DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 9

AKU balik awal dari kerja sebab malamnya
aku nak masak. Padahal nak kata awal, sama juga. Hari ni
seorang penolong pengurus kewangan baru dilantik dan
diperkenalkan oleh Iskandar Holdings iaitu Rafida. Dia dulu
pengurus kewangan di Syarikat Seria Holding milik Khalisah
yang akhirnya kahwin dengan secretary anak Dato’ juga tu.
Atas kredibiliti yang dimilikinya aku yakin, kami mampu
menjalin kerjasama yang baik di dalam jabatan perakaunan
Iskandar Holdings. Nanti ajelah detil aku cerita pasal Rafida,
lagipun dia tu scene lain. Ni scene aku, takmo pula interframe
berlebihan kan. Haha!
Nak cerita, dah beberapa hari makan tapau dari kedai,
tekak dah macam tak lalu dah makan hasil masakan orang.
Aku siang ikan, kemudian uruskan ayam, konon-kononnya
mahu masak ikan tiga rasa dan juga sup ayam lobak, juga
aku mahu makan ketam masak lemak kegemaran aku. Yang
simple-simple sudah, tapi itulah, kuantiti kena banyak sikit
daripada biasa sebab bukan aku seorang saja yang makan.
Ini termasuklah 2 orang adik-beradik lain mak bapak aku tu.
Kalau Joe tu bolehlah lagi makan sikit, tapi kalau Bob tu dua
tiga kaut jugak tu. Nasib baiklah dia adalah penyumbang dana
terbesar untuk makanan malam ni. Bob ni memang kedekut
sikit, tapi kalau pasal makan, dia tak kisah. Janji dia puas
dengan apa yang dia dapat. Janganlah bawa budak seekor ni
ke kedai tepi jalan, mesti adalah kompelin daripada dia. Aku
dah berapa kali kena. Dasar Bob, memilih!
Dulu taklah juga macam tu. Ni mesti sebab umur
dah meningkat dan masih sololah ni. Lupa nak cerita pasal
Bob. Maaflah Bob, bukan sebab kau tak popular tapi sebab kau
tu lebih mesra alam daripada aku. Nanti lari pulak peminat
aku kan? Eh! Ni syok sendiri dah ni.
Okeylah Bob ni dulu dekat sekolah memang dia ni
champion bab-bab subjek Lukisan Kejuruteraan. Memang dia
skor habis-habisan. Naik universiti lagilah makin teruja dia
dengan cita-citanya mengambil engineering. Fuh! Nak sebut
pun susah. Jangan tak tahu, budak-budak engineering ni
dekat memana popular kut. Sebut saja pelajar engineering...
walawei! Beratus orang nak kenal! Macam tu la Bob dulu
dekat universiti. Ramai peminat! Nasib baiklah Facebook
masa tu belum ada lagi, kalau tak aku percaya Bob tu dah
ada Fan Pages sendiri dan follower dia harus beribu jugak tu.
Aiya! Facebook dah old school, sekarang ni Instagram. Situ
follower boleh cecah beratus-ratus ribu kalau gambar lawa.
Tepek je gambar si Bob tu, beribu Like dia dapat. Hmm...
agak-agak boleh tak cari jodoh kat situ? Haha!
“Assalamualaikum.” Seseorang memberi salam.
“Waalaikumussalam... masuklah... pintu tak kunci,”
jawabku yang sibuk menumbuk segala bawang dengan lesung
batu.
“Amboi nyah... siap duduk bersimpuh gitu... anggun
you...” Bob pandang aku yang anggun menumbuk bawang.
Pedas amat mendengar perkataan anggun tu, rasa
nak cili-cilikan saja mulut Bob tu.
“Dah, pergi tolong aku tengok-tengok ikan
tu, kecikkan api. Lepas tu basuh sayur semua tu.” Aku
mengarahkan. Aku ni kalau bab mengarah memang nombor
satu, tapi bukanlah nak mengarah drama atau filem bagai
tu... itu memang ke lautlah jawabnya.
“Ya Cef Lalan oii...” Bob dengan bermalasan menuju
ke singki dan membantu aku. Tak banyak pun lagi, tinggal
nak masak satu masakan saja.
“Hari ni tak busy macam selalu ke?” tanyaku sambil
makin ligat menumbuk bahan masakan dekat lesung. Bukan
tak ada blender, tapi dah mak ajar masak guna lesung. At least
kalau Bob ke Joe buat hal, boleh seligi pakai lesung. Kui, kui.
Bob mengherotkan mulut. “Mahunya tak busy. Rasa
wayar-wayar dekat kepala ni dah tertanggal pun ada. Hari ni
dapat projek baru, lagilah wayar dah bersimpul-simpul ni ha,”
jawab Bob.
“Ha, budak engine pun mengeluh...” Aku menyindir
pula.
