu… Jangan kau pulak yang membuta,” sindir Saiful sebelum meneruskan
langkahnya.
Dhia
mencebik bibir sambil menayang satu penumbuk kepada Saiful. Dia dengar apa yang
dikatakan oleh Saiful tadi. Sempat lagi nak cari pasal! Dari jauh dia lihat
Saiful tersenyum suka.
Setelah
lelaki itu hilang dari pandangan bersama moto kapcai itu, Dhia tersenyum
sendiri, lalu menggelengkan kepala. Nama saja mereka berdua ni dah dewasa,
tetapi bila berjumpa perangai kebudak-budakan masih tidak hilang.
Dhia
memandang tempat Saiful melabuhkan punggungnya tadi. Tiba-tiba, dia terperasankan
sesuatu yang tidak berapa jelas jika dilihat dari sini. Pantas dia bangun dari
buaian dan melihat dekat-dekat permukaan tanah itu.
“Dhia…”
sebut Dhia setelah melihat perkataan yang terlakar di atas tanah itu. Dia
yakin, pasti Saiful yang melakarkannya menggunakan ranting yang dipegangnya
tadi.
Tapi, kenapa nama aku?
Dhia tertanya, meskipun jawapannya dia sendiri sudah tahu bahawa Saiful pernah
menyanyangi lebih dari seorang sepupu.
No comments:
Post a Comment