DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 6

“TENGOK cerita apa ni?” soal Hero cuba
mengajak Fatiha berbual.
Fatiha menjelingnya sekilas. Tiada jawapan yang
terbit dari mulutnya. Sepatutnya Hero dah boleh nampak
tajuk yang tertera dekat hujung skrin itu.
Hero sengih gatal. Dipandang Fatiha atas bawah.
Comel saja gadis itu berseluar tidur putih bercorak kucing.
Baju yang dipakai hanya t-shirt kosong yang berwarna kelabu.
Duduk di rumah pun pakai seluar panjang. Kalau adik-adik
perempuannya, jangan haraplah nak berseluar panjang di
rumah.
“Apa tengok-tengok?” soal Fatiha tanpa memandang
ke arah Hero. Dia pandang TV, tapi dia masih boleh merasakan
dirinya ditenung lelaki itu. Geli sungguh!
Hero ketawa kecil.
“Cantik telinga Ti’ah, macam keropok.” Laju Fatiha
menekup kedua belah telinganya. Geli datang lagi. Geli dan
meluat dengan suara Hero.
Hero ketawa melihat reaksi spontan Fatiha itu.
Comel!
“Perv!” marah Fatiha. Dia tahu tujuan Hero tegur
telinganya. Lelaki itu sengaja nak ingatkan dia pada kejadian
itu.
Tidak lama kemudian, muncul Izzul yang tak
berbaju. Rambut masih serabai. Mata digosok berkali-kali. Si
ibu pula ke dapur, sediakan air untuk Hero.
“Woi, nak apa datang cari aku malam-malam?”
tegurannya sekali gus mengalih tumpuan Hero.
‘Hesy, Izzul ni, kacau!’
“Aku nak jumpa adik kau. Tapi dia buat tak tahu aje.
Aku bagi alasan nak jumpa dengan wali aku.” Hero berkata
sambil tersengih-sengih gatal memandang Fatiha.
Mata hitam Fatiha mula berkeliaran. Meluat!
“Wali ke pembaca talkin?” Fatiha menjegilkan
matanya.
“Eh, eh... tersilap pula. Maafkan abang ya, sayang?”
Hero buat-buat takut. Garang sungguh Fatiha ni. Tak boleh
nak bawa bergurau langsung.
Fatiha mendengus geram. Kenapalah abang dia
boleh berkawan dengan lelaki segatal Hero?
“Heee, geli betul aku dengan makhluk ni!” Fatiha
menggeliat geli-geleman. Dia bangkit, bantal sofa dicampak
ke muka miang Hero sebelum dia masuk ke bilik. Memang
mati selera dia untuk terus menonton TV.
Izzul ketawa lucu. Dia fikir Hero hanya bergurau.
Dia mengambil tempat duduk di sebelah Hero.
“Kenapa weh?”
“Saja aje. Dah lama tak melepak dengan kau,”
kata Hero sekadar berbasa-basi. Pada awalnya tadi dia
bercadang nak pergi melepak di kedai Encik Rosli di Simpang
Tiga memandangkan dia dah dihalau oleh ibunya. Tapi
kawan-kawan dia pula tiada di situ. Masih terlalu awal untuk
melepak agaknya. Jadi, dia buat keputusan untuk merempit
ke Kampung Gua.
“Kau datang ke sini naik apa?”
“Motor,” jawab Hero sepatah.
“Sorang-sorang aje? Lampu jalan takde weh, gelap.
Bahaya,” ujar Izzul.
“Tapi lampu motor aku ada. Lagipun dah biasa
sangatlah, Zul. Lipis ni hak aku. Jalan semua aku dah hafal.”
Hero berkata penuh lagak.
Izzul mencemik. ‘Sekali tersembam dekat jalan yang
dia hafal tu nanti, padan dengan muka!’ bisiknya dalam hati.
“Macam mana kau boleh lepas? Eh, jangan cerita
dekat mak aku pasal kita tu, dia tak tahu.” Izzul garu belakang
tengkuk sambil kepala menoleh ke arah dapur. Bimbang
ibunya dengar perbualan mereka.
“Oh, mujur kau pesan. Okey. Aku... adalah aku buat
deal sikit dengan abah aku.” Hero bersuara perlahan.
“Deal apa?”
Soalan Izzul itu membuatkan Hero tersenyum.
Takkanlah dia nak mengaku yang deal itu melibatkan Fatiha?
“Aku kena kerja. Serius dalam hidup. Itu, ini...
biasalah orang tua. Nak pulak kantoi dengan mak aku, teruk
dia mengamuk ni tadi.”