“Yalah, budak engine pun manusia tahu. Yang kau
pula?” Bob pula tanya aku balik.
“Boleh tahan juga stres hari ni. Audit, belanjawan
semua tak sampai lagi dekat meja aku. Nak mengarah-arah ni
memang stres. Harap-harap dengan ada staf akauntan baru tu
orang lain cepat buat kerja.”
“Wah, staf akauntan baru tu. Siapa?” tanya Bob
menyibuk.
“Entah kau kenal ke tidak, tak payahlah cerita. Kau
ni Bob, sibuk je.” Aku sengaja marah dan meneruskan kerja.
Usai menumbuk segala bagai bahan, aku berdiri
kemudian memeriksa bahan-bahan yang sedang kumasak.
Fuh! Sebaik saja membuka penutup kuali, pergh! Memang
terangkatlah. Untunglah aku pandai masak, ini kriteria bagus
sebagai calon menantu ni. Bukankah nak menjaga anak orang
kena jaga perut ayahnya. Ha, apakah terma menjaga perut
pak mentua itu sama caranya seperti memasak makanan
sedap? Aku rasa lebih kurang, eh!
“Bob, kau ada contact Joe ke tadi? Dia jadi datang ke
tak ni?” tanyaku pada Bob yang risau Joe makan dekat luar.
Maklumlah Joe tu banyak contact sana sini, mana tahu ada
klien ajak keluar dinner. Mak-mak Datin, abang-abang sado
yang banyak kes. Selaku peguam, Bob bukan je bertindak
nak mewakili klien, dia juga bertindak sebagai orang yang
memberi motivasi pada kliennya untuk lebih kuat. Kalau ada
hadiah peguam handsome dengan hati bersih, sah-sah si Joe
tercalon dalam senarai.
“Dah, nanti dia datanglah tu. Lagi-lagi kalau kau
masak, aku dah canang dekat dia kau masak makanan
kegemaran dia.” Bob menjawab sambil selesaikan tugas-tugas
dia, lepas tu masuk ke bilik untuk tukar baju nak mandi.
“Ha, kau tu cepatlah mandi. Lepas solat isyak, jap
lagi kita makan.” Aku memberi arahan pada Bob yang aku
tahu selalunya dia tidur berehat kalau masuk ke bilik.
Bob keluar dan masuk ke bilik air. “Yalah, kau tak
nak join sekali ke mandi dengan aku, Lan? Tak bestlah mandi
sorang-sorang ni...” Bob tiba-tiba buat aku seram seluruh
badan.
“Hoi Bob, kau jangan macam-macam duk nak mandi
sesama pula. Kau dah sakit otak ke apa? Kau jangan pula kata
dah biasa buat dengan Azhar tu. Ada aku seligi nanti...” Aku
bersuara tegas.
Azhar yang aku maksudkan tu adalah kawan gim
Bob yang mesra alam bagi diskaun dekat kami setiap kali
kami masuk gim. Dia selalu senyum-senyum pandang Bob.
“Choi! Aku main-main jelah. Aku maksudkan tadi tu
best kalau kita mandi terjun sungai belah rumah kau tu...”
Bob menyahut.
Lega hati aku. Nasib baiklah Bob masih lagi budak
baik. Itu pun aku waswas jugak. Lain di mulut lain di dalam
hati. Ala, macam orang sekeliling juga. Jangan nampak
kata-kata seseorang tu manis saja, kena nilai baik-baik. Sebab
tak semua orang di luar baik di dalam hatinya baik juga. Tapi
tak semua yang jahat tu hatinya jahat. Hati ni memang pelik
padahal kecik je, tapi melalui hati nilah kita rasa perasaan
yang macam-macam.
Tetiba aku teringat cinta tak kesampaian aku dekat
Najwa dulu. Baru berangan nak bersama, dia dah terbang
jauh. Terus feeling-feeling lagu Kisah Hati nyanyian Alyah.
Frust tu.
“Assalamualaikum...”
Suara Joe memberi salam buatkan aku terbubar
daripada lamunan. Nasib baiklah masakan semua tunggu nak
siap.
“Waalaikumussalam...” jawabku sambil menyusun
pinggan mangkuk dan segala gelas dekat meja makan.
“Wah, banyaknya kau masak Lan, ada kenduri ke?”
tanya Joe yang terus landing kat meja makan tu.
Aku senyum dengan masih lagi pakai apron ala-ala
cef.
“Ni namanya aku qada makan. Berapa hari dah aku
baham Maggi je, ini kalilah...”
Joe dengar orang mandi kat bilik air. “Bob baru
sampai juga ke? Cepatlah, aku tak sabar nak makan ni.” Joe
bersuara.
“Dah lama dah dia balik. Kita solat isyak dulu baru
makan, aku pun nak mandi ni. Kau pergilah tengok TV dulu.
