DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Sunday, 15 January 2017
MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - PROLOG
PINTU Ford Everest warna merah terselak lebar.
Dia turun lalu menutup deras pintu SUV tersebut. Kaki
meluru dengan langkah yang tegas dan tepat. Di sebalik kaca
mata hitam, matanya menghunus tajam. Menyembunyikan
kemarahan dalam renungannya.
Kerja yang sepatutnya selesai minggu lalu
tertangguh hanya kerana sebuah masalah kecil. Puas hatinya
menyumpah pekerjanya yang lembap menguruskan masalah
tersebut dan hari ini dia sendiri turun padang.
“Assalamualaikum, Tuan Amru.”
Pekerjanya memberi salam namun Amru enggan
menjawab. Sebaliknya dia terus bertanya.
“Mana orang yang kau tak mampu uruskan tu?”
Si pekerja teguk liur bila terasa aura baran majikannya bagaikan tersimbah ke muka. “Susah sangat nak
halang dia, bos. Setiap kali buldozer kita mula bergerak, dia
berlari ke depan. Macam orang tak ingat mati. Lebih rela
nyawa terbang.”
Amru merengus.
“Kau orang dekat sini ada berapa orang?”
“Lima, bos.”
“Lima lawan satu? Kenapa boleh kalah?” Amru cekak
pinggang. Panas hatinya sepanas terik mentari.
Si pekerja terkulat-kulat tak faham.
“Takkan bos nak suruh kami sondol juga lelaki tu
dengan buldozer? Boleh mati dia, bos. Kami tak nak kena
mati dekat tali gantung pulak.”
Amru ketap gigi. Ketat rahangnya mengawal
kemarahan.
“Jangan jadi bodohlah, Nazri. Fikir dulu sebelum
cakap. Aku tak suruh kau sondol dia dengan buldozer. Kau
ingat aku ada kuasa nak arahkan kau bunuh dia sesuka hati?
Cara aku lebih kejam daripada itu. Kau tunggu arahan aku
nanti. Sekarang mana dia?”
“Mana dia sekarang???” Amru hampir menjerkah
bila Nazri masih teragak-agak hendak membuka mulut.
“Sekarang dia tak ada, bos. Tapi kalau kita hidupkan
enjin buldozer, sekelip mata dia muncul. Bos nekad nak
runtuhkan rumah ni? Sebenarnya saya kesian sangat tengok
dia.”
“Aku tak nekad nak runtuhkan rumah buruk tu. Tapi
aku nekad nak bina banglo dekat sini. Listen Nazri, dalam
urus niaga dan kerja tak ada istilah kesian. Aku dah laburkan
duit beli tanah ni dan aku nak buat sesuai dengan permintaan
klien. Lelaki gila tu sepatutnya tahu kuasa yang kita ada.
Tanah rumah ni bukannya kita dapatkan secara haram.
Kita beli siap dengan perjanjian mutlak. Abang dia dah jual
sebelum lari ke overseas.”
“Tapi dia cakap, abang dia tak ada hak ke atas rumah
ni. Arwah mak ayah dia jadikan dia pewaris tunggal. Abang
dia ambil kesempatan jual waktu dia dalam penjara. Baru
sebulan dia keluar penjara. Dah sebulan juga dia tinggal kat
dalam rumah ni. Tiba-tiba dia terkejut dapat arahan rumah
nak dirobohkan,” cerita Nazri satu per satu.
Amru peluk tubuh. Berkerut hebat dahinya.
“Itu masalah aku ke, Nazri?”
Nazri terdiam sebelum menggeleng perlahan.
“Kerja aku bina apa yang klien nak. Sama juga
dengan kau. Takkan sebab kau kesian, aku kena tolak projek
ni? Kalau kita tak ada projek, gaji kau pun aku tak boleh
bayar. Kau rasa alasan kesian tu relevan?”
Nazri menggeleng lagi.
“Secara logiknya, kau lebih percaya cakap bekas
banduan tu atau abangnya?”
Kali ini Nazri mati kata. Buntu pula apabila diberikan
pilihan.
Tanpa menunggu jawapan Nazri, Amru keluarkan
arahan.
