LELAKI itu melangkah ke arahnya dengan
langkah malas. Senyuman nakalnya sudah terbit. Dari
gayanya, memang semua orang akan cap yang dia itu
seorang bad boy. Berbaju Pagoda putih yang berleher luas.
Tak dimasukkan habis ke dalam seluar jean lusuhnya yang
terkoyak-koyak. Rambut serabai. Pencungkil gigi, entah dari
mana dia dapat itu digigit-gigit. Jambang yang mungkin
lewat cukur dalam masa kurang seminggu kelihatan meliar
di pipinya.
Sekarang baru jelas rupa lelaki itu. Hmmm,
memang boleh tahan. Malah, sangat kacak untuk seorang
lelaki yang digari. Kalau dia tak bergari, mungkin Fatiha sudi
memandangnya berkali-kali!
Fatiha berundur setapak demi setapak. Takut juga dia
apabila lelaki itu semakin dekat. Senyuman lelaki itu semakin
melebar. Pencungkil gigi diludah ke tanah. Dah macam hero
filem Tamil pula lagaknya. Siap dengan angin sepoi-sepoi
bahasa lagi mengibas rambutnya yang agak panjang itu.
Kedua belah tangan masih digari di depan. Lengannya ditarik
oleh seorang polis yang kelihatan lebih tua daripadanya.
Tapi kaki lelaki itu tetap juga melangkah ke arah
Fatiha. Berdegil, menongkah arus. Kalau ada rentak yang
mengiringi langkah lelaki itu sekarang, Fatiha rasa mungkin
rentak entrance lagu rock Smoke On The Water sesuai dengan
situasi ini. Isy! Tak pasal-pasal bulu romanya meremang.
Kenapalah dalam situasi sekarang, dia dapat rasakan
yang lelaki itu kelihatan seksi? ‘Seksi kepala otak kau, Ti’ah!
Seksa tu...’
“Sinilah!”
Suara polis pengiring itu mengembalikan Fatiha
ke alam realiti. Polis pengiring itu menarik lengan banduan
di sebelah namun ditepis kasar oleh banduan itu dengan
sikunya.
Hero, dia nak bercakap dengan gadis tadi. Tiada
sesiapa yang boleh menghalang keinginannya walaupun
dalam keadaan bergari. Ini sahaja peluangnya untuk
bertentang mata dengan gadis cantik tadi. Mungkin ia hanya
kebetulan, tetapi hati Hero kuat merasakan yang gadis ini
jodohnya.
“Isy! Tepilah kau, sibuk aje!” marah lelaki itu kepada
polis pengiringnya.
Fatiha menggeleng-gelengkan kepala dengan tahap
biadab lelaki itu. Memang teruk sangat perangainya!
“Hai... kuat jodoh kita,” tegur lelaki itu apabila
mereka bertentangan.
“Euuu, please.” Ter... keluar pula perkataan itu dari
mulut Fatiha. Fikirnya, dia hanya akan mendiamkan diri dan
berpura-pura bisu di hadapan lelaki tak bermoral itu. Atau
berpura-pura cacat ke?
Polis pengiring lelaki itu tadi tergelak dengan reaksi
spontan Fatiha.
Hero menjeling Anwar. Geram apabila diketawakan.
“Eleh, jual mahal... mujur lawa...” Hero tersengih
macam kerang busuk. Dipandang gadis cantik itu dari atas ke
bawah. Betul-betul lawa. Kemas. Cukup pakej. Cutting badan
pun cantik. Tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu kurus.
Umur mungkin awal dua puluhan.
“Tepilah! Orang nak lalu!” marah Fatiha apabila
rasa tak selesa dipandang sebegitu. Lelaki itu menghalang
langkahnya. Kalau dia ke kiri, lelaki itu turut ke kiri. Begitu
juga sebaliknya. Sengaja tak nak bagi dia laluan.
“Tepilah!” jerkah Fatiha.
“Mak aih!” Hero terkejut dengan jerkahan itu.
Tak sangka langsung dia. Nampak aje sopan santun. Sekali
terkeluar suara raksasa dia, haaa... ambil kau!
‘Garangnya cik adik manis ni...’
“Sayangnya! Muka lawa... tapi...” Tak sempat dia nak
habiskan ayat, seseorang sudah menyampuk.