Kalau rajin kau tolong lipat baju aku dan Bob yang baru
kering tu ya. Terima kasih.” Aku membalas.
“Amboiii... rumah korang tapi menyusahkan
tetamu.” Joe pula membalas.
“Daripada kau tercongok dekat sofa, bagilah senaman
sikit. Kalau tak nak pun tak apa.”
“Allahuakbar, Allah... hu akbar...” Kedengaran suara
azan isyak. Aku cepat-cepat ambik tuala nak mandi lepas tu
nak solat.
Plak!
“Baru habis mandi ke bang?” tanya aku pada Bob
yang lama bebenor mandinya. Habislah bil air aku meningkat
bulan ni.
“Kau buta atau kau tak nampak? Kau ni, Lalan... ada
juga yang kena pakai spec mata ni.” Bob membalas jawapan
aku. Kasarnya!
Aku buat tak peduli dan terus masuk ke bilik air.
Joe jadi imam solat kami hari ni. Usai solat, tibalah
masa untuk membaham. Berselera amat kami makan hari tu,
masing-masing kaut nasi dua tiga kali.
“Sedap amat kau masak, Lan. Fuh! Sama sedap
macam masakan cikgu.” Joe memuji. Cikgu tu, dia maksudkan
mak aku. Bob pula dah letak thumbs-up tinggi-tinggi, tak
mampu nak berkata-kata kut.
Sebenarnya aku ni suka berada di dapur dengan mak,
lepas tu tanya-tanya bila dia tengah masak. Aku tahu, suatu
hari nanti aku kena duduk jauh dari mak, jadi ini persediaan.
Dulu aku tak pernah fikir masak tu penting pun, ala, setakat
nak makan boleh belilah. Tapi bila aku sedar pada zaman yang
serba meningkat ni, tak ramai yang suka memasak makanan
sendiri, aku rasa terpanggil untuk memasak. Lagi satu sebagai
persediaan kalau isteri aku bersalin nanti, bolehlah aku
masakkan untuk dia. Tak apa kan berangan kejap? Teringat
mak tiba-tiba.
“Joe, bila kau nak balik kampung?” tanya aku pada
Joe sebab dia ada ura-ura kata nak balik kampung. Amboi!
Nak balik kampung macam ada apa-apa je, entah-entah nak
merisik anak dara orang.
“Tak taulah. Hujung bulan nilah kut. Kenapa? Kau
nak ikut?” tanya Joe balik pada aku.
“Kalau kau balik kena dengan time, aku ikutlah kut.
Bob?” Aku pandang Bob yang tengah kekenyangan.
Dia angguk je.
“Kau ni Bob, makan tu pelan-pelanlah. Behave masa
makan tu.” Aku herot mulut. Tapi Bob buat tak peduli je.
Lepas habis makan dan kemas serta tapaukan untuk
Joe bawa balik, aku dan Bob tonton televisyen dekat ruang
tamu. Malam tu tak ada bola, jadi kami layan cerita siasat dan
bunuh CSI dekat TV. Bolehlah layan, pasal budak kecik yang
hilang beberapa tahun lalu dah dijumpai semula. Lepas tu
budak kecik tu bukan seperti sebelumnya. Oh! Tak bolehlah
cerita panjang-panjang, ini bukan novel thriller atau aksi, ini
novel mencari bakal calon isteri!
Klong! Klong!
Telefon bimbit Bob berbunyi, ada WhatsApp
masuklah tu. Terkejut aku dengar bunyi Ringtone dia,
ingatkan ada zink jatuh. Tapi setahu aku, rumah sewa kami
ni apartmen. Lepas baca WhatsApp tu, muka Bob berubah.
Kemudian tergesa-gesa keluar.
“Kau nak ke mana Bob malam-malam buta ni?”
tanya aku pelik. Semacam je dia.
“Aku keluar kejap, ada hal penting ni. Aku balik
lambat, kau jangan tunggu pula.” Bob memberitahu.
“Kau jangan lupa bawa kunci,” pesan aku.
Bob kemudiannya pergi. Aku pula terus tutup TV
dan masuk ke bilik.
BOB SAMPAI ke perhentian bas. Lama Bob tak naik turun bas.
Dulu dia ingat selalu naik bas dekat Puduraya untuk balik ke
kampung. Ini kali pertama Bob datang ke Stesen Bas Bandar
Tasik Selatan, makanya Bob cari stesen bas baru tu guna GPS.
Bob sampai juga, itu pun dia terkial-kial juga dan dalam hati
dia agak risau bila terima WhatsApp tadi. Sampai saja di sana,
terus Bob keluar dan toleh kiri kanan cari seseorang.
“Abang...” Tiba-tiba saja seseorang sudah memeluk
Bob dengan tangisan.
Terkejut Bob masa tu.
Tergamam!

No comments:

Post a Comment