TIGA hari selepas kedatangan Datin Amna, Amru
mulakan rancangannya. Megat Salahuddin telah diupah
untuk menggali maklumat berkaitan.
“Aku dah faks segala maklumat yang bos nak.”
“Kau faks ke mana? Rumah atau ofis?” tanya Amru
ketika berada di tapak projek dekat Bangi.
“Rumah.”
“Okey. Nanti aku transfer baki upah kau.”
“Terima kasih, bos. Nak bagi lebih pun aku terima
aje,” gurau Megat lalu ketawa sendiri.
“Ada apa-apa lagi kau nak cakap?”
“Hrmm... perempuan tu cantik, bos. Sangat cantik.
Patutlah ayah bos gila bayang.” Sekali lagi Megat gelak besar.
Amru terdiam sebelum tersenyum sinis. Perempuan
pilihan Dato’ Syed Qassim mana ada yang hodoh! Semuanya
cantik tapi belum mampu menjinakkan hati daddynya.
“Selain itu bos, keluarga dia miskin. Dua tahun
lepas si ayah masuk hospital sebab sakit jantung, keluarga
perempuan tu pajak tanah kebun untuk rawatan. Sampai
sekarang hutang tu belum berbayar. Kalau hilang kebun tu,
keluarga dia bertambah susah. Si ayah tu ada juga ambil upah
mengurut tapi bukan hari-hari ada orang jatuh tergeliat.
Kebetulan Dato’ nak hulurkan bantuan kewangan. Tapi mana
ada orang nak tolong kosong zaman ni. Sebagai balasan,
Dato’ nak memperisteri dia. Aku tak pasti pula macam mana
Dato’ boleh kenal perempuan tu.”
“Bagus.”
“Bagus? Maksud bos?” Megat terpinga-pinga.
“Aku nak kau ambil tahu berapa jumlah hutang tu
secepat mungkin.”
“Okay, boss. Tapi lepas tu aku nak buat apa lagi?”
“Tawarkan duit lebih daripada jumlah hutang dia.
Dengan syarat perempuan tu tolak pinangan Dato’ Syed
Qassim.”
“Bos, biar betul?” Suara Megat lantang dek terkejut.
“Megat, aku tak reti nak bergurau.”
“Aku tak sangka bos nak halang niat ayah sendiri.
Tapi macam mana kalau diaorang tolak tawaran bos?”
“Kau buatlah apa-apa ugutan atau ancaman. Yang
penting, diaorang terima dan identiti aku tak terdedah.”
“Alright, boss. Tapi kenapa bos nak halang? Takkan
bos seram dapat mak tiri muda?” Megat masih berani
berlawak. Sengaja mengocak emosi Amru.
“Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku.”
“Baik, aku faham, bos.”
Malam itu selepas mandi dan menyarung pijama
tidur, dia menapak ke dapur. Secawan kopi segera dibancuh
sebelum masuk ke bilik kerjanya. Sejam berlalu Amru
tunduk membuat kerja pejabat yang masih berbaki. Dia putar
kerusinya ke belakang dan mengumpul kertas-kertas dari
mesin HP OfficeJet. Amru meneliti maklumat yang difakskan
oleh setiausahanya helaian demi helaian.
Kedu. Tegak postur tubuhnya di kerusi. Lama Amru
tergamam. Sebelah tangannya menggagau sesuatu tapi mata
enggan beralih dari sekeping kertas yang dipegang.
“Shit!” Dia mendadak bangun. Tangan yang berusaha
mencari telefon pintarnya, tertolak secawan kopi yang baru
separuh diminum. Mencemari kertas yang belum sempat
dibaca.
Segala kertas yang kotor disumbat ke dalam bakul
sampah yang terletak di kaki meja. Bingkas mata lelakinya
melekat pada sehelai kertas yang masih bersih. Amru
mencapai telefon pintarnya. Mendail sebuah nombor dari call
log.
“Dekat mana lokasi perempuan tu?”
TIGA HARI dia berkampung di kampung itu, namun sebarang
tindakan belum dilancarkan. Amru sendiri buntu dengan
keputusan yang diputuskan mendadak. Gara-gara seraut
wajah, rancangan asal dipinda. Khidmat Megat digunakan
separuh jalan.
Hari pertama, kedua dan ketiga, Amru hanya
berjalan sekitar kampung. Homestay yang didiaminya
adalah tempat yang sama Megat menginap sebelum dia tiba.
Ketua kampung, Haji Sufian banyak menemaninya melihat
kawasan sekitar. Alasannya mahu mencari lokasi yang bagus
untuk membangunkan chalet. Namun belum sekali Amru
terserempak dengan gadis yang Dato’ Syed Qassim cuba
sunting.
Masuk hari keempat, Amru tiba-tiba dapat akal.
“Terseliuh? Macam mana boleh jadi ni?” Haji Sufian
membelek-belek tangan kirinya. Amru sekadar tersenyum
dalam hati.
“Terjatuh katil.”
“Agaknya lasak sangat kamu tidur. Kita tak boleh
biarkan, nanti masuk angin. Marilah kita ke klinik dekat
pekan tu.”
‘Klinik?’ Amru segera meningkah. “Saya rasa jauh
nak ke pekan. Dalam kampung ni tak ada orang pandai
mengurut ke pak cik?”
Haji Sufian berfikir sejenak. “Ada.”
“Jomlah, kita ke rumah orang tu,” gesa Amru
nampak kurang sabar. Konon benar-benar sakit dan perlukan
rawatan segera.
“Tapi selalunya dia ke kebun waktu pagi macam ni,”
maklum Haji Sufian.
“Kalau macam tu, kita pergi petang nanti.”
Haji Sufian meningkah.
“Eh, mana boleh tunggu petang! Tangan kamu tu
perlukan rawatan segera, nanti bengkak. Kita pergi klinik
ajelah.”
Amru teguk liur. “Saya boleh tahan lagi, pak cik.”
“Tak elok tahan sakit. Kita pergi klinik aje. Pak cik
bawa kamu ke sana. Takkan kamu nak memandu sebelah
tangan pula?”
Nyata Amru tak berdaya membantah lagi. Bimbang
Haji Sufian mampu menghidu niatnya yang satu. Mereka ke
klinik pada pagi itu. Apabila berdepan doktor perempuan,
Amru menyusun dialog sebaik-baiknya. Risau kantoi!
“Saya rasa doktor tak payah periksa apa-apa. Terus
balut tangan saya dan bagi ubat untuk orang terseliuh,”
arahnya mendadak.
Tercengang-cengang puan doktor. “Tapi saya kena
periksa dulu. Kalau salah bagi ubat, habislah saya.”
“Take it easy. Saya mudahkan urusan doktor, doktor
mudahkan urusan saya. Saya dah siap diagnose penyakit
sendiri. Doktor tinggal balut dan bagi ubat. In fact, saya
bukan datang nak dapatkan MC. So, don’t worry.”
Puan doktor akur bila Amru menggesa. “Kenapa saya
rasa tangan awak tak nampak kesan terseliuh? Bila jatuhnya?”
Akhirnya puan doktor tetap perasan sewaktu membelek
sambil membalut tangan Amru.
“Abaikan apa yang doktor rasa. Sekarang, yang
rasa sakit itu, saya!” Selamba Amru meningkah sampaikan
terdiam doktor tersebut. Selesai urusan di klinik, Haji Sufian
mengajak Amru bersarapan di kedai makan dekat pekan.
“Pak cik, saya rasa kalau dapat orang urut lagi cepat
sembuh tangan ni. Boleh kita sambung meronda lagi macam
semalam. Lagipun saya mungkin tak lama dekat sini.”
Haji Sufian mengangguk. “Betul juga tu. Nanti
petang pak cik bawa kamu ke rumah Hamdan. Dia memang
ambil upah mengurut orang.”
‘Yes!’ Terselit senyum halus di pinggir bibir. Akhirnya
dia punya alasan kukuh untuk bertandang ke sana. Demikian
itu, jantung Amru ditimpa debaran tak menentu.
PADAH BERBOHONG memakan diri. Tangan yang sedia
sihat menanggung sakit. Pedihnya bila diurut oleh tangan
tua Pak Cik Hamdan yang baru dikenalinya. Bila terasa ingin
meraung, Amru mengetap kuat gigi. Bertahan sedaya upaya.
“Sunyi rumah. Anak-anak kau ke mana?” Hati Amru
serta-merta berterima kasih dengan Haji Sufian yang sudi
bertanya soalan yang membelenggu dirinya sejak tadi.
“Hari ni, si kembar ajak kakak-kakaknya pergi
tangkap ikan puyu dekat sawah Leman.”
‘Hesy!’ Hatinya merengus. Sekali lagi dia tak punya
peluang untuk bertentang mata dengan gadis itu. Usahanya
seharian berlakon nyata sia-sia.
“Patutlah dari tadi kucing tu duduk dekat kau.
Sunyilah tu,” balas Haji Sufian manakala Amru baru perasan
seekor kucing berbulu hitam putih sedang berbaring di
sebelah Pak Cik Hamdan yang gigih mengurutnya.
“Jarang Hemo-Hemo kena tinggal. Tapi disebabkan
dia tidur tadi, anak-anak aku pakat tinggal. Semua nak terjun
dalam sawah. Katanya nak bertanding tangkap ikan paling
banyak. Risau nanti Hemo-Hemo kebas ikan diaorang.”
Haji Sufian angguk.
“Habis, soal lamaran tu... kau dah ada keputusan?”
Amru perasan tangan Pak Cik Hamdan terhenti
sejenak dek pertanyaan tersebut. Dia juga terkejut dalam
diam dengan pertanyaan Haji Sufian. Mungkin Haji Sufian
adalah orang tengah daddynya.