“Macam mana boleh kantoi?” soal Izzul berbisik.
Takut ibunya dengar.
“Ada kawan dia bergosip pasal aku. Teruk weh aku
kena basuh.” Perlahan-lahan Hero cuba lencongkan topik.
“Patutlah kau nampak bersih semacam. Aku pun
teruk jugak kena basuh tadi. Singa garang tu dah warning
aku. Sekali lagi aku masuk jel, dia tak nak tolong dah. Kau
takpe lagi, banyak kabel. Aku, dia itulah satu-satunya orang
yang boleh tolong aku.” Izzul berkata perlahan. Lagipun, dia
dah fikirkan apa yang Fatiha bebelkan siang tadi. Memang dia
perlu lebih bertanggungjawab dalam hidupnya.
“Kau pun kena cari kerja ke weh?” soal Hero dengan
mata terbeliak.
“Haah. Aku kena ganti balik duit dia sebelum dia
pecahkan rahsia aku.” Izzul menceber. Dia tak ada pilihan
lain dah.
“Jomlah cari kerja dengan aku,” ajak Hero. Lagi
seronok kalau ada kawan untuk bekerja sekali. Tak adalah dia
rasa bosan nanti. Lagi-lagi kalau bekerja dengan kawan yang
sekepala dengannya.
“Aku ingat nak minta kerja 7E aje.” Izzul bersuara.
Hero tergelak.
“Aku dah tanya member-member yang kerja 7E tadi.
Tiga-tiga takde kerja kosong. Kat sini ada tiga aje pun 7E,”
cemik Hero. Peluang pekerjaan di sini memang agak terbatas.
“Adeh...”
“Aku nak try minta kerja dekat Petron.” Hero berkata
pula tidak lama kemudian.
“Cashier?” teka Izzul.
Hero mencebik.
“Pump boy.”
Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, Izzul ketawa
berguling-guling sampai ke lantai. Bukannya dia ketawakan
pekerjaan itu, tapi dia ketawakan Hero sendiri.
Sewaktu mereka remaja dulu, bukan main eksen
Hero kata yang dia tak nak kerja yang bergaji kecil. Tak nak
kerja kuli-kuli orang. Nak jadi bos katanya. Dulu... orang yang
bekerja sebagai pump boy tu hanyalah orang yang bertaraf
rendah katanya. Sekarang apa jadi?
“Gelaklah. Aku tahu ini reaksi kau.” Hero tepuk
tangan dengan muka meluat. Dia masih ingat dengan
kata-kata angkuhnya sewaktu mereka remaja dulu. Salah dia
sebab dah perlekehkan kerja itu.
“Apa berdekah-dekah sampai macam tu, long? Seram
jiran dengar nanti. Sekarang ni kan dah malam,” marah si
ibu yang datang dengan secawan air kopi di tangannya. Jiran
bukannya duduk dekat-dekat pun. Kalau silap dengar, nanti
mereka fikir hantu melolong pula.
“Jemput minum, Hairul.” Cik Yam menghidangkan
air Nescafe O panas di depan Hero bersama biskut tawar cap
Ping Pong.
“Untuk Hero aje ke, mak?” soal Izzul.
“Kau boleh tuang sendiri, kan? Ke dah tak ada
tangan?” jeling si ibu. Malas dia nak tuangkan air untuk
anaknya itu.
“Eh, susah-susah aje, mak...” Hero malu-malu.
“Mak?” Izzul kerut kening. Amboi, sejak bila mak dia
jadi mak Hero pula ni?
“Saya dah anggap Cik Yam macam mak saya sendiri.”
Pick-up line untuk bakal ibu mentua pula diberi.
“Oh, panggil ajelah mak. Mak tak kisah pun. Dah
lama kenal Hairul...” ujar Cik Yam. Dia tak kisah pun kalau
kawan-kawan anaknya nak panggil dia dengan panggilan
‘emak’. Dia lagi suka. Itu tandanya dia disenangi oleh
kawan-kawan anaknya.
“Kelas ayat kau,” puji Izzul sebaik sahaja ibunya
meminta diri untuk masuk tidur.
Hero tersengih bangga. Tu baru sikit...
SUDAH JAM 1.30 pagi. Hanya mereka berdua saja melepak
di situ. Fatiha dan ibunya sudah pun tidur. Dari satu topik
ke topik yang lain mereka berbincang sehingga kehabisan
modal. Tapi Hero masih tak nak pulang sedangkan Izzul dah
menguap beberapa kali.