“Suruh pekerja lain stand by. Kita nak mulakan
kerja robohkan rumah ni sekarang. Pergi hidupkan enjin
buldozer.”
Nazri bergegas menyampaikan arahan kepada yang
lain. Sejurus enjin jentolak berbunyi garang, keluar seseorang
dari pintu rumah yang bakal dimusnahkan. Amru angkat
tangan memberi isyarat supaya pekerja yang mengawal
jentolak mara ke depan.
Lelaki penuh jambang itu berlari ke depan buldozer
tanpa gentar. Tangannya didepakan di depan pencedok
jentolak. “Langkah mayat aku dulu!” jeritnya keras.
Amru tergelak besar. Berdekah-dekah.
“Aku bagi kau lima minit untuk kemaskan
barang-barang kau dalam rumah ni. Kalau kau enggan,
semuanya tak dapat diselamatkan lagi. Sementara hati aku
masih baik, elok kau berhambus dengan sopan.”
Bingkas lelaki itu meludah. “Walaupun perlu mati,
aku takkan berganjak dari sini!”
Amru tersengih sinis. Dia sekadar angguk dengan
keputusan tersebut.
“Nazri!” panggilnya deras. Umpama guruh
berdentum di langit.
Terkocoh-kocoh Nazri berlari ke sisi majikannya.
“Kenapa bos?”
“Kau dengan tiga orang pekerja lagi halang dia.
Jauhkan dia dari buldozer. Aku nak tunjuk cara aku handle
masalah ni depan kau dengan yang lain.”
Melotot mata Nazri. “Bos biar betul?”
“Nazri, kita bukan dekat tapak fun-fair sekarang.
Aku tak ada masa nak bergurau. Lebih baik kau nyahkan dia
dari situ,” arahnya lebih jelas.
“Bos, dia tu bekas banduan. Bos tak takut? Mana
tahu sebelum ni dia pernah buat jenayah berat? Boleh hilang
nyawa nanti.”
Amru merengus. Bengang dengan Nazri yang
pengecut. “Aku tak bayar kau untuk bagi nasihat. Aku masih
waras sekarang. Ikut arahan aku atau kau boleh letak topi tu
dan beredar dari sini.”
Sekelip mata Nazri berlari menyampaikan arahan
Amru. Kecut dengan ugutan tersebut. Lantas arahan tersebut
berlangsung. Empat orang lelaki mengawal seorang lelaki.
Menangkap dan memasung pergerakan tubuh lelaki yang
nekad itu. Mengheret jauh daripada buldozer.
“Lepaskan aku! Aku cakap lepaskan aku!” bentak
lelaki itu sambil meronta-ronta.
Tanpa bertangguh lagi, Amru angkat tangan lalu
mengisyaratkan jentolak mulakan kerja meroboh.
“Jangan! Jangan musnahkan rumah aku!” jerit lelaki
itu lantang. Sepasang matanya merah menahan tangis dan
marah yang menyala-nyala.
Sekelip mata rumah papan itu runtuh menyembah
bumi. Amru hembus nafas lega lalu putarkan tubuh. Dia
melangkah pergi tanpa menoleh lagi.
PROLOG 2
PERLAHAN-LAHAN Nailufar turun katil. Tidak mahu
pergerakannya mengganggu lena si adik. Pintu juga diselak
lembut agar tidak mengejutkan isi rumah. Maklumlah pintu
yang telah lama selalunya berkeriut bunyi engsel.
Selesai mengambil wuduk di bilik air, Nailufar
masuk semula ke bilik. Sejadah dibentang menghadap kiblat
seraya menyarung telekung. Lantas niat solat tahajud dilafaz
sebelum mengangkat takbir.
Usai solat, dia berzikir lama sebelum menadah
tangan. Berdoa dengan sesungguh hati. Kata Imam Syafie,
doa pada saat tahajud umpama panah yang tepat mengenai
sasaran. Dia yakin Tuhan Maha Mendengar rintihan hatinya.
Apatah lagi selepas mengerjakan solat sunat tahajud.
Demikian firman Allah dalam Surah Al-Isra, ayat
79. “Dan pada sebahagian malam hari, bersolat tahajudlah
kamu sebagai ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan
Tuhan mengangkat kamu ke tempat terpuji.”