“Belum lagi, Pian.” Ringkas jawapan Pak Cik
Hamdan.
“Tak apa, fikirlah baik-baik. Cuma bagi aku, ini
lamaran yang terbaik untuk Lofa. Rugi tolak tuah,” tambah
Haji Sufian.
‘Lofa? Mungkin tu panggilan singkat untuk nama
Siti Nailufar seperti yang Megat beritahu,’ fikir benak Amru.
“Amru orang mana?” Pak Cik Hamdan melencong
topik lain. Amru jangka Pak Cik Hamdan tak gemar dengan
topik pilihan Haji Sufian.
“Saya asal Kuala Lumpur.”
“Dia tauke besar dekat sana. Ada syarikat sendiri.
Datang sini nak tengok kawasan mana yang sesuai untuk
dijadikan pusat peranginan,” tokok Haji Sufian manakala
Amru sekadar senyum.
“Hebat! Anak muda yang berjaya macam kamu kena
selalu menjenguk kampung. Buka peluang pekerjaan untuk
anak muda kita yang melepak tak tentu hala. Tarik perhatian
mereka supaya sama-sama berjaya. Barulah ada pelapis untuk
anak bangsa.”
Amru hanya senyum dan angguk.
“Ayah! Ayah!” Laungan kuat bergema dari halaman.
Lantas terdengar anak tangga rumah didaki dengan cekap
dan laju. Terpacul dua orang budak lelaki dari pintu rumah.
“Hah, siapa yang menang?” Pak Cik Hamdan lekas
bertanya. Mengalihkan perhatian kepada anak kembarnya,
Hanif dan Haziq.
“Kak Lofa!” Serentak kedua-duanya menggerutu.
“Lain kali Haziq nak suruh Kak Lofa jadi pengadil. Kak
Lofa dah tua, dia tak layak bertanding dengan budak-budak.”
Jelas suara tak puas hati Haziq. Kedua-dua belah tangannya
siap bercekak di pinggang.
“Kau tu yang sombong. Aku dah cakap, Kak Lofa
hebat tapi kau nak juga tunjuk lagak. Sekarang dah kalah baru
kau malu. Ayah, Haziq dapat nombor terakhir. Ikan dia paling
sikit. Tiga ekor aje,” maklum Hanif tanpa berselindung. Haziq
yang malu lantas menyiku rusuk kembarnya. Bengang!
“Sudahlah tu, jangan bergaduh. Dah seronok dekat
bendang, takkan nak bergaduh pula? Mana kakak-kakak
kamu?”
“Kak Lofa dengan Kak Nana ikut pintu belakang.
Diaorang tak mahu rumah kotor. Tapi kami berdua sengaja
ikut depan sebab tak sabar nak beritahu ayah keputusannya.”
“Yalah, cepat pergi mandi. Tapi sebelum tu, suruh
kakak kamu buat air untuk tetamu kita.”
Setelah ayat itu bergema, pantas hati Amru menyeru
agar gadis itu muncul sebelum dia pulang.
“Baik, ayah.” Dengan taat, Hanif dan Haziq beredar.
Hemo-Hemo bangun dari sisi Pak Cik Hamdan seraya
bergerak membuntuti si kembar.
“Ada rasa lega sikit, Amru?” Kepalanya angguk
dengan pertanyaan Pak Cik Hamdan.
“Esok lusa baiklah tu.” Haji Sufian merumus.
“Jangan lupa makan ubat yang doktor bagi. Baru
lekas sembuh,” tokok Haji Sufian. Amru mengangguk.
Seseorang menatang dulang air ke ruang tamu.
Sekali lagi harapan Amru meleset. Bukan gadis yang
diharapkan muncul. Dia pasti gadis remaja itu merupakan
anak kedua Pak Cik Hamdan. Mengikut kata Megat, Siti
Nailufar anak pertama dan Pak Cik Hamdan telah menduda
sejak sepuluh tahun lalu.
“Terima kasih tolong urut saya, pak cik.” Amru
menghulurkan beberapa keping not RM50 setelah selesai sesi
mengurut.
Bulat mata Pak Cik Hamdan.
“Eh, janganlah banyak sangat! Pak cik bukan buka
pusat bekam.”
Amru tersenyum kecil.
“Ambillah pak cik, saya ikhlas. Lagipun saya dah
ambil masa pak cik. Masa tu yang berharga,” tuturnya hemah.
“Ambillah, Hamdan. Bukan selalu nak dapat jumlah
tu. Rezeki jangan ditolak.” Haji Sufian mencelah.
“Terima kasih banyaklah, Amru. Murah rezeki kamu
esok lusa.”
Lantaran itu, Amru berharap supaya rezeki tersebut
adalah bertemu dengan Siti Nailufar.
No comments:
Post a Comment