“Hah! Aku baru teringat.” Hero tiba-tiba petik jari.
“Apa dia?”
“Nombor. Tadi aku ada beli. Aku tak cek lagi result
dia. Lupa betul!” Hero tumbuk tapak tangannya.
“Dah pukul berapa ni? Kedai mana buka?” Setahu
Izzul, nak tengok result nombor ekor tu, Hero perlu
pergi dekat kedai Cina. Itu pun dia tahu sebab ada antara
kawan-kawannya yang bermain nombor ekor. Dia tak pandai.
Padanya benda itu menghabiskan duit saja.
“Internet kan ada?” Hero berkata selamba. Nampak
sangat Izzul tu tak cukup nakal. Kalau ikutkan waktu zaman
sekolah dulu, Izzul lebih nakal daripadanya.
“Oh... aku tak tahulah pulak pasal benda ni.” Izzul
tersengih-sengih.
Lama Hero terdiam sambil membelek telefonnya.
Sekejap-sekejap dia skrol ke bawah, sekejap-sekejap dia
sebut-sebut nombor yang dia dah beli.
“Nombor Jemi Pusing. Haaa! Rugi dua ratus ringgit!”
Hero ketawakan rakannya.
“Isy, kau boleh tahu nombor apa kawan kau beli?”
Kagum Izzul dengan Hero. Kalau dialah, memang taklah dia
nak ingat nombor orang lain.
“Ni nombor plat motor dia. Dia selalu ‘ikut’ nombor
ni,” ujar Hero sambil tergelak-gelak. Dia skrol lagi.
Tiba-tiba mulut Hero mencarut. Terhinggut bahu
Izzul dibuatnya. Terkejut dia. Dahlah kuat. Tadi elok sangat
dia ketawa mengejek.
“Syhhhh! Orang tidur. Apasal weh kau
mencarut-carut ni? Kalau dengar dek Ti’ah, memang dia
pang kau. Dia pantang dengan orang mencarut ni.” Izzul
memarahi Hero dengan suara yang tertahan-tahan.
Hero yang baru tersedar itu terus menekup
mulutnya. Mata dipandang ke sekeliling. Ah! Tak ada orang.
Lantaklah!
“Kepala kucing betullah! Aku kena! Nombor aku
naik!” Kali ini tegang urat leher Hero bercakap dengan suara
yang tertahan-tahan. Kalau ikutkan, dia nak jerit satu dunia.
Izzul semakin pelik.
“Huh? Kena? Kenapa kau nak marah?”
“Nombor satu weh! Nombor satu. Monyet betullah!”
maki Hero lagi tanpa mempedulikan soalan Izzul.
“Berapa kena?” soal Izzul.
“Dua ribu lima ratus! Alahai...” Skrin telefonnya
ditumbuk perlahan. Geram sungguh. Kalau ikutkan, dia rasa
nak tumbuk muka Izzul yang terpinga-pinga itu. Dia sedang
lara sekarang, boleh pulak Izzul tanya macam-macam.
“Kau patut happy, kan? Kau menang dua ribu lebih,”
soal Izzul.
“Happy apanya? Bapak aku koyak kertas nombor aku
petang tadi. Mail koyakkan satu-satunya bukti aku menang
nombor! Shit!” makinya lagi.
Abah tirinya dah dipanggil Mail akibat geram. Petang
tadi apabila selesai dibebaskan, sempat dia singgah kedai
TOTO dan membeli nombor ekor. Tapi terkantoi pula dengan
Ismail. Laju saja orang tua itu menyiat kertas nombornya.
Kepala sendiri diketuk-ketuk. Tak tahu nak lepaskan
amarahnya ke mana lagi. Dia sakit hati kerana dia tidak boleh
menuntut hadiahnya. Izzul mengekek gelak melihat keadaan
Hero sekarang. Macam orang tak betul.
“So, kau tak boleh nak...” Tak sempat Izzul nak
bercakap, Hero dah menyampuk.
“Taklah! Shit! 2.5k tu. Macam-macam aku boleh
buat dengan 2.5K tu.” Kepala digaru-garu penuh serabai.
Semakin teruk Izzul ketawakan Hero. Entah kenapa,
dia rasa lucu melihat muka frust Hero itu.
“Duit tak halal.” Izzul memberi komen setelah
tawanya reda.
Hero menjeling.
“Tak kisahlah aku. Janji duit. 2.5K, siapa nak bagi?”
“Takpe. Besok cuba lagi.” Bahu Hero ditepuk-tepuk.
Dah puas dia ketawakan Hero, baru sekarang dia terasa
bersalah.
“Besok mana ada. Kalau ada sekalipun, aku tak boleh
main. Aku dah janji dengan bapak aku tadi yang aku kena
stop semua ni. Nanti dia tak nak tolong aku dah kalau aku ke
‘dalam’ semula. Itu tak kisahlah. Tapi dia ugut nak beritahu
mak aku pasal semua kesalahan yang aku dah buat sepanjang
dia back-up aku. Air mata mak tu yang aku lemah, Zul.” Hero
berpeluk tubuh. Mukanya masih bengang. Dia menghidupkan
rokok Malboronya. Stres!
Izzul senyum. Kenapalah mereka mesti kalah
dengan seseorang yang bergelar ibu? Sebut aje perkataan ibu,
automatik hati rasa cair.
“Bagus juga dia ugut macam tu. Sama macam Ti’ah
ugut aku.”
“Selama ni tak pernah pulak nombor tu naik bila
aku pow. Lahanat! Kali ni boleh naik pulak kat nombor satu!
6884! Nombor satu tu. Aku boleh beli telefon baru. Tak pun,
boleh buat bayar down payment untuk motor baru.” Hero
cekup rambutnya. Geram! Tak cukup dengan itu, bahu Izzul
digoyang-goyangkan dengan geram apabila Izzul kembali
mengetawakannya.
“Ujian pertama untuk kaulah tu. Saja nak tengok
kau boleh berubah ke tidak,” Izzul berkata positif.
“Aku pun terbelah bahagi dah ni.” Tengoklah, bila
nak berubah aje, mesti ada perkara yang membuatkan dia
serba salah dan ragu-ragu. Abu rokok dijentik ke dalam bekas
abu rokok.
“Kalau kau tak berubah, jangan harap nak rapat
dengan adik aku.” Izzul sengaja pancing. Dia takkan
benarkan adiknya rapat dengan lelaki macam Hero.
Sekurang-kurangnya, tunggu dia kembali mengenali Hero.
Hero dulu dan Hero sekarang mungkin berbeza. Tapi,
melihat pada Hero yang sekarang, memang taklah dia nak
beri adiknya berkawan dengan lelaki itu.
“Buntut ayam betullah kau ni!” Hero mencarut lagi
berserta dengan bahasa jarinya sekali.
Bahu Izzul bergegar menahan gelak. Sedikit pun
tak terasa dengan perlakuan biadab kawannya itu. Lelaki
sama lelaki memang begitu. Bergurau kasar. Namun
masing-masing susah menyimpan dendam.
“Eh, kejap... kiranya kalau aku berubah, aku bolehlah
ek rapat dengan Ti’ah?” Muka Hero tiba-tiba bercahaya. Dah
lupa terus pada duit yang dia rugi tadi.
“Hmm... kawan bolehlah.” Izzul berkata. Alamak!
Tak sangka, Hero ambil serius pula pada kata-katanya itu.
“Kawan... takpe. Aku akan tunjukkan contoh paling
terbaik sampai kau sendiri yang pergi lamar aku untuk jadi
suami adik kau. Siap merayu lagi. Tengoklah nanti!”
Kata-kata Hero itu disambut dengan tawa Izzul. Tak
mungkin!
“Kau pergi balik sekarang. Hari pertama lagi
dah failed. Pukul berapa dah ni? Aku nak tidur jugak tau.
Mengantuk dah mata ni.” Geram apabila Hero buat tak
nampak aje yang dia dah menguap banyak kali.
Hero mencemik. Alah! Tak nak ke ajak dia tidur di
situ? Dia nak cari tempat menumpang kasih ni. Bila dah kena
halau, waktu-waktu macam ini pulalah semua kawan busy.
“Besok jomlah cari kerja dengan aku,” ajak Hero.
“Hmmm, yang pasti aku tak nak kerja dekat Petron.
Malulah!” Izzul berkata.
“Pasal apa nak malu?”
“Adik aku selalu isi minyak dekat Petron. Aku tak
naklah dia tengok aku kerja tu. Nanti dia ejek pulak aku.
Carilah kerja kat Tong Fat ke, Mr. DIY aku boleh terima lagi.”
Izzul terpaksa mengaku.
“Okey,” jawab Hero acuh tak acuh. Dia meminta
diri untuk pulang. Izzul menghantarnya ke muka pintu.
Pintu kemudian ditutup. Cis! Nampak sangat Izzul dah lama
tunggu dia balik.
Sebenarnya kalau ikutkan, dia tak nak pulang. Dia
nak buat perangai keras pedal dia tu. Mujurlah dia dalam
proses nak menangi hati Izzul sekeluarga. Kalau tidak, dia
nak berpura-pura tertidur di ruang tamu itu. Mana tahu,
tiba-tiba dia bangun dengan selimut di atas badan. Mana
tahu, Fatiha yang selimutkan?
Kalau nak ikutkan ketebalan mukanya sekarang,
memang tak tebal langsung. Dia memang muka tak
malu. Lelaki bernama Hero sepatutnya mudah mengurat
perempuan. Tapi Fatiha ni lain sikit. Dia kena kerja keras
untuk seorang Fatiha.
“Ti’ah... selalu isi minyak kat Petron ya sayang?” bisik
Hero sendiri bersama senyuman nakal. Rokok yang telah
pendek dijentik ke tanah sebelum enjin motor dihidupkan.
‘Maaflah Izzul. Kalau kau tak nak kerja kat Petron,
aku seorang pun tak apa. Asalkan boleh jumpa dengan buah
hati aku,’ bisik hatinya riang.
PAGAR YANG berkunci dipanjat. Semua orang sudah
tidur. Berhati-hati dia melompat masuk ke dalam kawasan
rumahnya. Kereta Ismail ada di situ. Skuter dan kereta adik
perempuannya, Mila dan Hana juga ada. Hanya Mila dan Hana
saja yang tinggal di situ. Adik-beradik yang lain semua sudah
bekerja di luar dari daerah ini.
Perlahan-lahan dia menyusup ke pintu depan.
Berkunci!
“Alamak! Mak memang tak nak tengok muka aku
ek?” soalnya sendiri sambil garu kepala.
Dia ke belakang pula. Ke arah dapur. Pintu dapur
juga berkunci. Itu tak menghalang dia untuk tidur di biliknya.
Sekeping cermin tingkap dapur ditanggalkan dari besi nako.
Tangannya menyeluk ke dalam, meraba-raba bahagian
tombol pintu dapur dan dipulas dari dalam. Klik! Terbuka.
Dia senyum. Cermin tersebut dipasangkan semula ke nako.
Kaki melangkah masuk ke dalam dengan penuh
megah. Berjaya! Dia menuju ke biliknya dengan berhati-hati
selepas mengunci semula pintu dapur. Bimbang juga kalau si
ibu yang masih marah itu terjaga. Nanti ibunya mengamuk
pula. Habis satu kampung dengar.
Di dalam biliknya, dia berbaring. Tangan diletakkan
di bawah kepala sambil mata menghadap ke siling. Kaki
disilangkan.
“Ti’ah, lelaki macam mana Ti’ah suka?” soalnya
sendiri. Tiba-tiba bunyi tapak kaki di luar biliknya
membuatkan dia terpaksa berpura-pura tidur.
“Pandai pulak dia balik sini.” Suara si ibu kedengaran
sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Bunyi tapak kaki Badariah
semakin hampir.
Hero terus berpura-pura tidur sebab tak mahu
dihalau. ‘Hari ini saja, emak. Aku takde tempat tidur hari ni...’
bisik hatinya.
Tapak tangan si ibu singgah di dahinya. Lembut
sekali. Kemudian rambutnya dibelai-belai.
“Susah hati mak dengan kau ni, Hero...” bisik wanita
tua itu perlahan.
Sejuk hati Hero mendengar suara ibunya. Payah
betul dia nak dengar ibunya bersuara begitu. Dia mana rapat
pun dengan ibunya. Nak berborak? Payah sekali.
“Mak marah sebab mak sayang. Mak malu orang kata
anak mak buruk perangai. Mak tak suka orang mengata anak
mak,” bisik suara tua itu lagi.
Hero tahu, ibunya tak pernah maksudkan kata-kata
tajamnya tadi. Biasalah, bila dah marah... apa yang diucap
pun tak sedar.
Dahinya dikucup si ibu. Sumpah, Hero rasa terharu.
“Moga menjadi anak yang berguna, Hero. Mak nak
Hero jadi hero dalam hati mak.”
Tangannya disentuh. Terus Hero tarik tangan
itu. Pegang kemas. Tubuh si ibu yang hampir jatuh akibat
ditarik itu dipeluk kuat. Kuat sangat. Mungkin itu pelukan
pertamanya sepanjang dia meningkat dewasa.
“Orang janji orang akan berubah,” ucap Hero.
Badariah yang pada awalnya terkejut dengan
perlakuan Hero itu perlahan-lahan mengukir senyum.
Terharu apabila dipeluk anak jantannya. Rasanya dah berbelas
tahun dia tak dipeluk oleh Hero. Hero takkan meminta
maaf daripadanya, tapi dia tahu pelukan itu memaknakan
segalanya.
“Sebab Fatiha tu ke Hero jadi macam ni?” soal si ibu.
“Mak tahu pasal dia?” Kening Hero bertaut. Dia nak
berubah sebab dia nak buktikan yang dia itu bukan macam
arwah bapanya. Fatiha dijadikan alasan semata-mata. Tapi,
selepas berjumpa dengan Fatiha tadi, entahlah... betul ke ia
hanya alasan atau dah menjadi niat barunya untuk berubah?
“Abah cerita tadi,” ujar Badariah.
“Hmmm... memang dah lama orang teringin nak
berubah. Tapi hati tak cukup kental,” ujar Hero. Dia tak pandai
nak berbual dengan ibu sendiri sebenarnya. Dari kecil dia
selalu gunakan masa yang ibunya ada untuk memberontak.
“Mak harap kali ni Hero betul-betul berubah,”
Badariah bersuara.
“Orang nak berubah mak... tapi tak nak jadi baik
sangat. Bosan.” Selamba dia mengaku.
“Ada pulak bosan?” Baru lagi nak membebel,
cepat-cepat Hero menyampuk.
“Mak doa-doakanlah.”
“Mestilah aku doakan, anak aku.”
Hero sengih. Dia lebih suka ibunya membahasakan
diri ‘aku-engkau’ dengannya. Sekurang-kurangnya tak adalah
suasana ‘leleh’ lagi.
“Mak kenapa tak tidur lagi?” Hero mengubah topik.
“Mak tunggu kau balik. Susah hati kalau kau tak
balik.” Akui Badariah. Dia tak boleh tidur sebab rasa bersalah
dah halau Hero. Kesedaran baru datang apabila Hero tak
balik ke rumah. Meskipun jarang sangat mereka berbual,
sekurang-kurangnya dia ada juga nampak anak jantannya itu
setiap hari. Berbalas pandangan macam orang asing. Hero
lebih rapat dengan suaminya.
“Tadi mak halau.” Hero terharu lagi.
“Halau sebab marah. Kau tu degil sangat! Memalukan
muka mak aje memanjang. Bukannya reti nak buat mak
bangga dengan kau pun.” Telinga Hero dipiat geram.
Hero ketawa. Terasa macam dia anak kecil apabila
diperlakukan begitu.
“Yalah. Nanti orang buat mak bangga. Sampai mak
terbang ke langit ke-7.” Bahu ibunya diusap-usap, memberi
janji baharu.
“Yalah tu. Mak tunggu bila mak boleh terbang.”
Badariah bangkit. Dia nak keluar dari bilik itu. Legalah
sekarang hatinya apabila dah nampak batang hidung anaknya.
Boleh dia tidur dengan tenang.
“Mak, orang nak tanya sikit.”
Panggilan Hero itu membuatkan langkah Badariah
terhenti di muka pintu. Keningnya terangkat.
“Apa?”
“Perempuan kan... tak, bukan perempuan. Fatiha,
mak rasa dia suka lelaki yang macam mana?” soal Hero.
Badariah senyum. Manalah dia tahu. Dia tak kenal
pun siapa Fatiha itu.
“Mak tak tahu orangnya macam mana. Tapi... mak
tahu apa yang perempuan paling nak dalam diri seorang
lelaki,” ujar ibunya.
“Ya ke? Apa dia?” Bercahaya mata Hero
mendengarnya.
“Perempuan paling suka lelaki yang soleh... yang
boleh bimbing dia.” Kerana nak anak berubah punya pasal,
terpaksalah dia berkata begitu. Entah-entah, si Fatiha tu nak
suami yang rock. Siapa tahu, kan? Tapi dia nak Hero menjadi
anak yang soleh. Yang boleh bimbing isterinya suatu hari
nanti.
Setelah ibunya pergi, Hero mula termenung sendiri.
“Soleh? Boleh bimbing dia? Phbbhhttt! Mengarutlah!
Kalau nak aku bimbing dia jadi pemain judi yang berjaya,
bolehlah!” Hero berkata sendiri lantas tergelak tanpa suara.

No comments:

Post a Comment