“Mana kroni-kroni Hero? Alah! Tak syoklah kena
tangkap sorang-sorang! Kosonglah trak tu,” sindir satu suara.
Fatiha berpaling. Terkejut dia melihat Inspektor
Ismail yang menegur. ‘Hero? Siapa? Takkanlah ini...’
“Oh, boy...” Macam betul aje tekaannya. ‘Sungguh
ni? Kenapa rupa diaorang tak ada ‘match’ langsung?’ gumam
Fatiha dalam hati. Dia cuba teliti persamaan dua manusia itu
namun tiada apa yang sama melainkan mereka ada hidung,
ada mulut, ada mata!
“Bah. You miss me?” soal Hero kepada bapanya.
Nak gugur jantung Fatiha dengan kebetulan itu.
Fatiha, kekok sendiri di tengah-tengah. ‘Oh, jadi inilah ‘anak
setan’ yang Tuan Ismail ceritakan tadi?’
Tumpuan Hero beralih kepada bapanya.
“Macam mana boleh kena tangkap sorang-sorang aje
ni?” soal Ismail lagi.
“Dia seorang aje yang bersantai dekat situ. Siap
nyalakan rokok lagi, macam ternanti-nanti bila nak ditangkap.
Yang lain cabut lari tak sempat nak kejar. Rasanya ada spy
beritahu diaorang kut.” Anwar bersuara bagi pihak Hero.
“Kenapa tak lari sekali?” soal Ismail kepada anaknya.
Dia geleng kepala. Dah ada peluang, dia tak lari pula.
“Allah, bah... nak lari buat apa? Diaorang dah kenal
muka aku. Bazir tenaga aje kalau lari pun. Biarlah. Dah
dua bulan aku tak naik trak tu. Rindu.” Macam tak serius
saja jawapannya. Sebenarnya, dia sibuk mengutip duit hasil
menang judi tadi. Bila dia hampir sampai ke motornya untuk
melarikan diri, polis pula dah sampai. Dah alang-alang polis
tengok muka dia, biarlah. Malas nak lari, jadi dia relakan saja.
Hari ini dia menang besar, jadi mood dia agak baik.
Apabila mood dia baik, dia rasa nak bertegur sapa dengan
pihak polis yang menyerbu tempat mereka berjudi itu. Tapi
sayang, habis wang yang disorokkan di bawah seat motor
dirampas sama. Ingatkan ada chancelah dia nak sorok-sorok
sikit.
“Rindu kepala otak dia!” Tak sangka Fatiha
termenyampuk. Geram dengan cara lelaki itu menjawab
soalan bapanya. Sambil lewa betul. Macam tak ambil serius
langsung dalam setiap perkara dalam hidupnya. Memang
Fatiha cukup menyampah dengan lelaki begini. Tak ada
tanggungjawab dan tak ada masa depan!
“Eh, awak. Lupa ada awak. Bah, aku kenalkan...
girlfriend aku. Nama dia... kejap, nama awak apa ya, sayang?”
Hero angkat kening. Terlupa yang dia masih belum berkenalan
dengan gadis di hadapannya itu.
“Eeeuuuu.” Sekali lagi Fatiha buat muka meluat.
Geli sungguh dia dengan lelaki itu. Lantaklah anak inspektor
ke, anak doktor ke atau anak gajah sekalipun. Dia tak suka!
“Jangan eeuuu sangat, yang. Nanti kita naik pelamin
sekali, tau?” giat Hero.
Fatiha rasa nak termuntah sangat. Kenapalah dia tak
lari saja ketika dia ada peluang tadi? Kan dah terperangkap di
tengah-tengah? Inilah kali pertama dia tengok seorang lelaki
mengurat dia di depan seorang bapa. Sudahlah ditangkap
oleh orang bawahan lelaki tua yang dikenalinya tadi. Gila!
Kalau hantar cerita ni dekat Ripley’s Believe It Or Not pun
rancangan tu sanggup beli dengan harga satu juta!
“Hero...” tegur Ismail. Malu dia kepada gadis itu
dengan perangai tak matang anaknya.
“Oh, sorry. Where are my manners... hehehe...
Nama saya, Hero. Nama sebenar Hairul Azam bin Rashid.
Ini abah saya. Tuan Ismail yang gagah perkasa, handsome
sentiasa. Yang baik hati...” Hero memperkenalkan diri sambil
memuji bapanya melambung-lambung. Saja nak bodek untuk
dilepaskan.
“Hero, stop it. Abah tahu dah permainan Hero.”
Ismail angkat tapak tangannya. Tahu sangat dah cara Hero
membodek.
“Dan sangat cerdik,” sambung Hero sambil
tergelak-gelak selepas mendengar jawapan Ismail.
Ismail geleng-gelengkan kepala manakala Anwar
sudah berpaling ke tempat lain, ketawa.
Kening Fatiha berkerut. ‘Abah? Ismail. Tapi kenapa
berbinkan Rashid? Anak luar nikah ke? Atau anak pungut?’
Kemudian Fatiha terangguk-angguk sendiri. Faham.
Patutlah perangai macam malaun sikit. Kurang kasih sayang.
“Abah tiri saya ni, sayang.”
Gulp!!! Tiba-tiba Fatiha rasa bersalah sebab dah fikir
yang bukan-bukan.
“Tak tanya pun.” Fatiha mencemik.
Hero merapati Fatiha sehingga bahu mereka berlaga.
Fatiha ketap bibir. Takut diapa-apakan walaupun lelaki itu
bergari. Tapi kenapa dia tak boleh bernafas normal pulak ni?
Ah sudah...
Lelaki itu tak berbau busuk macam orang mabuk
pun. Wangi gila! Macam bau perfume Paco Rabbane, Invictus.
Sekejap saja dia boleh cam bau lelaki itu sebab dulu dia pernah
bekerja di Sephora ketika di KL. Dari segi pemilihan perfume,
lelaki ini nampak macam normal. Malah, sangat normal.
“Muka awak nak tahu sangat tu, sayang.” Hero
berbisik di sebelah telinganya. Siap dengan pakej kucup
cuping telinga dia lagi.
Mata Fatiha membesar dengan jayanya! Merinding
bulu romanya dikerjakan lelaki itu.
“Argh!” Fatiha terjerit, serentak itu tangannya naik
ke pipi lelaki itu. Pang!!! Dia rasa nak samak di situ juga!
Hero hanya tersenyum walaupun dilempang gadis
itu. ‘Lempang manja...’ bisik hatinya.
Senyuman nakal Hero menambahkan rasa bengang
Fatiha. Kenapa dia tak sepak aje anu lelaki itu? Berani Hero
mencabulnya! Tanpa sedar, air matanya bertakung. Dia takut.
“Gila seks punya lelaki!” Kalau Izzul ada ni, memang
pecah muka lelaki itu! Dia tak hairan kalau terpaksa ikat
jamin Izzul untuk sekali lagi. Menyesal dia tak tunggu Izzul
dulu tadi.
“Hero!” jerkah Ismail. Serentak itu telinga Hero
dipiat-piat oleh si bapa macam budak kecil.
Hero mengaduh kesakitan. Tiada apa yang dia boleh
buat dengan tangan bergari itu melainkan terima saja.
“Minta maaf sekarang!” Ismail nampak garang
sungguh.
Hero tergelak saja apabila dimarahi. Lucu. Ismail tak
sesuai jadi garang begitu. Nampak macam kartun!
“Kenapa? Aku tak buat salah pun,” selamba badak
sahaja jawapan yang diberi.
Terjegil mata Fatiha dibuatnya. Tak buat salah?
Habis tadi tu apa?
“Boleh tanya kenapa? Minta maaf sekarang!” Gigi
Ismail sudah terkacip geram. Hero menahan dirinya daripada
ketawa. Apa bapanya ingat dengan meminta maaf, semua
akan kembali kepada sediakala?
“Okey, sorry.”
“Cakaplah betul-betul!” Ismail mendesak.
“Minta maaf sebab dah cium kat tempat yang salah.
Next time, tepat dekat sini.” Hero naikkan telunjuknya lantas
ditekan ke bibirnya. Kemudian dia gelak nakal.
“Hero!” Keletuk!!! Serentak itu kepalanya diluku
Ismail. Muka Ismail sudah merah menyala.
Hero ketap bibirnya. Alamak! Cari bala betul dia
sebab ambil mudah apa yang bapanya suruh.
“Dah. Nuar, tolong bawak dia masuk sebelum
aku yang duduk sebelah dia kat dalam lokap.” Arah Ismail.
Bengang dengan anaknya yang tak pernah serius itu.
Anwar mengheret Hero masuk.
Fatiha terpinga-pinga. Apa yang dia dah saksikan ni?
Mimpi ke realiti? Ada ke orang seberani Hero? Isy! Tak masuk
akal.
“Bukalah dulu gari ni... aku nak minta nombor dia.”
Hero meronta-ronta.
“Takde, takde! Mati hidup semula pun dia takkan
bagi. Takde sesiapa nakkan orang perangai buruk macam
kau.” Anwar mengutuk selamba lantas diheret Hero ke dalam
balai.
Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia
tunduk, picit dahi. Pening kepala dia dengan perangai anak
terunanya yang itu.
“Maafkan anak saya, ya? Nakal sangat. Sebelum ni dia
tak pernah buat perangai pervert dia tu. Maaf sangat-sangat
ya?” Ismail serba salah. Kesiannya dia kepada gadis itu.
Tiba-tiba Fatiha mengalirkan air mata. Malu
sebenarnya dengan lelaki tua itu. Dia dikucup di khalayak
ramai. Berani betul Hero! Trauma dia dibuatnya.
“Aduh, apa aku nak buat ni?” Ismail garu kening.
Kelam-kabut sebaik sahaja tengok hidung kecil gadis di
hadapannya itu mula memerah dan kembang kuncup.
Fatiha tak mampu bersuara. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya saja. Tak terluah untuk
bersuara. Dia mengesat air matanya sebelum berlalu
meninggalkan Ismail. Debaran di dada tak surut-surut.
Ismail terpinga-pinga.
“Hero...” Gigi terkacip menyebut nama anaknya.
Siaplah kejap lagi!
“KAU DAH gila ke? Kenapa buat perangai tak bermoral
macam tu? Depan orang pulak tu! Tak rasa malu ke? Kebas
muka aku ni tahan malu, tahu? Eii, kalau kau anak kandung
aku ni, dah lama hilang gigi tu.” Ismail berleter sambil
mengangkat penumbuknya. Geram dia dengan perangai Hero
yang terlalu buruk itu.
“Buat apa?” Hero buat-buat tak faham.
Menyampahlah. Dia bukannya peluk gadis itu pun. Kalau
tangannya tak bergari tadi, mungkin dia peluk. Tapi
masalahnya sekarang, tak. Bapa tirinya saja yang bereaksi
seolah-olah dia dah cabul gadis tadi.
“Macam mana kalau dia buat report? Makin lamalah
nanti Hero duduk dekat dalam ni. Ada otak tak nak guna!
Geramnya aku!” Ditenyeh kepala Hero dengan geram.
Hero pula menahan diri daripada gelak. Dia tahu
bapanya rasa bersalah dengan gadis tadi.
“Alah, tak ada apalah tu, bah. Dia over aje tu. Padahal
suka tu.” Hero tayang sengih nakalnya.
“Suka kepala kau! Sampai menangis macam tu pun
kau kata dia suka? Budak tu trauma dibuatnya,” bebel Ismail.
Hero senyum lagi. Yalah tu trauma. Takkan tak suka
kena cium dengan seorang superhero macam dia?
“Ni akulah... Hero kut yang cium dia. Mesti dia
bangga.” Hero mengangkat bakul sendiri.
“Heee, apa aku nak buat dengan anak aku ni, Nuar?”
soal Ismail buntu. Digaru-garu kepalanya dengan penuh
serabut. Dia takut termati kata kalau terserempak dengan
Izzul nanti. Izzul mesti akan cari Hero sehingga ke lubang
cacing punya bila dapat tahu Hero dah cium adik dia.
“Kalau abang dia dapat tahu, teruk Hero kena
belasah. Abang dia ada dekat sini. Abah tak rasa Hero selamat
kalau benda ni sampai ke pengetahuan abang dia.” Ismail
berkata risau. Dia tahu Izzul itu mempunyai baran yang
sangat tinggi. Bagaimana dia tahu? Lihatlah pada keadaan
orang yang dibelasah Izzul dalam kes sebelum ini. Ada yang
rongak, ada yang duduk di hospital. Padahal dia seorang saja
yang berlawan. Bagaimanalah nasib Hero kalau Izzul dapat
tahu tentang hal itu?
“Relakslah. Dah nama pun Hero. Hero nak takut
apa?” Hero mencemik.
“Abah syorkan kau duduk kat dalam jel aje.” Ismail
bersuara sambil matanya meliar memandang ke sekeliling.
Mencari kelibat abang gadis tadi.
“Eh, takde masa aku. Hari ni jugak aku nak balik.”
Hero bersiul-siul.
“Hero tak kenal abang dia. Abang dia baru lagi masuk
lokap sebab belasah orang, tahu?” Ismail bukan nak takutkan
Hero, tapi dia sendiri yang takut kalau Hero lonyai dibelasah
abang gadis tadi.
Hero mencemik. Dia tak pernah takutkan sesiapa.
“Alah, leklah. Dia belasah aku, dia yang kena sumbat
balik masuk penjara.” Hero berkata tanpa rasa gentar.
“WEH, KAU? Hero! Kau kat sini jugak? Allah! Lamanya tak
jumpa kau!”
Teguran itu mengejutkan Hero dan Ismail. Ismail
gigit penumbuk. Habislah! Mereka saling berkenalan pula
tu! Macam mana kalau Izzul tahu tentang Hero yang dah
mencabul adiknya?
Hero pula nampak tergamam dengan teguran lelaki
itu. Dia berkerut. Cuba mengecam wajah lelaki di hadapannya.
Kemudian mukanya bercahaya.
“Kau? Izzul! Weh, Izzullah, gila! Lama gila tak
jumpa kau, Zul! Besar dah anak asuhan aku...” Hero cuba
mendepangkan tangan untuk memeluk tubuh lelaki itu tetapi
tak berjaya. Dia masih digari! Sakit pergelangan lengannya
akibat tindakannya itu. “Opps, sorry.” Dia buat muka sambil
menayang gari di tangannya.
Izzul ketawa. Dia menghampiri Hero dan memeluk
tubuh sahabat lamanya itu. Bahu Hero ditepuk-tepuk.
Ismail pula, terus membeku. Macam tertelan tanah.
Maknanya Hero dan Izzul dah lama tak jumpa? Anak asuhan?
Ada saja panggilan lucu untuk sahabat-sahabatnya. Hero...
Hero... Janganlah Hero pergi cerita tentang perbuatannya
tadi dekat Izzul. Dari gaya Hero tu, macam dia tak tahu gadis
tadi itu adik kepada Izzul.
“Macam ini punya wangi pun boleh kena tangkap?”
soal Izzul. Dipicit-picit bahu Hero, masih tak percaya rakan
lamanya wujud di depan mata. Siapa sangka, rakannya yang
sama-sama memanjat pagar sekolah untuk memonteng dulu
kini berada di depan mata. Di balai pula tu!
“Alah, biasalah...” Hero sengih-sengih. Tak namanya
Hero kalau tak masuk lokap.
“Salah apa kau dah buat?” soal Izzul sambil tergelak.
Dia langsung tak rasa kekok menyoal walaupun mereka
sudah lama terpisah. Terasa macam waktu sekolah dulu,
ketika mereka berjumpa di bilik guru disiplin atas alasan
merokok dan memonteng. Kena rotan pun masih boleh
terkekeh-kekeh gelak. Kena berdiri depan perhimpunan dari
pagi sampai matahari mencanak naik ke atas kepala pun
masih boleh bergurau senda.
Seronok sungguh apabila ada kawan yang tiga suku
macam Hero. Hal yang teruk pun terasa senang bila ada
kawan yang payah nak serius itu.
“Alah... main 21 aje pun.” Hero sengih.
Izzul kerut kening. Apa benda tu?
“Judi.” Ismail yang mendengar kini menyampuk.
Izzul ternganga. Judi? 21? Blackjack. Oh! Terup. Dia
tergelak besar. Tak sangka, apabila dah besar pun Hero masih
tak jadi apa. Zero!
“Macam mana boleh kena tangkap? Kau memang
dari kecik kan buat salah, tapi tak pandai-pandai lagi nak
lepaskan diri?” sindir Izzul. Balik-balik, muka Herolah yang
kantoi memonteng dan merokok. Nama aje Hero. Tapi tak
pandai langsung nak selamatkan diri.
“Eleh, kau pun sama! Kalau tak ada orang perumahan
tu yang buat report pasal kita orang melepak, memang tak
kantoi punyalah. Aku tengah menang besar tadi. Lahanat
betul!” maki Hero. Geram apabila wang kemenangannya
telah dirampas!
“Ya Allah, tengah hari pun kau berjudi?” Terjojol
mata kawannya apabila mendengarkan kata-katanya yang
penuh selamba itu.
“Duit, Zul. Kita perlukan duit setiap masa. Kau pulak
macam mana boleh ada dekat sini? Kau datang buat report ke
buat salah?” soal Hero pula.
Ismail yang mendengar hanya mampu
menggeleng-gelengkan kepalanya. Sudahnya, dia hanya
menjadi pendengar dan pemerhati kepada dua sahabat yang
lama terpisah itu.
“Oh. Aku... aku gaduh sikit dengan budak.
Biasalah...” Izzul garu kening. Dia memang terkenal dengan
sikap barannya. Pantang orang usik sikit, mudah sangat nak
melenting. Tapi kali ini, dia melenting sebab dia benar!
“Eleh, kau pun dua kali lima sepuluh aje dengan aku.
Kejap! Macam mana kau boleh lepas ek?” Terkejut juga Hero
melihat Izzul yang tak bergari, macam sedang bersiap-siap
nak balik aje.
“Adik aku ikat jamin.” Izzul sengih. Bangga dia ada
adik macam Fatiha. Selalu ada ketika dia memerlukan.
“Adik kau? Ti’ah? Jihah?” soal Hero. Setahunya,
lelaki itu hanya ada dua orang adik. Itu pun kedua-duanya
perempuan. Entah macam manalah rupa adik-adik Izzul itu
sekarang.
“Ti’ah yang ikat jamin. Jihah meninggal dah tiga
tahun lepas dengan arwah abah aku. Accident.” Cerita Izzul.
Wajahnya nampak biasa saja. Mungkin sebab dah lama
peristiwa itu berlaku.
Wajah Hero pula yang berubah. Dia bukanlah rapat
sangat dengan Jihah ataupun Fatiha. Fatiha sering juga
jadi bahan ejekannya dulu disebabkan tubuhnya yang gebu.
Tapi kalau arwah Jihah, dia tak pernah pula bergurau senda.
Mungkin sebab Jihah pada waktu itu sudah agak dewasa.
Dia jadi segan nak menyakat Jihah yang muda dua tahun
daripadanya.
Tak sangka, Jihah dah tak ada. Dulu waktu remaja,
pernah juga dia pandang-pandang arwah Jihah tu. Lawa.
Lawa? Tiba-tiba teringat pada muka tadi. Seakan-akan muka
arwah Jihah...
Gulp!!!
“Oh... sorry... aku tak tahu. Berapa lama dah kita
tak jumpa weh?” Hero mengubah topik. Kepala otak masih
terbayang-bayang muka gadis tadi.
“Adalah dalam sepuluh, sebelas tahun tak?” Izzul
berkerut.
Ismail terangguk-angguk sendiri. Faham dah
sekarang kenapa Hero boleh tak cam adik Izzul tadi.
“Lebih kuranglah. Eh, kejap! Aku nak tanya sikit.”
Tak senang hatinya apabila memikirkan tentang gadis tadi.
“Apa?” Izzul menyoal dengan kening terangkat
sebelah. Mak aih! Nampak garanglah pula.
“Budak tadi... macam.... Ti’ah...” Tiba-tiba, liur
ditelan terasa pahit. Hero memang rasa itulah orangnya.
Apabila memikirkan hubungan adik-beradik antara Izzul
dengan gadis tadi, automatik dia teringatkan sejarah lampau
Izzul.
Izzul sangat baran orangnya. Bab-bab bertumbuk
memang juara. Alamak! Dia dah curi cium telinga gadis tadi.
Okey, seram... Dia geram sangat tadi. Dia sendiri pun tak
sangka yang mulutnya gatal pergi cium cuping telinga gadis
itu.
“Ti’ah? Kau terserempak dengan dia ke?”
Semakin gemuruh Hero mendengar soalan Izzul
itu. Ismail sudah tersenyum senget. Mengejek anaknya. Dari
muka pucat Hero tu dia dapat agak yang Hero tahu gadis tadi
itu adik Izzul.
“Yalah kut. Pakai baju merah. Lipstik coklat pucat.
Eyeliner tajam yang mampu membunuh sesiapa yang
memandang.” Lengkap dia menggambarkan gadis tadi. Lawa.
“Haah. Sahlah, dia!”
Adeh! Kali ini, Hero rasa bagai dihempap batu besar
di kepala. Bukan sekali. Bagai dihempap berkali-kali. Itu pun
belum kena belasah lagi. Kalau Izzul tahu ni, memang nahas
dia. Nanti dia kena minta maaf dengan Fatiha sebelum Fatiha
buat report dekat abang dia ni.
“Aku mengurat dia. Dia buat muka meluat. Aku
sedar, siapalah nak pandang lelaki yang bergari macam aku ni
kan...” Hero cuba berlagak selamba. Macam tak ada apa-apa
yang berlaku. Dia perasan badan Ismail terhinggut-hinggut
ketawakan dia tanpa suara. Mesti bapa tirinya sedang
mengejek dia. Cium adik kawan sendiri. Alah, losernya!
“Kihkihkih... padan muka! Sedar pun. Meh aku share
tip untuk mengurat perempuan.” Izzul tepuk bahu Hero.
“Apa dia?” Bukannya dia tak hebat pun dalam hal
mengurat perempuan. Tapi dari gaya Fatiha melayannya,
macam payah aje nak mengurat gadis itu. Lebih baik dia
belajar daripada Izzul cara-cara nak menangi hati Fatiha.
“Pertama, gunakan mulut manis kau tu untuk
mengurat perempuan lain. Jangan mengurat adik aku. Aku
takkan benarkan.”
Gulp!!! Rasa macam ada ketulan batu di lehernya.
Terkejung Hero di situ. ‘Matilah nak! Aku dah cium pun adik
kau tu. Siapa suruh comel sangat?’
Ismail memandang ke arah lain dan tergelak lagi.
Tak sabar dia nak padankan muka Hero. Sesiapa pun tak nak
jadikan Hero adik ipar atau menantu. Perangai macam hantu!
“Hahaha!!! We’ll see.” Hero ketawa dengan dada yang
gemuruh.
Izzul tak benarkan? Mengurat Fatiha mungkin
mengambil masa yang lebih lama daripada yang dia
jangkakan. Fatiha tak suka dan Izzul tak benarkan. Tapi dia
suka! Bila dia suka, dia sanggup merintangi segala cabaran.
Bibirnya terukir senyuman nakal. Cabaran itu yang dia suka.
Dan... bukan namanya Herolah kalau dia tak buat apa yang
dilarang.
“Berapa lama kau balik kat sini, Izzul?” Hero
mengubah topik.
“Aku dah pindah sinilah weh. Mak aku nak duduk
sini semula.”
Hero lega mendengarkannya. Itu bermakna yang
Izzul dan Fatiha akan menetap di situ. Bolehlah dia selalu
berjumpa dengan Fatiha.
“Oh, ya ke?” Kenapalah baru hari ini mereka
terserempak?
“Dah setahun pun aku kat sini.” Ujar Izzul lagi.
“Setahun? Tak pernah jumpa pun! Aku duk Lipis ni
lepas habis belajar lagi.”
“Itulah... aku ingatkan kau dah duduk tempat lain.
Budak-budak sama nakal dengan kita dulu semuanya aku dah
tak tahu khabar berita.” Izzul sendiri pun memikirkan hal
yang sama.
“Mungkin jugak sebab aku jarang melepak kat Lipis
waktu siang. Dekat Padang Tengku dah ada tempat lepak. Tak
macam dulu.”
“Haah. Aku pun lepak kat Kampung Gua tu ajelah.
Banyak kedai makan. Patut pun tak jumpa-jumpa dengan
kau. Tak sangka last-last, dekat sini kita jumpa. Lepas ni
bolehlah jumpa lagi. Kat luar balailah pulak harapnya. Aku
pun dah stay kat sini. Bolehlah melepak sama-sama.” Izzul
merancang perjumpaan seterusnya.
Senyuman Hero semakin melebar. Itulah yang dia
nanti-nantikan!
“Baguslah. Kau duduk dekat mana?” Terus tanya
rumah. Tak mainlah melepak dekat kedai makan dah.
Rancangan dah berubah sekarang.
“Dekat rumah aku dululah. Mana lagi nak duduk?”
Soalan dibalas soalan. Tak mengesyaki apa-apa.
“Cantik!” Hero petik jari. Sekurang-kurangnya Hero
tahu di mana dua beradik itu tinggal. Di Kampung Gua. Boleh
dia cari Fatiha dan minta maaf dengan Fatiha. Tak. Dia tak
pernah menyesal pun sebab dah cium telinga gadis itu. Kalau
dia tak bergari tadi, mesti dia dah peluk-peluk Fatiha. Comel
gila! Dia berharap mereka dapat berjumpa lagi. Itu saja.
Pedulilah kalau dia didebik Izzul pun. Bukannya
dia tak biasa didebik pun. Kalau Izzul serabut sangat dengan
dia, dia rela dinikahkan dengan Fatiha. Nikah? Semenjak
bila dia berfikir pasal nikah? Terkejut sendiri Hero dengan
pemikirannya. Ah, mengarutlah! Takkanlah tiba-tiba aje dia
nak menikah dengan Fatiha? Setakat jadi awek tu, bolehlah.
“Pun masih, kau tak boleh mengurat adik aku.”
Izzul sekali lagi menepuk bahu Hero. Dia takkan gadaikan
masa depan adiknya untuk seorang lelaki seperti Hero. Tidak
sama sekali! Dia kenal Hero bagaimana orangnya. At least,
dia pernah kenal rapat dengan Hero. Dan sekarang mereka
bertemu di balai polis. Sebagai banduan pula tu.
“Alah, janganlah weh. Kau wali aku...” gurau Hero.
“Wali, puih! Entah bila kau boleh keluar, ada hati
tu.” Izzul tayang muka meluat.
“Aku dah boleh lepas dah ni. Bapak aku ada.” Yakin
saja Hero bersuara. Sekejap lagi gerenti dia akan dilepaskan
begitu saja. Ujian air kencingnya sentiasa negatif. Dan
duitnya juga sudah dirampas. Sepatutnya, mudahlah untuk
dia dilepaskan.
“Bapak? Bukan bapak kau dah tak ad...” Pelik juga
Izzul. Setahunya Hero itu anak yatim dulu.
“Bapak tiri... Inspektor Ismail,” sampuk Hero sambil
menyebut pangkat bapanya dengan jelas dan kuat. Sengaja
nak berbangga yang dia itu ada ‘kabel’.
Ismail senyum dan tunduk sedikit kepada Izzul.
Izzul turut membalas senyuman itu. Pegawai polis yang
agak ramah dengannya itu merupakan bapa tiri Hero
rupa-rupanya. Kalaulah dari awal lagi dia tahu, tentu dah
lama mereka berjumpa.
“Nice.” Izzul senyum senget.
“Jangan mimpi abah nak ikat jamin dah.” Tiba-tiba
Ismail bersuara. Ada baiknya kalau Hero duduk di lokap dulu,
fikirnya. Kalau Izzul dapat tahu tentang Hero, memang lunyai
anak tirinya itu. Dia dah pernah tengok Izzul mendebik orang
dulu. Memang tak pandang kiri kanan dah.
“Alah, bah...”
“Good luck!” ucap Izzul bersama tawanya. Bahu
Hero sempat ditepuk-tepuk sebelum dia berlalu. Lega apabila
dia dah dibebaskan. Sekejap lagi, dia bakal diamuk oleh
adiknya pula. Tak apalah...
Ibu mereka ada penyakit darah tinggi. Jadi,
Izzul suruh adiknya merahsiakan dari pengetahuan ibu
mereka. Bimbang jika si ibu masuk hospital pula gara-gara
terkejut dengan berita tentangnya masuk lokap. Jenuh dia
menyalahkan diri sendiri nanti.
No comments:
Post a Comment