“FIRA...” panggil Tan Sri Ariff sambil mengetuk
pintu kamar anak daranya.
“Abang, Fira tak boleh bercakap lama. Daddy
panggil,” ucap Afyra kepada si pemanggil. Terus sahaja talian
dimatikan.
Naquib di sana mendengus sakit hati apabila talian
terputus begitu sahaja.
Afyra terus bangun mendapatkan bapanya di pintu.
“Pakai tudung. Turun makan malam,” ujar Tan Sri
Ariff sambil berpaling.
“Okey.”
Selesai mengenakan tudung, Afyra turun. Kesemua
kakak dan abang iparnya sedang mengelilingi meja makan.
Semua adik-beradiknya sudah ada. Anak-anak buahnya
sedang membuat bising di ruang tamu. Riuh sekampung oleh
suara mereka.
“Fira dah pergi kursus kahwin ke?” tanya Nur Ain
kepada adik iparnya.
“Dah.”
“Farouqe?”
“Farouqe lagi awal dah pergi. Dah bersiap sedia nak
jadi suamilah katakan.” Puan Sri Insyirah tolong jawab bagi
pihak anaknya.
Nur Ain ketawa kecil. Hanya tinggal tiga minggu
sebelum dua kembar itu menamatkan zaman bujang mereka.
“Lepas kahwin nanti pindah duduk kat mana, Fira?
Naquib tu sekarang menetap dengan famili, kan?” tanya
Jannah pula.
“Duduk dengan famili dia,” jawab Afyra perlahan.
“Kenapa tak pindah?” tanya Jannah lagi.
Afyra sekadar menjongket bahu. Tidak tahu mengapa
Naquib enggan berpindah keluar dari rumah ibu dan bapanya.
Agaknya ibu dan bapanya tidak izinkan.
“Sebaiknya duduk berasingan daripada keluarga. Ada
buruk, ada baiknya.” Nasihat Imanina.
“Fira ikut aje apa yang dia tentukan, Kak Iman.
Malas nak gaduh selalu. Dia tak suka orang bangkang cakap
dia,” ucap Afyra sambil memandang ibunya yang sedang
merenung ke arahnya.
Tan Sri Ariff hanya mendengar perbualan itu. Banyak
persoalan yang bermain dalam fikirannya dan dia tahu Afyra
tiada jawapan itu. Serba salah. Bimbang penilaian awalnya
tersilap.
“Naquib anak tunggal. Mungkin sebab tu dia tak
mahu duduk berasingan daripada keluarga dia,” ujar Puan
Sri Insyirah.
“Deline pun anak tunggal juga. Farouqe tak mahu
duduk dengan mentua atau keluarga sendiri. Farouqe nak
merasa hidup sendiri. Lagipun ayah Deline tak suka pun
kami menyempit sekali dalam rumah dia. Hal pertama yang
dia tanya pada Farouqe hari tu, bila nak cari rumah,” sampuk
si Farouqe. Bunyinya macam dia juga tidak setuju kakaknya
berkongsi rumah yang sama dengan mentua.
“Seharusnya begitulah. Tapi mungkin sebab dia
anak tunggal, ibu dan bapanya perlukan dia dekat dengan
mereka selalu.” Puan Sri Insyirah berkata lembut. Agak tidak
gemar mendengar anak perempuannya akan duduk dengan
mentua selepas nikah nanti. Kerana dia tahu kesannya. Tetapi
jika Naquib pandai mengemudikan rumah tangganya, tiada
masalah juga untuk tinggal bersama orang tua.
“Dia bukan anak tunggal. Dia ada adik. Sorry.
Fira baru teringat,” ujar Afyra mencelah perbincangan itu.
Teringat semula apa yang berlaku beberapa minggu lalu.
Spontan Tan Sri Ariff memandang anaknya itu.
“Naquib ada adik?”
Afyra mengangguk.
“Kami ada terserempak sebelum ni. Naquib kata itu
adik dia. Fira tak faham kenapa dia sembunyikan hal seperti
itu. Atau mungkin dia rasa tak penting sebab lelaki tu bukan
adik kandung dia. Entahlah! Fira pun dah peninglah. Dia tak
mahu berterus terang. Selama ni, dia selalu kata dia anak
tunggal.”
