TANGAN Ummi Nadzirah ligat mengacau kopi di
dalam teko. Menyediakan sarapan pagi buat dirinya sendiri.
Pagi Ahad begini, Haji Arsyad sudah pun keluar berjoging.
Kebiasaannya, mereka akan pergi berdua. Tapi, hari ini,
entahlah.
Hari ini Ummi langsung tidak ada mood. Malam tadi
bukan main matanya tidak boleh lelap. Puas dialihkan badan
ke kiri dan ke kanan. Ada saja perkara yang bermain di dalam
minda. Kusut. Ini memang kusut!
‘Jessica tu kekasih si Mat Rock ke? Kalau bukan,
kenapa dia naik hantu semalam? Adoi, bikin pusing saja
kepala aku ni nak fikir. Lagi satu, macam mana Mat Rock si
rambut ketak itu boleh suka dekat aku pulak? Gila! Memang
tak masuk dek akal! Takkanlah baru beberapa hari berjumpa
dah tangkap leleh. Apa lelaki tu tak siuman?’
‘Lagi satu, kenapa si Mat Rock tu nak jadi tukang
kebun kat taska? Padahal, dia boleh jadi apa yang dia nak.
Maksud aku... kerja! Kerja selain tukang kebun. Pemuzik ke
apa. Itu lebih baik daripada dapat gaji ciput sebagai tukang
kebun.’
Bukannya niat Ummi mahu menghina pekerjaan itu.
Tapi, Ummi rasa tidak sedap hati. ‘Siapa sebenarnya jelmaan
Bon Jovi ini? Kenapa dia sebut perkataan, ‘Yes, I love her!’
Padahal, kenal aku pun haram.’ Meronta-ronta hatinya mahu
tahu.
Esok hari Isnin. Pasti dia akan bertemu dengan
Mat Rock juga. ‘Hesy, leceh betullah! Macam mana aku nak
menghadap muka lelaki itu esok? Perlu ke aku buat-buat
muka tak bersalah?’
‘Eh, memang aku tak bersalah pun! Si Jessica tu
yang tiba-tiba meroyan tak tentu pasal. Aku tak sentuh pun
buah hati dia. Kenapa perlu Jessica rasa cemburu? Ke... aku
perlu jelaskan semuanya pada Jessica? Beritahu hubungan
aku dengan pakwe dia tu hanyalah sekadar majikan dan
pekerja. Itu saja.’
Ummi berfikir dan terus berfikir tentang kejadian
semalam. Bukannya apa. Ummi tidak sanggup. Tidak
sanggup jadi perosak hubungan cinta orang lain. Ummi juga
punya pendirian. Ummi takkan rampas sesuatu yang bukan
haknya. Makin difikir-fikir, makin serabut pula jadinya. Ummi
menghembus nafas panjang. Menghirup kopi panas buat
pelepas stres.
“Yes! Aku dah tahu nak buat macam mana!” Ummi
tersenyum sendiri. Puas hati dengan keputusannya sekarang.
Idea bernas tiba-tiba datang menyeluk akalnya.
Bila sebut soal majikan dan pekerja barulah Ummi
rasa yakin. Selepas ini Ummi perlu ingatkan diri sendiri
melalui tiga perkara. Tiga prinsip untuk melupakan apa yang
sudah terjadi semalam.
“Pertama, aku tak nak tahu siapa itu Mat Rock.
Kedua! Jangan ada perasaan bersalah. Yalah! Kalau tak ada
perasaan bersalah... taklah nanti aku beria-ia sangat nak tahu
tentang dia, kan?” Ummi tersengih sendiri.
“Dan yang ketiga... aku majikan dan dia pekerja.
Ingat tu?” Ummi menaikkan jari telunjuk. Tersenyum lebar
sampai ke telinga.
“Siapa majikan? Siapa pekerja ni?” sapa satu suara.
“Eh, abah!” Ummi termalu sendiri lalu dia tersenyum
simpul menutup perasaannya.
Haji Arsyad mengambil kerusi duduk di hadapan
Ummi. Menuangkan kopi ke dalam cawan. Peluh di dahi dilap
menggunakan tuala yang tersidai di bahu. Menghirup kopi
perlahan-lahan. Rasa segar setelah penat berjoging.
“Macam mana?” soal Haji Arsyad setelah meletakkan
cawan ke atas meja.
“Macam mana apanya?” Ummi mengecilkan anak
mata.
“Ala... calonlah. Dah jumpa ke?”
“Ya Allah... Ummi lupalah.” Ummi menepuk dahi.
Baru teringat agenda mencari jodohnya. Hari ini sudah masuk
minggu kedua. Nampak gayanya, Ummi perlu bertindak
dengan segera.
Haji Arsyad menjeling kalendar yang sudah bertanda
hari.
“Masa semakin berjalan, Ummi. Ummi betul-betul
nak cari jodoh sendiri ke ni? Apa Ummi yakin dengan pilihan
Ummi nanti?” soal Haji Arsyad. Macam rancangan realiti TV
nak buang peserta pun ada.
“Abah... Ummi tengah berusaha ni. Insya-Allah,
Ummi takkan lupa agreement kita berdua. Kalau Ummi
tak dapat cari pasangan hidup Ummi sendiri, Ummi akan
serahkannya pada abah. Biar Allah yang tentukan siapa lelaki
yang bertuah tu nanti. Boleh kan?” Ummi bertanya lalu
tergelak sendiri.
“Macam mana dengan hal semalam pulak?” soal Haji
Arsyad bersahaja.
“Hal semalam apanya lagi ni, abah?”
“Ala... budak lelaki yang kamu jumpa semalam tu?”
“Abah... Dia tu pekerja kitalah. Ummi tak ada apa-apa
pun dengan dia.”
“Betul ni?”
“Betullah ni. Ummi tak tipu. Manalah Ummi berani
nak tipu abah lagi. Ummi kan dah janji,” pertahan Ummi.
“Baik. Abah akan tunggu. Mmm... Ummi tak nak
tahu ke macam mana rupa anak Encik Hisyam tu? Tak
teringin nak jumpa dia ke”
“Nak jumpa dia buat apa?” Ummi ketawa sinis. Rasa
macam kelakar pun ada dengan cadangan Haji Arsyad itu.
“Yalah. Mana tahu kot-kot berkenan.”
“Isy! Tak mahulah. Ummi tak nak kenal dia pun.”
Haji Arsyad tiba-tiba tergelak besar.
“Apa yang lawaknya ni, abah?” Makin aneh reaksi
wajah Ummi.
“Tak ada apa. Abah cuma teringat masa Ummi
budak-budak dulu.” Haji Arsyad tersenyum simpul. Berharap
juga Ummi akan bertemu dengan lelaki pilihannya sendiri.
‘Ni mesti fikir pasal anak si tauke tempe tu. Tak
habis-habis fikir pasal lelaki itu,’ fikir Ummi dalam hati.
Dia mengerutkan wajah sambil menghirup kopi panas.
Sememangnya Ummi sudah dapat mengagak apa yang
bermain di kepala Haji Arsyad.
Bukannya Ummi tidak percaya akan jodoh yang
dicadangkan oleh Haji Arsyad. Cuma, dia lebih selesa
dengan calon suami yang mampu mengenali dirinya secara
berhadapan. Mempunyai kesefahaman dan boleh menerima
Ummi Nadzirah seadanya dengan rela. Bukan dipaksa-paksa
kahwin sebegitu.
Selagi Ummi diberi pilihan untuk memilih, dia akan
cuba. Kalau sudah mati jalannya, baru dia serahkan semua
kepada takdir, reda dengan segala keputusan yang sudah
ditetapkan oleh Haji Arsyad. Itu prinsip utama yang ada pada
Ummi.
No comments:
Post a Comment