WALAUPUN esok hari bersejarah baginya, Amru
masih termenung di kepala katil. Mata enggan lelap lantaran
hati menghadapi pergolakan. Mindanya bingung. Bukan dia
ingin menarik diri dari pentas perkahwinan. Sebaliknya mula
merasakan dirinya tak layak menjejakinya.
“Aku tahu kau terkejut dan pelik, Mus. Tentu kau
tak sangka aku akan pilih Nailufar,” katanya tenang pada
pagi Isnin sewaktu bersarapan bersama-sama di sebuah kafe.
Jumaat lalu, Mustafa telah menyempurnakan sebahagian
perancangannya. Nailufar kini menjadi tunangannya.
Manakala Amru selesai menghadiri kursus perkahwinan
Sabtu dan Ahad semalam. Begitu juga dengan Nailufar.
“Kalau kau bercakap tentang kekurangan Nailufar,
aku langsung tak pelik. Ini soal hati, Amru. Bila kau dah
sayang dan cinta, kekurangan bukan lagi halangan. Yang
penting kemahuan hati untuk bersama.”
Ya, tak dinafikan! Dia menerima bukan atas dasar
simpati atau semata-mata melindungi maruah Nailufar.
Hakikatnya hati lelakinya menuntut gadis itu dari mula.
Selagi belum terikat, selagi itu jiwanya berkeluh-kesah. Batin
Amru menjerit terseksa.
“Tapi menurut cerita Pak Cik Hamdan, kau
berkahwin dengan Nailufar atas sebab murni. Katanya kau
nak lindungi maruah mereka sekeluarga. So, aku agak keliru
tujuan utama kau pilih Nailufar. Sama ada simpati atau kau
jatuh sayang lebih dulu?”
“Pak Cik Hamdan cerita dekat kau?” Amru agak
terkejut.
“Waktu tu cuma kami berdua dekat luar. Isteri
dengan orang tua aku ada kat dalam rumah lagi. Aku sengaja
tanya macam mana kau boleh berkenalan dengan Nailufar.
Tak sangka dia bercerita jujur tanpa selindung. Betullah ada
orang cuba usik Nailufar?”
“Yes. Aku selamatkan Nailufar tapi sebaliknya aku
kena tuduh buat kerja tak senonoh. Untuk elakkan maruah
Nailufar tercalar, aku tawarkan diri jadi suami dia. Mulanya
Pak Cik Hamdan tak nak terima sebab dia rasa terhutang
budi. Tapi bila difikir balik, aku sebenarnya yang terdesak nak
dapatkan Nailufar.” Amru tersenyum di hujung kata.
“Maksudnya, kau memang suka Nailufar sebelum
kejadian tu?”
Amru sekadar angguk. Kalau tak suka, dia tak
mungkin sebegini nekad.
Mustafa menarik sengih.
“Pandai kau ambil kesempatan, kan? Gunakan
kejadian tu sebagai alasan untuk Pak Cik Hamdan terima
kau.”
“Aku memang pandai, Mus. Kau ingat lagi masa
study dulu siapa yang tidur dan siapa bersengkang mata
tengah malam dekat meja study?” Amru berlawak sambil
jongket-jongket kening.
Mustafa julingkan mata ke atas. Menyampah. “Siapa
pula yang kejut kau bangun pagi supaya tak terlepas exam?”
Amru tersengih.
“Anyway, thank you so much for everything. Aku
ingat nak belanja walid dan umi kau pergi umrah.”
“Wow, lumayan tu! Tapi lebih baik kau yang pergi
dulu sebelum hantar orang lain ke sana. Lagipun kau tak
pernah jejak kaki ke sana, kan?”
Amru hanya tersenyum kecil. Tak ada idea hendak
membidas kata-kata Mustafa. Dia lebih daripada mampu
untuk berulang-alik setiap bulan tapi keinginan untuk ke
sana belum hadir. Paling penting, Amru rasa tak layak kerana
dia hanya Muslim tanpa jiwa Muslim.
“Aku bersyukur kau pilih menjadi sebahagian
daripada keluarga Pak Cik Hamdan.”
“Maksud kau?”
“Pak Cik Hamdan kata dekat aku, dia percaya kau
mampu lindungi Nailufar. Tapi aku ragu-ragu dengan
keupayaan kau untuk lindungi anaknya.”
“Apa maksud kau sebenarnya, Mus?” Hampir
bercantum pangkal kening Amru. Terasa duduknya gelisah
dengan kata-kata Mustafa yang tak memihak kepadanya. “Kita
berkawan lebih sepuluh tahun, baru sekarang kau ragu-ragu
dengan aku?” tanyanya lagi.
“Maaf kalau aku lantang, Amru. Tapi macam mana
kau nak lindungi Nailufar sedangkan diri sendiri kau tak
mampu lindungi?”
“Isu apa yang kau tak puas hati sebenarnya? Aku
harap bukan topik yang boleh buat kita bergaduh, Mus.”
Amru cuba bertenang walaupun hati sebal.
Mustafa sedut nafas dalam-dalam sebelum
memulakan kata. “Dari dulu aku sebut perkara yang sama.
Hidup kita bukan semata-mata dekat dunia, Amru. Kita ada
masa depan dekat akhirat. Orang Islam beriman dengan hari
akhirat. Cuba kau renung dalam diri, persiapan apa yang
kau lakukan untuk kehidupan dekat sana?” Mustafa sengaja
berjeda demi melihat perubahan Amru. Pemuda itu sekadar
bersandar tenang. Lantas dia meneruskan kata.
“Fine, kita tak payah bercerita jauh sampai akhirat.
Aku bercakap soal tanggungjawab kau sebagai suami bermula
hujung minggu ni. Pak Cik Hamdan harapkan kau lindungi
Nailufar. Pelindungan yang dia maksudkan bukan sekadar di
dunia tapi termasuk kehidupan selepas dunia. Akhirat yang
kekal abadi. Kau bakal jadi ketua keluarga. Apa method yang
bakal kau gunakan untuk bimbing isteri dan anak-anak kau?
Hidup bagaimana kau nak corakkan?”
“Aku bercakap bukan sebab aku confirm syurga,
bukan sebab aku lebih baik dan bukan sebab aku rajin
beribadat. Aku bercakap sebab ini tanggungjawab aku sebagai
khalifah, sebagai saudara seagama, sebagai sahabat yang
sayangkan kau. Aku nak kau kembali dengan Islam. Hayati
apa itu Islam dan ambil keseluruhan Islam. Bukan setakat
nama dah mengisytiharkan kita Islam. Solatlah, Amru. Kalau
dulu kau boleh buat, kenapa tak sekarang?”
Mustafa terus berkata dengan lebih telus. Jika dulu
dia banyak berkias tapi sekarang dia harus keras dan sinis.
Dia perlu ingatkan Amru dari masa ke masa. Pedulilah
jika usahanya bagai mencurah air di atas daun keladi.
Sekurang-kurangnya dia telah menyampaikan kebenaran dan
laksanakan peranan sebagai sahabat. Terpulang kepada Amru
untuk menentukannya.
Manakala Amru menyepi. Dia teringat zaman belajar
dulu. Mustafa yang banyak memberikan pendedahan tentang
Islam. Selama dia hidup, daddy dan mamanya tak pernah
menerangkan ciri-ciri agama yang mereka pegang. Dia belajar
hanya di tingkatan satu hingga lima. Amru tahu halal dan
haram yang dibincangkan di dalam buku teks. Semuanya dia
patuh tapi dia tak pernah melakukan solat. Dia tak nampak
keperluan untuk dirikan solat. Berbeza dengan arak, judi dan
zina memperlihatkan akibat buruk jika diamalkan.
Sehinggalah dia ditakdirkan sebilik dengan Mustafa.
Amru melihat dan terus melihat perbuatan Mustafa. Dia
tak pernah buka mulut bertanya. Sebaliknya Mustafa rajin
mengajaknya. Lalu dia mula solat. Itu pun atas keterpaksaan.
Sekadar memuaskan hati Mustafa yang banyak mencurahkan
ilmu. Bila Mustafa tak bercakap dengannya, Amru terpaksa
solat. Dek enggan bersengketa dengan sahabat. Namun
setelah tamat pengajian, saban hari dia bekerja siang dan
malam tanpa sebarang solat. Tetap kejayaan menjadi miliknya.
Ekoran itu, Amru melihat solat bukan faktor penting untuk
berjaya.
“Aku solat atau tak, aku masih boleh berjaya.”
“Itu istidraj. Tuhan memberi tapi sebenarnya untuk
menyesatkan kau lagi. Pemberian yang berkat, semakin
Tuhan bagi, semakin kau ingat dan bersyukur dengan Dia.
Kau akan cuba dekatkan diri dengan Allah, sebabnya kau
tahu kejayaan dunia cuma sementara. Kau lebih dahagakan
kejayaan akhirat yang kabur dan belum pasti.”
“Maksud kau, rezeki aku tak ada keberkatan?”
“Maksud aku, carilah keredaan Allah melalui
pemberian-Nya. Ciri-ciri rezeki yang tak berkat ni, semakin
kau cari, semakin kau rasa tak cukup. Kau masih rasa
kekosongan. Masih belum puas dan masih dahaga. Walaupun
kau rajin sedekah dan keluarkan zakat, tetap juga kau
tinggalkan tiang agama. Solat kuncinya. Kunci itu kau tak
ada. Aku dan kau masing-masing ada carta solat. Berapa yang
kita hutang, berapa yang kita laksanakan dan berapa banyak
kita sengaja tinggalkan. Nabi yang Allah jamin syurga pun
solat sampai bengkak-bengkak kaki sebab takut dengan Allah.
Ini pula kita manusia biasa yang tak berdarjat.”
Amru terkenang betapa gigih dia mencari rezeki.
Tanpa mengira siang dan malam, dia bekerja tanpa batas
waktu. Sekarang kejayaan itu miliknya. Amru rasa semua itu
datang daripada hasil usahanya sendiri. Dia mampu memiliki
apa sahaja menurut kehendak hatinya. Cuma jiwanya yang
sering tak keruan. Jiwanya meronta-ronta inginkan sesuatu.
Amru keliru. Dia tercari-cari puncanya namun Amru sering
menemui jalan buntu. Mungkinkah kuncinya solat?
“Aku tak nak kau termasuk dalam golongan fasik.
Mereka Islam tapi bertindak tak menurut hukum Allah.
Mereka lari daripada taat kepada Allah. Al-Quran sebut siapa
yang tak lakukan perkara menurut apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itulah orang fasik. Berterusan lakukan
dosa antara ciri-ciri fasik. Contohnya, Allah perintahkan kita
solat. Bila kita berterusan tinggalkan solat dengan sengaja
maksudnya apa? Firman Allah, kalau datang apa-apa berita
daripada golongan fasik, hendaklah diselidik dulu. Allah bagi
peringatan kepada orang-orang mukmin supaya berhati-hati
dengan orang fasik. Allah sebenarnya mencela mereka sebab
mereka ini menjadi fitnah kepada agama. Menyebabkan
orang bukan Islam melihat Islam agama yang tak cantik dan
tak stabil.”
Fasik? Berterusan melakukan dosa? “Tapi aku mana
pernah main perempuan, berjudi dan minum arak,” bidas
Amru.
“Macam aku cakap tadi. Kuncinya kau tak ada.
Kau buka syarikat kontraktor. Kau faham peraturan bina
bangunan. Dinding, bumbung, tingkap dan pintu mustahil
berdiri tanpa tiang dulu. Kau patuh semua yang Islam
gariskan tapi kenapa solat lima waktu tak mudah bagi kau?
Baru-baru ni aku baca online news, ada seorang isteri dekat
Riyadh failkan penceraian sebab suami tak solat. Apa pendapat
kau?”
Amru terkelu dan terkedu. Hilang penentangan yang
bermukim dalam benak.
“Bayangkan reaksi Pak Cik Hamdan bila dapat
tahu menantunya jenis tak solat? Sebagai ayah, dia pasti
rasa terkilan sebab serahkan anaknya kepada lelaki yang tak
mampu lindung dan bimbing anaknya menjadi isteri solehah.
Kalau hubungan dengan Allah tak boleh jaga, macam mana
nak jaga anak dia? Semakin bertambah berat hati dia bila
mengenangkan kehidupan bakal cucu-cucunya. Aku yakin,
Pak Cik Hamdan seorang yang kuat agama. Sebab itu aku
bersyukur kau pilih jadi sebahagian daripada keluarganya.
Cuma sebagai lelaki yang cakap nak lindungi anaknya, kau
kena buktikan dekat Pak Cik Hamdan yang dia tak salah
terima pinangan kau. Jangan sampai kepercayaan bertukar
kekesalan.”
Tangan meraup wajah. Penat bersandar di kepala
katil, Amru mula membaringkan tubuhnya ke atas tilam.
Kepala diletak di atas bantal. Segala kata-kata Mustafa
meresap jauh ke dalam hati. Memukul jiwa yang kebal selama
ini. Dia harus insaf. Dia harus bertaubat tapi dia tak yakin
caranya. Dia tak ada kekuatan untuk mengubah dirinya.
Sekali lagi minda dipenuhi peringatan tulus daripada seorang
sahabat. Terngiang-ngiang di telinganya.
“Islam terdiri daripada takwa dan syariat. Rasulullah
bina ketakwaan dalam diri sahabat-sahabat dan umat
terdahulu sebelum Allah perintahkan baginda sampaikan
syariat. Bila takwa menguasai diri, dengan mudah mampu
laksanakan syariat. Sebab jiwa ini telah tunduk, patuh dan
takut dengan kebesaran Allah. Firman Allah, kalau Al-Quran
diturunkan atas sebuah gunung, pasti ia tunduk terpecah
belah disebabkan takut dengan Allah. Perumpamaan itu Allah
sampaikan supaya manusia yang diberi akal boleh berfikir
dan bandingkan.”
“Amru, kita mukalaf, bukan mumaiyiz lagi. Akal
kita cukup bijak untuk singkap kebenaran. Cukuplah tiga
puluh tahun yang sia-sia. Kau dah dapat hampir segalanya
dekat dunia. Kemewahan, kejayaan dan kemegahan dalam
genggaman kau. Masih tak terlambat untuk kau bina sebuah
matlamat baru. Letakkan akhirat sebagai kejayaan hakiki.
Aku sebenarnya tak naklah push kau tapi aku terpaksa. Masa
belajar dulu, bolehlah aku pantau dan tegur mana yang
patut. Tapi sekarang, aku dah sibuk dengan tanggungjawab
lain. Kau pula dah nak jadi suami dan bentuk keluarga baru.
Dalam kesempatan ni, aku perlu ingatkan peranan yang bakal
kau pikul. Hari ni aku ingatkan kau, Amru. Esok lusa giliran
kau pula ingatkan aku bila aku tersalah langkah. Sorry kalau
bahasa aku agak kasar. Tegur-menegur untuk kebaikan,
maksudnya kau penting bagi aku. Aku malaslah nak cakap
sayang banyak kali. Tak fasal-fasal orang ingat aku gay.”
Mustafa tersenyum di hujung bicara.
“So, aku perlu berubah untuk buktikan dekat Pak
Cik Hamdan yang aku layak untuk Nailufar?”
Mati senyumannya. Mustafa membuang keluhan.
“Aku tak suruh kau berubah semata-mata untuk
puaskan hati manusia. Itu cuma sebab sampingan. Sebab
utama lillahi taala. Hijrah dari kurang baik menjadi lebih
baik kerana Allah. Kalau semata-mata untuk manusia, tak
ada nilainya dekat pandangan Allah. Samalah macam seorang
sahabat Rasulullah yang berhijrah dari Mekah ke Madinah
demi menikahi seorang perempuan. Dia digelar muhajir
Ummu Qais yang bermaksud ‘orang yang berhijrah kerana
Ummu Qais’. Disebabkan niat tu, dia tak dapat ganjaran
hijrah daripada Allah walaupun dapat kahwin dengan Ummu
Qais. Sebab itu, pentingnya hijrah untuk diri kau bukan orang
lain. Hijrah sebab kau nak keredaan Allah. Hijrah sebab kau
takut dengan kebesaran Allah. Hijrah sebab kau tahu dunia
ni cuma penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi mereka
bukan Islam. Masa depan kita dekat akhirat bergantung atas
tindakan kita dekat dunia. Sama ada kau pilih untuk mentaati
semua hukum Allah atau sebaliknya.”
‘Aku perlu berubah?’ Benaknya berbisik keraguan.
Tidak yakin dia mampu mengubah cara hidupnya selama tiga
puluh tahun.
Amru merenung siling hotel. Hari esok akan
menjelang sejam lagi. Dia bakal menggalas tanggungjawab
baru. Serta-merta minda membayangi wajah Nailufar. Hati
sungguh tak sabar. Jiwanya mendambakan gadis itu. Oleh
sebab itu, Amru bersungguh meminta Nailufar dari tangan
Pak Cik Hamdan. Maka seharusnya dia tidak menghampakan
hati Pak Cik Hamdan yang terlalu baik memberinya peluang.
‘Hijrah kerana Allah? Tapi dari titik mana aku perlu
berubah? Apa langkah permulaan?’ Minda berdesis keliru.
Buntu mengenangkan kekurangan diri yang baru disedari.
Selama ini, Amru anggap dirinya lengkap segalanya tanpa
sebarang kekurangan. Namun mata seorang sahabat melihat
sebaliknya.
Sedari dulu sahabat itu cuba membantu tapi dia
lemah. Terasa tak berdaya melawan diri yang cukup berat
menunaikan kewajipan yang satu. Tapi sampai bila dia harus
memberi kemenangan atas bisikan syaitan? Sampai bila dia
harus menafikan hak-hak Tuhan ke atas hamba-Nya?
Amru melepaskan keluhan berat. Memandangkan
jawapan masih kabur, dia ambil keputusan untuk tangguhkan
kecelaruan yang menimpa benaknya. Lebih baik dia fokus
untuk hari esok. Lantas mata dikejam dan nafas dihela tenang.
No comments:
Post a Comment