“Auchh...” Spontan Jannah memandang Imanina.
Aneh keadaan itu. Kenapa mesti berahsia?
Tan Sri Ariff hanya diam memandang Afyra.
Tertanya-tanya juga dia tentang itu. Apa hal sebenarnya?
“Pendapat daddy macam mana?” tanya Imanina
kepada bapanya. Gerak-geri bapanya jelas menunjukkan
lelaki itu sedang berfikir tentang sesuatu.
Tan Sri Ariff mula memandang anak-anaknya.
Pandangannya singgah lama di wajah isterinya pula. Tenang.
Namun dia tahu isterinya juga sudah mula ragu-ragu
sepertimana dia sekarang.
“Jika dia pandai mengendalikan rumah tangganya
tidak menjadi masalah duduk dengan mentua atau ibu
bapa sendiri. Yang sering menjadi masalah apabila orang
luar masuk campur dalam urusan suami isteri. Sebuah
kapal hanya perlu ada seorang nakhoda. Jika dua nakhoda,
akan jadi masalah. Orang tua menjadi tempat kita bertanya
dan meminta pendapat. Ibu bapa bukan penentu hala tuju
perkahwinan anak-anak. Jika dia punya alasan yang kukuh
untuk berbuat begitu, maka kita kena hormati keputusannya.”
“Agak meragukan memandangkan dia pernah
berkahwin dulu. Tiada siapa tahu kisah sebenar dia bercerai
dan dia suka berahsia tentang hal dirinya sendiri,” balas
Rafael yang hanya mendengar sahaja dari tadi.
“Dia terceraikan bekas isteri dia sebab isteri dia tak
mahu dengar cakap dia. Selalu keluar rumah tanpa izin, balik
kerja lambat. Dan isteri dia pernah memberontak sebab tak
tahan dengan ibu mentua,” ujar Afyra perlahan.
Spontan suasana di meja makan itu hening. Semua
mata memandang Afyra.
“Jadi... mak dia suka masuk campur urusan diaorang
suami isteri?” tanya Rafael.
“Fira agak, ya. Dia tak cerita secara jelas.”
“Fira masih nak teruskan ke? Masih belum terlambat
untuk fikirkan semula keputusan Fira ni,” ujar Rafael lembut.
“Kenapa abang cakap macam tu? Macam tak suka aje
Naquib sebab dia tu duda. Semua orang ada masalah, kan?
Ada kekurangan di mana-mana,” Afyra segera menjawab.
Rafael terdiam. Tidak jadi mahu meluahkan bicara.
Bimbang Afyra kecil hati.
Afyra menghela nafas panjang. Tidak jadi mahu
meneruskan makan. Dia terus bangun dari situ.
“Sorry. Fira nak naik atas. Fira dah tak boleh fikir
sekarang.” Sesak kepalanya apabila semua orang seolah-olah
sedang mencari kekurangan Naquib, membuatkan dia makin
keliru.
“Fira...” panggil Puan Sri Insyirah.
“Sorry, mummy. Fira dah kenyang.” Afyra menjawab
hambar. Usai membasuh tangan, dia terus naik.
Rafael menghela nafas perlahan. Sedar dia sudah
mengecilkan hati adiknya. Kemudian dia memandang
bapanya.
“Abang minta maaf, daddy. Abang tak berniat nak
keruhkan keadaan. Tapi perasaan abang rasa macam ada yang
tak kena dengan Naquib,” ujar Rafael kepada bapanya.
“Maksud kamu?”
“Tentang tinggal di rumah mentua tu. Untuk lelaki
seusia dia, masih menetap di rumah keluarga? Itu agak pelik.
Sebab tu abang nak tahu punca dia bercerai dulu. Bukan kita
nak menyibuk, tapi supaya kita boleh buat keputusan dengan
betul,” ujar Rafael lagi.
“Tiada apa yang pelik. Mungkin dia merasa lebih
senang macam tu, kerana dia menjaga ibu dan bapanya. Afyra
sudah beberapa kali berjumpa dengan keluarga Naquib. Kalau
dia rasa tidak selesa, pasti dia sudah beritahu sejak awal lagi.
Dan benar juga apa yang dikatakan Fira tadi. Semua orang
ada kekurangan. Kita jangan terlalu banyak fikir. Bimbang
kita tersalah anggapan.” Tan Sri Ariff membalas lembut.
Tidak mahu hanyut dengan prasangka sendiri.
“Abang tak berniat nak buruk sangka. Tapi sikap
dia kadang-kadang memang agak aneh. Susah nak jelaskan
macam mana. Nanti ada yang kecil hati,” ujar Rafael lagi.
“Jangan ambil hati dengan Fira tu. Dalam keadaan
macam ni, dah tentu ada tekanan dalam diri dia. Semakin
banyak kita masuk campur dalam urusan dia, semakin
dia keliru. Beri dia peluang untuk putuskan apa yang dia
mahukan untuk diri dia sendiri,” balas Tan Sri Ariff lembut.
Tidak berhenti setakat itu, Tan Sri Ariff terus menjadi
pemikir biarpun malam sudah larut. Matanya terkebil-kebil
sendiri tidak dapat lena. Bukan sedikit keraguan dalam
hati kecilnya selama ini. Naquib yang dikenalinya selama
ini, sikapnya ada sedikit berbeza berbanding apa yang
disangkanya. Dia sendiri pun dapat melihatnya.
Di pertengahan malam itu si bapa mengerjakan solat
sendirian. Meminta bantuan Allah untuk memandu akal ke
arah yang betul dalam membuat keputusan. Moga dijauhkan
keraguan dalam hati akibat permainan syaitan. Namun,
setelah terjaga daripada lena, perasaannya menjadi amat
ringan. Segala keraguan semalam bagaikan lenyap semuanya.
Tan Sri Ariff menghela nafas perlahan sambil
beristighfar. Mungkin semua itu sekadar mainan perasaannya
sahaja. Naquib itu normal! Tiada apa yang tidak kena
dengannya. Dan dia memutuskan majlis perkahwinan Afyra
akan diteruskan seperti yang dirancangkan.
“SEORANG AJE?”
Afyra pantas mengangkat pandangan mencari
si empunya suara. Kaku seketika melihat lelaki asing itu
muncul semula dekat dengannya.
“Do I know you?” Kening Afyra berkerut merenung
tampang lelaki itu. Ingatannya bersimpang-siur, mencari di
mana dia pernah bertemu lelaki ini. Entah kenapa, dia merasa
mereka memang pernah bertemu dulu.
“Naquib tak ada sama ke?”
Afyra menghela nafas perlahan apabila pertanyaannya
terbiar tanpa jawapan.
“Tanyalah dia sendiri,” jawab Afyra sebal. Perangai
lebih kurang sama macam Naquib. Mengelak daripada
sesuatu yang penting.
Fakhri mengangguk sedikit. Dingin.
“Pak cik apa khabar?”
“Pak cik?” Afyra kembali memandang lelaki itu.
“Your father...”
Pandangan Afyra melekap erat pada wajah lelaki itu.
Macam mana lelaki ini kenal bapanya?
“Kita pernah jumpa sebelum ni, kan? Di mana, ya?”
Fakhri ketawa kecil sambil menggeleng.
“Kirim salam pada pak cik,” ujarnya sambil menjauhi
meja itu.
“Hei! Isy! Pak cik tu dah kenapa suka lari sana sini?
Aku dahlah benci teka teki teka tekuk ni semua! What is your
name?” suara Afyra meninggi sedikit cuba menarik perhatian
lelaki itu. Namun tidak dilayan. Lelaki itu terus berjalan
meninggalkannya.
Kembali bersendirian di situ, Afyra termenung
bersungguh-sungguh. Otaknya ligat mencari jawapan kepada
soalan yang satu itu.
“Apasal dia tu nampak familiar, ya? Ke aku
pernah mimpikan dia?” Afyra mula bercakap seorang. Biul
rasa otaknya mencari jawapan itu. Puas termenung, dia
memandang jam di pergelangan tangan.
“Manalah minah ni pergi? Berjanggut aku tunggu,”
keluhnya perlahan. Teman yang berjanji mahu berjumpa,
entah di mana. Malas dia mahu menelefon lagi.
“Beb...” Hampir lima belas minit menunggu, barulah
dia terdengar sapaan itu. Seorang wanita terus mengambil
tempat di hadapannya.
“Sorry, lambat.”
“Hmm... jalan jem? Kucing sakit? Bla-bla... atau
lebih tepat lagi, kau bangun lambat, kan?” perli Afyra.
Rafidah ketawa kecil.
“Tak adalah. Memang jalan sesak pun. Bakal
pengantin janganlah cepat merajuk. Tak manis nanti,”
ucapnya sambil tersenyum.
“Order cepat. Lapar ni tau,” bebel Afyra sambil
memuncungkan mulutnya.
Usai membuat pesanan, Afyra menyeluk beg
tangannya. Kad jemputan perkahwinannya diberikan kepada
Rafidah.
“Datang tau, Fid.”
“Insya-Allah...” Rafidah membuka sampul lalu kad
itu dibeleknya.
“Buat kenduri kat rumah?”
Afyra mengangguk.
“Buat serentak dengan twin aku.”
“Oh... twin kau yang kerek tu ya?” Rafidah ketawa
kecil. Selalu dengar Afyra mengutuk adiknya.
“Mamat tu bakal isteri dia ustazah. Bangga habislah.”
“Ya ke? Alhamdulillah... rezeki dia. Kau tak dapat
ustaz pun tak apalah. Janji Naquib betul-betul sayangkan
kau,” balas Rafidah lembut. Pernah sekali dua dia melihat
lelaki bernama Naquib itu ketika mereka berada di London
dahulu.
Afyra mencebik sedikit entah kenapa. Makin dekat
dengan hari pernikahan, makin aneh rasa dalam hatinya.
Entah kenapa, dia merasakan dia tersilap. Tetapi tidak berani
mahu mengakuinya.
“Kenapa, beb?”
“Hah?” Afyra pantas memandang temannya.
“Kenapa? Muka kau semacam aje waktu aku sebut
tentang tunang kau.”
“Entahlah. Aku rasa macam tak mahu kahwin.”
“Kau biar betul sikit. Lagi tiga minggu aje ni.
Tiba-tiba rasa macam tu pulak?”
“Naquib selalu mengelak daripada aku. Aku pun tak
tahu kenapa dia macam dah berubah. Atau ini cuma perasaan
aku aje? Aku call, dia selalu tak jawab. Bila aku ajak berbincang
pasal majlis ni, dia macam nak tak nak aje menjawab. Bila dia
dah macam tu, mulalah aku asyik nak marah aje. Semalam
kami gaduh. Hari ni dia langsung tak call, tak WhatsApp.”
Rafidah diam merenung tampang Afyra. Manalah dia
tahu semua itu. Mungkin tunang Afyra itu ada masalah.
“Kau dah tanya ke apa masalah dia?”
“Penat bertanya, Fid. Dia selalu bagi alasan hal tu
semua mak dia yang uruskan. Dia tak tahu sangat. Malas nak
fikir.”
“Orang lelaki memang macam tu agaknya. Diaorang
mana suka sangat ambil tahu hal-hal macam ni. Janji dia dah
selesaikan hal yang penting-penting. Lagipun dia dah pernah
kahwin sebelum ni, kan? Dah tentulah excited tu tak ketara
sangat.”
“Aku ni... excited tu pun aku tak rasa. Aku sebenarnya
takut. Dia macam ada sembunyikan sesuatu daripada aku.”
“Fira, lagi tiga minggu aje. Jangan banyak fikir.
Aku faham apa yang kau maksudkan. Lepas kahwin, dunia
kau akan berubah. Dah tentulah macam-macam yang
kau rasa. Entah-entah dia tak apa-apa pun,” jawab Rafidah
bersungguh-sungguh.
Afyra menghela nafas perlahan. Ya, mungkin ini
mainan perasaannya sahaja.
“Lupakanlah. Aku takut aku yang salah sangka,”
ucap Afyra lembut.
“Hmm... macam tulah. Semangat sikit. Orang nak
kahwin ni kena happy. Fikir yang baik-baik aje.”
Kata-kata temannya itu menerbitkan senyuman di
bibir Afyra. Beberapa bulan tidak bertemu, masa dihabiskan
sehingga ke petang bersama Rafidah. Bersama teman baiknya
itu, hilang segala kekusutan dalam kepala. Zaman gadis
dihabiskan semahu-mahunya. Selagi peluang masih ada.
No comments:
Post a Comment