Menurut hadis Riwayat Muslim, Rasulullah bersabda:
“Di waktu malam terdapat satu saat di mana Allah akan
mengabulkan doa setiap malam.”
Gara-gara lamaran yang dibawa oleh Haji Sufian,
Nailufar jadi tak keruan. Ketenangannya bagai diragut tanpa
amaran. Sejak pulangnya lelaki tua itu, dadanya seakan-akan
sukar bernafas. Nailufar mula mendiamkan diri. Makannya
tidak kenyang, duduknya gelisah hingga menjejaskan lenanya.
“Lelaki tu berkenan sangat dengan Lofa. Sekali
pandang anak kau, terus dia tanyakan dekat aku. Bila tahu
Lofa masih anak dara, dia terus suruh aku masuk meminang,”
ujar Haji Sufian dengan senyum menyeringai di depan dia
dan ayahnya ketika di ruang tamu.
“Aku ada bercerita fasal hutang kau dengan aku,
dia setuju nak langsaikan hutang kau sekali gus. Asalkan
kau terima pinangan dia,” tokok Haji Sufian. “Hamdan, dah
lama sangat kau bersusah payah selama ni, lebih baik kau
kahwinkan Lofa. Senang hidup kau nanti. Lagipun bukan
dengan lelaki biasa. Orang kenamaan yang ada pangkat Dato’.
Anak kau bertuah, tak macam anak aku, si Sara tu! Aku
sebenarnya cemburu dengan kau.”
Nailufar lihat ayahnya mengeluh. Hati begitu
bimbang jika ayah bertindak menerima pinangan tersebut dek
termakan pujukan Haji Sufian. Sungguh Nailufar menyesal
mengikut adik-adiknya ke majlis perasmian balai raya
minggu lalu. Mereka ke sana hanya mahu makan percuma.
Tetapi tidak menyangka lelaki yang bergelar Dato’ itu terlihat
kelibatnya dalam beratus-ratus orang. Lebih malang bila Haji
Sufian gatal mulut bercerita tentangnya.
“Macam nilah, Pian. Aku tak boleh bagi keputusan
sekarang. Biar aku bincang dulu dengan Lofa. Perkara ni
perlukan masa untuk diputuskan.”
Nailufar sedut nafas lega. Ayah memang seorang
yang prihatin. Selalu mendahulukan kehendak anak-anak
sebelum kehendak sendiri.
“Dah alang-alang Lofa ada sekali, kau tanyalah dia
sekarang,” desak Haji Sufian seolah-olah tidak menyabar.
Pandangan mereka anak-beranak bersatu. Nailufar
tidak memberi apa-apa reaksi. Sebaliknya berharap ayah
mampu menilai dari sinar matanya. Kemudian ayahnya tala
semula mata kepada Haji Sufian.
“Bagi aku sikit masa dulu, Pian. Nanti bila ada
keputusan, aku beritahu kau.”
Haji Sufian mengeluh. Lebih kepada merengus tidak
puas hati. “Jangan lambat sangat. Bukan senang nak dapat
lelaki yang boleh terima Lofa. Kau mesti faham maksud aku.
Anak kau betul-betul bertuah. Sekarang dulang emas dah
ada depan mata, tinggal Lofa lompat ke dalam tu. Rugi kalau
terlepas. Sementara orang tengah sayang, minta apa saja
tentu dibaginya.”
Dia dan ayahnya hanya membisu. Nailufar tidak
berkenan dengan bicara Haji Sufian. Seolah-olah dia dan
ayah perlu mengejar lelaki yang berharta dan berpangkat itu.
Sesungguhnya mereka sekeluarga tidak laparkan harta dunia
tetapi harus mendapatkan harta dunia demi melunasi hutang
yang tertunggak.
“Ya Allah, Kau lorongkanlah aku sebatang jalan
yang mampu menyelamatkan aku dari kemelut ini. Amin Ya
Rabbulalamin.” Berkali-kali hatinya berdoa dengan renungan
berkaca-kaca.
Sementara menunggu subuh yang tiba tiga jam lagi,
Nailufar mengerekot di atas sejadah. Bibirnya terus berzikir
hingga perlahan-lahan matanya terkatup dek rasa kantuk.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment